Penentuan siapakah yang menjadi pemenang di DUN Nenggiri sudah terjawab; PN kehilangan tapak kubu yang dibina setahun lalu (Ogos 2023). Namun kali ini, suasana pedih, pilu dan penuh kecaman tidak akan mudah berakhir setelah “Budak Awie” menang dengan majoriti hampir empat kali lipat daripada majoriti yang PN peroleh sebelumnya.

“Budak Awie” atau Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan ‘cukup mendapat pendidikan politik” menurut Tengku Razaleigh, Ketua UMNO Gua Musang telah diterima dengan sangat baik oleh pengundi berbanding  Ustaz Wadi, atau Mohd Rizwadi Ismail, katak lompat daripada PAS.

Ustaz Wadi akan dikenang sebagai ‘katak politik’ yang paling cepat diperkenankan bertanding dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia. Keluar PAS hari ini, esok diterima jadi ahli Bersatu. Sehari kemudian diumumkan sebagai calon Bersatu. Ustaz Wadi adalah calon PAS Cengkerang Bersatu. Banyak lebih baik daripada musang berbulu ayam.

Hebat juga penangan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang dan pesara TLDM itu ‘menyelam’ dalam kabut politik. Itulah prasasti sejarah pertama buat oleh Ustaz Wadi yang berusia 41 tahun. Prasasti sejarah kedua, Ustaz Wadi merupakan calon wakil rakyat pertama yang membuat bai’ah terbuka (lafaz ikrar), yang awalnya pencalonannya diragui oleh sebahagian besar penyokong Bersatu. Bersatu dianggap hilang jati diri kerana menerima ‘mualaf politik’ yang ditunjukkan oleh PAS.   Prasasti ketiga, secara zahirnya telah terjangkit idealisme politik sekular (Bersatu gunakan asas kemelayuan, yang pernah didakwa PAS sebagai sekular), walaupun masih bernuansakan Islamisme,

Ustaz Wadi sedang membungkus dirinya dengan falsafah politik kemelayuan Bersatu, yang meniru idealisme politik UMNO. PAS pernah menolak UMNO, PAS berfatwa, UMNO menolak Islam. Bersatu adalah parti serpihan UMNO, dan kerana itu budaya lazim politik UMNO telah bersebati dalam tubuh Bersatu. Sebahagian besar kaedah, asas kepartian UMNO kekal dalam Bersatu, cuma berbeza pemakainya walaupun fesyen pakaian dan warna korporat sangat mirip.

Rentetan daripada itu, Bersatu juga mencipta dua sejarah besar, yang penuh pengajaran dan iktibar dalam kerjasamanya dengan PAS. Sejarah pertama, terpaksa menerima ‘perintah’ daripada PAS yang lebih dominan dalam penentuan calon, walaupun persetujuan awal, Bersatu dikekalkan bertanding (pertahankan kerusi yang dimenangi, kekal guna logo PAS sebagaimana digunakan pada PRN lalu). Alasannya, guna logo PAS bukan logo PN takut pengundi keliru terutama di Kelantan. Nampak seperti proses pembodohan oleh PAS.

PAS benar-benar menjadi ‘abang long’ dan kata Takiyuddin meminjamkan ‘anak lelaki’ kepada saudara yang tidak ada ramai ‘anak lelaki’. Sekali gus, ia berbaur sindiran, perli, ejekan dan pelecehan buat Bersatu. Ia semakin menampakkan ciri-ciri “keperempuanan” Bersatu, kalau pun belum melakukan ‘transgender politik’.

Kedua, saya ambil kenyataan bekas Ahli Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahril Samad, ‘perniagaan francais’ yang diberikan oleh Bersatu kepada PAS, membuatkan Bersatu terpaksa menerima “prestasi buruk”.  Juga, francais itu diberikan kepada Annuar Musa, seorang ‘mualaf politik’ yang menyertai PAS setelah tidak ada apa-apa lagi kaitannya dengan UMNO. Nak hidupkan Muafakat Nasional pun tidak ke mana, hanya sekadar tempik sorak dan platform untuk Annuar beraktiviti.

Annuar Musa bukan memberikan impak yang besar kepada PAS. Sebaliknya, dua kenyataan Takiyuddin Hassan cukup menyatakan rasa kesal memberikan peranan Pengarah Pilihan Raya PN DUN Nenggiri kepadanya. Pertama, PAS akui silap letakkan (pilih)  Annuar Musa sebagai Pengarah Operasi PRK Nenggiri dan kedua, Annuar Musa tidak tunai janji biayai operasi PAS di PRK Nenggiri. Kesal kemudian sudah tidak berguna, nasi bukan sahaja dah jadi bubur tetapi hanya layak diberikan makanan kepada ayam dan dibuat kompos.

Kedua-dua infografik itu tular di media sosial sebaik sahaja calon cengkerang PAS disahkan kalah. Menurut inforgrafik tersebut, kededuanya adalah infografik daripada Astro Awani, bertarikh 17 Ogos 2024.

Prestasi buruk, terbayang semula kepada rentetan betapa ‘terdesak’nya Bersatu ketika ‘memecat’ Mohd Azizi Abu Naim yang “tidak sehaluan” dengan keputusan pucuk pimpinan parti, apabila menyokong  kerajaan perpaduan.

Setelah dicabar keluar parti tidak kesampaian, Bersatu menggunakan peraturan parti memohon diisytiharkan kosong kerusi itu. Pada Bersatu, dengan kekosongan tersebut, akan berlakulah PRK dan seterusnya, Bersatu ‘yakin’ dapat mengekalkannya. Bersatu pernah cabar, kerana enam Parlimen yang ‘berpaling tadah’ tidak diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Rakyat, kata mereka, PH-BN takut dengan pilihan raya. Begitu juga dengan DUN Selat Klang, di Selangor.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Fadhil Shaari memprovokasi PH-BN agar segera mengisytiharkan enam Parlimen yang ikut menyokong kerajaan perpaduan dipertimbangkan semula pengisytiharan kekosongannya. Fadhil cukup yakin, PH-BN akan melakukannya kerana petunjuk kemenangan di PRK Nenggiri boleh dijadikan asas. Tindakan ‘memancing’ itu nampaknya belum ada tanda ‘umpan akan mengena’.

Akhirnya, setelah dua impian itu terjadi, impian ketiga kandas di 17 Daerah Mengundi (DM) dan hanya sedikit terapung daripada lemas di 3 DM, iaitu Ladang SEDC, Felda Limau Kasturi dan Pasir Tumboh. Namun kemenangan di 3DM itu pun tidak sehebat yang diperoleh pada PRN lalu. Kemenangan yang cukup tipis dan tidak merefleksikan sokongan yang kental, boleh sahaja berubah atau terbalik jika diadakan pilihan raya sekali lagi.

Bersatu mahupun PAS terpaksa menerima kekalahan tersebut dengan ‘rasa kesal’ dan sugul yang mendalam. Sugul pertama, PAS yang menggadaikan aktivisnya yang setia dan sangat wala’ merelakan Ustaz Wadi berpindah cengkerang. Sugul kedua, pengundi DUN Nenggiri menghukum PAS, dengan tidak memilih Ustaz Wadi, biarpun PAS yang sangat bersungguh-sungguh bekerja dan berkempen. Sugul ketiga, rentetan daripada kekalahan tersebut, terbongkarlah sedikit sebanyak hubungan dengan Annuar Musa, ada nada kesal dan tidak puas hati.

Apakah Annuar Musa akan menjawab: “ikut akulah, duit aku” sebagaimana beliau menjawab kritikan terhadap penampilan mewahnya ketika berkempen termasuk bila ada yang mempersoalkan harga seutas jam yang dipakainya, harga hampir mencecah sejuta ringgit.

Datuk Nik Mohd Amar memutuskan DUN Nenggiri kosong pada 19 Jun 2024. Ia merupakan keputusan yang sangat dinantikan selepas enam hari menerima surat permohonan daripada Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin bertarikh 13 Jun 2024. Pucuk dicita ulam mendatang, akhirnya pucuk itu tidak boleh dijadikan ulam-ulaman.

Bukan Budak Awie yang mencantaskannya, tetapi para pengundi tidak sudi menerima calon cengkerang PAS. Itulah hakikat yang cukup menarik dalam PRK DUN Nenggiri yang kita pelajari, setelah PAS cukup bermegah dengan kemenangan besar di PRK DUN Sungai Bakap sekitar lebih sebulan lalu.

PAS muncul dengan semangat berkobar-kobar dan sangat berlebihan. UMNO yang diberikan kesempatan untuk memulihkan imejnya, hadiah sebagai kelompok yang ‘underdog’, rendah diri dan lebih berhati-hati dalam melaksanakan kempennya. UMNO menggunakan kearifan lokal untuk merancang dan membentuk strategi kempen, akhirnya ia memberikan kejayaan yang cukup bermakna. UMNO dilihat kukuh dan bersinar semula dalam pemikiran pengundi DUN Nenggiri setelah kecewa selama setahun.

Kaedah kempen UMNO lebih membumi walaupun tidak menawarkan janji-janji yang cukup besar sebagaimana ditawarkan oleh PN sebagai manifestonya. UMNO tidak keluarkan manifesto, tetapi melakukan pendekatan menemui pengundi secara cekap, dalam kumpulan kecil dan tidak ada malam grand finale seperti PN. PN melihat grand finale seperti ‘finishing line’ yang sangat baik, dan ingin dimanfaatkan sekali lagi di DUN Nenggiri selepas teruja dengan kesannya di DUN Sg Bakap.

Namun, ‘grand finale’ itu tidak menjadi faktor yang membantu kejayaan PN, sebaliknya memuntahkan lebih banyak ‘penolakan’ pengundi. Grand Finale itu diadakan pada malam 15 Ogos 2024 di Jerek, yang mana DM itu akhirnya bertukar warna hijau kepada biru apabila keputusan diumumkan pada malam keesokannya.

Muhyiddin dikatakan turut mempertikaikan keputusan YDPA yang tidak memanggilnya mengangkat sumpah sebagai PM sekali lagi walaupun sudah mempunyai ‘bilangan yang cukup’. Persendaan itu akhirnya menyebabkan Muhyiddin bakal dipanggil oleh Bukit Aman (Selasa, 20 Ogos 2024) untuk dirakamkan kenyataannya, dan setakat semalam (18 Ogos 2024), pihak polis telah menerima 29 laporan.

Keputusan mengosongkan kerusi DUN Nenggiri dibuat berdasarkan Fasa (31A) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, manakala Hamzah memohon berdasarkan Perkara 10.4 Perlembagaan Bersatu, yang diluluskan pindaannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), berkuat kuasa 1 April 2024.

Azizi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan pada bulan November 2023, selepas tiga bulan menang bergelar ADUN Nenggiri. Azizi juga merupakan penyandang (wakil rakyat) Parlimen Gua Musang, yang dimenanginya pada PRU ke-15 (19 November 2022), menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 163 undi.

Ketika pengumuman Azizi dibuat, Takiyudin Hasan, Setiausaha Agung PAS menyifatkan keputusan itu sebagai ‘suatu pengkhianatan’ dan  turut dikaitkan sebagai sebagai ‘pengkhianat’ kepada Bersatu. Dakwaan itu akhirnya berbalik pula kepada Takiyuddin, apabila beliau dilihat sangat bersungguh-sungguh menasihat Ustaz Wadi untuk berkelakuan seperti ahli PAS walaupun sudah dihantar kepada Bersatu.

Takiyuddin seolah-olah mengawal Ustaz Wadi setiap kali muncul dan menemui pengundi. Paling ketara, ketika berbai’ah untuk meredakan dakwaan bukan Bersatu yang bertanding, sebenarnya yang bertanding adalah PAS. PAS bukan sahaja memaksa logonya digunakan, bahkan sanggup ‘memberikan anak lelaki’ kepada Bersatu. Ustaz Wadi adalah ‘anak pungut Bersatu’ akan tetap bersama PAS kerana jiwa dan raganya adalah PAS, dan sudah bersebati dengan tarbiyah politik PAS.

Kelibat Takiyuddin di PRK Nenggiri cukup aktif, sehingga dikatakan perancang pembai’ahan Ustaz Wandi untuk tidak keluar parti lagi, biar apa pun terjadi, kekal dengan Bersatu setelah dimasukkan dalam cengkerang parti itu.

Sifat ‘keperempuanan Bersatu’ jelas dalam kenyataan-kenyataan sedih Muhyiddin ketika terpaksa menerima Ustaz Wadi. Semua senarai calon yang dikemukakan oleh Bersatu, tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh PAS, walhal jika diterjemahkan kepada makna politik, PAS sangat inginkan calonnya bertanding. Alasannya boleh dibuat apa sahaja, termasuk keupayaan Bersatu untuk melaksanakan aktiviti kempen.

Ia membawa kepada ‘keperempuanan’ kedua Bersatu. Ini kerana, sepanjang kempen berlangsung selama 14 hari, aktiviti kempen dimonopoli oleh jentera PAS, dan ia benar-benar menggambarkan di DUN Nenggiri bahawa yang bertanding ialah PAS, bukan Bersatu.

Tentunya juga, segala keupayaan dan tenaga dicurahkan, termasuk mengangkat Tan Sri Annuar Musa (mualaf politik) sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, yang tentunya sebahagian besar pengundi tahu siapakah mualaf politik itu.

Lebih menarik ialah apabila BN dan PH bersetuju menyerahkan tanggungjawab itu kepada bekas penyandang kerusi Gua Musang selama 11 penggal (1974-2022) sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, berdasarkan hubungannya yang lebih dekat dengan pengundi.

Ini kerana DUN Nenggiri adalah salah satu daripada tiga DUN yang berada dalam Parlimen Gua Musang sejak tahun 2004. Tambahan pula, Annuar sebenarnya ‘anak didik’ Tengku Razaleigh, tetapi tidak sekemah lagi sejak tertubuhnya UMNO (Baru) 1988, yang kemudiannya memunculkan Parti Melayu Semangat ’46.

Pada PRN DUN Nenggiri, Bersatu hilang jati diri dan juga ‘kuasa pemutus’ sehingga benar-benar bertukar “jantina”. Muhyiddin yang ‘lebam’ dengan ‘siku lipat abang long’ akhirnya membawa kisah untuk menyalahkan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kerana menghalangnya daripada mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Perdana Menteri, dan katanya, sudah ada 115 wakil rakyat, melebihi majoriti mudah yang diperlukan (112 wakil rakyat).

Selama ini ramai yang percaya apa yang dibohonginya, termasuk para panglima perang PAS yang menyifatkan cadangan membentuk kerajaan perpaduan oleh SPBYDA sebagai ‘cerita bohong’ cerita yang direkakan oleh Anwar Ibrahim (menurut perspektif Sanusi Mohd Noor, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan MB Kedah). Semuanya terjawab apabila Setiausaha Agung UMNO tampil memberikan penjelasan sebelum kempen PRK DUN Nenggiri tamat, secara jelas dan berfakta, bukan hanya sekadar dakwaan atau telahan politik seperti PAS dengan sindrom “pengundi hantu” pada suatu ketika.

Ini turut membantu kemenangan kerjasama BN-PH dan menjernihkan sedikit sebanyak perihal pembentukan kerajaan perpaduan yang tidak dipesetujui oleh PN. Ertinya, kepercayaan dakwaan PN semakin menjengah kepada hoax dan pembohongan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan, ketika Presiden UMNO dipanggil mengadap, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pergi seorang diri, ditemani oleh Datuk Seri Mohd Hassan (Timbalan Presiden UMNO) dan Dr Zambry Abdul Kadir (Naib Presiden UMNO). Ahmad Zahid Hamidi tidak membuat keputusan serta merta di hdapan SPBYDA, sebaliknya memohon untuk mendapat restu (keputusan mesyuarat) AMT UMNO seramai 54 orang untuk bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan perpaduan.

Mesyuarat diadakan pada malam itu. Mereka mencapai keputusan majoriti bersetuju membentuk kerajaan perpaduan, dan melupakan sengketa lama, dengan DAP, dengan meletakkan tiga syarat. DAP akan menghormati 3 perkara tersebut dan berjanji tidak akan menyentuhnya. Tiga syarat itu ialah apa yang diistilahkan sebagai 3R – Race, Religion dan Royalty.

Dengan persetujuan tersebut, PH dan BN mampu bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan berdasarkan sokongan parti masing-masing secara enbloc, yang kemudiannya memaksa Muhyiddin menelan ‘air liur berkahak’.

Perkembangan mutakhir, RSN Rayer (MP Jelutong, Pulau Pinang) membuat laporan polis dakwaan Muhyiddin terhadap SPBYDA tidak bersetuju melantiknya sebagai PM meskipun meraih sokongan yang cukup. (Malaysiakini, 18 Ogos 2024). Hingga kini, hampir 30 laporan polis telah dibuat ke atas Muhyiddin mengenai dakwaan SPBYDA enggan membenarkan beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.

Itulah yang dijual Muhyiddin dan panglima perang PAS dalam memperlekehkan kerajaan perpaduan dengan istilah “kerajaan luar tabie”, ‘kerajaan penuh muslihat dan perangkap”. Selama dua tahun dijaja, dibungkus dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, . SPBYDA menolak kerana sangsi dengan SD (Akuan Bersumpah) yang dikumpulkan, ada pertindihan dan bertentangan dengan kehendak Akta Anti Lompat Parti 2022.

Ada pertindihan dan juga ada sikap bermuka-muka daripada wakil rakyat yang dikatakan menyokong Muhyiddin sebagai PM buat kali kedua, walhal ada di antara mereka inilah juga yang menolak Muhyiddin apabila menutup Sidang Dewan Rakyat dan melaksanakan peraturan darurat selama enam bulan.

Keputusan PRK DUN Nenggiri menunjukkan Budak Awie menang bergaya dengan majoriti 3,352 undi berbanding PRN lalu, Bersatu menang dengan majoriti 810 undi. Berdasarkan analisis dan kenyataan Annuar Musa, kekalahan itu kerana lebih 2,000 penyokong Bersatu tidak keluar mengundi. Bagaimanapun, Annuar tidak memberikan maklumat lanjut berkaitan dakwaan ‘membeli undi’.

Nampaknya, Annuar Musa ‘tebolah’ lagi. Jika benar 2,000 penyokong PN keluar mengundi, ia belum menunjukkan Budak Awie kalah. Apa yang patut diterima hakikatnya ialah kenapa kesemua enam pos Orang Asli kembali menyokong BN dan PN hanya mampu memenangi tiga Daerah Mengundi daripada 20. Kenapa DM yang dijadikan lokasi ‘grand finale’ calon PN kalah? Kalau diikutkan sebab lokasi itu dipilih, ia menunjukkan kecondongan yang lebih baik kepada PN. Apakah ini adalah kesilapan percaturan politik pengarah pilihan raya DUN Nenggiri di pihak PAS?

Calon PAS Cengkerang Bersatu hanya memenangi DM Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh. Setiap DM yang dimenangi itu pun dengan majoriti yang kecil (kurang 100 undi). Berdasarkan helaian mata (scoresheets) yang ditular, tiga DM yang dimenangi oleh PN, cukup tipis, tidak seperti pada PRN setahun lalu. Pada PRN tersebut, BN hanya menang tujuh DM, PN menang di 13 DM, tetapi hanya menghasilkan majoriti 810 undi. Secara puratanya, kemenangan secara 62 undi di setiap DM yang dimenangi. Kali ini, BN menang dengan purata (17 DM) yang lebih besar, iaitu lebih 208 undi.

Itu sudah cukup menggambarkan strategi politik Bersatu meletakkan calon bercengkerang PAS tidak diterima dengan baik oleh pengundi, biarpun ada dakwaan ada pengundi ‘telah dibeli’. Annuar Musa perlu mendedahkan apakah benar-benar berlaku “beli undi’ dalam PRK DUN Nenggiri.

Jika anggapan memasang mesin ATM (automated teller machine) yang diminta oleh pengundi sebagai bukti ‘beli undi’, ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Permintaan tersebut telah lama disuarakan. Kenapa dalam tempoh setahun (disandang Bersatu), tidak ada inisiatif untuk berbuat demikian?

Janji Budak Awie, selepas ini akan usahakan pula CDM (cash deposit machine) bagi membolehkan penduduk setempat menyimpan wang dalam akaun bank masing-masing, apakah ia dilihat sebagai “membeli undi’ pasca PRK?. Bukankah itu adalah khidmat Budak Awie untuk memudahkan urusan pengundi DUN Nenggiri yang tidak lagi perlu ke bandar Gua Musang untuk mendeposit atau membuat bayaran pinjaman bank menerusi kemudahan tersebut?

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyatakan bahawa calon PAS bercengkerang Bersatu itu adalah strategi politik. Nampaknya, strategi politik itulah juga telah ikut menyebabkan PAS berasap, bersama-sama ‘kebodohan’ mengangkatkan Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Nenggiri. Cakap dan strategi politik mualaf itu sudah lama tidak diyakini oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, termasuk pengundi DUN Nenggiri.

Tentunya, jika Ustaz Wadi tidak bercengkerang Bersatu, bertanding atas tiket asli PAS, keputusan PRK DUN Nenggiri tidak akan berlaku seteruknya, biarpun mengalami kekalahan. Ini kerana pengundi DUN Neggiri turut terkesan dengan terkeluarnya sekitar seribu orang ahli Bersatu Jeli, dan 480 orang ahli Bersatu Gua Musang.

Sebelumnya, strategi sebegini tidak banyak meninggalkan kesan pola pengundian, tetapi kali ini cukup signifikan. Ia bukan sahaja mengheretkan kekalahan, bahkan kemerosotan ketara jumlah undi yang diterima, dan mungkin menjadi sebab lebih 2,000 ahli tidak keluar mengundi? Merajuk dan “putus angina”; refleksi tidak percayakan pucuk kepimpinan parti Bersatu.

Lain-lain isu yang berjaya memberikan kemenangan kepada calon BN ialah pendedahan sikap gelojoh PAS dalam memberikan konsesi balak, konsesi ladang hutan, perlombongan emas di Gua Musang, ribuah tanah untuk tanaman Musang King, menyebabkan ramai yang berfikir, berapa banyak lagikah hutan-hutan akan digondolkan sebagai punca pendapatan utama kerajaan PAS.

Tengku Razaleigh turut mendedahkan bagaimana kerajaan PAS telah menggadaikan ribuan ekar tanah di Gua Musang kepada sebuah syarikat dari Singapura. Setelah beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Gua Musang pada tahun 1974, Tun Razak meminta agar tanah-tanah tersebut ditebus semula, dan akhirnya berjaya dilakukan dengan harga yang murah.

Tengku Razaleigh tidak berjanji seperti mana PN mengeluarkan 37 inisiatif dalam Manifesto PN di Nenggiri, malah Budak Awie yang bertekad akan melaksanakan tanggungjawabnya sekiranya dipilih, demi untuk Gua Musang dan kesejahteraan penduduk. Walaupun awalnya BN dikritik kerana tidak mengeluarkan manifesto sebagaimana biasa, pengundi sebenarnya lebih percayakan kemampuan Tengku Razaleigh, dan didikan politiknya (cukup) pada Budak Awie,

Tentunya, Tengku Razaleigh cukup mengharapkan bakat-bakat muda inilah yang akan meneruskan perjuangannya untuk membangun Gua Musang, yang kini sudah tidak lagi dianggap sebagai “penuh musang” dan “pontianak Gua Musang membiak’.

Kegagalan kerajaan PAS Kelantan turut menyerlahkan manifesto yang dikeluarkan tidak dipercayai kerana pecah tanah kilang perabut empat tahun lalu belum menjadi kenyataan. Dan, dalam masa yang sama, walaupun belum membina kilang perabot, ada kenyataan bahawa syarikat terbabit sudah diberikan konsesi tanah yang lain untuk mengembangkan aktivirinya yang belum ‘menetas’.

Itulah sebahagian asap yang menyelubungi kempen PRK DUN Nenggiri sepanjang 14 hari yang terpaksa dipejamkan mata oleh jentera kempen PAS. Jentera kempen PAS tidak mampu menjawab, bahkan MB Kelantan ikut rasa ‘sakit; apabila calon PAS bercengkerangkan Bersatu tewas. Ujian pertamanya sebagai MB Kelantan ‘tidak lulus’ apabila cengkerang itu benar-benar terbelahkan jumlah pengundi kepada BN lebih besar.

Cadangan yang muncul, merancang Gua Musang sebagai pelabuhan darat nampaknya sangat naïf dan cukup mengejek seperti pernah bekas Timbalan MB Kelantan, yang kini bergelar Speaker pernah bercadang, bina empangan bawah tanah dan telaga jejari untuk mengatasi masalah takungan air, sebab Kelantan memang banyak air, tapi tiada tempat untuk menakung, Lebih menggelikan, air Sungai Kelantan, memang keruh walaupun dicampur bahan kimia (klorin) kerana sifatnya begitu.

 Paling berasap ialah apabila Perdana Menteri mengumumkan semakan gaji penjawat awam, dan mereka akan menerima kenaikan 15 peratus bagi kumpulan pelaksanaan dan pengurusan dan professional manakala kumpulan pengurusan tertinggi 8 peratus,

Julat kenaikan gaji adalah antara 13 hingga 42.7 peratus, terbesar dalam sejarah negara. Ianya akan dibayar mulai gaji bulan Disember untuk fasa pertama, dan fasa kedua Januari 2026.

Kenapa PAS berasap? Sebabnya, PAS pernah dikaitkan dengan ketidakperihatinannya terhadap gaji guru sekolah-sekolah yang dikendalikannya, termasuk Guru TASKI (Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam), PASTI (Pusat Asuhan Kanak-Kanak Tadika Islam), SAR (Sekolah Agama Rakyat), SMAR (Sekolah Menengah Agam Rakyat) dan SMAN (Sekolah Menengah Agama Negeri). Mereka bukan sahaja tidak menerima gaji yang setimpal, bahkan skim perkhidmatannya tidak menjuruskan kepada peningkatan kerjaya yang jelas.

Budak Awie dapat 9,091 manakala Ustaz Wadi peroleh 5,739 undi. Peratus keluar mengundi juga tinggi, sekitar 73 peratus manakala analisis pola pengundi dibuat menunjukkan golongan muda dan perantau lebih percayakan kerajaan perpaduan daripada kerajaan PAS Kelantan. Jumlah undi diraih oleh PN alias PAS menurun dengan ketaranya, berbanding PRN lalu.

PN hanya mampu meraih 38.7 peratus berbanding PRN lalu 53.3 peratus. Suatu penyusutan yang sangat besar, dan membuktikan bahawa PN, khususnya Bersatu sedang berhadapan dengan defisit kepercayaan, euforianya semakin pudar.

Politcal game yang cukup menarik, dan mungkin akan memberikan kesan kepada calon yang meletakkan formasi mereka dalam PRK DUN Mahkota, Johor pada penghujung bulan September nanti.

Apa lagi ‘sandiwara’ antara PAS dan Bersatu akan pentaskan? Apakah Bersatu berusaha untuk melepaskan ‘pasungan’ daripada PAS, dengan membuat pendirian tegas tidak lagi bercengkerang? Apakah kali ini Bersatu ‘tidak cukup anak lelaki’ sekali lagi?

Apakah jika PAS diberikan peluang, calon Bersatu akan bercengkerangkan PAS, seperti mana PAS lakukan di Nenggiri? Atau pada ketika itu, PAS hanya sekadar membantu Bersatu mencipta kemenangan yang semua orang tahu, DUN Mahkota cukup kuat legasi Almarhumah  Datuk Sharifah Azizah Syed Zain?

MONOSIN SOBRI

Translate »