Pada 13 Ogos 2024 lepas adalah hari mengundi awal bagi 14 anggota polis dan juga berlangsung ikrar calon Bersatu daripada benih PAS melafazkan janji terus kekal setia dengan Bersatu dalam apa juga situasi sekalipun, termasuk jika menang dalam pertarungan dua penjuru berhadapan dengan calon UMNO (PH/BN). Jika menang dan meninggalkan parti, segala gaji dan elaun atau kemudahan yang dinikmati dibai’ahkan sebagai ‘haram’. Itu janji sebelum dapat, bila dapat, ia mungkin keputusannya berbeza.
Ada teladan yang boleh rakyat perhatikan. Bukan daripada wakil rakyat biasa, tetapi daripada Presiden PAS sendiri selama lebih 30 bulan terima elaun, gaji sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri, sedangkan tidak ada rekod menjejaki negara-negara tersebut, sama ada sebagai pembuka jalan menarik pelaburan atau menjadi perunding dalam geopolitik Timur Tengah, berdasarkan pengalamannya sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa (2014-2016).
Menariknya, sebelum ini dalam mana-mana PRK belum muncul ‘angkat sumpah’ atau ikrar dibuat oleh seseorang calon yang bertanding sebagai lafazan kesetiaan kepada parti yang diwakilinya. Kalau sebelumnya, calon-calon menandatangani taat setia kepada parti berdasarkan persetujuan untuk tidak meninggalkan parti jika menang menerusi mekanisma tertentu, sebelum dipilih menjadi calon.
Mengenai kesetiaan, kita sangat tidak boleh lupa dengan bai’ah yang pernah dibuat oleh Khalid Samad semasa aktif sebagai aktivis politik PAS. Khalid pernah memberikan janji atau ikrar bahawa ‘gugur talak tiga’ jika meninggalkan parti itu. Bai’ah Khalid itu cukup mengingatkan kita apa yang berlaku pada tahun-tahun 1980-an, tatkala Amanat Haji Hadi (1982) cukup ‘panas’ dalam iklim politik orang Melayu di Pantai Timur.
Pada satu aspek, ia adalah sesuatu yang dilihat sebagai faktor pengikat dan kerana itu jarang berlaku ‘kecurangan politik’ daripada wakil rakyat PAS, kecualilah apa yang berlaku selepas dua wakilnya digugurkan dalam senarai kabinet pascar PRU ke-14, yakni semasa Ismail Sabri Yaacob mengisi kekosongan jawatan PM selepas Tan Sri Muhyiddin hilang sokongan majoriti.
Dua wakil rakyat tersebut, Dr Khairudin Aman Razali atau dikenali sebagai Ustaz Dr Khairudin at-Takiri (Parlimen Kuala Nerus, Terengganu) dan Che Abdullah Mat Nawi (Parlimen Tumpat, Kelantan), Dr Khairudin dalam kabinet Perikatan Nasional adalah Menteri Perladangan dan Komoditi manakala Che Abdullah adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Sebabnya, semua sedia ketahui. Dr Khairudin cukup tegar mempertahankan Muafakat Nasional sedangkan pucuk pimpinan PAS mula ‘bermain di kolam lain’ setelah rasa seronok berada dalam kabinet, selesa dengan jawatan dan sangat yakin bahawa kuasa yang dimiliki oleh Muhyiddin Yassin akan kekal.
Khairudin juga dikaitkan dengan pelanggaran SOP yang dikenakan dalam usaha membendung jangkitan COVID-19 (tidak melakukan kuarantin kendiri sebaik pulang daripada tugasan di luar negeri dan melanggar peraturan tidak boleh rentas negeri walaupun ketika itu adalah menjelang sambutan Aidilfitri).
Che Abdullah, dipasong oleh PAS kerana muncul kontroversi berpoligami di luar negara dengan lafaz ijab kabul dalam talian dan dinikahkan oleh jurunikah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Abdullah juga ikut terserpih dengan pendiriannya yang memperlekehkan kibaran bendera putih sebagai tanda rakyat alami masalah (perlukan bantuan) ketika pandemik COVID-19 berada di kemuncaknya.
Dua personaliti PAS itu kemudiannya diberikan peluang oleh BN sebagai calon langsung untuk bertanding (Hulu Nerus dan Tumpat) pada PRU ke-15. Namun, kededuanya, walaupun memakai baju UMNO/BN (belum menjadi ahli) telah tewas. Kededuanya tewas kepada calon PAS. Khairudin kemudiannya dilantik sebagai Setia Usaha Majlis Ulama UMNO.
Namun, dalam PRK Nenggiri yang melibatkan pemilihan semula wakil rakyat setelah DUN Kelantan mengisytiharkan kawasan itu ‘kosong’ ekoran sokongan terbuka penyandangnya, Muhd Azizi Abu Naim terhadap kerajaan perpaduan, khususnya kepimpinan Anwar Ibrahim. Sokongan tersebut ditafsirkan sebagai ‘lompat parti’ kerana Bersatu berada dalam kelompok pembangkang, Perikatan Nasional bersama-sama PAS dan Gerakan.
DUN Nenggiri dimenang oleh calon Bersatu dengan majoriti 810 undi mengalahkan penyandang sebelumnya, Abdul Aziz Yusof daripada BN, Ertinya, sejarah membuktikan bahawa pengaruh UMNO di DUN Nenggiri adalah masih kuat, walaupun UMNO dilabelkan sebagai parti yang berhadapan dengan masalah perpecahan dan defisit kepercayaan orang Melayu.
Sebelum itu (PRN), kuasa politik UMNO turut tergugat di Parlimen Gua Musang dalam PRU ke-15, di mana tokoh yang menjadi lagenda di situ, Tengku Razaleigh Hamzah yang memenangi konstituensi tersebut sejak tahun 1974 tewas di tangan calon Bersatu dengan majoriti 163 undi. DUN Nenggiri adalah salah satu daripada tiga DUN yang berada dalam Parlimen Gua Musang. Dua lagi DUN ialah Galas (kekal dimenangi oleh calon BN, dengan majoriti 3,337 undi) manakala DUN Paloh (dimenangi oleh calon PN (Bersatu) dengan majoriti 2,205 undi.
Ertinya, kemenangan calon Bersatu pada PRN di DUN Nenggiri bukan kerana kekuatan pengaruh Bersatu, tetapi disebabkan sokongan ahli-ahli PAS dan penolakan sebahagian daripada ahli UMNO, Bersatu sebenarnya tidak mempunyai jentera parti yang kuat di Kelantan, tetapi meraih kemenangan kerana menumpang kekuatan yang dimiliki oleh PAS.
Atas sebab itulah muncul perkiraan yang menarik sehingga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa senarai calon awal yang dicadangkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PAS, jika PN mahu mengekalkan kemenangan di DUN Nenggiri dalam PRK kali ini. Sebelumnya, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan bayangan bahawa calon yang akan mewakili PN di DUN Nenggiri biarpun diersetujui kekal daripada Bersatu, akan berlaku strategi politik yang tidak lazim.
Dua hari sebelum hari penamaan calon, PN mengisytiharkan seorang pesara TLDM yang berusia 41 tahun sebagai calon. Mohd Rizwadi Ismail (atau dikenali sebagai Ustaz Wadi) sebagai calon manakala UMNO (PH-BN) menawarkan tokoh muda, Azmawi Fikri Abdul Ghani, atau lebih mesra dipanggil Mawi.
Rizwadi merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Gua Musang tetapi pada 28 Julai 2024 telah memohon untuk keluar daripada PAS. Dua hari kemudian, Rizwadi diterima menjadi ahli Bersatu. Secara jelasnya, kriteria calon yang ‘boleh menang’ menurut tafsiran (kriteria yang ditetapkan) PAS ialah seseorang yang ada genetic PAS, dan jika selainnya, PN akan kalah.
Itulah percaturan yang cukup menggambarkan bahawa dalam keadaan apa pun, PAS akan berusaha menjadikan kedudukannya lebih dominan dalam PN setelah kedudukan parti itu jauh lebih kuat berbanding Bersatu. Pada awalnya, semasa PN menjadi gabungan yang berusaha mencabar PH dan BN, Bersatu dilihat lebih terkedepan dalam menentukan dasar dan percaturan politik, termasuk dalam PRN Melaka, PRN Johor dan juga PRU ke-15.
Namun, disebabkan harapan Bersatu untuk ‘melumpuhkan’ penguasaan UMNO (BN) dalam dua PRN (Melaka dan Johor) cukup ‘memalukan’, dan ditambah dengan pencapaian kurang memberansangkan dalam PRU ke-15, Bersatu menjadi semakin hilang sengatnya. Ia menjadi sesuatu yang lebih tumpul apabila keputusan PRN (enam buah negeri pada Ogos 2023), Bersatu gagal untuk membentuk kubu pertamanya, di Selangor atau Negeri Sembilan.
Walaupun Bersatu menunjukkan pencapaian yang baik di Kelantan, ia tidak menunjukkan kemenangan itu merupakan kekuatan tunggal daripada kemantapan kempen atau pengaruhnya, ia disokong oleh sebahagian besar oleh pengaruh PAS yang telah lama mencengkam hati dan perasaan pengundi Kelantan.
Oleh kerana itulah PAS menjadi ‘grand designer’ yang cukup besar dalam menentukan kelangsungan PN pasca PRN 2023 dan PRU ke-15, sebagai langkah persediaan berhadapan dengan gandingan PH-BN pada PRU ke-16 nanti. Ini menunjukkan Bersatu sebenarnya cukup bermasalah apabila bekerjasama dengan PAS, kerana PAS memang cukup dengan sifatnya untuk meletakkan posisinya sebagai ‘dominator’ dalam mana-mana kerjasama politik sejak sekian lama.
PAS berbuat demikian kepada Bersatu kerana pemimpin-pemimpinnya mahu mengekalkan ‘kubu’ yang sudah mula bertapak, yakni menyingkirkan sejauh mungkin pengaruh UMNO dalam mana-mana peristiwa pilihan raya aka datang, kerana merasakan sesuatu yang menarik daripada pengalaman Terengganu yang sepenuhnya berjaya menyingkirkan BN dan PH baik di peringkat Parlimen mahupun di peringkat DUN.
Kalaupun Terengganu bukan sepenuhnya menjadi model kejayaan PAS dalam percaturan politik pasca PRU ke-15 dan PRN 2023, ia menaikkan semangat PAS untuk mendepa kuasa yang ada padanya, termasuk di peringkat persekutuan apabila kedudukannya adalah lebih baik daripada Bersatu, hatta UMNO sekalipun.
Pada PRU ke-15, PAS memenangi 43 kerusi manakala UMNO hanya menang 26 kerusi. Pada perkiraan statistik, PAS adalah parti yang benar-benar mendapat kepercayaan orang Melayu, walaupun UMNO masih ada, Bersatu berusaha keras menguasai politik orang Melayu dan Amanah ‘menadah’ penyokong PAS yang berhalusinasi,
Dalam persaingan politik, terbentuk sebuah kenyataan bahawa ‘tidak ada apa yang tidak mungkin’, kerana ‘politik adalah seni pelbagai kemungkinan’, maka itulah gambaran yang tepat dapat diberikan apabila melihat kepada ‘jarum PAS’ ke atas Bersatu dalam PRK DUN Nenggiri kali ini. Setiap orang yang melihat kemungkinan ini, akan membuat rumusan bahawa sebenarnya yang bertanding dalam PRK DUN Nenggiri adalah antara UMNO dan PAS, dan ia merupakan perlawanan tradisi sejak DUN tersebut pertama kali dipertandingkan (PRU ke-11, 2004).
Azizi dua kali gagal dalam percubaannya menggunakan undang-undang bagi mencabar keputusan yang dibuat oleh DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi terbabit. Ini kerana, dengan menggunakan alasan yang sama, menyokong Perana Menteri dan kerajaan perpaduan, hanya Azizi sahaja yang diumumkan ‘terpaksa’ sedangkan DUN Selangor dan Dewan Rakyat membuat keputusan yang berbeza. Ertinya, Azizi kekal sebagai Ahli Parlimen Gua Musang, tetapi, kali ini, Azizi mungkin terpaksa menjauhkan diri daripada ikut serta berkempen untuk kemenangan calon UMNO (BN-PH).
Ia tidak seperti dilakukan oleh wakil rakyat Selat Kelang, yang turut membantu calon PH-BN dalam PRK Kuala Kubu Baharu. ADUN Selat Kelang, Abdul Rashid Asari kekal sebagai penyandang dan kini berstatus wakil rakyat bebas pro kerajaan Selangor dan kerajaan pusat. Itulah juga yang berlaku ke atas enam orang lagi wakil rakyat daripada Bersatu yang kekal sebagai penyandang, walaupun Bersatu telah cuba menafikannya. Ia turut mencerminkan kegagal Bersatu, yang sedikit sebanyak membuktikan peraturan yang telah dipinda (perlembagaan parti) untuk menyekat ‘lompat parti’ tidak benar-benar memberikan kesan dan sekatan yang berkesan.
Oleh kerana itu, PAS melihat ‘ketidakupayaan’ itu sebagai titik yang paling lemah dalam pembuluh darah Bersatu, kerana darah politik yang mengalir dalam organ Bersatu tidak benar-benar merupakan darah pejuang. Secara DNA-nya, Bersatu muncul sebagai parti yang berhasrat untuk ‘membunuh UMNO’ kerana Muhyiddin kecewa apabila digugurkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan dalam rombakan kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2015.
Muhyiddin secara terbuka mengkritik Najib ekoran munculnya isu 1MDB. Kemudian, Muhyiddin bersama Tun Dr Mahathir yang keluar daripada UMNO buat kali kedua menubuhkan Bersatu (PPBM) apabila anaknya, Mukhriz Mahathir digugurkan kali kedua sebagai MB Kedah.
Kali pertama (2016) oleh desakan ketika masih dalam UMNO kerana menyokong ayahnya, mengkritik UMNO dan Najib termasuk persoalan kekalahan Mukhriz dalam pemilihan UMNO (merebut jawatan Naib Presiden UMNO 2013). Kali kedua ialah ketika dalam PH, didesak meletakkan jawatan apabila ayahnya, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM ke-7 (17 Mei 2020) dan Bersatu bukan lagi sebahagian daripada gabungan PH.
Pada PRK DUN Nenggiri, PAS melihat pengaruh Tengku Razaleigh masih kuat dan ada kemungkinan calon yang mewakili UMNO bakal merampas kerusi tersebut daripada Bersatu, Atas perhitungan itulah PAS mencari jalan, mencaturkan strategi untuk ‘memaksa’ pendokong tegarnya keluar parti dan dua hari kemudian, dipaksa lulus keahlian Bersatu, Permainan politik ini dilihat perkembangan terbaharu yang dipraktikkan oleh PAS, walaupun sebelumnya mengecam mana-mana ahlinya keluar daripada parti.
Ahli PAS yang keluar parti dan menyertai parti lain disifatkan sebagai “haram”, maka dengan permulaan tersebut menyebabkan integriti hukum PAS dipersoalkan dengan teruknya. Akibat kecaman yang diterima, maka PAS merancang pula majlis lafaz ikrar oleh calon bayangannya, yang dalam video yang tular menampakkan dengan jelas peranan Setia Usaha Agung PADS Takiyudin Hasan, yang cuba mengarahkan Rizwadi mengangkat tangan kanan, yang menjadi kelaziman pembaca ikrar.
Setakat ini kita tidak dapat mewajarkan tindakan tersebut, kerana lafaz ikrar sedemikian bukanlah daripada amalan yang dilaksanakan oleh Islam. Walaupun lafaz ikrar itu dimulakan dengan kelaziman frasa orang yang mengangkat sumpah (termasuk sumpah laknat), tidak digambarkan sumpah itu menggunakan al-Qur’an, ia adalah lafaz ikrar seperti kanak-kanak sekolah ketika berjanji akan mematuhi prinsip-prinsip Rukunegara atau seseorang yang menerima jawatan pada hari pertamanya.
Rizwadi belum lagi menerima hakikat yang dirinya seorang ADUN, hanya calon yang akan membawa ‘bendera PAS’ dengan menggunakan cengkerang Bersatu. Sebahagian besar pengundi DUN Nenggiri melihat ia sebuah sandiwara politik yang sedang dipentaskan oleh PAS, dan veteran UMNO yang kini menjadi aktivis PAS mula berusaha memperlihatkan dirinya ‘telah suci’ menjadi pengarah PRK DUN Nenggiri.
Tidak ramai yang melihat Tan Sri Anuar Musa sebagai seorang pemimpin yang berintegriti dan mempunyai moral yang tinggi walaupun sudah memakai jubah PAS. Beliau mempunyai banyak liabiliti ketika bersama UMNO dan ketika menanggotai kabinet, termasuk cerita-cerita tentang ‘angsa telur emas’ dan kisah ‘penjualan saham Menara Kuala Lumpur’.
Apa yang menyedihkan ialah apabila aktivis kempen PAS menyebarkan fitnah dengan menganggap bukan Islam sebagai ‘kafir harbi’, yang tanpa disedari bahawa dalam gabungan PN ada sebuah parti yang didominasi oleh bukan Melayu, iaitu Gerakan. Sebelumnya, salah seorang pemimpin PAS mencadangkan agar Gerakan keluar daripada PN atas alasan kerana menyokong inisiatif syarikat pengeluar arak mengutip dana untuk sekolah vernakular, khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Walaupun dalam DUN Nenggiri, pengundi Melayu 85.73 daripada keseluruhan pengundi berdaftar (20,559 orang) manakala Orang Asli sebanyak 13.51 peratus, sedikit sebanyak memberikan kesan kepada proses pengundian kali ini. Ini kerana pengundi Melayu melihat apa yang diperkatakan oleh PAS, banyak yang tidak serupa dengan apa yang dilaksanakan sejak parti itu menjadi kuasa pentadbir negeri Kelantan.
Pelbagai isu yang tidak berjaya diselesaikan sehingga berdekad-dekad lamanya. Paling ketara ialah masalah bekalan air bersih (TV 3 nampak cenderung besar melaporkan isu ini), yang telah dijanjikan akan segera diselesaikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan calon BN, Mawi. Tentunya, janji ini akan memikat sebahagian pengundi yang cukup kecewa dengan peranan kerajaan negeri yang gagal melakukannya dengan pelbagai alasan dan falasi, termasuk masalah ‘air hijau dan paip biru yang tidak serasi’.
Dalam persekitaran politik pilihan raya, pelbagai kelemahan kerajaan negeri sedang dilondehkan oleh pelbagai pihak, termasuklah cerita penggondolan tanah hutan melebihi 30,000 ekar, yang diberikan kepada pelabur Cina untuk menanam Musang King. Menariknya, hutan-hutan yang digondolkan itu, balaknya sudah diambil. Kelantan tetap menjual balak kerana ia adalah sebahagian besar pendapatan negeri Kelantan, kerana Kelantan tidak mempunyai hasil-hasil lain yang lebih besar, termasuk sektor perkilangan.
Kelantan terlondeh lagi dengan isu senarai nama bukan Melayu yang memiliki lombong emas yang sebahagiannya ada di Nenggiri. Ertinya, Nenggiri yang meliputi kawasan yang luas, masih berhutan akan terus menjadi gondolan kerajaan Kelantan pada masa hadapan untuk meraih hasil, kerana hasil penelitian makmal Malaysiakini, memperlihatkan kecenderungan membayar gaji ahli politik lebih besar daripada purata KDNK.
Dalam hal itu, MB Kelantan, yang digelar panglima perang PAS, menyelar perbandingan itu dengan alasan gaji MB Kelantan adalah lebih rendah daripada beberapa buah negeri. MB Kelantan nampaknya tidak ‘mengukur baju di badan sendiri’, sebaliknya berusaha mempertahankan gaji dan elaun bulanannya walaupun prestasi ekonomi negeri Kelantan adalah terendah dalam kesemua negeri-negeri di Malaysia. Ertinya, mahu gaji tinggi tapi prestasinya cukup mengecewakan.
Isu lain yang sedang menjerut kepimpinan dan pentadbiran PAS di Kelantan ialah sebuah batu tanda mengenai pembinaan kilang perabut terbesar di Gua Musang. Upacara pecah tanah dan meletakkan batu asas telah dibuat empat tahun lalu, namun hingga kini, ia kembali kepada asalnya, bersemak-samun dan hilang euforianya.
Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi pentadbiran PAS di Kelantan, kerana pemimpinnya sudah banyak gagal tidak melaksanakan apa yang dijanjikan, bahkan apa yang diisytiharkan sebagai projek pembangunan yang bakal membawa perubahan. Kita pernah dengar bakal didirikan sebuah bandar Islam di Tok Bali, stesen bas moden di Kota Bahru, pelabuhan darat di Gua Musang, hospital wanita patuh syariah pertama, empangan air bawah tanah, air Sungai Kelantan tidak boleh dijernihkan walaupun diproses kerana mengandungi sejenis bahan kimia, dan paling memalukan apabila mengatakan ‘undi PAS masuk syurga’.
Namun dalam PRK DUN Nenggiri kali ini, tidak muncul dakwaan-dakwaan seperti ‘malaikat akan turun membantu mengundi’, ‘jika mengundi calon lain, masuk neraka’, dan sebagainya yang sebati dengan ‘trademark’ kempen PAS. Apa yang menarik pada PRK kali ini, PMX akan mengumumkan pembaikan sistem saraan penjawat awam pada 16 Ogos 2024, iaitu pada hari akhir kempen.
Ia mungkin akan menjadi petunjuk kedua yang bakal mempengaruhi keputusan pengundi sebagaimana berlaku di PRK Kuala Kubu Baharu (11 Mei 2024), di mana kurang dua minggu sebelumnya diumumkan gaji penjawat awam akan naik lebih 13 peratus. Pada 16 Ogos 2024, sempena ucapan tahunan di Majlis Perkhidmatan Awam, Anwar dijangka mengumumkan perinciannya, yang dilaporkan kenaikan gaji adalah antara 13 hinggga 42.7 peratus, kenaikan yang bakal mencipta sejarah, Khabarnya, kenaikan tersebut akan mula dibayar pada bulan Disember 2024.
Kesemuanya akan dilihat bakal mempengaruhi keputusan pengundian di PRK DUN Nenggiri setelah PH-BN dilihat mendapat aib yang besar apabila kalah dengan majoriti lebih besar di PRK Sungai Bakap (24 Mei 2024). Jika dalam PRK DUN Nenggiri memberikan kemenangan kepada Mawi, iaitu calon BN, ia akan ikut mempengaruhi keputusan PRK DUN Mahkota, Johor yang akan diadakan pada 28 September 2024 nanti.
Ini kerana, DUN Mahkota kekal sebagai kubu kuat UMNO/BN. Sejak dipertandingkan kali pertama pada PRU ke-11 (2004), UMNO/BN memenangi selama tiga penggal (PRU ke-11, 12 dan 13) dan pada PRU ke-14, dimenangi oleh Amanah (PH), Muhamad Said Jonit sebelum dirampas kembali oleh UMNO/BN pada PRN Johor (2022). ADUN Mahkota, Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos 2024 pada usia 63 tahun akibat pendarahan dalaman.
PRK DUN Nenggiri pada perkiraan awal memperlihatkan pengaruh BN dan PH sebagai seimbang, tetapi dalam perkembangan mutakhir akibat calon PAS bercengkerang Bersatu, ia mungkin akan memberikan sedikir kelenihan kepada UMNO/BN. Trenda penolakan dalam kalangan ahli Bersatu, walaupun tidak berlaku secara terbuka, sedikit sebanyak kesan melimpah daripada pengisytiharan keluar parti dan kepercayaan kepada pucuk pimpinan yang berlaku dalam Bersatu Jeli, sedikit sebanyak memberikan kesan,
Antara DUN Nenggiri dan Parlimen Jeli, khususnya DUN Kuala Balah, secara geografinya tidaklah jauh, bahkan pada suatu ketika, sebahagian kawasan tersebut berada dalam Parlimen Gua Musang. Dari segi komposisi demografi, pengundi muda (umur 21 hingga 39 tahun) di DUN Nenggiri merupakan 53.38 peratus, dan mereka inilah sebenarnya akan menentukan siapakah yang layak, secara besarnya.
Ia tidak bermakna kategori pengundi di atas 40 tahun bukan penentu, mereka adalah penentu kedua penting. Namun, sebahagian daripada kumpulan pengundi dewasa itu sudah ada penentuannya sendiri, dan sebahagiannya sangat kuat mempertahankan parti atas alasan kerana agama. Lebih menarik apabila ada usaha untuk memecahkan sokongan pengundi orang Asli yang wajib dilihat sebagai ‘faktor penentu’ yang tidak kurang penting walaupun mereka hanya merupakan 13.51 peratus.
Secara tradisinya, Orang Asli sangat mempercayai bekas Ahli Parlimen Gua Musang, dan kerana itulah BN melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri. Dari perspektif ini, PN sebenarnya sudah kalah kerana melantik Tan Sri Anuar Musa, yang tidak ada hubungan langsung dengan masyarakat Gua Musang, walaupun suatu ketika amat dekat dengan Tengku Razaleigh.
KAMARUN KH
Recent Comments