Pada PRU ke-14, PAS mula menjalin kerjasama ‘rahsia’ dengan BN, dan seterusnya meletakkan calon yang ramai untuk bertanding, memecahkan rekodnya sendiri sejak terlibat dengan pilihan raya. Namun, PAS hanya menang 18 kerusi.

BN juga mengalami kemerosotan yang parah, hilang kuasa memerintah. Kerajaan dibentuk oleh Pakatan Harapan yang dipimpin sementara oleh Dr Mahathir. Selepas hilang kuasa, berlaku lompat parti yang cukup besar sehingga BN dilihat seolah-olah lumpuh. Sebahagian besarnya menyertai Bersatu.

Apabila mereka diterima sebagai ahli Bersatu, kecaman politik mula menjadi semakin terbuka. DAP menyerang Bersatu akibat menerima wakil rakyat UMNO/BN dan muncullah keadaan ‘tidak serasi’ dalam kabinet.

Keadaan tersebut menjadi semakin serius selepas Dr Mahathir menerima tekanan untuk melepaskan jawatan kepada Anwar Ibrahim yang sudah pun mendapat ‘pengampuan penuh’ dan sah mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat (menang PRK Port Dickson pada 12 September 2018).

Otai Reformasi kemudian memberikan tarikh akhir (genap dua tahun) buat Mahathir, kuasa mesti diserahkan kepada Anwar pada atau sebelum 10 Mei 2020. Di tengah-tengah kemelut itu, muncullah ‘grand design’ yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Akibatnya, Dr Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari 2019 dan bermulalah ‘kerajaan tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’. Era PH memerintah hanya kekal selama 22 bulan.

Muhyiddin kemudiannya mengangkat sumpah sebagai PM ke-8, namun, era Muhyiddin terus mendapat tekanan sehingga terpaksa menyelamatkan diri dengan memohon Proklamasi Darurat.

Muhyiddin kemudiannya terperangkap dan meletakkan jawatan setelah (kerajaan Perikatan Nasional) berkuasa selama 17 bulan. Ia digantikan oleh Ismail Sabri Yaacob daripada UMNO.

Pentadbiran Ismail Sabri akhirnya bergoncang apabila muncul tekanan dalaman UMNO. Parlimen akhirnya dibubarkan sebelum mencapai tarikh matang untuk membolehkan PRU ke-15 diadakan (November 2022).

PRU ke-15 menyaksikan kemenangan besar bagi PAS, walaupun tidak mampu membentuk kerajaan jika dicampur dengan kerusi yang dimenangi oleh Bersatu. PH juga tidak melepasi majoriti mudah, BN hanya mampu menang 26 kerusi.

Ia menjadi kemenangan terburuk buat UMNO dalam sejarah politik tanah air, dan hanya bergantung kepada ‘nasib baik’, maka UMNO/BN menjadi sebahagian kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Walaupun jumlah kerusi yang dimiliki PKR lebih rendah daripada jumlah kerusi DAP, oleh kerana Anwar adalah Pengerusi PH, maka beliau dinobatkan sebagai PM X setelah mendapat kerjasama UMNO/BN, GRS dan GPS.

Anwar mempunyai kekuatan sokongan dua pertiga, yang kemudiannya wakil rakyat tunggal MUDA, mengambil langkah keluar daripada ‘kerajaan perpaduan’. Namun, akhirnya berganti dengan enam kerusi setelah enam wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan kepadanya.

Bersatu dihimpit ‘luka’ dan lukanya makin dalam apabila tidak berjaya menguasai mana-mana negeri pada PRN di enam buah negeri yang diadakan pada bulan Ogos 2023. Bersatu juga kalah teruk dalam PRK Pulai (Johor).

Namun, ketika kekalahan itu, sikap ‘abang besar’ PAS tenggelam seketika kerana calon PAS juga tewas pada yang masa yang sama dalam PRK Simpang Jeram (Johor). Selepas itu, PAS sekali lagi tewas di PRK Pelangai (Pahang).

Setelah PAS menunjukkan prestasi lebih baik daripada Bersatu dalam PRN, sikap politiknya cukup berubah. Berlaku perselisihan dengan Gerakan apabila Presiden Gerakan dihalang bertemu Presiden PAS di satu majlis politik (kempen) di Pulau Pinang.

Beberapa hari lalu, muncul satu lagi krisis politik dengan Gerakan berkaitan isu syarikat arak menjadi penganjur mengumpul dana untuk sekolah-sekolah vernakular Cina.

Sebelumnya, Gerakan turut mengkritik MB Kedah kerana membatalkan lesen judi, yang kemudiannya, mahkamah membuat keputusan, pembatalan yang dilakukan itu tidak sah.

Ertinya, sedikit sebanyak kesannya menatijahkan kegagalan PAS untuk mempertahankan keputusan membatalkan lesen judi. Ia mungkin akan menyebabkan Kelantan, Terengganu dan Perlis ikut cemas jika pembatalan tersebut dibawa ke mahkamah.

Februari lalu, kerajaan Kelantan tercabar apabila mahkamah memutuskan petisyen yang dibuat oleh peguam wanita dan anaknya terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (16 daripada 18 perkara) terbatal dan tidak sah. Ia seolah-olah menamatkan keputusan politik Kelantan dalam mensyariatkan undang-undang jenayah, walaupun Enakmen tersebut tidak dimansuhkan keseluruhannya.

Hari keputusan yang tidak menyebelahi kerajaan Kelantan itu digelar ‘Black Friday’ yang pada pandangan aktivis PAS suatu tindakan untuk ‘menghapuskan pelaksanaan syariah’. Dakwaan-dakwaan tersebut terus ditular, dan beberapa orang ulama segera mula memberikan fatwa masing-masing, tanpa melihat bahawa peraturan itu (16 perkara) dimansuhkan kerana ada kelemahannya, dan ia bukan bermakna pelaksanaan syariah atau undang-undang Islam tidak mampu dilaksanakan.

Mahkamah Syariah dikatakan akan ‘ditutup’. Sayangnya, PAS menaburkan ‘dakwaan’ yang tidak tepat. Rakyat atau penyokong PAS ikut percaya, seolah-olah bakal berlaku histeria yang besar. Mujurlah, ramai juga rakyat yang berfikiran jernih, tidak terpedaya dengan ‘godaan propaganda’ dan permainan falasi politik para agamawan yang cuba menyalahkan kerajaan pusat berkaitan dengan pemansuhan 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan itu.

PAS sebenarnya tersedak dengan kegagalannya sendiri, semasa berada dalam kerajaan tidak menyuguhkan ‘kehendak’ sebelumnya, yakni meminda akta yang berkaitan dengan syariah terbabit. Sebelum PRU ke-12, PAS gegak gempita berdemo di Padang Merbuk untuk membawanya ke Dewan Rakyat, RUU 355.

Sepi bila menduduki bangku menteri – sedangkan Setiausaha Agung PAS adalah Menteri Undang-undang, dan Naib Presiden PAS adalah Menteri Hal Ehwal Agama Islam. Menteri Agama hanya mampu ‘mengeluarkan’ Amanat Haji Hadi daripada menduduki halaman utama laman web JAKIM, yang sampai akhirnya tidak dimuatnaikkan semula.

Berdasarkan sikap dan keangkuhan pemimpin PAS, sehingga memaksa Bersatu menerima hijrah calonnya, akan terus dilihat sebagai titik perseteruan muafakat PN. Ada yang meramalkan, jika fenomena sedemikian berkembang ke fasa selanjutnya, PN mungkin akan berantakan sebelum PRU ke-16.

Bagi sesetengah pemerhati politik, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh pemimpin PAS. Budaya politik PAS memang begitu, tidak menunjukkan kesetiaan berpanjangan dan sentiasa mencari ruang untuk menjadi parti politik yang mendominasi kerjasama.

Parti lain tidak boleh lebih daripada suara pemimpin mereka. Sebab itulah PAS dikenali sebagai pelopor perpecahan, termasuk perpecahan dalam kalangan masyarakat akibat perbezaan fahaman politik.

Biarpun pernah dipelawa untuk bersatu, PAS menunjukkan reaksi yang tidak selari dengan kehendak Islam. Agamawan yang mendominasi kepimpinan PAS mempunyai pendekatan politik yang cukup berbeza, bahkan jika penyatuan itu dilihat tidak memberikan manfaat maksimum, maka diletakkan pelbagai syarat yang ganjil dan kadangkala tidak munasabah.

Misalnya, pernah dicadangkan PAS bersedia bersatu dengan syarat UMNO dibubarkan. Ini kerana UMNO adalah parti sekular, sedangkan tidak pula diletakkan syarat yang sama apabila diajak bersatu dengan Bersatu.

Walhal, semua orang tahu, Bersatu meniru UMNO dan PN meniru BN. Budaya politik juga tidak berbeza, bahkan semacam berlaku ‘copy and paste’ perlembagaan parti, sebelum Bersatu melakukan pindaan untuk membendung ‘lompat parti’.

Bersatu hidup kerana ditunjangi oleh ‘katak-katak politik’ dan kini mereka mendominasi kepimpinan Bersatu. Dalam Bersatu ada katak daripada UMNO/BN, ada katak daripada PKR.

Kesemuanya pernah digelar pengkhianat, maka tidak hairankan Bersatu akhirnya dikhianati oleh wakil rakyatnya sendiri yang sebahagiannya adalah ‘katak politik’. Budaya katak politik cukup besar dalam Bersatu, sebab itulah Bersatu terpaksa meminda perlembagaan parti.

Menariknya, bila bekerjasama dengan PAS, PAS tidak pula bercakap mengenai ‘katak politik’ kerana menjaga perasaan Bersatu. Namun, PAS sudah menyediakan calon PMnya, jika PN memenangi PRU ke-16 dan PAS kekal menjadi parti yang dominan dalam gagasan tersebut.

Ini bermakna, PAS akan menyekat Muhyiddin daripada mengangkat sumpah sebagai PM sekali lagi. Sudah beberapa kali PAS membelakangi Bersatu, termasuklah ketika menjalin kerjasama atas semangat Melayu dengan Dr Mahathir.

Senario politik itu menyebabkan ramai di antara rakyat Malaysia mula menghitung, merenung apakah PAS benar-benar membawa makna politik Islam, atau hanya menggunakan agama untuk meraih sokongan politik?

Kalau mengikut tafsiran Basam Tibi, seorang sarjana politik Syria-Jerman, pola politik sedemikian adalah Islamisme. Islamisme bukan agama, kerana agama adalah cara hidup. Islamisme ialah cara berpolitik, bagaimana agama digunakan untuk mendapat dan mengekalkan kuasa.

Sebabnya, politik telah menjadikan agama sebagai ideologi sedangkan Islam bukanlah sebuah ideologi. Islam adalah agama wahyu, bukan agama yang muncul sebagai sebahagian daripada budaya. Politik yang menggunakan agama, alias agamasasi politik (Bassam Tibi, Islam dan Islamisme, edisi terjemahan bahasa Indonesia, 2015).

Sebab itulah ada di antara agamawan terkilan dengan sikap politik agamawan yang memimpin PAS, kerana tidak mencerminkan Islam yang luhur, tetapi mencerminkan Islam yang dipolitikkan.

Benar, Islam itu cara hidup, termasuk juga persoalan politik, yakni berkaitan sistem pemerintahan. Tetapi, apakah PAS mencerminkan pemerintahan dan pentadbiran politiknya benar-benar berlandaskan Islam?

Jika Islam dijadikan pegangan, kerangka politik kenapa muncul doa Qunut Nazilah untuk ‘menghancurkan sesama Islam?’. Begitu dengan mendakwa bahawa mereka yang tidak menyokong atau mengundi PAS sebagai ‘penghuni neraka’ atau ‘bakal dicampakkan ke neraka’ sedangkan semua orang Islam tahu, penghuni syurga akan ditentukan oleh Allah SWT, bukan kerana mereka adalah ahli atau pengundi PAS.

Sebab itulah Ustaz Muzahid al-Yamani menegur, sepatutnya agamawan yang memasuki arena politik berjuang untuk memperbetulkan hakikat politik, bukan menambahkan lagi dosa politik. Dosa politik ialah berbohong, adu domba, menggunjing, bercakap kasar dan mengecam mereka yang tidak sehaluan, bahkan ‘membeli undi’.

Dua kes yang membabitkan kemenangan PAS di Terengganu pada PRU ke-15 telah dibatalkan, kerana terbukti ada elemen ‘membeli undi’. Walaupun dua PRK itu dimenangi kembali oleh calon PAS, ia tetap membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menang.

Imej PAS yang didakwa ‘bersih dan sifar rasuah’ sudah tercemar. Radikalisme politiknya seringkali ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpinnya, namun, atas sifat angkuh dan sombong, jarang kedengaran pemimpin PAS memohon maaf di atas keterlanjuran tersebut. Bahkan, Presiden PAS sendiri tidak pernah menarik balik amanatnya, yang mengkafirkan orang UMNO dan menghalalkan darah mereka.

Presiden PAS juga tidak pernah rasa bersalah apabila menggunakan istilah kasar, dan menyifatkan mereka yang tidak sehaluan politiknya seumpama apa sahaja binatang yang diketahui tabienya. Kita mungkin tidak akan lupa, Presiden PAS pernah mengkategorikan mereka yang terkorban dalam Tragedi Memali sebagai ‘mati syahid’.

Setelah sekian lama berlalu (sejak 1985), wartawan bertanya kembali mengenainya, lalu dijawab dengan angkuh dan sombong: itu pertanyaan syaitan. Apa ertinya semua itu? Apa maksudnya?

Maka tidak hairanlah apabila agamawan memberikan fatwa politiknya, ramai pula yang sinis mengeluh: Alamak? Dan, ada pula tersenyum sinis dan sedikit bibir mencemik: Hulala Mak? Nak marah, tidak tergamak. Nak ketawa, rasa tidak patut. Nak bantah, takut pula dituduh ‘hina ulama’.

Serba salah, ulama PAS tidak boleh ditegur, jadi, secara reciprocalnya, tidak patut pula kita dengar apa yang dicakapkannya, kerana hari ini OK; esok, Haram. Siang hari Tidak Boleh, malam hari Boleh. Berbohong adalah haram, tetapi kata agamawan PAS, ia dibolehkan kerana itu adalah strategi, atau tidak menimbulkan mudarat yang lebih besar.

Rasuah haram, tetapi orang boleh berikan kepada pemimpin PAS (atau parti) atas alasan sedekah. Ingatkah kita kepada ‘tajaan umrah sekeluarga’ kepada pemimpin PAS yang menimbulkan kontroversi pada suatu ketika? Membeli undi itu haram, tetapi kenapa berlaku ketika parti itu berusaha keras mempertahankan kemenangan? Ingatkah kepada kontroversi ‘sagu hati’ buat pengundi luar yang kembali ke kampung untuk mengundi?

Kata salah seorang wakil rakyat PAS, beliau menangguhkan ‘bayaran sagu hati’ kerana tidak ada peruntukan. Beliau sudah pun menghantar surat memohon kerajaan pusat segera menyalurkan peruntukan. Bila peruntukan itu sampai, akan dibayar sagu hati tersebut. Ingatkah kita kepada cemuhan MB Kedah yang menyelar ‘pengundi luar’ yang meminta ‘bayaran sagu hati’ kerana balik mengundi sedangkan bukan Melayu sanggup berbelanja sendiri untuk pulang mengundi?

Hulala Mak!!!! Durian dah nak habis musim, kita kenduri cempedak pula, bisik seorang kawan ketika kami sama-sama mendaki bukit mencari durian yang gugur hujung minggu lalu (Balik Pulau, Pulau Pinang).

Namun, dua minggu lagi, kita akan dengar banyak ‘pedoman’ dan banyak juga falasi kerana kempen PRK DUN Nenggiri ‘dah acah mengacah’, dan dengan rasminya, akan berlaku antara 3 hingga 16 Ogos. Malam 17 Ogos, akan diumumkan siapa yang menang, UMNO/BN atau “PAS” bukan real calon Bersatu, calon ‘katak’ yang menempel dan pakai baju Bersatu.

Saya petik garapan seorang ahli akademik mengenai budaya politik PAS: Fanatisisme yang disemai sejak puluhan tahun berisiko melahirkan manusia-manusia yang radikal, yang memandang lawan politik bukan sebagai pesaing sebaliknya musuh agama yang perlu dihapuskan.

“Masakan tidak, ketika meneliti semula ucapan Musyidul Am PAS sendiri seperti yang di atas, ia jelas mewujudkan dikotomi antara Muslim PN dengan Muslim parti lawan.

“Ia ditambah dengan banyaknya ucapan yang dilontarkan di pentas ceramah serta video di media sosial yang membawa pandangan tentang pertentangan yang menjurus kepada perseteruan antara fahaman agama, bukan sekadar warna bendera politik.” (Sahul Hamid Mohamed Maiddin, “Fanatisisme mengundang terorisme”, Malaysiakini, 24 Julai 2024.)

Itulah hakikatnya, tetapi PAS akan marah bila budaya politik yang ditunjukkan dilabel sebagai ‘fanatik’ walhal pemimpin PAS sendiri tahu bahawa fanatik itu telah banyak menyebabkan masyarakat Islam dipandang jelek, sinis oleh banyak pihak, termasuk oleh muslim sendiri. Bahkan, fanatisme turut menerima kritikan pedas daripada ulama Islam yang tersohor, al-Ghazali. Malangnya, ada di antara agamawan PAS menyoal siapa itu al-Ghazali?

Jika soalan itu tidak dijawab, bererti agamawan PAS itu ‘menang’ dan sangat meriah mendabik dada. Apabila dijawab, ada pula yang dikatakan tidak betul, kerana kebanyakan daripada kita hanya boleh membaca kitab-kitab karangan al-Ghazali dalam edisi terjemahan, bukan edisi asal berbahasa Arab.

Sedangkan kita tahu, edisi bahasa Arab pun banyak sudah disunting, ditahkik dan dijadikan syarahan (kupasan) oleh ramai agamawan, dan sebahagiannya tidak bersetuju dengan radikalisme politik, sebaliknya menganjurkan ‘politik berhemah’, politik yang dapat mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta, bukan agamawan-politik yang tidak boleh ditegur atau dibahas pendapatnya.

Sebagai umat Islam. kita sangat merindukan politik yang harum semerbak, mewangi berkembang dalam haruman agama, bukan politik yang diagamasasikan. Kita merindukan apa yang Allah SWT berikan kita ingatan:

Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasul pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu (al-Baqarah: 143).

Itulah tugas yang perlu dilaksanakan oleh agamawan yang kakinya berada dalam sesebuah parti politik, bukannya menambahkan lagi suasana kelam umat sehingga ikut menjadi ‘salah’ dan ‘sesat’ sambil mencebik nakal: Hulala Mak!!!!!

MONOSIN SOBRI

Translate »