Timbul satu persoalan besar PAS cukup gemar berbuat demikian, mendoakan kehancuran ‘orang lain’ dan melaknat pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya? PAS cukup marah apabila parti itu didakwa mempamerkan sikap melampau dan aksi radikal apabila berhadapan dengan UMNO.
Walhal, PAS sebenarnya serahim dengan UMNO di awal penubuhannya (1946) dan lima tahun kemudian berpecah kerana mendakwa UMNO tidak memperjuangkan Islam (1951), sebaliknya menggunakan ideologi nasionalisme Melayu.
Namun, titik awal pertelingkahan UMNO-PAS berlaku pada awal tahun 1960 apabila salah seorang penyokong PAS yang tinggal di Mekah menulis sebuah risalah yang menghukum kafir jika mengambil bukan Islam sebagai sahabat atau melantiknya sebagai menteri dalam kabinet Perikatan.
Risalah itu kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk diedarkan dan telah disekat oleh kerajaan pusat. Akibatnya, menjelang Pilihan Raya Kecil 1964, isu kafir mengkafir muncul dengan hebatnya di Pasir Mas, Kelantan apabila salah wakil rakyatnya mentafsir kerjasama UMNO dengan bukan Islam melalui Perikatan, iaitu MCA dan MIC sebagai haram (kafir). (Muhamad Agus Yusuf, (penyunting), Perkembangan dan Perubahan Sosio-Politik Kelantan, 1955-1995, Bangi: Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM, 1995).
Dalam satu tulisan terbaharu, yang cuba mengaitkan ‘karma politik’ dan UMNO, Mohd Nasir Abdullah berkesimpulan bahawa:
“Sekarang fatwa PH mengatakan doa laknat atau Qunut Nazilah terhadap musuh iaitu sesama Islam, tidak lagi dibenarkan. Ia haram. Yalah, sudah nampak depan mata sejarah doa-doa itu diterima Allah, maka tak rasa takut. Nanti kalau kerajaan PH jatuh dahulu, tidak sempat pulak, dapat nak makan pencen menteri sekali lagi, sedihlah kan?
“Doa laknat daripada orang yang dizalimi tidak kira Islam atau bukan, tiada hijab di antaranya dengan Allah. Kalau tidak mahu kena dosa itu, janganlah berlaku zalim, simple.” (Harakah Dialy, 23 Julai 2024).
Ironinya, Mohd Nasir lebih fasih memperihalkan ‘karma’ yang sudah dan sedang dialami oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah ‘didoalaknatkan’ oleh PAS, seolah-olah menyatakan bahawa doa-doa tersebut telah ‘dimakbulkan oleh Allah SWT’.
Mohd Nasir mengungkitkan tentang perbalahan yang berlaku antara PAS dan UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, ‘karma’ yang sedang dilalui oleh Datuk Sri Najib Tun Razak dan geruh yang menimpa UMNO (sejak 2018) yang hilang kuasa dan dalam masa yang sama membenarkan doa-doa pemimpin PAS sebagai ‘doa orang yang teraniaya’.
Secara umumnya, umat Islam memahami bahawa ‘doa orang yang teraniaya’ akan mudah dimakbulkan oleh Allah SWT, dan kerana itulah PAS dilihat semakin berjaya menempatkan kedudukannya dalam ekosistem politik Malaysia, yang suatu ketika mampu mentadbir Malaysia, atau sekurang-kurangnya bangkit dalam kerangka politik yang lebih hebat dan berkuasa.
Selepas memenangi 43 kerusi dalam PRU ke-15, PAS cukup teralir semangat untuk menjatuhkan ‘kerajaan perpaduan’. Namun usahanya sehingga kini masih belum menampakkan kejayaan besar walaupun pada tiga PRK yang ditandinginya, mampu mempertahankan kerusi yang dimenanginya (Kuala Terenganu, Kemaman dan DUN Sg Bakap).
Kini, menerusi Bersatu (‘mualaf politik’ daripada PAS), yang sedikit sebanyak boleh menyebabkan penyokong PAS terkedu, akan cuba dipertahankan kerana ia adalah ‘peha kiri’.
Jika ‘peha kiri’ terseliuh, sakitnya akan turut dirasai oleh peha kanan, seluruh anggota badan PAS dan lebih parah lagi ialah Perikatan Nasional. Ianya dengan terang menjelaskan, pada PRK DUN Nenggiri PN merupakan pihak yang terdesak, dan paling rimas ialah PAS kerana gagal menarik sokongan pengundi untuk mengundi.
Desas-desus begitu kuat bertiup bahawa calon PN yang berusia 41 tahun (Mohd Rizwadi Ismail), bekas anggota TLDM dan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang itu kurang diminati oleh pengundi Nenggiri, pengundi Nenggiri lebih bersedia menerima Sun Najaman Muhammad.
Apa yang kita tahu, Timbalan Presiden PAS mengatakan ia merupakan ‘strategi politik’. Apa itu ‘strategi politik’? Jelaslah bahawa Rizwadi bukanlah calon daripada Bersatu tulen. Rizwadi seperti dipinjamkan oleh PAS kepada Bersatu. Rizwadi seperti dipaksa keluar daripada PAS, dan keesokannya diterima menyertai Bersatu.
Ia berlaku dua hari sebelum namanya diumumkan sebagai calon Bersatu (30 Julai 2024). Berdasarkan surat yang tular di media sosial, Rizwadi memohon keluar daripada PAS pada 28 Julai 2024 dan tidak sampai dua puluh empat jam kemudian, beliau diterima sebagai ahli Bersatu. Sangat cepat proses meluluskan keahlian parti untuk Rizwadi. (Berita Harian, 30 Julai 2024)
Khabarnya, Bersatu terpaksa menerima idea yang dicadangkan oleh PAS itu kerana calon-calon yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh parti yang semakin menunjukkan dirinya sebagai ‘abang long’.
Kalau dahulu, PAS menyalahkan DAP yang bersikap seperti ‘abang long’ maka mengambil keputusan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.
Nampaknya, PAS benar-benar bertindak sebagai ‘abang long’ pada PRK DUN Nenggiri setelah rasa megah dengan kemenangan lebih besar pada PRK DUN Sg Bakap yang berlangsung pada 6 Julai 2024.
Jadi, jika kemenangan menyebelahi Rizwadi, kemenangan itu sebenarnya bukan milik Bersatu. Ia adalah kemenangan PAS. PAS berbuat demikian kerana telah berjanji akan memberikan peluang kepada Bersatu, kerana sebelumnya calon Bersatu yang menang.
Kalau diikut definisi ideologi politik, PAS tidak boleh menerima ideologi politik yang disifatkan sebagai sekular. Ertinya, Bersatu adalah parti politik yang mengamalkan ideologi sekular, yang tidak banyak bezanya dengan UMNO.
Bersatu adalah parti yang ditubuhkan atas kekecewaan Muhyiddin selepas keahliannya digantung dan jawatan dalam kerajaan dilucut.
PAS yang sejak penubuhannya mendakwa ‘Parti Islam’ dan kadangkala tersalah tafsiran “Parti Allah”, tidak seharusnya bekerjasama dengan Bersatu atas sebab berbeza ideologi. PAS sanggup ‘berubah’ kerana ingin ‘melemaskan UMNO’ dan Bersatu ditubuhkan untuk ‘mematikan UMNO’.
Kenyataan-kenyataan sedemikian dapat kita telusuri bila melihat kepada sejarah penubuhan PAS dan boleh dibaca antaranya, dalam Shafie Ibrahim, The Malay Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology, (Pasir Puteh, Kelantan: Nuawi bin Ismail, 1981); Hussein Mutalib, Islam and Ethnicity in Malay Politics, (Singapura: South-East Asian Social Sciences Monographs- Oxford University Press, 1990); Farish A Noor, The Malaysian Islamic Party PAS 1951-2013: Islamism in a Motted Nation, (Petaling Jaya: SIRD, 2014); Farish A Noor, Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party, PAS (1951-2003), (Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute, 2004); Ahmad Ismail Adam, PAS: Bernafas Dalam Lumpur, (Kuala Lumpur: Melangit Enterprise, 2011); dan, Ibnu Hasyim, 1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan: PAS Kuasai Malaysia?, (K.Lumpur: CG Edar, 1993).
Sebenarnya, dalam kerjasama politik dengan PAS, belum terbukti kesetiaan PAS terhadap muafakat. PAS merupakan parti yang cukup bermasalah apabila bekerjasama dengan mana-mana parti, kerana sikap pemimpinnya yang suka menimbulkan konflik kuasa.
Sebelumnya, PAS mengkhianati UMNO apabila berada dalam BN. PAS ‘menubuhkan cawangan’ di beberapa kawasan FELDA yang menjadi kubu UMNO.
Oleh kerana kesilapan BN melantik Datuk Asri Haji Muda sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, maka PAS mempunyai ruang untuk memperluaskan jangkauan pengaruhnya secara ‘sambil menyelam sambil minum air’.
Akhirnya, UMNO sedar pelanggaran persefahaman dan mengambil inisiatif menyingkirkan PAS daripada BN (1977).
PAS yang kenanaran kemudiannya merintis pula kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu kerana sedar, untuk memerintah Malaysia, sangat memerlukan sokongan bukan Melayu. PAS merintis kerjasama dengan DAP dan terbentuklah apa yang dinamakan Jawatankuasa Rundingan Cina atau Chinese Consultative Committee (CCC). Oleh kerana ‘terpidana’ dengan dakwaan bekerjasama dengan bukan Islam adalah “kafir secara automatic”, kerjasama tersebut kemudiannya dibubarkan.
Apabila berlakunya krisis kepimpinan UMNO (1987) dan pengharaman UMNO (1988), PAS bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46, serpihan UMNO) menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi mencabar BN dalam PRU ke-8 (1990).
APU meraih kejayaan besar di Kelantan, namun sikap PAS yang tamak menyebabkan muncul konflik dengan Semangat ’46. PAS akhirnya akur, dan mewujudkan dua jawatan Timbalan Menteri Besar.
Namun, kerjasama itu tidak panjang usianya. Semangat 46 dibubarkan pada bulan Oktober 1996. Ahli-ahli Semangat 46 diterima menjadi ahli UMNO semula. APU terbubar dengan sendirinya.
PAS kemudiannya mendapat ‘nafas baharu’ apabila Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. PAS menadah dengan ‘tikar mengkuang gergasi’ buat Anwar dan penyokong-penyokongnya.
Sedikit malang buat PAS, apabila penyokong-penyokong Anwar menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) sebagai wadah memperjuangkan keadilan dan pembebasan Anwar.
Tahun 2007 parti-parti pembangkang mula merintis kerjasama untuk membentuk sebuah gandingan pembangkang yang kuat, dan gabungan itu menyertai PRU ke-12 (2008).
Hasilnya, gabungan pembangkang berjaya menafikan kuasa dua pertiga BN di Dewan Rakyat dan empat buah negeri benar-benar jatuh (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor).
PAS juga berjaya mempertahankan Kelantan daripada dikuasai oleh BN walaupun pada PRU ke- 11 (2004), kedudukan PAS umpama ‘telur di hujung tanduk’.
Jika pada PRU ke-11, BN menguasai 194 kerusi Dewan Rakyat, pada PRU ke-12, BN buat pertama kali hilang kuasa dua pertiga, hanya mampu menang 140 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.
Sejak itu, Pakatan Rakyat dilihat semakin mampu untuk menggelonsorkan kuasa politik BN.
Namun, Pakatan Rakyat akhirnya dibubarkan apabila PAS mula ‘panas’ dan merasai ‘sesak nafas’ atas beberapa perkara. Antaranya, keengganan DAP memberikan jawatan dalam EXCO kepada wakil rakyat tunggal PAS, hanya kemudian dilantik sebagai YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
PAS juga berbuat hal yang sama, tidak memberikan jawatan EXCO kepada wakil rakyat tunggal DAP di Kedah. Namun, di Kelantan, PAS bersedia ‘berkorban’ dengan memberikan kontrak ‘ladang hutan’ kepada wakil rakyat DAP daripada Perak kerana bersetuju melantik wakil rakyat PAS sebagai MB Perak.
Namun, kekuasaan Pakatan Rakyat di Perak hanya kekal selama 11 bulan apabila pada 24 Ferbruari 2009 telah hilang kuasa majoriti, setelah tiga orang wakil rakyat (dua dari PKR dan satu dari DAP) membuat kenyataan terbuka ‘keluar parti’, ‘kekal sebagai wakil rakyat Bebas’ dan ‘menyokong BN’. Kuasa Pakatan Rakyat tumbang dan BN kembali berkuasa.
Selepas PRU ke-13, PAS mula ‘berkecil hati’ dengan DAP. Beberapa ‘perbalahan’ mula tercetus, maka pada tahun 2017, ia benar-benar menjadi kenyataan, PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.
Setelah itu, PAS bertekad tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. PAS sudah berkerat rotan dengan DAP, maka apa sahaja yang DAP lakukan, semuanya dilihat buruk dan tidak elok dipandang mata.
DAP dikaitkan dengan ‘luka sejarah’ yang cukup mendalam (kelazatan khayali pemimpin PAS sebagai satu bentuk propaganda agar orang Melayu terus menolak DAP, walaupun parti itu berada dalam kerajaan perpaduan). Ia dikaitkan dengan PKM.
Beberapa orang pemimpinnya dikaitkan mempunyai ‘hubungan darah’ dengan Chin Peng, Setiausaha Agung PKM, yang abu mayatnya telah berjaya diseludup masuk ke Malaysia biarpun ada desakan untuk tidak membenarkan Chin Peng dibawa bali bagi menghabiskan usia tuanya.
Kesudahan dakwaan itu belum ada, namun PAS sedikit terperosok malu kerana tuduhan sedemikian telah membawanya ke medan perbicaraan di mahkamah. Presidennya sudah memberikan ‘keterangan kepada pihak polis’ manakala seorang wakil rakyatnya sedang berusaha ‘mempertahankan diri’.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments