Dalam Islam, ada peringatan mengenai hal yang tidak sahih sehingga berakhir dengan tragedi seperti berlaku pada zaman pemerintahan Utsman bin Affan. Utsman dibunuh kerana tersebarnya fitnah mendahulukan rakan dan keluarga terdekatnya dalam pelantikan gabenor, pembahagian tanah dan membuat keputusan sepanjang pemerintahannya.
Enam tahun pertama dilihat cukup cantik, tetapi oleh kerana kumpulan pelampau khawarij sentiasa berusaha menjatuhkan Utsman, akhirnya dalam tempoh enam tahun kedua cukup bermasalah.
Itulah saat yang cukup menyeramkan dalam Islam sehingga radikalisme menjadi kerangka politik yang cukup tragik. (Karen Armstrong, Islam: A Short History, 2000; Al-Ghazali, al-Tibr fi Nashihah al-Muluk (edisi terjemahan 2024, Nasihat Buat Pemerintah); Hamka, Sejarah Umat Islam, edisi kemas kini, 2019; dan Taha Hussein, Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam, edisi terjemahan 2015).
Dari segi hukum, menurut laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN, https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/07/29/fitnah-dari-perspektif-agama-islam/), bahawa:
“…perbuatan fitnah adalah haram dan ditegah kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dan kemusnahan harta serta kehilangan nyawa. Dalam Islam, fitnah adalah salah satu dari sifat terkeji dan amat dilarang, Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu, kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.” (surah al-Baqarah, ayat ke-191).
Dalam surah al-Qalaam, ayat ke-10 -11, Allah SWT berfirman bermaksud:
“Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”
Selari dengan itu, Rasulullah SAW turut mengecam keras apabila bersabda yang bermaksud: “Dari Abu Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Riwayat Muslim dan al-Bukhari).
Ini bermakna, apa pun bentuk yang ditakrifkan sebagai fitnah (berita yang tidak benar, atau sumber maklumat yang tidak benar) adalah hal tidak boleh diterima dan dibincangkan secara meluas kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif, bahkan menampakkan keburukan yang nyata.
Kita tahu, antara sebab kekalahan BN pada PRU ke-14 sedikit sebanyak disebabkan oleh pengaruh fitnah yang membentuk persepsi masyarakat dan sebelumnya pernah muncul fitnah seramai 40,000 rakyat Bangladesh dibawa masuk bagi menjamin kemenangan.
Gambaran-gambaran yang tidak benar dan bohong itu menyebabkan situasi politik menjelang PRU ke-14 dipenuhi dengan hoax dalam media sosial.
Disebabkan kemenangan menggunakan ‘kaedah menipu, berbohong’ akhirnya tidak ada keserasian dalam pentadbiran PH, antara parti politik di dalamnya bertelagah dan berusaha berlagak seperti ‘pendominasi’. Ia kemudiannya berpecah, daripada dan euforia bertukar menjadi elegi politik.
Jelas bahawa membaca doa Qunut Nazilah telah menempa sejarah yang tidak bermoral apabila nilai-nilai fanatisma dan radikalisme menyulami keputusan penggantungan wakil rakyat daripada Machang yang pernah diharapkan mampu memekar dalam politik Malaysia apabila kemunculannya dilihat ada kelebihan dan potensi besar.
Ada yang ‘meramalkan’ Wan Faysal ‘tidak mustahil jadi Anwar Ibrahim kedua’ (Malaysiakini, 26 Julai 2024).. Namun, beliau perlu menggilapkan dirinya menjadi lebih matang dan approachable, meninggalkan sebahagian daripada ‘trademark’ sebagai ‘mat jargon’.
Kalaupun tidak sanggup berubah menjadi “Mat Jagung”, beliau setidak-tidaknya tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat semberono seperti ‘mencetak wang lebih banyak’ dan ‘kalau ada pelabuhan laut dalam, Kelantan jadi maju.’
Wang yang dicetak dengan banyak itu diberikan kepada setiap rakyat, kononnya rakyat mampu berbelanja dan dapat memenuhi keinginan. Tidak ada negara yang sanggup berbuat demikian, mencetak wang lebih banyak untuk diagih-agihkan kepada rakyat. Bila wang banyak, ia akan mengakibatkan inflasi yang sangat teruk.
Mencetak ‘lebih banyak wang’ bererti nilainya akan turun serendah-rendahnya jika nilai itu tidak disandarkan kepada simpanan emas yang lebih besar. Ia mungkin akan menjadikan ringgit setara dengan wang yang pernah dikeluarkan oleh tentera Jepun tatkala menjajah Malaysia.
Begitu juga dengan keperluan sebuah pelabuhan laut dalam di Kelantan. Wan Faysal perlu melihat berapa banyakkah eksport hasil yang dapat dikeluarkan di Kelantan, apakah ia memadai untuk menguruskan sebuah pelabuhan yang akan menjadi saingan Pelabuhan Kuantan.
Semua orang tahu, kesibukan kargo di Pelabuhan Kuantan adalah tidak sehebat Pelabuhan Barat di Kelang, Selangor dan Tanjung Pelepas di Johor. Jangan-jangan Wan Faysal berjangkit dengan apa dikhabarkan oleh MB Kedah apabila berhasrat membina aerotropolis di Kulim Kedah kerana ‘marahkan Pulau Pinang’ yang lebih maju daripada Kedah. Usah terjangkit dengan dakwaan Sanusi bahawa Kedah akan menjadi lebih maju sekiranya berada dekat dengan Kuala Lumpur.
Kedah tidak perlu membina pengkalan kargo udara hanya mengharapkan semua produk keluaran kilang di Kulim Hightech Park, kerana sebahagian eksportnya menggunakan kargo laut. Kita tahu bahawa kos pengangkutan udara lebih mahal berbanding pengangkutan laut selain kapasiti muatan kapal adalah lebih besar daripada kapal terbang. Seharusnya. kemudahan-kemudahan sedia ada digunakan bersama, bukan mencipta musuh kerana berbeza kuasa politik.
Usaha Sanusi mengarahkan kajian untuk membuktikan dokumen Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Kedah sebelum dipajak oleh British, tidak wajar dilakukan. Ia akan menghabiskan perbelanjaan yang besar dan membabitkan kumpulan penyelidik yang ramai. Pulau Pinang tidak pernah menafikan alur sejarah tersebut, sebaliknya, setelah berlakunya perubahan pemerintahan, Pulau Pinang sudah dikategorikan sebagai sebuah negeri yang berasingan, bukan lagi dipajak.
Persoalan itu timbul setelah Sanusi gagal menuntut bayaran caj air mentah sebanyak RM 100 juta daripada Pulau Pinang. Ini kerana sejak berzaman lamanya, atau selepas merdeka tidak ada kontrak jual beli mentah antara Pulau Pinang dan Kedah. Oleh itu, Pulau Pinang tidak akan membayarnya walaupun sesen pengambilan air mentah daripada Sungai Muda, tetapi Sanusi mengancam untuk membelatnya di perairan sempadan Sg Muda.
Tentunya, ia akan menimbulkan kemarah dan kecewa penduduk Pulau Pinang, juga sebahagian rakyat Kedah sendiri. Ia adalah satu contoh kenyataan politik yang boleh mengherotkan hubungan dan juga imej politik Sanusi sendiri.
Wan Faysal harus belajar secara dedaktif mengenai sikap dan budaya politik sedemikian jika berusaha membina masa depannya yang lebih baik, atau ‘boleh pergi lebih jauh’.
Tidak salah jika Wan Faysal ‘menunduk’ dan bangkit dengan hujah-hujah yang cemerlang, berdasarkan maklumat yang tepat, bukannya maklumat-maklumat yang tidak sahih, hearsay dan surat layang. Itu adalah pengajaran yang boleh dipelajari dengan baik dan amat berharga.
Tidak perlu melatah bila kontroversi Qunut Nazilah dijadikan ‘senjata politik’ di Dewan Rakyat hanya kerana ‘memberontak penggantungannya selama enam bulan.’ Terimalah hakikat, setiap apa kita lakukan ada harga yang wajib dibayar.
Penggantungan itu harga mahal yang wajib dibayar oleh Wan Ahmad Faysal kerana menjadikan surat layang sebagai hujah dan fakta bagi menyokong premis yang diucapkan. Ingat, perbincangan berlaku di Dewan Rakyat, bukan parlimen kedai kopi.
Parlimen kedai kopi sekarang perlu berhati-hati bila bercakap, ia akan menyebabkan gegak-gempita seluruh negara jika tersalah cakap. Terlalu ramai wartawan di lokasi yang bersedia membuat laporan, memposting di media sosial dan menyebabkan pemikiran tidak keruan.
Inilah hebatnya dunia maya, yang boleh menyebabkan seseorang itu bertukar menjadi ‘mayat’. Mereka boleh membuli siapa sahaja yang tidak disukai, atau mencari apa yang salah daripada seseorang, hatta kawan baik sekalipun.
Tidak cukup setakat apa yang diucapkan, akan diberikan ulasan dan juga pandangan tokoh yang berbeza. Adu domba akan terus berlaku dan dunia maya menjadi tapak yang sangat subur untuk ‘menabur fitnah’ dan ‘melontarkan kecaman’. Salah atau betul, itu persoalan kedua, jika ada aduan mengenainya.
Jika tidak ada, maka ia akan terus berputar berkali-kali, setelah ramai yang terlupa, ia akan ditularkan lagi sebagaimana dihadapi oleh Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli ketika era ‘malam ini menang, esok harga minyak turun’. Itu adalah kempen politik yang berlaku pada tahun 2007 dan 2008. Sudah memasuki usia ‘gadis sunti’ (17 atau 18 tahun), sangat diminati oleh khalayak netizen.
Berbalik kepada permasalahan Qunut Nazilah. Kita faham, Nazilah adalah istilah Arab, yang bermaksud: musibah yang sangat berat, manakala istilah Qunut, ialah berdoa ketika berdiri dalam solat. (Harakah Dialy. 18 Mac 2018).
Maknanya. Qunut Nazilah secara adabnya akan dibaca di rakaat terakhir sebelum sujud terakhir, yakni selepas bangun daripada rukuk. Itulah yang diamalkan selama sebulan di masjid seluruh negara, termasuk ketika selepas rukuk kedua dan sebelum sujud terakhir, masih dalam keadaan berdiri di rakaat kedua. Makmun menadah tangan ketika mendengar imam membacanya.
Jika kita berusaha untuk membaca Qunut Nazilah bersendirian, ia juga dilakukan pada masa yang sama, seperti ketika berada di posisi berdiri selepas rukuk dan sebelum sujur akhir. Tetapi, kadar bacaannya tidaklah sekuat bacaan imam ketika berjemaah.
Jadi membaca Qunut Nazilah yang dianggap wajar oleh Hashim Jasin, Zulkifli Ismail tidak kena pada tempatnya. Pada pandangan umum, walaupun bukan dalam kalangan ulama atau agamawan, masa dan situasi adalah tidak kena.
Apatah lagi bila Qunut Nazilah yang dibaca itu tidak menepati tujuannya, hanya bertujuan menggariskan persepsi bahawa mereka yang menguruskan perjalanan Sidang Dewan Rakyat ‘tidak adil’, menggantung Wan Ahmad Faysal ‘sesuka hati’.
Sayangnya, kenapa lebih ramai yang mengundi agar Wan Ahmad Faysal digantung berbanding yang menolaknya, dan juga yang tidak mengundi. Tentunya, jika tujuan dan hasratnya benar, Wan Ahmad Faysal tidak akan dikenakan ‘penggantungan’.
Dari situ sudah jelas, apa tujuan yang tersirat daripada surat layang yang dijadikan bukti oleh Wan Ahmad Faysal. Dari situ sudah jelas bahawa hearsay telah mempengaruhi pemikiran Wan Ahmad Faysal secara langsung.
Nampaknya, dalam persekitaran politik sedemikian dan sikap beberapa orang pemimpin PAS menyokong atau mewajarkan bacaan Qunut Nazilah adalah sesuatu yang tidak menepati apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Tindakan begitu boleh dianggap melampau kerana doa itu dibaca kepada ‘orang kafir’ dan mereka yang murtad, bukannya sesama umat Islam.
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 20 Julai 2024, Saidina Abu Bakar membaca Qunut Nazilah ketika memerangi kelompok murtad manakala Saidina Umar al-Khattab berbuat demikian semasa memerangi Nasrani.
Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyebut doa itu dibaca apabila umat ditimpa musibah antaranya kebuluran, wabak dan serangan serangga. Tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam sendiri.
Menurut laman web itu lagi, membaca doa tersebut ke atas mana-mana orang seakidah boleh menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrem atau melampau dalam beragama, apatah lagi jika hanya kerana perselisihan dan pertelingkahan yang biasa terjadi, seperti dalam arena politik dan seumpamanya.
Beberapa orang agamawan tempatan yang memberikan pandangan tidak wajar ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Dr Rozaimi Ramle, Mufti Terengganu, Datuk Dr Sobri Haron, berdasarkan larangan membaca doa Qunut Nazilah saudara sesama Islam. Nabi Muhammad SAW pernah membaca doa Qunut Nazilah ketika Perang Ahzab, bahkan Imam al-Ghazali mencela mereka doa kehancuran yang ditujukan kepada sesama Islam.
Sebelum itu (19 Julai 2024), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘amalan ektremis dan pelampau.” Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Naim Mokhtar turut memperkatakan larangan Islam membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan kehancuran sesama Islam.
Qunut Nazilah adalah doa untuk ”melawan kezaliman kaum kafir terhadap umat Islam” dan “mengharapkan campur tangan Allah SWT untuk melepaskan umat Islam daripada bencana besar yang menimpa”, sekiranya musibah itu selesai, ia tidak lagi perlu dibaca.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments