Antara syaratnya, Khazanah Holding Berhad meletakkan ‘syarat mandatori’ bahawa Pengerusi dan CEO adalah warganegara Malaysia, begitu juga dengan pegangan majoriti saham. GIP diterima kerana bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Penjualan itu dibuat untuk memperkukuhkan operasi dan pengurusan MAHB, manakala syarikat-syarikat lain yang ikut menawarkan pembelian tersebut, baik dari Singapura ikut meletakkan syarat ‘hak mengurus’, yakni termasuk meletakkan rakyat negaranya sebagai CEO dan menentukan operasi MAHB.

Inilah yang berbeza. Ia berbeza dengan apa yang berlaku kepada PROTON yang suatu ketika turut menerima kecaman apabila 49 peratus sahamnya dijual kepada Zhejiang Geely Automobil daripada China. Ada yang mencacinya, Proton akan dinamakan Proton-Geli (ejaan lain digunakan sebagai lelucon) dan bagi bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir ia akan merugikan negara.

Hari ini, dengan kerjasama tersebut, Proton kembali mencatatkan keuntungan berbanding sebelumnya kerajaan terus menyuntik wang besar bagi menyelamat atau Proton meneruskan kelangsungannya, walaupun sudah diswastkan kepada DRB Hicom sejak bulan Januari 2012, iaitu selepas hampir 30 tahun dimulai (7 Mei 1983).

DRB merupakan sebuah konglomeret tempatan, namun keupayaannya untuk membangunkan kecemerlangan Proton (pada suatu ketika) tidak membanggakan, kekurangan modal untuk membangunkan kapasiti baharu dan berhadapan dengan kereta import, serta keluaran Perodua, yang dibangunkan menerusi kerjasama Toyota (di Malaysia oleh UMW) dan Daihatsu.

Beberapa model yang dikeluarkan oleh Proton selepas dikuasai oleh Perodua gagal di pasaran. Antaranya Putra, Arena, Satria, Savvy (untuk menyaingi Perodua Kancil), dan Juara (untuk menyaingi Perodua Rusa), Satria.

Walaupun Iriz awalnya gagal di pasaran, dengan bantuan Geely, ia kembali mendapat pasaran yang sederhana disebabkan masih menggunakan sebahagian besarnya teknologi lama. Begitu juga dengan model Pesona. Generasi lama Proton yang mendapat sambutan setelah diperbaharui ialah Saga BLM.

Kini, keuntungan Proton banyak disumbangkan oleh ‘rebadge model Geely’ iaitu Proton X50 dan Proton X70. Model X90, S70 kurang mendapat sambutan berbanding jenama-jenama daripada China yang semakin mendapat perhatian dan sedang dicabar dengan hebatnya oleh EV pelbagai jenama.

Jika Proton tanpa bantuan dan kerjasama asing, tentunya jenama tersebut akan terkubur di Malaysia sebagaimana terkuburnya beberapa jenama besar pada suatu ketika, seperti Fiat, Daewoo, Chrysler, SAAB, Chevrolet, MG (kini dikeluarkan semula oleh China dalam versi EV) dan Opel (suatu ketika, jenama ini sangat popular sebagai teksi bandar).

Sebagaimana kita ketahui, kelangsungan sesebuah organisasi sangat memerlukan kesediaannya beradaptasi dengan kemajuan teknologi. Untuk melengkapkan teknologi, yang sentiasa berubah dan diperbaharui memerlukan suntikan modal yang banyak, dan tentunya MAHB memerlukan modal untuk berhadapan dengan cabaran tersebut.

Itulah sebabnya banyak syarikat sangat memerlukan modal menerusi pelbagai kaedah, termasuk penjualan saham (termasuk IPO), kerjasama asing dan orientasi perniagaan yang lebih dinamik, dan memiliki teknologi ‘up to date’.

Sebagaimana kita sedar, ketika ini teknologi sudah memasuki era kepintaran buatan (artificial intelligence) dan berada dalam landasan Revolusi Industri 4.0. Tidak mudah bagi MAHB mengadaptasi dan melengkapkan keperluan tersebut tanpa sumber kewangan yang banyak.

Bagi para pengkritik, ia cukup mudah kerana ia hanya perlu mengkritik tanpa memikirkan bagaimana keperluan itu dapat dilaksanakan. Ia masih bersandar pada realiti lama, MAHB tidak perlu menjual sahamnya kepada syarikat asing kerana tidak ada negara yang berbuat demikian, termasuk Singapura, Indonesia mahupun Jepun.

Pengkritik tidak mengukur keupayaan masa depan, hanya bersandarkan kepada keupayaan masa kini. Singapura tidak menawarkan saham lapangan terbangnya syarikat asing kerana Singapura mempunyai sumber kewangan yang banyak, bahkan agresif untuk melabur di banyak negara menerusi badan milik kerajaan, Temasik Holding.

Singapura telah muncul sebagai negara yang utama kedudukan ekonominya di Asia, bahkan pencapaian ekonomi Indonesia dan Thailand lebih tinggi daripada Malaysia.

Sebelumnya, di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kedua selepas Singapura, kini, berada di tangga keempat. Filipina dan Veitnam sedang mencabar kedudukan Malaysia, yang mungkin pada suatu keadaan akan ketinggalan lagi sekiranya persoalan politik tidak pernah ‘berhenti’ sejak kekalahan BN pada PRU ke-12 (2018).

Kini, di bawah kepimpinan PMX, ekonomi Malaysia semakin berkembang dan kemasukan pelaburan asing turut meningkat berbanding ‘kelesuan’ yang berlaku sejak polical bashing menjadi juadah harian rakyat Malaysia di bawah pentadbiran PH (Dr Mahathir), PN (Muhyiddin yang menutup pintu masuk dan sektor sosial, ekonomi dan politik) dan sedikit mendapat nafas semasa pentadbiran Ismail Sabry Yaacob. Ertinya, situasi dan pengalaman buruk itulah yang ingin ‘diselimutkan’ oleh PN setelah beberapa percubaan untuk ‘menggulingkan kerajaan perpaduan’ gagal.

Dengan menimbulkan resah dan salah faham rakyat tentang kewajaran Qunut Nazilah, akan menyebabkan rakyat percaya bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang yang gagal, walhal kegagalan yang paling bersejarah dalam politik Malaysia adalah pada zaman Muhyiddin berkuasa selama 17 bulan.

Kita boleh senaraikan apakah kegagalan-kegagalan Muhyiddin, kerana hampir keseluruhan rakyat Malaysia merasai betapa sukarnya hidup terkurung di bawah PKP, dan takutnya Muhyiddin untuk membuka Sidang Dewan Rakyat sehingga sanggup mendaruratkan negara selama enam bulan. Apakah semasa PKP itu harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat?

Cukupkah dengan ‘bakul makanan’ yang disediakan? Kalau cukup, kenapa muncul situasi kibar bendera putih dan kemudiannya muncul pula kibarkan bendera hitam? Cuba renungkan semula ‘memori pedih’ itu; ketika memori itu masih berbekas dan boleh diimbas kembali, berkali-kali sebagai pengalaman peribadi, komuniti, masyarakat dan negara.

Apa kata salah seorang timbalan menteri dengan ‘kibar bendera putih’? Apa kata Muhyiddin bila ‘kibarkan bendera hitam’ ditujukan kepadanya? Apakah begitu tegar sekali ‘hati dan perasaan’ Muhyiddin apabila kecenderungan bunuh diri berlaku ketika rakyat resah memikirkan ‘tiada wang, tiada pekerjaan’ dan anak-anak di rumah terkurung, dapur sudah tidak berasap setelah suami dan isteri tiada pekerjaan?

Kita tahu, itu kerana bencana COVID-19. Kita tahu itu adalah langkap ‘mengurung rakyat’ untuk ‘memutuskan rantaian jangkitan virus corona’, tetapi, rakyat bertanya, kenapa Muhyiddin tergamak mengisytiharkan darurat apabila para wakil rakyat berhasrat untuk berbincang dan mencari jalan untuk sama-sama bergerak mengatasinya.

Tetapi kenapa Muhyiddin tidak membenarkan mereka bersidang, berbincang dan mencari kata sepakat. Itu bermakna Muhyiddin ‘takut’ kedudukannya ‘terancam’ dan dikejar bayang-bayang bakal terjadi lagi Langkah Sheraton yang dimulai oleh beliau sendiri.

Namun, karma itu tetap jadi milik Muhyiddin, terpaksa melepaskan jawatan setelah terbukti dirinya hilang pegangan majoriti. Itulah pelajaran politik yang dapat kita ambil, dan itulah juga jalan lain PN gunakan untuk menjatuhkan PM, dengan harapan Qunut Nazilah ‘kerajaan perpaduan akan hancur’.

Tidak semudah itu Allah SWT akan kabulkan, kerana niat dan tujuan Qunut Nazilah dibacakan pada 18 Julai 2024 adalah cukup berbaur politik, walaupun ulama-ulama PAS bertekad menyatakan ia dibolehkan.

Saya petik beberapa ungkapan berbaur politik yang dibuat oleh dua orang pemimpin PAS yang berpengaruh dalam parti yang dikatakan dipimpin oleh barisan ulama. Pertama ialah ungkapan ‘membenarkan’ yang dibuat oleh Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS, yang berperanan sebagai Ketua Majlis Syura Ulama PAS.

Qunut Nazilah adalah wajar dibaca (walaupun tanpa sebahagian daripada ritual sembahyang) atas alasan ‘tidak hanya terhadap kepada situasi berdepan dengan peperangan. Doa itu boleh dibacakan jika ada “jemaah Islam” yang membawa perjuangan agama ditekan oleh pihak lawan.

Bagi saya”, kata Hashim Jasin, “kita boleh doa Qunut Nazilah atas dasar tertekan. Ini padangan peribadi saya, bukan pandangan mana-mana mazhab, Qunut Nazilah ini tidak merujuk medan perang sahaja, kalau orang itu ditekan melalui politik juga boleh (dibaca). Lagi-lagi yang ditekan adalah kelompok jemaah Perikatan Nasional berjuang membawa syiar Islam.” (Malaysiakini, 20 Julai 2024).

Jelas, tekanan yang dimaksudkan ialah apa yang berlaku kepada Wan Ahmad Faysal, yang merupakan salah seorang jemaah Perikatan Nasional. Ertinya, bagi Hashim Jasin jika tekanan itu berada bukan di pihak “jemaah Perikatan Nasional”, walaupun berlaku ke atas wakil rakyat Islam lain, ia tidak wajar atau tidak dibolehkan membaca Qunut Nazilah.

Saya beranggapan demikian kerana ketika beberapa orang wakil rakyat yang pernah digantung (dikenakan tindakan disiplin) sebelumnya tidak muncul pula dibolehkan membaca Qunut Nazilah di dalam Dewan Rakyat. Apakah kes yang berlaku pada 18 Julai 2024 akan menjadi ‘pendulu’ yang terus dilakukan oleh Perikatan Nasional bila ada wakil rakyatnya digantung atas keputusan Speaker Dewan Rakyat?

Kita tahu, sebelum ini sudah ramai wakil rakyat digantung di Dewan Rakyat. Tetapi, ketika keputusan penggantungan itu tidak pula berlaku pembacaan Qunut Nazilah, termasuk ketika PAS menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat selama dua penggal.

Ketika itu, Mursyidul Am PAS, almarhum Datuk Nik Aziz tidak pun berkata: dibolehkan membaca Qunut Nazilah walaupun pada zamannya, telah muncul sembahyang hajat dan doa melaknat PM, termasuk Dr Mahathir dan Najib Tun Razak.

Presiden PAS, Haji Hadi Awang pernah menyelar TPM, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila berkata, “orang Badawi di Arab menjaga unta, tetapi [Abdullah] Badawi di Malaysia jaga babi.” Kata-kata kesat itu dikeluarkan ketika negara dikejutkan dengan wabak JE – Japanese Encephalitis yang menyebabkan sektor pelancongan di Port Dickson lumpuh (1999).

Kesannya, lebih 50 orang meninggal dunia dan ratusan babi terpaksa dimusnahkan.

Sampai kini Haji Hadi tidak memohon maaf secara terbuka mengenai ‘pelecehan’ itu, sebagaimana tidak berhasrat menarik balik Amanat Haji Hadi (1982) yang menyumbang kepada perpecahan masyarakat akibat perbezaan politik. Itulah sikap dan perangai para pemimpin PAS yang kita kenali, membuat tuduhan atau dakwaan tanpa bersandarkan kepada teladan Nabi Muhammad SAW ketika berbeza pandangan dan berhadapan dengan musuh-musuh Islam.

Sebaliknya, ketika berceramah, banyak pula tindakan-tindakan yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW dieskploitasi sebagai sesuatu yang dapat menatijahkan retorik politiknya. Jika benar PAS memainkan peranan ‘menegakkan Islam dan mempertahankan Islam’ kenapa parti itu cukup susah untuk membina jambatan perpaduan dengan lain-lain parti Melayu-Islam?

Kenapa PAS kekal sebagai parti politik yang paling banyak memutuskan hubungan kerjasamanya, termasuklah pendekatan tahaluf siyasi yang gagal dengan DAP (Mohd Syakir Mohd Rosdi dan Afnan Hamini Taib, Tahaluf Siyasi Dalam Politik Dakwah: Hubungan Politik Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Democratic Action Party (DAP) di Pulau Pinang, Kota Bharu: Penerbit UMK, 2021).

PAS dilihat sangat ‘suka bermain di banyak kolam’, akibat ‘terpesona dengan jawatan dalam Perikatan Nasional’ selepas bersengkongkol mencipta Langkah Sheraton? Cuba kita telusuri sejarah, berapa kalikah PAS melanggar prinsip kerjasama dan memutuskan pemuafakatan politik sejak parti itu muncul secara rasminya pada tahun 1951? Ada yang mengatakan PAS adalah parti yang paling banyak memunculkan ‘keruntuhan kerjasama politik’ selagi parti itu tidak dapat menguasai atau mendominasi sesebuah kemuafakatan politik.

Hamas, Fatah dan beberapa fraksi perjuangan pembebasan Palestin sudah melaksanakan ‘perpaduan nasional’ yang diusahakan oleh China pada 23 Julai lalu di Beijing, Iran dan Arab Saudi yang berkelahi sejak 2007 akhirnya kembali menjalin hubungan diplomatik atas inisiatif China. (Mutakhir, ketika rencana ini ditulis, agen-agen Zionis telah berjaya membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan pengawal pribadinya di Iran, 31 Julai 2024)

Ertinya, radikalisme politik PAS melampauinya nurani Iran dan Arab Saudi, juga fraksi-fraksi pertubuhan di Palestin. Mereka sanggup melupakan kesalahan masing-masing demi mencapai tujuan yang lebih besar.  Mereka melupakan sengketa yang pernah muncul antara mereka hanya kerana ingin membebaskan Palestin sebagaimana hadirnya semangat itu sejak tertubuhnya negara haram Israel.

Bagi fraksi gerakan pembebasan Palestin, dengan penyatuan tersebut, Israel akan kembali melihat tindakannya semakin sukar biarpun masih ada lagi lindungan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya, termasuk Eropah dan Jepun. Ia tidak bermakna keupayaan Israel akan kekal kuat selama-lamanya, kerana dari sokongan luar, jumlah negara menolak Israel dan menerima Palestin semakin bertambah.

Kini, Australia, New Zealand dan Ireland sudah menyatakan prihatinnya ke atas penduduk Palestin dan menggesa Benjamin Neetanyahu segera melakukan gencatan senjata. Jika Israel terus tidak mengendahkan ‘rasa marah dan simpati masyarakat antarabangsa’ sedikit sebanyak hubungan diplomatiknya terjejas.

Amerika Syarikat juga sedang menangani ‘kemarahan rakyatnya’ kerana menyokong dan membekalkan senjata kepada Israel untuk membunuh. Hal itu memerlukan penyelesaian yang tuntas dan kerana itu, bakal calon Parti Demokrat, Kamala Haris sudah memberikan pandangan dan pendiriannya, satu penyelesaian lebih tegas akan dibuat sekiranya beliau menang dalam Pemilihan Presiden ke-47 nanti (4 November 2024).

Kamala Haris yang berketurunan India-Amerika dan beragama Hindu akan berhadapan dengan cucu seorang imigran Yahudi dari Eropah (ada dakwaan rumpun hayatnya ada akar daripada Cyprus, Ukraine dan Jerman), di mana datuknya, Frederick Trump berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1885.

Di akhir pentadbirannya, Trump mengambil langkah mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel dan menormalisasikan hubungan Israel dengan beberapa buah negara Arab.  Jika pertandingan kali ini dimenangi oleh Donald Trump, lebih banyak ‘kepentingan Israel’ akan dipenuhi dan naratif ‘perang perdagangan’ dengan China akan terus melebar.

Dari perspektif ‘anak muda’ Amerika Syarikat, sudah kedengaran ucapan adalah lebih baik memilih Kamala Haris berbanding memilih semula Donald Trump atas beberapa sebab: Israel akan terus berlaku kejam terhadap Palestin kerana mendapat pembelaan Washington, dan tentunya, lebih banyak keputusan akan divetokan (Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Trump juga akan (kembali) mengugut mana-mana pertubuhan PBB, seperti yang pernah dilakukan terhadap UNICEFF, tidak menyalurkan dana dan berusaha menarik diri. Ciri-ciri budaya politik Donald Trump sedikit sebanyak ada persamaan haluan dengan kepimpinan PAS, kecuali mengenai Palestin dan normalisasi dengan Israel.

Jika Trump menyuburkan ‘white supremacy’ PAS menyuburkan ujaran kebencian dan radikalisme pemikiran umat Islam yang kadangkala sesetengan pemikir mensinonimkan dengan ‘neo-khawarij’, hanya kelompok sendiri sahaja yang benar dan ‘dijamin masuk syurga’.

Orang-orang di luar kelompok, walaupun berbuat baik sesama manusia (dan makhluk) serta tidak melalaikan ibadat akan ‘masuk syurga’ sebab tidak ‘mengundi’ atau berjuang bersama PAS’. PAS tidak berpisah dengan Islam, tetapi PAS kadangkala bertindak di luar nilai-nilai Islam seperti bersetuju mendoakan kemusnahan kepada sesama Islam kerana berbeza pendirian politik. Ini jelas apabila mempertahankan wakil rakyat daripada Jasin membaca doa Qunut Nazilah, yang disindir ‘kenapa pemimpin kerajaan terasa panas’?  (Malaysiakini, 23 Julai 2024).

Sebelum itu, Wan Ahmad Faysal yang berlakon seperti ‘mangsa’ turut menjelaskan bahawa tujuan Qunut Nazilah itu dibaca ialah kerana membantah kerajaan menyokong pembelian saham oleh Black Rock dan tidak berusaha membatalkannya.

Namun, perjuangan dan keterangan Wan Ahmad Faysal dilihat sebagai ‘menyembunyikan’ kesalahan fakta yang dijadikan asas perbahasannya.  Seperti kita maklum, surat layang itu kadangkala sengaja dibuat untuk menakut-nakutkan orang lain, kadangkala boleh menimbulkan kegentaran awam walhal maklumat tersebut tidak dapat dibuktikan kesahihannya. (Malaysia Gazette, 21 Julai 2024)

Dalam Islam ‘surat layang’ dianggap sebagai salah satu kaedah untuk menimbulkan fitnah, sebab penulisnya enggan bertanggungjawab di atas apa yang dinukilkan. Sebagai seorang cukup terpelajar dan sangat memahami gagasan besar pemikiran tokoh ternama dunia (misalnya, mengambil ungkapan sejarawan British, Arnold Toynbee, mengenai keruntuhan sesebuah peradaban berpunca dari masalah dalaman) sepatutnya tidak berbuat demikian sebagai bahan atau maklumat yang baik.

BERSAMBUNG

MONOSIN SOBRI

Translate »