Sejak bila Islam dirujuk dengan keganasan? Sejak bila pula rakyat negara kita boleh terlibat? Mungkin selepas peristiwa 11 September 2001. Bukankah ajaran Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW sejak 1400 yang lalu amat mementingkan soal keamanan dan keharmonian?
Dengan hikmah, ajaran Islam telah tersebar seantero dunia. Islam pernah membina tamadun Islam yang agong. Kenapa hari ini Islam dikaitkan dengan keganasan? Siapakah yang menghasut sehingga ada rakyat Malaysia yang terpengaruh?
Ingat! Dalam Islam, jika berlakupun peperangan, ia bukan untuk membanyakkan penumpahan darah, sebaliknya untuk memelihara kebenaran dan keadilan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 190 yang bermaksud:
Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.
Dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak).
Persoalannya siapakah yang mencipta kumpulan Islam yang dilabelkan sebagai pengganas? SiapakahTaliban? Siapa Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIL)? Siapakah Islamic State? Inilah istilah yang bermain di kepala saya sejak sekian lama. Adakah kumpulan ini sebenarnya wujud? Atau sekadar permainan silap mata barat bagi menghancurkan Islam?
Lebih serius lagi apabila mereka menggunakan nama IS atauIslamic State. Perkataan yang baik, dilabelkan ke atas perbuatan negatif umat Islam. Kenapa nama ini digunakan? Siapa yang membenarkan? Saya harap kita semua tidak terpedaya dengan permainan tipu helah ini.
Ternyata tindakan kumpulan ini bertentangan dengan fitrah Islam yang banyak menyeru kepada keamanan. Menurut pandangan seorang sarjana Islam, segala tindakan mereka ISIL bertentangan dengan Islam, malah para ulama di Timur Tengah yang lebih memahami situasi di sana juga tidak bersetuju dan menegaskan apa yang dilakukan bukan cara Islam. Berdasarkan gambar, video dan maklumat yang didedahkan, tindakan mereka menyembelih manusia dan memperkosa wanita dari agama lain adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Malah mereka juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Zionis serta Amerika Syarikat. Keadaan itu menunjukkan ISIL ini sebenarnya bertujuan merosakkan imej Islam dan dijadikan alasan untuk menyerang Islam.
Nasihat beliau, setiap perjuangan atau tindakan yang hendak dilakukan perlu selari dengan Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi. Bagi memastikan perjuangan atau kumpulan yang hendak disertai atau disokong itu adalah kumpulan yang betul-betul memperjuangkan Islam, mereka boleh rujuk kesatuan terbabit bagi mendapatkan panduan serta kefahaman sebenar. Jangan berpandukan kefahaman sendiri. Masyarakat Islam Malaysia juga perlu bijak untuk membezakan antara perjuangan jihad dengan perjuangan pengganas.
Persoalannya, siapakah itu pengganas? Kenapa manusia mengganas? Apa beza antara pengganas dengan militan? Adakah kumpulan militan itu juga pengganas?
Kumpulan militan selalu dikatakan dengan pengganas. Adakah militan itu pengganas? Militan bermaksud bersedia untuk berjuang atau berperang. Kumpulan militan cenderung menggunakan keganasan, kekerasan atau tekanan kuat untuk mencapai sesuatu tujuan. Namun, jika tujuan itu demi untuk kebaikan, seperti mempertahankan agama, bangsa dan negara, istilah ini tidak boleh dikategorikan negatif semata-mata. Istilah ini boleh menjadi positif jika tujuannya baik.
Pihak barat memanipulasikan istilah ini dengan merujukkan kepada kumpulan yang menentang mereka. Perlu diingat, individu atau kelompok bersenjata ini bukanlah muncul secara tiba-tiba. Mereka ini muncul sebagai reaksi kepada penindasan, cengkaman dan penjajahan kaum kuffar ke atas umat Islam terutama di negara berkepentingan.
Lebih malang lagi apabila istilah jihad dikaitkan dengan militan. Sedangkan jihad itu adalah suatu tuntutan agama. Imam Bukhari meriwayatkan hadis dari Abu Dzar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Amal apakah yang paling utama? Baginda SAW menjawab, “Iman kepada Allah dan jihad di jalan-Nya” (Hadis Riwayat Bukhari).
Justeru, sebagai umat Islam, seharusnya kita dapat membezakan antara aktiviti jihad dan militan kerana terdapat beberapa elemen yang sama di dalamnya. Mereka yang berperang memerangi orang-orang kafir dengan matlamat menegakkan kalimah Allah, maka itu adalah jihad. Mereka adalah mujahidin. Namun, jika ada yang berperang selain dari matlamat atas, apatah lagi berperang dan berbunuhan sesama Muslim, maka ini bukanlah jihad dan mereka bukannya mujahidin.
Perlu diingat, tidak semua militan itu adalah mujahidin kerana apa yang perlu dilihat adalah niat dan aktiviti mereka. Tidak semua perjuangan bersenjata itu tergolong dalam jihad. Namun, tidak bermakna bahawa kesemua kumpulan bersenjata itu salah. Benar atau salah bergantung pada niat dan tindakan mereka.
Jika niat untuk berbunuhan dan memerangi sesama sendiri, maka itu adalah salah dan haram. Begitu juga, jika mereka memerangi dan membunuh orang awam mahupun pemimpin tanpa hak, baik yang dibunuh itu Muslim atau non-Muslim, itu juga adalah salah dan haram. Semua ini tidak tergolong dalam jihad.
Namun, jika niat mereka memerangi golongan kuffar yang sedang memerangi Islam dengan matlamat meninggikan kalimah Allah, maka kelompok tersebut adalah kelompok mujahidin. Aktiviti mereka adalah jihad. Sekiranya mereka terbunuh dalam perjuangan, maka mereka dikira syahid di sisi Allah.
Saya amat tertarik dengan respon seorang Sarjana Muslim di German, apabila Islam sering dikaitkan dengan keganasan dan militan. Beliau menimbulkan beberapa persoalan keganasan yang pernah berlaku dalam sejarah dunia.
Katanya, siapa yang mulakan Perang Dunia I dan II? Siapa yang bunuh 20 juta orang asli di Australia? Siapakah yang mengebomkan Hisroshima dan Nagasaki hingga menjadi padang jarak padang tekukur? Siapakah yang membunuh lebih 100 juta orang India di Amerika Utara? Siapakah yang membunuh 50 juta orang Red Indian di Amerika Selatan? Siapakah menghambakan kira-kira 180 juta orang Afrika. Kemudian 88% daripada mereka yang meninggal dunia, telah dicampak ke dalam lautan Atlantik? Adakah semua ini perbuatan umat Islam? Jawapannya, sudah tentu TIDAK!
Semua ini kerja orang bukan Islam. Justeru, siapakah sebenar yang militan dan pengganas? Sebelum menuduh umat Islam, berikan maksud sebenar ekstrem, taliban, militan atau pengganas?
Kadangkala, musuh sengaja memutarbelitkan istilah untuk memomokkan Islam. Bila bukan Islam melakukan kejahatan, dikatakan jenayah. Bila orang Islam melakukan perkara yang sama dikatakan pengganas. Kerja gila apakah ini? Kenapa Islam sentiasa dijadikan sasaran?
Dalam konteks negara kita, bila ada suara hendak melaksanakan cara hidup Islam, yang menjadi hak umat Islam, dikaitkan dengan Taliban. Misalnya, tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terhadap umat Islam yang berkelakuan tidak senonoh, membonceng tanpa ikatan keluarga, tidak solat jumaat bagi lelaki dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, termaktub dalam Seksyen 34 dan Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Mereka yang bersalah, akan dikenakan tindakan yakni melalui proses tarbiyyah (kaunseling). Selepas itu, mereka terbabit perlu mengisi borang khas sebagai rekod, diikuti dengan tindakan susulan sekiranya ingkar. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit.
Apabila undang-undang dikuatkuasakan, maka dilabelkan sebagai undang-undang taliban. Sedangkan undang-undang bertujuan untuk memanusiakan manusia. Mereka yang hina sahaja membiarkan kemungkaran, tanpa apa-apa tindakan.
Kesimpulannya, Islam telah membuktikan agama wahyu ini dapat membawa dan menyebarkan keadilan dan kesaksamaan di kalangan manusia seluruh dunia. Lihat minoriti bukan Islam dalam negara Islam. Mereka dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Malah kekayaan melebihi penduduk Islam itu sendiri. Berbanding dengan umat Islam yang hidup di bawah pemerintahan bukan Islam, saban hari ditindas dan didiskriminasikan, malah ada yang dibunuh. Bila umat Islam bertindakbalas, maka mereka dituduh sebagai militan dan pengganas. Jangan kita terperangkap dengan permainan licik pihak barat. Termasuk juga musuh Islam di negara kita.
Oleh : Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Recent Comments