Tempoh reproduktif seorang wanita ialah antara usia 20 hingga 45 tahun. Daripada perspektif kesihatan, umur antara 20 hingga 24 tahun, mempunyai 90 peratus peluang hamil, manakala pada usia 25 hingga 29 tahun, peluang hamil ialah 86 peratus.
Pada usia 30 hingga 34 tahun, peluang hamil masih tinggi (86 peratus) tetapi mula menurun pada usia 35 hingga 39 tahun berada pada tahap 78 peratus, namun tahap kesuburan sudah menunjukkan penurunan setelah memasuki umur 35 tahun disebabkan kualiti telur mengalami kecacatan kromosom.
Pada usia awal 40-an (40 – 44 tahun), 90 peratus telur wanita tidak normal secara kromosom dan pada usia ini, wanita akan berhadapan dengan kesukaran hamil untuk kali pertama. Selepas umur 45 tahun, peluang hamil adalah antara 3 hingga 4 peratus, namun dengan kemajuan rawatan kesuburan, peluang hamil menunjukkan harapan yang tinggi.
Pada usia begini, jika berlaku kehamilan pertama, ia juga menyebabkan pasangan dilihat ‘kurang berdaya’ untuk mengasuh dan menjaga anak-anak, akibat tekanan kerjaya yang dianggap semakin memuncak dan juga keupayaan fizikal mula berlaku perubahan, termasuk perubahan hormon. (Rujuk “Wanita Kahwin Awal Lebih Cepat Hami? Ada Kaitan Dengan Usia, Makin Muda Makin Tinggi Peluang”, dalam https://hellodoktor,com/kehamilan/rancang-kehamilan/lain-lain/peluang-hamil-usia/#)
Saya memetik penemuan-penemuan itu bagi menyedarkan pasangan yang dah berkahwin tapi mengamalkan gaya hidup “childfree” supaya dapat memikirkan semula pendirian atau kesukarelaan mereka untuk tidak ada anak dalam keluarga.
Mungkin dengan cara tersebut kita dapat membantu pasangan tersebut untuk memikirkan kesannya pada jangka masa panjang, terutama tatkala usia meningkat tua dan hampir kepada usia bersara.
Jika dalam tempoh lima atau kurang sepuluh tahun perkahwinan tidak beranak, ia boleh memberikan sedikit kelebihan ekonomi pasangan, tetapi seratus peratus kestabilan psikologi tidak mampu tercapai kerana kehidupan setiap daripada ada lingkaran sosialnya.
Lingkaran sosial itu akan memberikan ‘tekanan’ sama ada kecil atau besar, ia bergantung kepada persekitaran sosial pasangan itu sendiri, sama ada tinggal di kawasan perumahan yang jirannya saling tidak kenal atau menyapa, atau di lokasi separuh bandar, yang aktiviti sosial masih bersifat kemasyarakatan yang luas.
Sesekali pulang bercuti di kampung, tekanan psikologi daripada sanak saudara juga menjadi faktor konflik diri dalam pasangan yang tidak memiliki anak. Ini dapat kita selami apabila ada posting, sama ada berupa sindiran mahupun realiti, seseorang berkerjaya pulang ke kampung berhari raya, ada yang bertanya: Bila nak kahwin?.
Soalan begitu menjadi ‘cukup sensitif’ bila anak dara bekerjaya memasuki umur tiga puluh tahun masih belum berkahwin atas sebab-sebab tertentu: belum menemui pasangan yang serasi, masih belum puas enjoy dan melihat perkahwinan akan menyekat kebebasan kendiri, kerana semua yang akan dilakukan perlukan ‘izin suami’, dan curiga tentang ‘kesetiaan’ pada lelaki.
Kes-kes penceraian, termasuk istilah ‘zaman menyondol’ ikut mempengaruhi sikap dan pendirian seseorang untuk berkahwin selain faktor ekonomi dan kesan psikologi mengenai kadar penceraian yang semakin meningkat.
Contohnya, pada tahun 2022, kes penceraian sebanyak 62,890 pasangan, yakni peningkatan sebanyak 43.1 peratus berbanding tahun sebelumnya (2021, dengan 43,936 kes).
Penceraian tertinggi berlaku dalam kelompok umur 35 hingga 39 tahun bagi pengantin lelaki manakala bagi pengantin perempuan adalah di kelompok 30 hingga 34 tahun. Begitu juga dengan kes penceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam, meningkat 45.8 peratus (2021 sebanyak 31,650 kes dan 2022, 46,138 kes).
Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi dalam kalangan pasangan Islam ialah Kedah (mencanak 113 peratus), Sabah (meningkat 94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus).
Penceraian dalam kalangan bukan Islam secara keseluruhannya meningkat 36.4 peratus, iaitu daripada 12,286 kes (2021) kepada 16,752 kes (2022). Lokasi penceraian tertinggi bukan Islam ialah Putrajaya (500 peratus), Johor (61.5 peratus) dan Melaka (59.0 peratus).
Begitu juga dengan bilangan perkahwinan, jumlah pasangan yang berkahwin pada tahun 2022 menurun kepada 214,824 (2022) berbanding sebelumnya, 215,973 di seluruh negara. Ia menyaksikan penurunan sebanyak 0.5 peratus.
Menariknya lagi, penurunan bilangan pasangan berkahwin sangat dipengaruhi oleh jumlah pasangan Islam yang berkahwin pada tahun 2022, iaitu 4.1 peratus (2021 sebanyak 176,002 kes dan 2022, membabitkan 168,726 kes). Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi ialah Putrajaya (19.6 peratus), Perak (12.8 peratus) dan Terengganu (11.3 peratus).
Bagi pasangan bukan Islam, pada tahun 2022 menunjukkan berlakunya pertambahan sebanyak 15.3 peratus, iaitu daripada 39,971 (2021) kepada 46,098 pasangan (2022). Tiga negeri yang menunjukkan pertambahan pasangan bukan Islam berkahwin ialah Terengganu (40.2 peratus), Johor (26.6 peratus) dan Negeri Sembilan (21.1 peratus). (Utusan Malaysia, 23 November 2023, berdasarkan siaran media Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Perkahwinan dan Penceraian, Malaysia 2023).
Kesemua trend perkahwinan dan penceraian ini akan mempengaruhi demografi penduduk, dan tentunya akan menjadi semakin mengecil kumpulan umur di bawah 60 tahun pada masa hadapan apabila kadar kesuburan dan pendirian pasangan untuk tidak memiliki anak sepanjang hayat.
Sedikit sebanyak faktor persekitaran itu mungkin boleh membantu pasangan untuk berusaha memiliki anak, walaupun pada mula bertekad mengamalkan gaya hidup ‘childfree’. Ini kerana ‘childfree’ bukan sahaja memperlihatkan sosiologi keluarga yang semakin mengecil, ia juga memberikan kesan kepada proses penggantian penduduk, berlaku defisit pertambahan jumlah kelahiran berbanding jumlah kematian.
Hal ini akan menyebabkan negara kekurangan penduduk yang dikategorikan ‘sumber tenaga pekerja’ dan lebih cepat negara mengalami fasa penuaan. Ia sudah berlaku di kebanyakan negara mahu, dan Malaysia turut menuju ke arah tersebut dalam tempoh enam tahun lagi.
Jadi, bila kita menonton kenyataan pasangan yang tidak ingin ada anak dalam kehidupan rumah tangga mereka, kita sepatutnya mendekati mereka secara berhemah, agar mereka memahami makna fitrah, anjuran agama dan aspirasi negara.
Jika kita terus mengecam pasangan-pasangan yang memilih gaya hidup seperti itu, ia tidak dapat membantu menyelesaikan ‘kemelut’ sebaliknya akan menyebabkan konflik generasi yang lebih besar dan mendalam.
Menurut nasihat Hamka: Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kain. Sekalian makhluk di muka bumi ini seakan-akan tidak kelihatan di dalam tenunan ini, kerana sangat kecil. Maka tenunan hayat yang kita lihat ini adalah hujung daripada pangkal kain yang telah lalu, yang bersambungm tiada putus, sejak dari awal yang tiada diketahui bilakah sampai pada akhir yang belum diketahui…..” (Hamka, Falsafah Hidup, hal. 24)
Sambung Hamka: “Insan yang kamil, manusia yang hendak meningkat kesempurnaan selalu memandang hina akan perkara yang memang pantas dihinakan dan selalu pula memuliakan barang yang patut dimuliakan, yang patut ditimbang, yang patut dimalui. Baginya makan untuk melengkapi hidup, bukan hendak memuaskan nafsu belaka.” (Hamka, Falsafah Hidup, hal.28).
Mengenai peranan akal, Hamka menjelaskan: “Akal menyuruh manusia menjaga dirinya dan mengatur peri kehidupannya, jangan meniru orang lain sebelum difikirkan apakah yang ditiru itu sesuai dengan dirinya. Yang lebih utama menurut akal ialah mengukur bayang-bayang diri, mengenal siapa diri dan berusaha memperbaiki mana yang telah rusak.
“…mahkota dan mahligai, pangkat dan kehormatan, kekayaan atau kemiskinan, dan yang lain sebagainya, hanyalah barang pinjaman yang tidak kekal adanya. Berganti-ganti datangnya sebagaimana pergantian hari, tidak ada yang dapat menangkap kakinya.
“Tetapi yang tidak akan terpisah daripada manusia, yang ditanggung tidak akan meninggalkan manusia atau ditinggalkan, ialah sifat batin dan kekayaan batin. Walaupun wang pergi dan datang, pangkat naik atau jatuh, namun kekayaan jiwa itu tidak akan meninggalkan diri. Umpamanya ialah ilmu, hikmah, budi, bahasa, insaf dan sedar. (Hamka, Falsafah Hidup, hal. 29-30).
Mengecam pasangan muda kerana tidak mahu anak, tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya, sebagai orang yang lebih tua ‘janganlah meminta’ mereka berbuat seperti apa yang mereka buat ketika masih muda, kerana:
“Jika perangai pemuda yang tidak dicocoki [sesuai atau berpadanan], jangan ditilik pada perangainya sahaja, tembuslah sampai ke darahnya. Menghambar pemuda dalam geloranya, sama dengan mengikat kaki tangan akan kecil berumur empat bulan supaya tidak bergerak, atau mengurung anak berumur lima tahun supaya tidak berlari.
“Kalau hendak dibuat begitu juga, lebih baik doakan anak-anak itu lekas sakit supaya dia ‘elok laku’ sahaja di rumah serupa neneknya. Kalau di waktu masih muda diminta supaya dia serupa orang tua menantunya, maka di waktu tua esok serupa siapakah dia?….
“Hakim atau orang yang menjalankan perintah negeri hendaklah insaf bahawa orang yang diakui berakal hanyalah kerana budinya, bukan pangkatnya. Celakalah orang yang disegani kerana zalimnya.” (Hamka, Falsafah Hidup, hal. 32-33).
Terakhir, saya memetik pendapat ulama dan cendekiawan yang banyak memberikan nasihat dan pelajaran kepada orang yang suka membaca karya-karyanya, Hamka:
“Dengan akal meningkat tangga mengenai Tuhan dan dengan akal diatur rahsia pendirian alam. Diberikan-Nya kepada hamba-Nya seorang satu. Kalau mereka pandai menggunakan, bergunalah mereka di waktu hidup sampaikan mati. Dengan akal membongkar rahsia yang tersembunyi. Dengan akal terbuka hijab yang tertutup.
Pada diri manusia, ada tiga kekuatan: (1) kekuatan akal; (2) kekuatan marah; dan (3) kekuatan syahwat. Seseorang yang telah mengecam pasangan itu dengan berkata: Kalau tidak mahu anak, jangan kahwin’ rupanya menggunakan kekuatan marah, manakala pasangan yang bertekad ‘tidak mahu anak’ menggunakan kekuatan syahwat.
Dua pertembungan itu, belum ternampak ‘kekuatan akal’ telah digunakan, agar pasangan tersebut ‘tidak keruan sepanjang hayatnya”, kerana ‘anak itu rezeki’ bukan ‘beban’ dan ‘halangan’ untuk hidup sebagai pasangan yang bahagia.
Bahkan dalam Islam, kita mendengar bahawa mereka yang tidak berkahwin, bukan menurut Sunnah Rasulullah SAW. Manakala pasangan yang berkahwin dan tidak mahu anak (childfree) juga termasuk dalam kalangan mereka yang tidak memahami fitrah kehidupan, bahkan ‘tidak menurut’ apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. (“Fahaman ‘childfree’ tak tak selari sunnah Nabi Muhammad, kata Menteri Agama”, https://harapandaily,com/2024/06/29/fahaman-childfree-tak-selari-sunnah-nabi-muhammad-kata-menteri-agama/)
Kebahagiaan itu adalah membahagiakan orang lain, dengan melaksanakan tanggungjawab, berkongsi masa dan tenaga, saling memahami emosi dan psikologi. Kebahagiaan akan muncul apabila antara pasangan saling memahami dan bersedia mengamalkan komunikasi yang berkesan dalam hayat perkahwinan mereka, bukan semakin lama semakin berebut kuasa.
Setinggi mana pun pendapatan yang diraih oleh isteri, rasa hormat dan tanggungjawab terhadap suami tidak wajar diabaikan, walaupun si suami meraih pendapat yang lebih rendah. Fenomena yang mula berkembang ialah para suami sangat mengharapkan sumbangan pendapatan isteri untuk melunaskan pelbagai bentuk komitmen, termasuk perbelanjaan rumah tangga.
Ini merupakan sesuatu yang sangat tidak menepati kehendak Islam, kerana nafkah (batin dan fizikal) merupakan tanggungjawab suami. Seorang suami wajib memenuhi tanggungjawab tersebut, dan sekiranya isteri menyumbang secara sukarela ia adalah suatu kelebihan, bukan sesuatu yang dianggap wajib.
Benar, sebuah perkahwinan itu adalah sebuah perkongsian. Namun, hakikat perkongsian itu ada hadnya kerana hak milik isteri akan tetap menjadi haknya yang tidak boleh dipertikaikan, tetapi, suami akan tetap bertanggungjawab sebagai pelengkap keperluan rumah tangga berdasarkan kemampuannya.
Isteri wajar memahami hakikat, tidak meminta berlebihan dan jika berusaha membantu, ia merupakan suatu yang dapat membantu memenuhi kekurangan, bukannya kehendak yang tidak terbatas.
Kebahagiaan itu bukan hanya ‘cakap-cakap’ tetapi apakah yang kita rasa dan alami itu menyenangkan, diri dan orang lain. Itulah sebabnya, perkahwinan dalam Islam sangat banyak positifnya.
Soalnya, untuk apa pasangan itu berkahwin? Kalau hanya sekadar memenuhi tuntutan fisiologi, maka perkahwinan seperti ini tidak menatijahkan kebahagiaan, sebabnya, kebahagiaan itu hanya bergelut pada usaha untuk makan, minum dan tempat tinggal semata-mata.
Jika perkahwinan itu bersandarkan menambah harta, jaminan kerjaya dan kesihatan, jaminan kebahagiaan juga tidak sepenuhnya berlaku.
Jika perkahwinan berdasarkan kasih sayang (cinta) dan sosial, mungkin hanya akan bertahan pada fasa romantik dan bulan madu, selebihnya akan terperangkap dengan kemahuan berkahwin kerana takut bersendirian dan diterjah oleh pasungan sosial sebagai ‘tidak laku’ dan sebagainya.
Jika perkahwinan itu berdasarkan keperluan penghargaan diri dan pencapaian kendiri, ia hanya boleh diraih dengan bantuan pasangan kerana itulah maksudnya ‘menerima kelemahan’ dan ‘berkongsi kekuatan’ antara lelaki dan perempuan.
Namun, tujuan yang paling tinggi atau kemuncak ialah ‘mendapat redha Allah SWT’, sebab itulah dalam Islam, perkhawinan itu dikategorikan sebagai ibadah, dan di dalamnya ada hikmah.
Maka, dalam melalui proses beribadah, ada tata susilanya, ada jalan dan lorong yang wajib diikuti dan lebih beruntung ialah bagi pasangan sentiasa berdoa agar kehidupan mereka sentiasa dinaungi rahmat-Nya.
Kehadiran anak dalam kehidupan pasangan adalah ‘buah rahmah’, yang terhasil daripada kasih sayang dan nikmat yang dibekalkan kepada setiap orang, hawa nafsu.
Hawa nafsu menjadi pengikat hubungan intim lelaki dan perempuan, anak pula menjadi pengikat rumah tangga. Dua pengikat itu saling bertemu dan saling memerlukan perhatian, pengorbanan dan pemahaman antara ibu dan bapa, memahami maksud dan makna keibubapaan.
Itulah kelebihan manusia berbanding binatang, kerana binatang tidak mempunyai harga diri dan pengalaman keibubapaan (parenting skill), hanya sekadar melakukan hubungan seks, beranak dan sampai waktunya, anak-anak hidup berdikari, tidak kenali siapa ibu dan bapanya.
Manusia, tidak setakat melahirkan anak, lebih menjuruskan kepada proses yang lebih besar daripada itu, termasuk menjaga kelestarian keturunan dan nama baik keluarga. Sebabnya, manusia diukur kejayaannya berdasarkan nilai hidup yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara, bukan hanya sekadar hidup berpasangan-pasangan, tanpa ada rasa keinginan menyumbang kepada kesejahteraan ummat.
Akhirnya, jangan tersilap falsafah, hidup bukanlah sebuah perhitungan berapa banyak harta dapat dikumpul, tetapi sejauh manakah anak-anak hasil daripada perkahwinan itu mampu menyumbang kepada kesejahteraan umah dan juga negara.
Apakah pilihan untuk tidak memiliki anak yang sedang berkembang dalam budaya hidup pasangan muda di Malaysia tidak boleh dianggap sebagai “gawatnya tujuan hidup?”. Secara makronya, ia boleh dianggap gawat, tetapi secara mikronya, ia adalah pilihan setiap pasangan kerana merekalah yang bakal merasai kesannya, sama ada ketika berada di fasa romantik atau semasa hidup menjadi semakin sunyi dan sepi – entry nest syndrome atau kodokushi.
ENS tetap dialami setiap daripada kita, kerana usia dan juga iklim kehidupan sentiasa berubah, manusia semakin mengejar kemewahan dan kesengan diri sendiri, termasuk anak-anak sendiri (jika ada anak). Jika tanpa anak, suasana ENS akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Itulah gawatnya hidup, gawat psikologi dan juga gawat ekologi.
Ketika itu, baharulah terasa betapa seronoknya bila ada ‘pihak ketiga’ iaitu anak-anak dan juga cucu-cucu. Ketika itu baharulah sedar bahawa ‘kekosongan’ adalah sesuatu yang sepatutnya dilupuskan dalam tindakan kita tatkala menetapkan apa sebenarnya tujuan hidup beralaskan fitrah dan makna kebahagiaan, termasuk kebahagiaan psikologi dan spiritual.
Kebahagiaan bukan hanya sekadar apa yang impikan tercapai. Kebahagian sangat luas dan melata sifatnya, termasuk merasa senang apabila diri ada orang lain yang menghargai, dan antara orang lain itu yang paling dekat ialah anak-anak sendiri, selepas pasangan.
Terang dan jelas apabila Imam al-Ghazali berkata: Jika engkau ingin mengenali dirimu, ketahuilah bahawa engkau diciptakan daripada dua perkara. Pertama, rupa laran yang disebut sebagai tubuh dan dapat dilihat dengan mata. Kedua, adalah roh dalaman yang dipanggil diri, nyawa, atau jiwa. Ia hanya dapat dilihat melalui penglihatan dalaman dan tidak melalui mata.
“Hakikat dirimu sebenar terletak pada roh. Setiap sesuatu selainnya adalah pengikut, tentera dan juga hambanya.
“Sifat hakiki jiwa bukan berasal dari dunia ini. Ia datang ke dunia sebagai orang asing dan pengembara. Daging yang melitupi tubuh merupakan kenderaan dan peralatannya, manakala semua organ dan anggota badan adalah tenteranya. Ia adalah penguasa yang memerintah seluruh tubuh manusia.
“Kebahagiaan dan kesengsaraan bergantung padanya. Dalam semua ini, tubuh adalah pengikutnya. Maka, pengetahuan hakikat jiwa dan sifat-sifatnya merupakan kunci kepada pengetahuan rohani Allah SWT.” (Imam al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan, terjemahan daripada Kimiya-yi Sa’adat oleh Farhan Affandi dan Anwar Yusof, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2023, hal. 3-5).
Maknanya, Allah SWT menciptakan manusia berlainan jantina, melengkapkan mereka dengan nafsu syahwat adalah untuk menyingkapkan kasih sayang-Nya. Kasih sayang itu kemudian manusia hidup secara berpasang-pasangan, saling memenuhi keperluan dan saling mengatur serta melaksanakan tanggungjawab. Buah kepada kasih sayang –suami dan isteri- ialah kehadiran anak.
Kehadiran anak membawa kepada pemenuhan sebahagian ‘ketenangan jiwa’ dan pemenuhan hakikat kehidupan. Jadi, dengan menolak kehadiran anak dalam kehidupan, ia menyebabkan ‘jiwa’ rasa terancam.
Sebahagian nilainya kosong dan dalam jangka masa panjang (terutama waktu kesepian sendiri, keseorang tatkala usia tua) akan merasai ‘penyesalan’ dan ‘kekosongan’ yang mendalam, kecuali seseorang itu mula mendekatkan diri untuk mencari redha Allah SWT dalam setiap nadinya (seumpama kisah Rabiah Adawiyah), melupakan ‘kesengsaraan’ fizikal dan emosi, dan bukannya seperti sebut peribahasa: yang dikejar tak dapat dan yang dikendung pula berciciran.
Benih yang baik disia-siakan, masa yang singkat dipersimpangkan antara ‘lamunan’ dan ‘khayal tak bertepian’. Realitinya, jauh dan semakin tidak terjangkaukan.
Kata Pak Malau, sesal dahulu berpendatan, sesal kemudian tiada gunanya. Hidup penuh paradok, dan antara paradok itu yang akan menentukan ‘jiwa tenang’ atau ‘jiwa kacau’ kerana kehendak diri sangat ditentukan oleh masa dan keadaan. Dan, kadangkala pilihan yang tidak bertepatan dengan realiti. Menyongsong fitrah.
Hidup penuh cabaran, dan cabaran-cabaran itulah mematangkan kita untuk mengenali apa sebenarnya kita hidup dan berprestasi dalam masa kita menjalani kehidupan.
“If the only tool you have is a hammer, you tend to see every problem as a nail” (Abraham Maslow, 1908-1970)
KAMARUN KH
Recent Comments