Di tengah-tengah perang Hamas-Israel yang telah mengorbankan hampir 40,000 penduduk Gaza, China muncul sebagai ‘wira damai’ yang berjaya menatijahkan persetujuan untuk mengekang perbalahan sesama sendiri dalam kalangan pelbagai pertubuhan pembebasan Palestin daripada cengkaman penjajahan Israel.
Sebelum ini, China telah merintis ‘perdamaian’ antara Iran dan Arab Saudi yang memutuskan hubungan diplomasi selama tujuh tahun dan dua negara itu bersedia untuk masing-masing kembali membuka semula kedutaan masing-masing dalam tempoh dua bulan selepas perjanjian damai itu (Mac 2023). Iran telah membuka kedutaannya di Riyadh pada bulan Jun 2023 dan diikuti oleh kunjungan Menteri Luar Arab Saudi ke Teheran pada 17 Jun 2023.
Memetik laporan detikNews.com dalam laporannya pada 10 Ogos 2023, kedutaan Arab Saudi sudah beroperasi semula di Teheran setelah ditutup selama tujuh tahun setelah selesainya ‘normalisasi hubungan diplomatik’ antara kedua negara. Sejak itu juga warga negara Iran dibenarkan semula mengerjakan umrah dan pada musim haji 2024, dianggarkan ribuan rakyat Iran kembali menunaikan ibadat kelima umat Islam itu.
Hamas dan Fatah menandatangani persetujuan itu pada 23 Julai 2024 di Beijing bersama-sama 12 lagi pertubuhan Palestin lain bagi membentuk kerjasaman ‘perpaduan nasional’. Kejayaan China kedua itu memberikan tamparan hebat kepada Amerika Syarikat dan sekutunya yang tidak pernah mampu menyelesaikan kemelut politik di Timur Tengah sejak mereka menjadi penaja kepada penubuhan negara haram Israel di tanah milik penduduk Palestin pada tahun 1948.
Ekoran kejayaan China merintis ‘perpaduan’ antara kelompok-kelompok yang kadangkala bermusuh sesama sendiri di Palestin itu menyebabkan Israel merasa tidak selesa. Dalam keadaan aktivis perjuangan Palestin berpecah, ia menjadi sesuatu yang lebih mudah buat Israel untuk terus menjarah dan memperluaskan pengilhakan tanah-tanah rakyat Palestin sehingga jauh melangkau daripada apa yang dipersetujui dan ditetapkan oleh PBB pada tahun 1948.
Dalam perkembangan terbaharu, walaupun perjanjian itu dilihat adalah terlewat kerana hampir 40,000 rakyat Palestin terkorban, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menjadikan Israel semakin goyah apabila seluruh pertubuhan perjuangan kemerdekaan Palestin bersedia untuk berbalah sesama sendiri sebagaimana berlaku sejak tahun 2006.
Punca sebenar perpecahan rakyat Palestin ialah kesediaan Yasser Arafat yang memimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menandatangan Perjanjian Oslo (1993) yang memberikan kuasa kepada terbentuknya Pihak Berkuasa Palestin (PNA) sebagai badan tunggal. PNA yang diwujudkan itu menjadi wadah tunggal Palestin, yang kemudiannya dilihat oleh aktivis Palestin lainnya sebagai suatu kerugian terancang apabila terlalu berpihak kepada ketetapan-ketetapan yang dibuat oleh elit politik Israel yang berkuasa.
Akibatnya, pelbagai pertubuhan yang pada asalnya bersifat kemasyarakatan bertukar menjadi pertubuhan-pertubuhan bersifat politik seperti Hamas dan Jihad Islam yang muncul di Semenanjung Gaza. PNA seolah-olah dikembirikan suara dan aktivitinya oleh Israel kerana kedudukannya di Tebing Barat dikawal sepenuhnya dan menjadikannya semakin luntur perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan yang dengan pelbagai strategi menjarah dan membunuh.
Tanah-tanah penduduk Palestin dirampas dengan kejamnya sehingga menyebabkan jutaan rakyat keturunan Arab-Palestin terpaksa tinggal di kem-kem pelarian di dalam Palestin dan di luar Palestin. Hal itu dilakukan oleh Israel bagi menjadikan jumlah penduduk Yahudi menjadi penduduk majoriti di Palestin dengan memberikan taraf warga negara Israel yang begitu mudah kepada mana-mana penghijrah Yahudi yang bersedia berimigrasi ke Israel.
Strategi demografi itu telah berjaya dilakukan oleh Israel dan dalam masa yang sama, Amerika Syarikat dan sekutunya memainkan peranan ganda untuk tidak mengiktiraf kewujudan Palestin sebagai sebuah negara. Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan apa sahaja keputusan atau cadangan yang dilakukan di peringkat antarabangsa bagi menafikan hak dan keperluan Palestin. Sebaliknya, akan sentiasa mempertahan tindakan Israel walaupun tindakan itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Ironinya, Amerika Syarikat dan sekutunya asyik menggunakan teori penyelesaian dua negara bagi membolehkan proses damai konflik Palestin-Israel. Solusi dua negara yang tidak pernah adil kerana Palestin belum diterima sebagai sebuah negara merdeka sebagaimana Israel yang diiktiraf sebagai sebuah negara oleh PBB yang didalangi oleh Amerika Syarikat pada tahun 1948.
Ini menggambarkan bahasa Palestin seumpama ‘setinggan’ dalam wilayahnya sendiri manakala Israel adalah tuan ke atas wilayah yang dijajah. Persoalan inilah yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa, walaupun pada awalnya sukar diyakini oleh mereka ketika mitos ‘tanah yang dijanjikan’ menjadi slogan bersama-sama dengan kisah kekejaman Nazi ke atas masyarakat Yahudi dalam peristiwa holocaust semasa Perang Dunia II.
Namun semua mitos-mitos yang diciptakan semakin tidak lagi dipercayai sebagai ‘kebenaran sejarah’ menyebabkan lebih banyak negara sedar bahawa punca sebenar masalah yang menyebabkan geopolitik di Timur Tengah berkonflik ialah kerana kehadiran Zionis yang membentuk negara haram Israel dan sikap Amerika Syarikat yang hipokrit.
Atas sebab itulah apabila berlakunya konflik terbaharu di Gaza pada 7 Oktober 2023, masyarakat dunia semakin lantang mengecam Israel dan rakyat Amerika Syarikat, terutama golongan muda mula mendesak agar Washington segera menghentikan perang dan menangguhkan bantuan senjata kepada Israel.
Sejak Hamas melancarkan Taufan al-Aqsa, Israel menjadi sebuah negara yang paling dibenci oleh masyarakat antarabangsa sehingga mana-mana syarikat yang ada hubungan dengan Israel (yang membantu dan menyokong) dijadikan sasaran pemboikotan. Biarpun pemboikotan itu tidak menyebabkan Israel segera menamatkan serangan ke atas Gaza, sekurang-kurangnya ia menunjukkan komitmen masyarakat antarabangsa untuk ikut serta mengecam Israel.
Hal itu menyebabkan beberapa jenama besar terpaksa mengalami kerugian besar dan ada di antaranya terpaksa mencari cara lain untuk meneruskan kelangsungan perniagaan di pentas antarabangsa. Terbaharu, kecaman ke atas produk jenama Adidas sedang hangat diperkatakan kerana menyingkirkan seorang model keturunan Amerika-Palestin, Bella Hadad hanya kerana urutan sejarah yang silap terhadap apa yang berlaku pada Sukan Olimpik Munich 1972.
Setelah melancarkan semula retro kasut sukan SL72, segelintir pendokong Israel marah kerana Hadad yang mengalir darah Palestin tidak sepatutnya dipilih sebagai model. Ini kerana pada tahun 1972, sebelas orang atlet Israel dan seorang anggota polis Jerman terbunuh diserang oleh kumpulan Black September.
Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dilaporkan seramai 1,200 orang rakyat Israel terbunuh dan apabila Bella Hadad mempromosikan kasut retro SL72, Israel menganggap ia sesuatu yang tidak kena kerana Hadad anti-Israel. Itulah tindak balas Israel. Israel akan melakukan apa sahaja imej yang muncul walaupun kaitannya tidaklah tepat, ia akan memanipulasikannya sebagai antisemitik.
Apabila Hamas, Fatah dan 12 pertubuhan perjuangan Palestin bersatu dalam situasi yang bagi setengah-setengah orang dilihat ‘lemah’, ia akan memberikan kekuatan semula kepada Palestin kerana persekitaran dunia semakin menampakan sedikit sebanyak kemenangan. Di peringkat undang-undang antarabangsa, Israel menjadi semakin buruk apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengeluarkan keputusan untuk segera dihentikan serangan ke atas Gaza. Sebelum itu, ketua prosekutor Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) telah menyenaraikan dua orang pemimpin Israel, Perdana Menteri (Benjamin Neetanyahu) dan Menteri Pertahanan (Yoav Gallant) dalam ‘waran tangkap’ bersama-sama pemimpin Hamas.
Israel juga sedang diadili mengenai ‘jenayah perang’ setelah Afrika Selatan berjaya memfailkan usul tersebut dengan menyifatkan Israel sebagai pelaku ‘genosid’ di Palestin. Bukti-bukti yang dikemukakan itu menjurus kepada kebenaran genosid walaupun Israeal akan terus menafikan sampai kiamat, tindakannya membunuh rakyat Palestin sebagai mempertahankan diri dan menjamin keselamatan.
Keputusan pengundi di PBB juga menjadikan Israel semakin menggelabah apabila semakin banyak negara mendokong Palestin sebagai sebuah negara merdeka dan diterima sebagai ahli PBB pada masa depan. Hal ini akan membolehkan Palestin bersuara lebih lantang di forum antarabangsa, dan Israel tidak lagi dapat menipu dengan membentuk pelbagai provokasi dan manipulasi.
Apabila China berjaya merintis ‘hubungan yang terputus’ antara Iran dan Arab Saudi, Amerika Syarikat terpaksa mencermin semula doktrin utopianya mengenai Perang Dingin, walaupun dikatakan sudah berakhir selepas runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Secara teorinya ia telah tamat, tetapi pada praktisnya ia belum berakhir apabila Amerika Syarikat melancarkan perang perdagangan dengan China pada tahun 2017. Perang Perdagangan itu membawa natijah bahawa Amerika Syarikat yang berusaha mengekalkan hegemoni ekonomi terpaksa mencari helah untuk menyekat penguasaan ekonomi China yang dijangka akan melepasinya dalam tempoh kurang setengah abad lagi.
Pada tahun 2075, kuasa ekonomi Amerika Syarikat dijangka berada di tangga ketiga selepas China dan India. Ini menunjukkan Amerika Syarikat tidak lagi merupakan kuasa besar yang boleh bertindak sebagai ‘polis dunia’ sebaliknya semakin menjadi negara yang sangat memerlukan diplomasi China dan India bagi meneruskan kelangsungannya.
Apabila negara-negara yang membentuk BRICS – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan – semakin mendapat sambutan daripada kebanyakan negara, menyebabkan cengkaman dolar turut mengalami keruntuhan sehingga pada suatu ketika diramalkan akan berada pada nilai ‘tisu tandas’. Ini kerana semakin banyak negara mula melupakan dolar dalam urusan perdagangan dan mula menjadikan pelbagai mata wang sebagai kaedah pembayaran rentas negara, menyebabkan nilai dolar turun dengan drastiknya. Pada ketika ini, nilai dolar masih mampu dipertahankan namun tidak selamanya ia boleh dikekalkan kerana percubaan ke arah pengenyahan dolar semakin luas dilakukan.
Pada suatu ketika, Amerika Syarikat melalui Federal Reserve menaikkan kadar faedah untuk menekan negara-negara membangun, akhirnya terpaksa diakui bahawa strategi itu boleh ‘memakan diri’. Federal Reserve terpaksa mencairkan lebih banyak wang untuk melakukannya, dan ini menyebabkan rakyatnya semakin dihimpit oleh kenaikan kadar inflasi. Akhirnya, usahawan-usahawan Amerika Syarikat terpaksa mencari jalan untuk membolehkan produk mereka bersaing dengan produk keluaran negara lain kerana kos pengeluarannya yang lebih rendah.
Hal ini menyebabkan Amerika Syarikat terpaksa berhempas pulas menjamin kedudukan ekonomi domestik kerana produk import adalah lebih murah berbanding produk yang dihasilkan dalam negara. Tentunya, sebagai langkah sementara Amerika Syarikat boleh melakukan pelbagai sekatan terhadap produk import, tetapi sejauh manakah ia boleh bertahan itulah yang menyebabkan ramai ahli ekonomi curiga, kerana produk Amerika Syarikat juga tidak dapat dijual di luar negara. Itulah yang sedang berlaku dalam pasaran produk kereta elektrik setelah China muncul sebagai pemain utama yang semakin agresif. Hal seperti itu sudah berjaya dilakukan oleh China dalam teknologi telekomunikasi sehingga jenama hebat Amerika Syarikat semakin tenggelam.
Itulah kelebihan China sebelumnya. Kini, China dilihat sebagai kuasa pengimbang yang penting bagi proses damai antarabangsa, yang sudah pun mengambil alih peranan Amerika Syarikat dalam dua kes perseteruan yang berlaku di Timur Tengah. China telah berjaya menjalin semula hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi, dan ketika ini, namanya semakin harum apabila berjaya menyatukan semula perjuangan kemerdekaan Palestin setelah kumpulan-kumpulan yang berpecah dan tidak sehaluan termeterai demi “perpaduan nasional”.
Kekuatan itu mencurigakan Israel, walaupun mungkin Israel akan terus menagih simpati Amerika Syarikat dalam tahun-tahun berikutnya. Apakah ketika resah itu muncul, Joe Biden akan menggunakan kuasa terakhirnya memperkuatkan Israel setelah tidak lagi berhasrat untuk menyertai persaingan untuk mengekalkan penggal kedua berkuasa di Rumah Putih? Joe Biden sudah memutuskan tidak akan bertanding dan menyerahkan persaingan itu kepada Kamala Harris untuk meneruskan saingan berhadapan dengan Donald Trump yang sudah dikalahkan pada pemilihan 2020 lalu.
Donald Trump terkenal dengan sikapnya yang cukup kuat menyokong Israel. Pada masa pentadbirannya, Donald Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota baharu bagi Israel dan berusaha mengajak sekutunya membuka kedutaan masing-masing di pusat pentadbiran baharu itu. Ia juga merupakan satu tindakan yang sangat mual dan jijik oleh masyarakat Muslim, kerana Jerusalem sebahagiannya adalah menjadi kawasan milik Palestin (Jerusalem Timur).
Dengan pengiktirafan itu, Israel akan terus mendepakan provokasi dan penjarahan sehingga seluruh Jerusalem dikuasainya. Inilah yang mungkin merupakan pertimbangan Fatah untuk berdamai dengan Hamas, kerana Fatah sebenarnya dilihat semakin tersepit. Fatah akan menjadi semakin terhimpit jika Donald Trump menang melawan Kamala Harris. Jika kemenangan berpihak kepada Donald Trump, Israel akan terus menyambung dan menjarah Jerusalem sehingga tidak ada lagi keturunan Arab-Palestin di situ, dan hasratnya untuk meruntuhkan Baitul Maqdis akan dilakukan segera.
Itulah mungkin menjadi pertimbangan Fatah untuk bersatu dengan Hamas dan lain-lain aktivis demi kelangsungan Palestin. Fatah mungkin memahami, selagi mereka berada dalam kelompok-kelompok yang berbeza arahnya, selagi itulah mereka akan dikucar-kacirkan oleh Israel. Palestin tidak akan mempunyai kekuatan kerana masing-masing kelompok berusaha menjadikan kedudukannya lebih berkuasa daripada kelompok lain. Itulah sejak termeterainya Perjanjian Oslo, kekuatan perjuangan Palestin dilihat terumbang-ambing sehinggalah muncul Hamas di Semenanjung Gaza.
Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin pada tahun 2006 telah menyebabkan Palestin terbelah dua, iaitu Fatah menguasai Tebing Barat dan Hamas menguasai Gaza. Fatah mula kehilangan arah perjuangan kerana Tebing Barat dikepung oleh Israel dan setiap rangka pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin dikawal rapi oleh Israel. Ini menjadikan Hamas lebih menonjol walaupun Gaza juga telah dikepung oleh Israel. Kepungan ke atas Gaza tidak berlaku sepenuhnya kerana sebahagian sempadannya dikuasai oleh Mesir, terutama di Rafah. Israel perlu memikirkan reaksi Mesir jika ingin melakukan tindakan ganasnya di sempadan Mesir, kerana Mesir akan berusaha mempertahankannya.
Mesir mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Jika hubungan diplomatik itu terputus, Mesir akan dianggap sebagai seteru yang tentunya akan menyebabkan Israel semakin sukar, dan boleh jadi akan mengulangi kemarahan Mesir seperti yang berlaku pada Perang Enam Hari pada tahun 1967. Kalau pun tidak, sekurang-kurangnya Mesir akan bertindak mempertahankan wilayahnya, dan sebahagian wilayah Mesir merupakan sasaran Israel Raya yang sangat diidam-idamkan sejak Pertubuhan Zionis Antarabangsa berhasrat menubuhkan negara Yahudi, sehingga lembangan Sungai Nil dan Lembah Furat (Sungai Eufrat), yang terbentuk melalui pertemuan Sungai Eufrat dan Tigris (Turki, Syria dan Irak).
Bagi pendokong Zionis, Israel Raya itulah yang akan dijadikan sebagai sebuah pemerintahan tunggal yang mana mereka akan berkuasa sepenuhnya ke atas semua umat manusia. Protokol itu, walaupun dinafikan oleh Israel, ia tetap menjadi arah tujuan yang tidak pernah kunjung padam dalam nurani mereka, sebabnya mereka tegas dengan mitos bangsa pilihan, yang diberikan oleh tuhan untuk memerintah dunia. Selagi matlamat itu tidak kesampaian, selagi itulah mereka akan berbuat apa sahaja, biarpun apa yang dijelmakan itu tidak sepenuhnya bersifat keagamaan, sebahagian besarnya adalah bersifat politik.
Apa yang dapat kita pelajari daripada persefahaman semula seluruh kelompok yang bertentangan di Palestin ini ialah ‘demi Palestin’ mereka bersedia berkorban dan bersatu. Ini bermakna kemenangan dari dalam itu akan membolehkan perjuangan mereka menentang kekejaman Israel menjadi lebih lantang dan sepadu. Ia akan membantu masyarakat dunia melihat dengan lebih jelas mengenai kejahatan Israel, dan proses pembuktiannya sudah pun dimulakan.
Sama ada Israel akan ‘mendengar’ atau ‘tidak’ itu sudah dapat diramalkan. Namun apa yang mungkin akan berlaku ialah semakin banyak negara akan memulaukan Israel. Itu merupakan peluang terbaik dan pilihan yang tepat untuk menjadikan Israel semakin hilang secara organiknya, semakin berganda-ganda pariahnya.
Sikap melampau Israel semakin dibenci oleh masyarakat antarabangsa tatkala dalam perkembangan terbaharu, Knesset telah membuat keputusan mengkategorikan UNRWA sebagai kumpulan pengganas kerana memberikan bantuan dan melaksanakan program kemanusiaan kepada masyarakat Palestin yang dihimpit perang.
Israel melihat sedemikian kerana UNRWA mengeluarkan laporan, berita-berita yang cukup menyakitkan Israel termasuk kezaliman membunuh penduduk awam Palestin, membumihanguskan rumah-rumah dan khemah pelarian, memusnahkan hospital dan menyekat bantuan ubat-ubatan, menyekat bantuan makan sehingga kanak-kanak Palestin membesar dalam keadaan malnutrisi (kekurangan zat makanan), kanak-kanak tidak dapat bersekolah (sekolah dibom, kem pelarian di bedil dan tiada lagi kawasan selamat), dan lebih menakutkan ialah pencerobohan ‘kawasan selamat’.
Israel kekal sebagai penjahat yang paling brutal apabila meminta penduduk Palestin berpindah ke kawasan selamat (disyorkan oleh Israel) dan ketika mereka berpindah, Israel mengebomnya. Itulah yang sangat tidak dapat diterima, dari Utara diarahkan berpindah ke Selatan, kemudian Selatan digugurkan bom). Israel juga dilaporkan telah menjatuhkan bom berkali ganda daripada jumlah bom yang dijatuhkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dalam Perang Dunia II.
UNRWA pernah mendapat ancaman Israel, ia mungkin akan mengulangi apa yang pernah Israel lakukan ke atas misi kemanusiaan Flotila Gaza (2010) dan sebelumnya membunuh Rachel Corrie dengan menggunakan jentolak apabila hadir sebagai sukarelawan di Gaza (2003). Senarai itu akan menjadi lebih panjang apabila UNRWA sekarang menjadi sasaran Israel tanpa peduli bahawa pertubuhan itu mendapat restu PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Bahkan, anggota PBB turut dibedil oleh tentera Israel, walaupun dipastikan lebih awal secara jelas, tujuan mereka ialah menyelesaikan konflik bukannya menyebelahi mana-mana pihak. Israel menganggap ‘mereka’ itu adalah musuh, kerana kehadiran mereka menyebabkan tindakan ganasnya diketahui dan dapat dibuktikan dengan jelas. Ia menjadi kemarahan yang melampau apabila badan-badan antarabangsa itu turut mengeluarkan kenyataan bahawa penduduk Palestin semakin menderita ekoran serangan Israel di luar batas undang-undang dan nilai kemanusiaan. Israel malu dengan sikapnya yang tidak berhati perut, walhal tindakannya seumpama sekumpulan singa lapar biarpun beberapa jam sebelumnya sudah membaham seekor unta seberat 500 kilogram. Sekali makan tidak cukup dengan 10 kilogram, kerana singa lapar itu mahukan sekurang-kurangnya seekor unta yang sama bagi setiap daripada mereka.
Apa yang sangat diharapkan, Hamas, Fatah dan keseluruhan pejuang Palestin mengotakan apa yang dihasratkan dan berjaya dibina melalui perantaraan China itu. Seluruh dunia mengharapkan bahawa Palestin itu hanyalah satu, bukan Fatah, Hamas mahupun Jihadi Islam. Siapa pun yang berkuasa nanti, perlulah mengaplikasikan penyatuan itu, bukan saling bersaing sehingga boleh memunculkan semula perpecahan.
Dunia telah banyak menyaksikan perbalahan akibat perpecahan politik, dan krisis di Sudan cukup memberikan pengajaran, tanpa adanya ‘kesatuan fikrah’ negara akan hancur. Palestin telah mengalami keadaan itu, sehingga Israel semakin besar kepala dan sombong, kerana berjaya membelahnya.
Dengan ‘penyatuan’ kali ini, ia menjadi sesuatu mungkin sukar untuk Israel walaupun kekuatan senjatanya masih kekal, tetapi semangat juang tenteranya sudah semakin hilang, bahkan ada di antaranya mula menyoal: Untuk apakah mereka berperang?
Mungkin, setelah Gaza, Israel akan berperang lagi dengan Hizbullah, Houthi dan juga Iran. Jika peperangan ini berlanjutan, ia akan menyebabkan psikologi tentera Israel akan menurun dengan drastiknya, sebab sebahagian anak muda yang dipaksa menjadi tentera mula melahirkan rasa kecewa kepada keputusan Benjamin Neetanyahu. Rintihan dan rasa kecewa itu setakat ini berjaya disembunyikan, tetapi tidak selama-lamanya akan dapat dilakukan.
Suatu masa nanti, rasa kecewa itu akan terluah di mana-mana, kerana setiap orang muda merasakan diri mereka terpenjara dengan hasrat politik ‘gila kuasa’ dan narsistik pemimpin-pemimpin mereka sejak bermulanya ideologi politik Zionisme.
Walaupun kejayaan hakiki Palestin masih jauh, dengan penyatuan ini akan memberikan kekuatan baharu untuk terus memerdekakan negara sendiri daripada settler colonialism yang terkenal kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan itu. Sesungguhnya, tindakan sombong dan bongkak akan hancur dengan sendirinya, kebencian dunia akan terus membengkak dan menyebabkan Israel terkucil.
MAHANOR SALEHA
Recent Comments