Cuba kita bayangkan, bagaimana sepi dan rindu seorang ibu apabila anak-anaknya pulang sama ada pada hujung minggu atau di musim-musim cuti (perayaan). Apakah emosi ibu terganggu bila si anak menghadiahkan sesuatu ketika menyambut hari kelahiran atau ulang tahun perkahwinan ayah dan ibu.

Apakah seorang ayah tidak merasa tenang dan senang apabila ada anak yang bersedia membawanya jalan-jalan makan angin atau memberikan kata semangat tatkala diuji dengan penyakit?

Apakah hati seorang ibu ‘tidak berbunga-bunga’ apabila saat hidupnya sepi ‘keseorangan tinggal digubuk yang penuh kenangan’ tatkala gubuk itu dipenuhi keriuhan anak-anak, menantu dan cucu-cucu bertandang walaupun beberapa hari?

Itulah gambaran yang sangat mengukur hari-hari depan semasa kita hidup dalam usia tua. Saya cuba petik beberapa petikan yang menggambarkan bagaimana tekad seorang menantu berbakti kepada mertuanya yang sangat berusia dan nyanyuk.

Tentunya, gambaran itu tidak akan hadir sebagai ‘bakti’ sekiranya tidak mempunyai anak sendiri. Akiko, walaupun adalah menantu, hatinya mula tersentuh apabila beberapa kali berkunjung ke rumah orang tua, dan akhirnya membuat keputusan untuk menjaganya mertuanya, Shigero yang berusia 84 tahun dan nyanyuk.

Keadaan menjadi semakin teruk setelah kematian isterinya, dan kerana Shigera tidak lagi mengenali anak-anaknya serta dapat menguruskan diri. Seluruh hari-hari yang dilalui oleh Akiko cukup menyebabkan dirinya keletihan dan kadangkala lesu. Apa tidaknya, membuang najis di merata-rata dan membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang tua.

Namun, Akiko menerima semuanya dengan sabar dan penuh yakin, itulah pengabdiaannya yang paling besar dalam hidupnya, berbakti kepada orang tua sehingga merasakan seperti ‘berbakti kepada tuhan.” Tuhan menguji kesabaran dan kekentalan semangat dengan hadirnya bapa mertua yang nyanyuk.

Itulah nilai yang cukup menarik, kerana Islam turut meletakkan walaupun seseorang itu jatuh cinta, berkahwin dan hidup sebagai pasangan keluarga, khidmatnya tidak hanya antara suami isteri dan anak-anak.

Ibu dan bapa mertua seperti juga ‘ibu dan bapa kandung’; sesebuah perkahwinan itu turut bersama ‘ahli keluarga’, bukan di sebaliknya.

Setiap kali saya menukar kain lampin ibu mertua saya, dia akan menangis dan berkata dia hendak mati cepat. Dia tentu merasakan dia membebani saya. Dahulu ketika dia menyeksa saya, saya benar-benar membencinya. Tetapi, sebagaimana kata Puan Tachibana dahulu, kita semua akan meningkat tua, jadi saya mula berfikir saya juga mungkin akan menjadi seperti dia juga suatu hari nanti.

“Sewaktu saya pergi melawat rumah orang tua, pandangan saya terhadap mereka mula bertukar. Saya merasa kalau saya menjaga ibu mertua saya dengan baik, saya juga akan dijaga dengan sempurna apabila tua nanti. Mungkin apa yang saya katakan itu tidak logik.’

Sebenarnya saya mempunyai pendapat yang sama. Saya tidak tahulah sama ada ia berkaitan dengan kepercayaan atau agama, tapi dengan menjaga bapa mertua saya ini, saya berasas seolah-olah saya berkhidmat kepada tuhan.” (Sawako Ariyoshi, Meniti Senja, terjemahan Tahiyibah Sulaiman daripada Kohotsu no hito (1972) K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hal. 402).

Kenapa saya mengambil cerita tersebut? Saya mengambilnya kerana dalam kehidupan pasangan tanpa anak, hal seperti itu jarang berlaku, sebaliknya setelah pasangan yang tidak ‘mahukan anak’ menjadi tua, masa-masanya terlalu ‘sepi’ dan sangat bersendirian.

Ketika itulah hati akan berkata: Alangkah baiknya jika saya mempunyai anak! Kalau ada pun, ia hanyalah atas belas ihsan oleh orang lain, ataupun terus menghabiskan sisa usia di rumah orang tua-tua.

Namun, ada sikap dan pendirian anak-anak, kerana tidak sanggup ‘berbakti kepada ibu bapa’ bersedia menghantar orang tua ke rumah jagaan orang tua-tua, hanya sesekali datang melawat.

Ada juga anak-anak tidak datang melawat, walaupun anak-anaklah yang membuat keputusan menghantar orang tua sendiri ke rumah jagaan orang tua-tua. Ia merupakan satu tindakan yang tidak memperlihatkan tanggungjawab, walhal sepanjang hayatnya, orang tua mengorbankan keselesaan diri untuk membolehkan anak-anak mendapat keperluannya yang terbaik.

Jika orang tua diuji dengan kehadiran anak-anak dalam makna amanah, anak-anak pula akan diuji dengan orang tuanya setelah mereka ‘meniti senja’. Ujian itulah yang akan menentukan sejauh manakah orang tua dan anak-anak menjadi insan yang memenuhi tanggungjawabnya terhadap agama, sosial dan kemasyarakatan.

Anak yang berbakti kepada orang tua akan menjadi ‘sebutan’ masyarakat manakala ibu bapa yang berjaya membesarkan anak-anak dengan cemerlang, akan dilihat berjaya dalam peranannya sebagai ‘keluarga’.

Kita mungkin sangat kagum dengan kisah Uwais al-Qarni berbakti seluruh hidupnya kepada ibu dan dalam masa yang sama, tidak meninggalkan amal ibadat.

Atas baktinya, Uwais sanggup menggendung ibunya yang sudah renta, kerana ibunya berhasrat mengerjakan haji. Kisah Uwais al-Qarni cukup harum sehingga beliau dikatakan salah seorang penghuni syurga.

Di mata masyarakat, dan juga Allah SWT, sikap itulah yang sepatutnya hadir dalam diri setiap orang, kerana setiap orang akan mengalami fasa-fasa kehidupannya, termasuk saat ‘meniti senja’ yang kadangkala ‘menjadi kanak-kanak sekali lagi’, bukan kerana usianya, tetapi kerana tingkah laku dan pemikirannya.

Menariknya lagi, jika anak-anak yang dilahir, dididik dan dibesarkan rasa bertanggungjawab kepada ibu bapa dan sentiasa berdoa agar ‘diampunkan kesalahan’ tatkala kedua orang tuanya meninggal.

Jika pasangan tidak mempunyai anak, siapakah yang akan menitip doa kepada mereka? Mungkin ada kawan-kawan, kenalan dan sahabat, tetapi doa seorang anak adalah lebih cepat diterima daripada orang lain, terutama anak yang sholeh.

Warga tua hidup bersendirian – Empty Nest Syndrome – semakin berkembang dalam masyarakat Malaysia, sebagaimana dirumuskan oleh Laporan Kajian Penduduk Keluarga Malaysia ke-5 yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sepuluh tahun lalu (2014).

Kesepian ketika usia tua, atau dalam istilah Jepun, kodokushi ialah ‘hidup sepi, mati keseorangan’, di mana dua daripada seribu perkahwinan berakhir dengan penceraian pada tahun 2017 dan ia lebih rendah daripada Rusia, iaitu 4.8 penceraian bagi setiap 1,000 perkahwinan. (saya pernah menyoroti fenomena penceraian di usia tua dalam, Kamarun KH, “Semakin Lama Semakin Pelek”, https://omiw.com.my, 18 November 2020).

Ditemukan bahawa 34.2 peratus (satu pertiga) warga emas di Malaysia pernah berhadapan dengan sindrom kesunyian. Ia disebabkan berlakunya perubahan struktur keluarga, psikososial dan gaya hidup.

Lebih membanggakan, jangka hayat penduduk semakin bertambah, kesan daripada kesedaran kendiri (mengamalkan gaya hidup sihat) dan sistem sokongan (juga rawatan) kesihatan yang baik dalam menangani isu-isu kesihatan warga emas.

Pada tahun 1970, jangka hayat penduduk ialah 61.6 tahun bagi lelaki dan 65.6 tahun untuk lelaki. Keadaannya bertambah baik pada tahun 2016, iaitu 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita.

Bagaimanapun, jangka hayat penduduk menurun sedikit pada tahun 2022, iaitu 70.8 tahun bagi lelaki dan 75.6 tahun bagi wanita, di mana penurunan ini berlaku dalam kalangan berusia 15 tahun, 60 dan 65 tahun. (mStar.com.my, 1 Oktober 2022). Ia mungkin ekoran berlakunya kematian yang besar akibat pandemik COVID-19 yang mana tahun 2022 mencapai kemuncaknya.

Menurut takrifan, pada tahun 2030, Malaysia berada dalam Negara Tua di mana penduduk yang berusia 60 tahun ke atas akan mencapai 15.3 peratus daripada jumlah penduduk. Biarpun pertambahan penduduk menjadi lebih perlahan sejak tahun 1970 (3.6 peratus) kepada kurang 2 peratus setahun, ia disebabkan oleh kadar kesuburan bagi seorang wanita dalam tempoh rerproduktif menurun 1.7 bayi (2020) daripada 4.9 bayi (1970). TFR ini merupakan yang terendah dalam tempoh lima dekad (50 tahun). (Malaysia Now, 12 Julai 2024).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »