Mengimbas sejarah, DUN Nenggiri yang berada dalam Parlimen Gua Musang sejak tahun 2003 menjadi kubu kuat BN. Ia merupakan sebagai salah satu daripada tiga kerusi yang terdapat di Gua Musang. Pertama kali dipertandingkan pada PRU ke- 11 (2004) dan dimenangi oleh Mat Yusof Abdul Ghani (UMNO/BN). Pada PRU ke-12, penyandangnya ialah Abdul Aziz Yusof (UMNO/BN) sebelum kalah dengan majoriti 810 undi kepada calon Bersatu (PN) pada PRN yang diadakan pada bulan Ogos 2023.
Begitu juga dengan kekuatan UMNO/BN Gua Musang yang dikuasai oleh Tengku Razaleigh Hamzah sejak ia diwujudkan pada tahun 1974. Sebelumnya, Gua Musang berada dalam konstituensi Hulu Kelantan. Sejak Parlimen Gua Musang dipertandingkan sebagai sebuah konstituensi baharu (PRU ke- 7, 1976) ia dimenangi oleh UMNO/BN.
Ia juga menandakan bermulanya penguasaan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penyandangnya selama lapan penggal. Pada PRU ke-15, buat pertama kalinya Tengku Razaleigh atau Ku Li tewas kepada calon Bersatu yang menggunakan logo PAS dengan majoriti 163 undi. Kededua penyandang – Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri – adalah orang yang sama, iaitu Mohd Azizi Hasan. Ia menjadi sejarah, Gua Musang bukan lagi menjadi kubu yang kebal bagi UMNO/BN walaupun Tengku Razaleigh Hamzah masih memimpin parti tersebut.
Tengku Razaleigh telah memimpin UMNO sejak tahun 1974, dan beralih seketika sebagai kepada Parti Melayu Semangat ’46 (1988 hingga 1985) sebelum kembali semula kepada UMNO pada tahun 1996. Ertinya, legasi kepimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang cukup lama dan besar berbanding lain-lain pemimpin, sudah melangkaui setengah abad (50 tahun).
Nenggiri, di dalamnya ada sebuah tempat bernama Bertam Baru. Bertam Baru merupakan pusat pentadbiran pertama sebelum dipindahkan ke pekan Gua Musang. Sekolah Kebangsaan Bertam Baru merupakan sekolah pertama yang dibina di Gua Musang (1946). Pada tahun 1976, Gua Musang diisytiharkan sebagai jajahan (daerah kecil) di Kelantan. Ia dipisahkan dengan jajahan Kuala Krai, sebelumnya dikenali sebagai Hulu Kelantan. Pada tahun 1977, daerah Gua Musang diisytiharkan sebagai daerah penuh.
Gua Musang merupakan daerah yang terbesar di Kelantan, merangkumi kawasan seluas 7,979.77 kilometer persegi. Dibahagikan kepada tiga mukim (daerah), iaitu mukim Bertam, mukim Chiku dan Galas. Nenggiri berada dalam mukim Bertam. Pekan Gua Musang berada dalam DUN Galas, manakala kawasan yang ladang kelapa sawit (FELDA Chiku) berada dalam mukim Chiku, yang boleh direntasi hingga ke Air Terjun Kenyir, Kuala Berang, Terengganu.
Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut (keputusan PRU ke-15) dan memfailkan petisyen ke mahkamah. Namun, mahkamah telah membuat keputusan mengekalkan kemenangan tipis Mohd Azizi Abu Hassan. Pada PRN hampir setahun lalu, Mohd Azizi dipilih untuk mewakili Bersatu/PN bertanding di DUN Nenggiri, dan berjaya merampasnya daripada terus dikuasai oleh UMNO/BN.
DUN Kelantan kemudiannya mengisytiharkan kerusi Nenggiri ‘kosong’ apabila Bersatu mengemukakan usul “kerusi itu kosong” setelah penyandangnya beralih sokongan kepada PM X, Anwar Ibrahim. Speaker DUN Kelantan, yang juga bekas Timbalan Menteri Besar yang cukup sinonim dengan jawapan “kilas” dan pandangan “semberono dan poyo” atau dalam istilah loghat Kelantan “kecek hodoh”, Datuk Nik Muhammad Amar Abdullah pada 13 Jun lalu berlaku kekosongan.
Ia diputuskan berdasarkan Perkara 31(A) Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, ia menjadi kosong setelah penyandangnya dipecat oleh parti yang diwakilinya atas sebab-sebab melanggar disiplin atau menyokong parti lain. Azizi sebenarnya tidak meyokong parti lain, tetapi menyokong kepimpinan Perdana Menteri. Perdana Menteri pula tidak separti dengan parti yang disertai oleh Azizi.
Keputusan di Kelantan tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat dan DUN Selangor yang mempunyai kes yang sama. Dewan Rakyat tidak menerima usul daripada Bersatu untuk diisytiharkan berlakunya kekosongan bagi enam kerusi Parlimen yang disandang oleh wakil rakyat Bersatu yang dikatakan ‘berpaling tadah.
Kerusi-kerusi itu ialah Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hasan Hafiz Syed Abdul Fasal), Labuan (Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman), Jeli (Zahari Kecik), Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), Kuala Kangsar (Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan Tanjung Karang (Datuk Dr Zulkafperi Hanapi). Keputusan itu dibuat pada 9 Julai 2024.
Tuntutan untuk diisytiharkan ‘kosong’ dibuat berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Malaysia yang diluluskan pindaannya pada tahun 2022, ketika Akta Anti Lompat Parti 2022 diluluskan. Namun, pada Perkara 49 (A) (3), Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan keenam-enam kerusi tersebut ‘tidak kosong’, bermakna usul yang dibawakan oleh Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee ditolak.
Ekoran penolakan tersebut, Speaker didakwa ‘tidak berlaku adil’ dan menggambarkan bahawa kerajaan PH-BN ‘takut kalah’ jika berlakunya PRK di enam kerusi terbabit. Speaker Dewan Rakyat keesokannya menjawab dakwaan yang dibuat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa dirinya “bukanlah posmen” yakni menerima bulat-bulat apa yang diberikan ahli Dewan Rakyat kepadanya.
Dua hari selepas itu (11 Julai 2024), Speaker DUN Selangor memutuskan tidak berlaku “kekosongan luar jangka” bagi DUN Selat Kelang, dan penyandangnya, Datuk Abdul Rashid Asari kekal sebagai wakil rakyat. Ia dibuat berdasarkan munculnya tindakan “pemecatan terancang” di bawah operasi Perkara 65A (2) (C) Perlembagaan Negeri Selangor.
Episod itu dijangka akan diheret sedikit sebanyak dalam kempen PRK DUN Nenggeri. PRK Nenggeri ditetapkan pada 17 Ogos 2024. UMNO kekal diberi peluang bertanding dan mempertaruhkan tokoh muda, Mohd Azmawi Fikri, Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan juga merupakan anak tempatan, dikenali ramai di Gua Musang.
Apakah tarikh 17 Ogos itu akan menjadi sesuatu yang menarik kerana ia dapat dihubungkan dengan peristiwa besar bagi negara, sambutan Bulan Kemerdekaan ke-67? Menjelang sambutan kemerdekaan 2008, diadakan PRK Permatang Pauh (26 Ogos 2008) manakala menjelang sambutan pada tahun lalu, diadakan PRN di enam buah negeri (12 Ogos 2023) –Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang – yang tidak membubarkan DUN masing-masing untuk membolehkan diadakan pilihan raya serentak dengan PRU ke-15 (19 November 2022).
PN belum memutuskan dengan rasminya parti manakah yang akan mewakilinya dan ada ura-ura yang cukup kuat menuntut agar wakil PAS dicalonkan. Asasnya, kemenangan Bersatu pada PRN lalu kerana gabungan itu menggunakan logo PAS, di mana PAS sudah lama bertapak (di Gua Musang). Bersatu belum mempunyai jentera pilihan raya yang lengkap di Gua Musang. Bersatu menang kerana menumpang pengaruh PAS.
Bagaimanapun, di peringkat pucuk pimpinan PN, sudah ada persetujuan bahawa calon Bersatu akan bertanding. Asasnya, kerana pada PRN lalu, calon Bersatu memenanginya. Ramai penyokong PAS mengimbas kembali, kemenangan calon Bersatu disebabkan oleh kerja kuat jentera kempen PAS. Jadi, oleh kerana Bersatu menumpang besar pengaruh dan jentera parti PAS, maka calon parti itulah sepatutnya diberikan peluang.
Pada PRK kali ini, peringkat pusat telah memutuskan Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengarah PRK DUN Nenggiri. Tengku Razaleigh berkata, biarpun lututnya terketar-ketar dia akan tetap mengambil tanggungjawab tersebut, yang pada perkiraannya, ingin bersara daripada politik. Sudah beberapa kali beliau mengatakan hal itu, hingga sekarang kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Gua Musang. Alasannya, mungkin kerana belum ada calon yang benar-benar layak menggantikannya.
Tentunya, dengan melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah PRK DUN Nenggiri, sedikit sebanyak akan menggerunkan jentera kempen PN, kerana penyandang kerusi wakil rakyat Gua Musang selama lapan penggal itu cukup sebati dengan masyarakat Gua Musang, yang pada suatu ketika dianggap sebagai ‘tempat jin bertendang’ tetapi kini menjadi sebuah zon pertumbuhan ekonomi pertanian komersial penting di Kelantan.
Bahkan, kerajaan PAS turut terpalit dengan isu konsesi ladang musang king (di Gua Musang) seluas ribuan ekar yang diberikan kepada usahawan daripada China. Ia memperlihatkan pendirian yang berkonflik dengan doktrin lama politik PAS sendiri, tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam (orang kafir) dan fragmen politik setelah bekerjasama dengan Bersatu, iaitu hanya PN sahaja yang mampu mempertahankan ketuanan Melayu-Islam.
Pada suatu ketika, Tengku Razaleigh pernah berhasrat untuk menjadikan Gua Musang sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu, disebabkan kapasiti dan potensi, mempunyai tanah yang masih luas dan sumber mineral berharga. Ini kerana daerah-daerah lain seperti Kota Bharu sudah tersangat tepu untuk berkembang, termasuk masalah tanah-tanah yang boleh dibangunkan semula untuk mempelbagaikan sumber ekonomi.
Pernah dicadangkan untuk dibangunkan sebuah lapangan terbang di Gua Musang, yang cukup berpotensi dijadikan sebagai pusat ekopelancongan, dengan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat. Rancangan itu didokumenkan dalam Pembangunan Kelantan Selatan dan dirangka pada awal tahun 1980-an. Ketika itu, Tengku Razaleigh adalah Menteri Kewangan. Namun, sedikit sebanyak perancangan itu tertunda perlaksanaannya apabila Tengku Razaleigh dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ekoran kekalahannya merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk pusingan kedua (1984).
Pada tahun 1987, Tengku Razaleigh mencabar jawatan Presiden UMNO, namun beliau kalah dengan 43 undi. Kekalahan itu dianggap sebagai ‘malang’ untuk rakyat Kelantan, kerana sokongan daripada pemimpin UMNO Kelantan tidak solid. Setelah kalah, Tengku Razaleigh meletakkan jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri. Sejak itu, Tengku Razaleigh terkeluar daripada koridor kuasa walaupun pada tahun 1995 beliau membubarkan Parti Melayu Semangat ’46 dan memutuskan tidak lagi bersama Angkatan Perpaduan Ummah (berganding dengan PAS). Episod itu kemudian terus dikembirikan oleh kepimpinan UMNO walaupun diterima menyertai semula UMNO.
Percubaanya untuk kembali menempatkan diri dalam koridor kuasa politik UMNO pada tahun 2018 terbantut apabila kalah bertanding. Kekalahannya dikatakan ada kaitannya dengan sikap dan pendirian Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Khairy Jamaludin yang ikut memasuki pertandingan merebut jawatan yang sama. Walaupun kalah, sebagai orang yang cukup berpengalaman dan kental dengan semangat penubuhan UMNO, Tengku Razaleigh terus diberikan amanah untuk menasihati pemimpin UMNO bagi mengembalikan semula keyakinan orang Melayu.
Sejak kekalahan besar pada PRU ke-12, sokongan orang Melayu terhadap UMNO dilihat semakin menipis, dan ditambah pula dengan adanya kerjasama dengan DAP, yang merupakan komponen penting PH dalam membentuk kerajaan perpaduan selepas tidak ada mana-mana parti (atau gabungan parti) yang melepasi majoriti mudah. DAP adalah musuh UMNO sejak sekian lama, bahkan minda orang Melayu sudah berakar dengan naratif ‘bencikan DAP’.
PRU ke-15 dilihat sebagai kejatuhan kedua terbesar buat UMNO/BN setelah hilang empat buah negeri ke tangan Pakatan Rakyat pada tahun 2008. Negeri-negeri itu ialah Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak, serta gagal merampas Kelantan sejak kalah pada tahun 1990. Namun, kemenangan Pakatan Rakyat di Perak berakhir selepas 11 bulan berkuasa apabila tiga wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada BN (Februari 2009).
Pada PRU ke-15, UMNO hilang kuasa di Perlis, Negeri Sembilan dan hampir tersemban di Pahang dan Perak. Kedudukan UMNO/BN terus menjadi bahan sindiran apabila tidak mampu mempertahankan kedudukan kerusi-kerusi yang dimenangi pada PRU ke-14 dan PRN bulan Ogos lalu, UMNO/BN turut kecewa di Pulau Pinang.
Di peringkat pusat, keputusan PRU ke-15, UMNO/BN hanya memiliki 26 kerusi. Ia merupakan pencapaian terburuk UMNO sejak tahun 1959. UMNO/BN turut kecundang untuk membentuk kerajaan di Perak dan Pahang jika tanpa gandingan kerjasama parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan. UMNO/BN hanya mampu tersenyum walaupun kelihatan giginya yang sumbing di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. MB Negeri Sembilan menjadi milik PKR, manakala wakil tunggal UMNO di Pulau Pinang tidak dilantik menduduki sebarang kerusi EXCO. Selangor juga UMNO terpaksa ‘menggaru-garukan’ parut lukanya yang tidak pernah sembuh sejak PRU ke-12 (2008).
Hanya masih boleh senyum lebar di Melaka dan Johor, di mana ketika diadakan PRN UMNO keyakinan pengundi dilihat mulai pulih. Kesemuanya akan menjadi latar belakang kempen yang bakal dilaksanakan oleh PAS dan Bersatu, sebagai gambaran seolah-olah UMNO tidak relevan lagi kepada orang Melayu-Islam. UMNO akan digambarkan seumpama sebuah parti yang ‘nazak’ dan sedang hancur dari dalam tubuhnya sendiri.
Sejak berganding bahu dengan Bersatu, PAS mula memperkatakan tentang orang Melayu, sedangkan sebelumnya ada kata-kata sinis tidak bangga jadi orang Melayu, yang amat dibanggakan ialah Islam. Seolah-olah PAS sedang melihat semula perjuangan politik awal parti itu yang dicetuskan oleh Dr Burhanudin Helmy (1911-1969) dan Dr Zulkifly Muhammad (1927-1964) mengenai persoalan orang Melayu.
Bagi PAS, orang Melayu tidaklah sepenting orang Islam. Ia menjadi falasi yang sangat mengakar dalam perjuangan politik PAS, tetapi kini bercakap semula mengenai falsafah politik Melayu setelah sedar, Islam di Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan orang Melayu, sama ada dalam amalan budaya mahupun perspektif undang-undang. Orang Melayu ditakrifkan sebagai ‘beragama Islam’ dan ‘mengamalkan adat istiadat Melayu’, sedangkan Islam adalah agama melangkaui kaum atau etnik.
Dua continuum itu masih belum dipisahkan sejarah jelas oleh etos politik Melayu. Namun, keupayaan kuasa orang Melayu semakin terbelah. Pertama dibelahi oleh ideologi politik PAS yang mengkafirkan mana-mana parti yang bekerjasama dengan bukan Islam (muncul sejak tahun 1964 di Pasir Mas, Kelantan). Ia kemudian menjadi semakin parah apabila doktrin itu membentuk Fatwa atau Amanat Haji Hadi pada tahun 1982.
Pertengahan 1980-an, edisi perpecahan masyarakat Melayu semakin melebar apabila berlakunya sembahyang dua imam, pemulauan aktiviti sosial akibat perbezaan politik (penceraian, pulau memulau – kenduri, majlis penduduk, terputusnya silaturahim- dan sembahyang dua imam).
Selain itu, selepas bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), ekoran kegagalan membentuk kerajaan selepas PRU ke-15, mereka mendakwa bahawa ‘kedudukan Melayu-Islam terancam’ di bawah gandingan PH-BN. Sebabnya, kesemua wakil rakyat PN adalah Bumiputera Islam, sedangkan wakil rakyat yang menyertai kerajaan perpaduan turut dikuasai oleh bukan Bumiputera dan bukan Islam.
PAS mungkin sengaja mahu menyembunyikan bahawa salah seorang pemimpin tertinggi Bersatu adalah Bumiputera bukan Islam, yang berasal daripada Sabah. Beliau ialah Dr Ronald Kiandee, yang menjawat jawatan Naib Presiden Bersatu dan Ketua Whip Bersatu. Beliau berasal dari rumpun Kadazan-Dusun-Murut. Ini bererti dakwaan semua wakil rakyat PN adalah Bumiputera Islam adalah tidak betul, Ronald Kiandee (wakil rakyat Beluran, Sabah) adalah Bumiputera bukan Islam.
Falasi itu dipropagandakan dengan rancak, namun setelah terduduk dengan apa yang turut menjadi rakan kerjasama PN, iaitu keahlian Gerakan yang tidak semuanya Bumiputera Islam dan jumlah menteri kerajaan perpaduan majoritinya Bumiputera, PN terceduk dengannya. Dakwaannya bahawa hanya PN sahaja yang boleh mempertahankan ketuanan politik Melayu-Islam di Malaysia semakin sukar diterima.
Ia menjadi sesuatu yang ‘cukup malang’ apabila munculnya kes yang dikaitkan dengan Program Jana Wibawa semasa PN berkuasa. Ada kelibat usahawan bukan Bumiputera menjadi sebahagian agihan projek-projek yang dikatakan untuk membantu nasib Bumiputera ketika tidak ada sumber pendapatan semasa negara dilanda pandemik COVID-19. Skandal itu masih dalam peringkat awal perbicaraan, tetapi sedikit sebanyak telah menjejaskan imej Bersatu. Beberapa orang pemimpin tertinggi Bersatu dihadapkan dengan dakwaan salah guna kuasa, menggubah wang haram dan menerima rasuah sebagai ‘pelobi’ dan ‘membantu kontrak mendapatkan projek’.
UMNO/BN agak sukar untuk menafikan dakwaan tersebut apabila sedia bekerjasama dengan DAP yang merupakan musuh tradisinya sejak parti itu ditubuhkan selepas Singapura keluar daripada gagasan Malaysia. Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Pengerusi BN pernah berkata bahawa selama 22 tahun ahli UMNO dididik membenci DAP oleh Dr Mahathir. Dr Mahathir kini merupakan penasihat bagi empat buah negeri yang diperintah oleh PAS (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis).
Sehingga kini, peranan Dr Mahathir sebagai penasihat di empat buah negeri tersebut belum membuktikan kejayaan, termasuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga Kedah meminta agar Sarawak menanggung sebahagian kos membawa atlik dan peralatan untuk menyertai SUKMA 2024 di Sarawak. Permohonan Kedah itu telah dilihat sebagai satu bentuk kegagalan Kedah di bawah kepimpinan Sanusi Mohamad Noor, panglima perang PAS dan juga Pengarah Pilihan Raya PN gagal walaupun kepimpinannya sudah memasuki tahun keempat selepas Mukhris Mahathir dipaksa meletakkan jawatan kali kedua (16 Mei 2020).
Walaupun Sanusi berjaya memunculkan kepimpinan politik terbaik buat PAS di Kedah setelah berjaya memenangi 33 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan (91.7 peratus), ketiga terbaik selepas Terengganu yang menyapu bersih 32 kerusi (100 peratus) dan Kelantan. Kelantan yang menjadi kubu kuat PAS berada di tangga kedua apabila PN berjaya menang 43 daripada daripada 45 kerusi yang dipertandingkan (96 peratus).
UMNO hanya menang satu kerusi (Galas, dalam Parlimen Gua Musang) dan Amanah satu kerusi (Kota Lama, Kota Bharu). Bersatu yang pertama kali bertanding sebagai gabungan dalam PN memenangi 6 kerusi. Ertinya, UMNO masih terus bertapak di Gua Musang, dan bukanlah suatu usaha yang mudah untuk PN kekal menyandang kerusi DUN Nenggiri.
Ketika ini, Bersatu belum memutuskan calon yang akan membawa cabaran tersebut. Terdengar ura-ura bakal mencalonkan sama ada Sheikh Razali Ahmad atau Sun Najaman Muhammad. Sheikh Razali adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, manakala Sun Najaman adalah penggawa di Dabong. Jika dicalonkan, Sun Najaman akan meletakkan jawatan sebagai penggawa Dabong.
Sepintas lalu, ramai yang mahukan Sun Najaman yang berkelulusan Diploma Perakaunan (UiTM Machang) dan anak peneroka Sg Asap, berbanding Sheikh Razali, yang hanya berkelulusan SPM. Jadi untuk mengekalkan undi peneroka (dikatakan undi yang telah memenangkan Bersatu pada PRN lalu), ramai yang mengharapkan Sun Najaman dipilih mewakili Bersatu. Bersatu masih melakukan konsultasi dengan PAS, kerana parti itu sangat memerlukan kehadiran jentera kempen PAS bagi membantu kempen. Jumlah keahlian Bersatu di Gua Musang tidak diketahui dengan jelas.
Kemenangan Bersatu pada PRN yang lalu adalah disebabkan berlakunya penolakan ahli UMNO terhadap pemimpin mereka, atau dengan kata lain, berlaku krisis keyakinan setelah Tengku Razaleigh tewas pada PRU ke-15 dengan majoriti tipis, dan sanggahan terhadap kemenangan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi, Kota Bharu pada 5 September 2023. Mahkamah Rayuan Persekutuan pada 5 Disember 2023 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, maka kekallah Mohd Azizi sebagai wakil rakyat Gua Musang.
Bagaimanapun, pada awal November 2023, Azizi secara terbuka menyatakan sokongan kepada PM X atau kerajaan madani, maka isu ‘kekosongan kerusi’ mula diperkatakan, dan turut dikaitkan dengan ketetapan Akta Anti Lompat Parti 2022. Namun, Akta Anti Lompat Parti, ketika dibahaskan tidak disertai perbahasan Bersatu kerana ‘takut’ dengan bayang-bayang hitamnya, Bersatu adalah parti yang paling banyak menghimpunkan ‘katak’ terutama daripada UMNO/BN dan PKR.
Bagaimanapun, setelah hal yang sama berlaku kepada wakil rakyat Bersatu, parti itu mengambil keputusan untuk meminda perlembagaan parti dan pindaan itu diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), dikuatkuasakan mulai 1 April 2024. Ini bermakna, beralihnya tujuh wakil rakyat menyokong PM X, dilihat tidak relevan dengan perubahan perlembagaan parti kerana mereka ‘berpaling tadah’ sebelum pindaan dilakukan dan boleh dikuatkuasakan.
Pada satu perspektif, ia menunjukkan ada ‘pemecatan terancang’ dan atas dasar itulah Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan berbeza dengan keputusan Speaker DUN Kelantan. Speaker DUN Selangor kemudiannya mengambil keputusan yang sama dengan apa yang diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat. Ia menjadi dua pendulu yang bersebelahan, dan menimbulkan pelbagai tafsiran politik seumpama dua orang yang melihat air dalam gelas sebagai sudut pandangan tersendiri. Seorang melihat airnya sebahagian kosong manakala seorang lagi sebagai separuh atau tiga suku penuh.
Seorang yang melihat daripada perspektif ‘air dalam gelas kosong’ sebagai tamparan kepada Bersatu khususnya dan PN amnya yang telah gagal dalam tindakan meruntuhkan kerajaan perpaduan. Daripada persoalan kesahihan pembentukannya, sehinggalah kepada kegagalan PN membuktikan “cukup jumlah”. Bagi seseorang yang melihat “air separuh atau tiga suku gelas penuh”, keputusan tidak ‘kosong’ kerusi-kerusi tersebut sebagai hal cukup mengecewakan. Mereka mendakwa PH-BN ‘takut’ berhadapan dengan PRK dan juga boleh mengurangkan sokongan.
Bagi PH-BN, jika PRK diadakan, ia tidak menyebabkan kedudukan kerajaan terlepas kerana masih mempunyai majoriti besar, yakni dua pertiga tanpa sokongan enam kerusi. Pun begitu, tidak semua enam kerusi yang jika diadakan PRK sah menjadi milik PN, ada kemungkinan satu atau dua kerusi menyebelahi PH-BN.
PRK DUN Nenggiri akan menjadi ketentuan sama ada UMNO masih berpengaruh atau tidak. Namun, Bersatu paling takut jika kerusi itu dapat dikalahkan. Rekod pilihan raya, juga PRN menunjukkan pengaruh Bersatu semakin menipis, berbanding sentiment orang Melayu terhadap PAS. Namun, apakan daya, PAS terpaksa menyatakan persetujuan untuk membenarkan calon Bersatu bertanding, biarpun pada gambaran awal boleh menyebabkan PN hilang satu kerusi di Kelantan.
DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pengundi berdaftar. Difahamkan bahaw 62.5 peratus pengundi adalah orang muda. Ini bermakna, pilihan UMNO/BN meletakkan calon muda adalah tepat, tetapi jika Bersatu memilih bekas Ketua Pemuda Gua Musang, Syeikh Razali atau Sun Najaman tidak dianggap menepati ‘kehendak orang muda’. Syeikh Razali akan dipersoalkan sebagai ‘pegkhianat’ kepada UMNO dan sudah melepasi tahap untuk memimpin orang muda, walaupun Pengarah Operasi PRK Nenggiri, Tan Sri Anuar Musa berkata “calon yang dipilih oleh Bersatu seorang yang matang dan sudah lama bermain parti”.
Sun Najaman walaupun pernah bertugas sebagai penggawa Dabong, ia tidak mampu memperlihatkan penerimaan yang memadai buat pengundi Nenggiri. Tetapi setakat ini kematangannya belum teruji. Kedudukan Pengarah Operasi PRK Nenggiri juga akan menarik pelbagai kontroversi kerana Anuar Musa merupakan salah seorang anak didik Tengku Razaleigh mengenai politik.
Selain itu, Anuar juga pernah menjadi ‘taruhan Tengku Razaleigh’ dalam politik UMNO di peringkat pusat pada suatu masa, yakni sebelum UMNO diharamkan pada tahun 1988. Anuar menyertai PAS selepas dirinya dipecat dan turut mendaftar Muafakat Nasional sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform politik secara tidak langsung setelah hilang aura kepimpinan apabila tidak juga menjadi pilihan untuk bertanding pada PRU ke-15 dan PRN bulan Ogos lalu.
Bagi sebahagian pengundi DUN Nenggiri mereka kenal siapa Anuar Musa, dan tentunya akan mudah percaya kepada Tengku Razaleigh yang telah berjaya mengubah lanskap politik sejak menjadi wakil rakyat di situ bermula pada PRU ke- 4 (1974). Anuar pernah ‘mengemis’ dengan Tengku Razaleigh menjelang PRU ke-7 (1986) ketika dicabar dalam pemilihan bahagian Nilam Puri, bahagian yang disertainya sebelum diwujudkan Bahagian Ketereh (2003) dan memasuki PRU pertama pada tahun 2004 (PRU ke-11).
Hari penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala 13 Ogos adalah tarikh pengundi awal dan 17 Ogos sebagai hari penentuan. Siapakah calon-calon yang disahkan bertanding akan ditentukan pada 3 Ogos nanti, dan setakat ini hanya dua parti – UMNO dan Bersatu – disebut-sebut untuk bertanding, belum kedengaran ada calon Bebas atau mana-mana parti lain yang akan menjadi sebahagian daripada pertandingan tersebut.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments