China mengalami penurunan kadar pertumbuhan pada tahun 2023, dan berdasarkan World Population Review, ia telah menurun sebanyak 0.03 peratus (penurunan seramai 377.774 orang) daripada jumlah penduduk sebelumnya, 1,425,671,352 orang kepada 1,425,293,573 (2024).
Keadaan ini membimbangkan China, kerana untuk memenuhi keperluan pertumbuhan ekonominya yang pesat dan menjadi pemain utama ekonomi dunia, ia sangat memerlukan tenaga kerja yang ramai. Kebimbangan itu telah menyebabkan beberapa orientasi dan dasar kependudukan yang sebelumnya setiap pasangan dihadkan dengan seorang anak telah diubah sehingga dibolehkan mempunyai lebih ramai anak.
Ini bukan bermakna, China berhasrat untuk mengembalikan kedudukannya sebagai negara paling ramai, yang dihasratkan ialah kadar pertumbuhan penduduk tidak kekal negatif dan penduduk yang berada adalam kategori ‘pekerja’ lebih lebih besar peratusannya, dan tidak kekal berada dalam kategori negara tua (jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi 18 peratus).
China memiliki kawasan seluas 9.7 juta kilometer persegi, berada di tangga ketiga selepas Kanada (9.98 juta kilometer persegi) dan Rusia (17.098 juta kilometer persegi).
Keluasan China adalah hampir tiga kali ganda keluasan India (3.28 juta kilometer persegi). China masih mampu menampung peningkatan jumlah penduduk di mana kepadatannya dianggar pada kedudukan 137 orang bagi setiap kilometer persegi berbanding India, 336 orang, Korea Selatan (480 orang), Jepun (339 orang), Vietnam (254 orang) dan Filipina (277 orang). ((https://amp.kompas.com/tren/read/2024/04/25/180000765/20-negara-penduduk-terbanyak-di-dunia-2024-indonesia-nombor-berapa-)
Malaysia dianggarkan mempunyai kepadatan sekitar 77 orang bagi setiap kilometer persegi, walaupun pada pandangan tertentu, ia sudah menunjukkan ada kawasan-kawasan yang sangat padat, disebabkan proses pembangunan dan urbanisasi yang tidak seimbang. (rujuk https://ms.m.wikipedia.org/wiki/senarai-negara-mengikut-kepadatan-penduduk/).
Namun, apa yang menunjukkan pola demografi di Malaysia turut mengalami kadar kelahiran yang rendah, kerana menurunnya kadar kesuburan dalam kalangan pasangan rakyat di negara ini akibat perubahan gaya hidup, dan sedikit sebanyak ada juga kesan daripada ketidaksuburan akibat semulajadi.
Banyak kaedah dan langkah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kadar kesuburan bagi pasangan yang bermasalah, tetapi, dengan berkembangnya gaya hidup ‘childfree’ ia boleh menyumbang kepada kadar kelahiran menjadi semakin rendah, walaupun ketika ini ia belum mencapai peringkat kritikal sebagaimana dihadapi oleh China, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan beberapa buah negara maju di barat.
Secara umumnya, kadar pertumbuhan penduduk di Malaysia masih lagi positif, tetapi jika trend ‘childfree’ menjadi fenomena baharu dalam kehidupan pasangan, ia bakal menemui permulaan kadar pertambahan negatif.
Dari apa pun perspektif, kadar pertumbuhan yang negatif akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi domestik turut berhadapan masalah, kerana sangat bergantung kepada tenaga kerja luar, sebagaimana dihadapi oleh Singapura, yang pada satu keadaan memberikan kerakyatan dan status penduduk tetap kepada warga asing yang mempunyai modal pelaburan yang besar.
Berdasarkan kenyataan pasangan yang memilih “childfree”, mereka bersetuju tidak ada anak dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri. Secara tradisinya, pandangan dan pendirian sedemikian adalah ‘tidak menepati fitrah kekeluargaan’ sama ada dalam perspektif sosial mahupun keagamaan.
Tradisinya, pasangan yang sekian lama berkahwin dan tidak mempunyai anak dilihat sebagai hal yang sangat mengecewakan, dan boleh menimbulkan konflik kekeluargaan.
Daripada perspektif psikologinya, pasangan yang tidak mempunyai anak, merasa kehidupan kekeluargaan mereka seolah-olah ‘tidak lengkap’ kerana kehadiran anak dilihat sebagai pengikat yang cukup kuat dalam bentuk dan iklim kekeluargaan.
Daripada perspektif agama, kehadiran anak dalam kehidupan keluarga bukan sahaja menjadi ‘pengikat’, ia juga dikaitkan dengan prinsip rezeki, yang mana rezeki itu bukanlah berbentuk material semata-mata.
Kehadiran anak dalam perkahwinan merupakan salah satu nilai yang menyumbang kepada rasa bahagia. Kehadiran anak begitu penting dalam hidup atau kelangsungan sesebuah perkahwinan boleh hadir dalam persekitaran: (1) memenuhi keperluan kehidupan perkahwinan; (2) memenuhi keperluan atau kehendak pasangan; (3) memenuhi keperluan diri untuk menjadi seorang ayah atau ibu; (4) sebagai pengukuh ikatan kekeluargaan; (5) proses membesar (menjaga dan memenuhi keperluan anak) membantu kita mengenali diri sendiri dan belajar tentang kehidupan; (6) sebagai bukit kelakian/kewanitaan/kesuburan; (7) amanah Tuhan; (8) penyambung generasi; (9) menikmati keistimewaan hubungan ibu bapa dan anak; (10) menerima ‘pengiktirafan sosial’ dan agama; (11) mampu menceriakan hidup, menghilangkan kesunyian, dan melupakan masalah lain dalam hidup buat seketika; (12) nilai intrinsik anak: harta paling berharga, malah lebih utama daripada rezeki-rezeki yang lain; (13) membantu kita pada hari tua; sokongan ekonomi, sokongan emosi, sokongan fizikal dan kesinambungan legasi (perniagaan, nama baik, dan sebagainya). (Noralina Omar dan Amaludin Ab Rahman, Hidup Sebumbung Tidur Sebantal: Tip dan Panduan Mengekalkan Rumah Tangga Bahagia, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd., 2007, hal, 62-63).
Pesan Imam al-Ghazali, perbezaan antara dua golongan manusia, mereka yang berkahwin dan terus hidup membujang ialah salah satunya “akan memutus keturunan manusia yang telah Allah pertahankan wujudnya sejak zaman Adam AS, generasi demi generasi hingganya semua berakhir kepada-Nya.
“…Dengan tidak menikah, seseorang mati dalam keadaan terputus garis keturunannya kerana tidak ada penerusnya. Jika hasrat menikah hanya didasari untuk meredam syahwat, pada saat ditimpa taun tidak mungkin Mu’az berkata: Nikahkanlah aku. Aku tidak mahu bertemu Allah dalam keadaan membujang.”
Sambung al-Ghazali: Jika ada yang berkata: “Saat itu Mu’az tidak mengharapkan anak, lalu faktor apa kiranya yang mendorongnya menikah? Saya akan jawab: “Anak diperoleh dari persetubuhan suami isteri. Sementara persetubuhan terjadi kerana dorongan syahwat.
“Hal itu tidak termasuk dalam kategori ikhtiar (pilihan), Yang termasuk kategori ikhtiarnya seorang hamba ialah mendatangkan dorongan syahwat itu, dan ini dapat dilakukan setiap keadaan.
“Dengan menikah, bererti seseorang berniat melakukan perbuatan-perbuatan yang mengiringi pernikahan itu. Urusan selebihnya, tentu di luar jangkauan ikhtiarnya.
’Dalam pernikahan, kesunnahannya menjadi berlipat ganda bagi orang yang “mampu menanam benih” (maksudnya tidak impoten, mati pucuk atau mati putik). Hukum sunah itu akan berkurang bahkan berubah menjadi makruh jika tindakan menyinya-nyiyakan wanita dalam penyaluran hasrat berahi, kerana perbuatan seperti itu mengandung mudarat.
“Kedua, berusaha mendapatkan cinta dan redha Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan umat yang kelak akan baginda banggakan. Rasul telah menyatakan secara jelas tentang hal ini. Ini juga menunjukkan agar kita memperhatikan semua hal terkait soal anak secara menyeluruh. Sebagaimana Umar RA menikahi banyak wanita dengan alasan, “Aku menikah untuk mendapatkan anak.”
Al-Ghazali mengutip hadis Rasulullah SAW: Sungguh tikar yang ada di sudut rumah lebih daripada seorang wanita yang tidak beranak.” (HR Abu Umar at-tuqani, mauquf); Sebaik-baik isteri-isteri kalian adalah yang banyak anak dan yang penyayang.” (HR al-Baihaqi) dan “Wanita-wanita hitam yang beranak lebih baik dari pada wanita-wanita cantik yang tidak beranak.” (HR Ibnu Hibban). (Imam al-Ghazali, Nasihat Pernikahan, hal. 26-29).
Pada pandangan al-Ghazali “..akan ada seorang anak shaleh yang akan mendoakannya setelah mati. Terdapat hadis yang menyatakan bahawa amalan anak Adam terputus kecuali tiga, dan salah satunya adalah anak shaleh.” (Imam al-Ghazali, hal, 29)
Juga, jelas al-Ghazali (hal. 31): “..ketika seorang anak kecil meninggal mendahului orang tuanya, kematian anak itu dapat menjadi syafaat bagi orang tua. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya anak kecil akan menarik kedua orang tuanya ke syurga.” [Dalam versi yang lain, hadis tersebut dimaksudkan: Sesungguhnya bayi (yang mati) akan menarik ibunya dengan tali pusat sekiranya siibu sudah berusaha melahirkannya.” …dan
“Sesungguhnya anak yang baru dilahirkan (lalu meninggal) akan diberitahu: Masuklah engkau ke syurga.” Anak itu berhenti di depan pintu syurga, berdiam di sana dalam keadaan marah dan menahan gejolak hatinya, lalu ia berkata: “Aku tidak akan masuk ke syurga kecuali jika kedua orang tuaku bersamaku.” Maka, dikatakanlah: “Masukkanlah, kedua orang tuanya bersamanya ke syurga.” (HR Bahz bin Haki).
Maksudnya, kehadiran anak, melahirkan anak dan membesar anak merupakan ‘aset’ yang sangat berharga dalam kehidupan manusia, mengatasi aset-aset lain yang hadir dalam bentuk material dan kebebasan diri.
Memang kita sedar, keperluan ekonomi penting dalam membangun sesebuah keluarga, tetapi jika hanya faktor ekonomi dilihat sebagai beban ‘mempunyai anak’, ia tidak akan memberikan apa-apa makna yang lengkap dalam kamus kebahagiaan hidup berpasangan.
Atas desakan atau kehendak memperkuatkan ekonomi dengan mengetepikan kehadiran anak, aset yang dikumpulkan itu tidak mempunyai apa-apa nilainya tatkala pasangan itu sudah tidak lagi mampu bergerak, menguruskan diri sendiri dan berhadapan dengan pelbagai penyakit, termasuk penyakit yang dihadirkan dalam bentuk gangguan psikologi.
Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah, atau Buya Hamka, 1908-1981), seorang ulama dan cendekiawan Islam yang sangat dihormati di seluruh kepulauan Melayu kerana pemikiran dan sumbangan ilmiahnya pernah berkata: Orang yang mati dibunuh nyamuk tiap-tiap tahun lebih banyak daripada orang yang mati dibunuh singa. Penyakit yang berbahaya ialah baksil [bacillus, atau bakteria] yang kecil-kecil. Banjir besar datang dari kumpulan setitik-setitik air hujan.
“Orang yang berakal sedar bahawa di antara akal dan nafsu, atau di antara fikiran dna hawa tidak ada persetujuan. Kehendak nafsu biasa manis di pangkal dan hambar di hujungnya, dan kehendak akal pahit pangkal tetapi manis hujungnya. Sebab itu mereka lebih suka berpahit-pahit dahulu, bermanis-manis kemudian!” (Hamka, Falsafah Hidup, Singapura; Pustaka Nasional Pte. Ltd., 1995, hal.50).
Kehidupan ini umpama pokok, yang bukan sahaja sangat bergantung kepada kesihatan akar dan batangnya, juga turut disumbangkan oleh pertumbuhan dahan-dahan yang menempatkan dedaunan, yang akan melaksanakan peranannya dalam proses fotosintesis.
Daripada proses fotosintesis inilah akan membolehkan dahan (juga bagi sesetengah jenis pokok) mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Buah-buahan ini memberikan manfaat kepada makhluk lain, atau sekurang-kurangnya menjadi kelangsungan spesies tersebut, biarpun ada di antaranya boleh dikembang-biak berdasarkan penanaman batangnya.
Bagi manusia, sekiranya tidak ada proses kelahiran, yang disebabkan oleh percantuman atau persenyawaan benih ‘lelaki dan wanita’ di tempanya yang khusus, iaitu di rahim seorang wanita, proses kelangsungan generasi kehidupan manusia akan pupus atau terhenti. Protokol itu telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai fitrah, dan menurut Hamka:
“Ranting mewarisi dahan, dahan mempusakai pohon, akan tetapi ada pula buah yang terbit dari jambu cengkokan lebih sedap dari buah jambu asalnya. Dengan lain jalan, pernah juga jalan yang dilalui anak tidak sama dengan jalan yang dilalui si ayah dahulunya. Semuanya terjadi kerana perbezaan kesanggupan, tegasnya perbezaan akal….
“Demikian hidupnya orang yang berakal, tegak di garis masing-masing, menjaga hak sendiri dan menghormati hak orang lain pula. Bersama-sama berkhidmat keadilan dan peraturan.
“Fikirlah bagaimana cara orang dahulu menentukan hukum dan bagaimana pula orang sekarang….orang selami lubuk akalnya, lubuk jiwanya.
“Gerak-geri di dalam sopan, duduk tegak di dalama adab, fikir dahulu sebelum beramal, jangan terdorong-dorong sahaja. Bukan hidup sembarang hidup, babi di hutan hidup juga, tetapi dari harta orang; anjing di kampung hidup juga, tetapi dari lebih-lebih tulang; kucing di rumah hidup juga, tetapi hidup makan sisa. Hidup insan lain letaknya. Lazat akal sempurna basa, mulia hati lautan faham, penuh melaut kira-kira.” (Hamka, Falsafah Hidup, hal. 30 – 33)
Maksudnya, kehidupan manusia berpandukan akal, tetapi kebebasan akal tidak sepenuhnya mutlak sebab manusia akan mencari kebijaksanaan dirinya dengan berpandukan adat, adab dan fitrah, tujuan hidup manusia berbeza dengan lain-lain makhluk yang dekat dengan kehidupan kita, termasuk binatang yang sebahagiannya menjadi ‘teman’ dan ‘psikoterapi’.
Binatang-binatang itu mempunyai naluri, yang jika disekat dan dihalang akan menyebabkan orang yang memeliharanya boleh dicakar mahupun digigit apabila tiba musim mengawan. Manusia, ada akal yang boleh mengawal dan mencari kaedah bagaimana untuk menyalurkan nafsunya, secara beradab dan tidak melanggar peraturan (atau agama).
Semuanya itu berlaku dalam persekitaran saling memerlukan dan ada adabnya, dikawal oleh peraturan dan pantang larang.
Dan, dalam masa yang sama, setiap pasangan dilihat meniti kesempurnaannya apabila mempunyai zuriat, seorang lelaki mula belajar menyesuaikan diri menjadi seorang ayah, manakala seorang wanita belajar bagaimana mendedikasikan emosi dan kehidupannya membesarkan ‘buah hati pengarang jantung’.
Jika dalam kehidupan pasangan tidak mempunyai anak, sesungguhnya pasangan itu tidak akan memahami secara mendalam menjadi seorang ayah dan juga seorang ibu. Sebaliknya lebih mengutamakan kehidupan berdua, yang hari-hari ‘tanpa anak’ cukup membosankan, terutama apabila pasangan itu sudah lama berkahwin.
Ini dapat kita pelajari dan memahaminya, bila pasangan yang tidak mempunyai anak atas alasan kesihatan mula berhadapan dengan ‘rasa sunyi’, walaupun antara mereka bebas untuk pergi ke mana-mana, melancong dan juga ‘enjoy’.
Sampai bila keadaan itu boleh berlangsung dan hanya dinikmati antara mereka? Apakah pasangan yang kecil itu (yang hanya ada suami dan isteri) tidak akan merasa bosan bila warna-warna kehidupan yang mereka lalu ‘terlalu sempit’ kerana takut kepada ‘kehadiran anak’?
Itulah, dalam susah payah mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit dan psikologi, kehadiran anak mempunyai banyak kelebihannya berbanding pasangan yang menolak ‘anak’ dalam waktu yang panjang. Dalam jangka waktu yang pendek, ia mungkin menampakkan hasrat dan keinginan ‘enjoy’ bersama pasangan ‘tercapai’ tetapi dalam jangka masa panjang, ia memperlihatkan suasana ‘sunyi dan hampa’.
Pasangan yang menolak kehadiran anak, akan merasai hidupnya menjadi ‘kosong’ dan ‘sunyi’ apabila salah seorang daripada mereka berpisah atau meninggal dunia. Biarpun mempunyai kemewahan dari perspektif ekonomi, si suami atau si isteri ‘memerlukan pendampingnya’ dan pendamping yang dimaksudkan itu adalah seorang anak.
Untuk mereka berpasangan sekali lagi, ia sudah tidak lagi merasai perlu, atas keupayaan diri dan kesukaran-kesukaran yang dihadapi. Anak boleh menjadi penawar dan seterusnya menenangkan situasi sunyi walaupun anak-anak mempunyai kehidupannya masing-masing.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments