Tempoh hari, qunut nazilah dibacakan oleh penyokong-penyokongnya. Kini, ia dibacakan pula oleh ahli politiknya sendiri. Sama ada sedar atau tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika, sehingga menyebabkan perebutan dan pengekalan kuasa, menjadi medan persaingan yang telah mencipta jurang persaudaraan Islam dan kemanusiaan yang semakin lebar dan dalam.
Al-Quran telah memberi pelbagai petunjuk mengenai akhlak sesama manusia. Ia bukan sekadar larangan melakukan dosa-dosa besar seperti membunuh, tetapi turut merangkumi perlakuan seperti memaki-hamun, dan menyakiti hati orang lain. Yang amat menyedihkan juga, ada di kalangan pemimpin Islam menyalahgunakan doa kemusnahan seperti Qunut Nazilah kepada saudara sesama Islam. Sedangkan doa kemusnahan atas pemimpin-pemimpin Islam, sangat dilarang oleh agama.
Sepatutnya doa yang ditujukan kepada umat Islam hendaknya berbentuk kebaikan umum dan menyeluruh seperti memohon keselamatan, petunjuk hidayah dan sebagainya. Hakikatnya, mendoakan keburukan yang ditujukan kepada sesama muslim, akan terkena pada dirinya juga kerana kita sendiri sebahagian daripada mereka.
Qunut Nazilah sepertimana maksud dan sirahnya dibaca dalam keadaan ditimpa musibah yang sangat berat dan cemas. Seharusnya apabila kita membacanya juga dalam keadaan kita benar-benar merasa dihimpit musibah yang amat berat. Rasulullah SAW telah berdoa untuk keburukan hanya apabila ditujukan kepada musuh-musuh Islam daripada kalangan kaum musyrik. Amatlah dikesali kiranya, di negara kita terdapat segolongan manusia yang Islam memohon hajat kepada Allah SWT agar dimatikan musuh politik, tidak lain hanya kerana ingin membina persepsi di dalam dewan rakyat.
Mereka mengistilahkan doa itu sebagai doa dibenarkan oleh agama. Sedangkan Nabi SAW tidak pernah memohon kebinasaan bagi suatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal. Daripada perbuatan ini jelas menunjukkan bahawa kita sebenarnya masih perlu belajar etika berdoa yang dituntut oleh agama. Kalau berdoa dan caranya pun masih perlu kita pelajari, maka sungguh parah penyakit masyarakat kita hari in.
Temubual bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata berkaitan satu Tiktok yang mengajak orang ramai untuk mendoakan pemimpin khususnya Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri beliau dilaknat Allah SWT. Tiktok tersebut tidak sepatutnya dilakukan, mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat Allah SWT, ini bukanlah merupakan ajaran daripada ajaran agama kita.
Beliau juga berkata walaupun kita berbeza pandangan, mungkin perbezaan politik dan sebagainya tidak sepatutnya kita menggunakan platform sosial media yang sedia ada untuk mengajak orang ramai mendoakan agar pemimpin-pemimpin khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dilaknat dan diturunkan musibah oleh Allah SWT.
Tambahan beliau lagi, Islam dan Nabi SAW yang mempunyai akhlak yang begitu tinggi mengajar umatnya supaya sentiasa berkasih-sayang dan sekiranya kita berbeza pendangan dengan orang lain apatah lagi kalau orang itu seagama dengan kita dan mereka di kalangan pemimpin, sepatutnya kita dalam berbeza pendangan itu biarlah dengan adab yang betul. Jadi perkara ini yang sangat ditekankan dalam agama dan kerap disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, beliau tidak kisah kalau orang lain mahu mengkritik beliau, tetapi biarlah kritikan itu membina, biarlah kritikan itu didasarkan kepada adab-adab yang tertentu.
Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar juga berkata, daripada awal lagi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengarahkan JAKIM contohnya untuk menterjemah buku Adabul Ikhtilaf nak menunjukkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sangat mementingkan supaya masyarakat Madani yang hendak dibina ini walaupun berbeza pendangan mestilah perbezaan pandangan itu didasarkan kepada adab-adab dan akhlak serta budi pekerti.
Akhir kata dari beliau, “jadi saya mendoakan agar mereka yang terlibat dalam membuat Tiktok tersebut untuk kembali kepada Allah SWT, bertaubat kepada Allah SWT. Begitu juga yang saya tengok dalam komen-komen yang mengaminkan doa laknat tersebut agar mereka ini kembali dan kita muhasabah diri dan kita bina negara ini didasarkan kepada kasih sayang, bersatu padu dan seperti yang saya sebut tadi walaupun ada perbezaan politik dan sebagainya biarlah kita ada akhlak dan budi pekerti yang baik. Jangan kita gunakan platform media ini untuk kita aibkan orang lain, memfitnah orang lain sebab ini bukan ajaran Islam.”
Berhenti menggunakan sentimen agama demi membina persepsi dan mencapai cita-cita politik. Kita semua saudara se-Islam, yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada kaum lain dalam negara ini. Makna di sebalik qunut nazilah itu adalah sangat berat, dan sepatutnya dikhususkan kepada musuh-musuh Islam seperti rejim Zionis Israel. Tidak boleh dibacakan qunut nazilah kepada sesama muslim dalam apa-apa perselisihan pendapat, pertengkaran, atau pertembungan tanpa mengira sebabnya.
Banyak ibadah yang dianjurkan agama, tetapi telah berulang-kali disalahgunakan sebahagian pihak mengikut kepentingan peribadi atau rentak politik kepartian mereka. Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan fitnah dan salah faham yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat. Perbuatan ini amat bertentangan dengan tujuan dan matlamat ibadat kita seperti berdoa.
Rasulullah SAW sentiasa berdoa agar lisannya digunakan dalam hal-hal yang baik. Imam Ahmad ibn Hanbal, walaupun pernah dipenjara oleh pemerintah kerana ketegasannya pernah berkata: “Seandainya kita mempunyai doa yang kita ketahui makbul, nescaya kita gunakan mendoakan kepada ketua negara.”
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments