Dalam sejarah Islam, ramai para ulama yang tidak berkahwin sepanjang hayatnya atas alasan mencari ilmu. Begitu juga dengan kisah Rabiayatul Adawiyah, seorang wanita yang zuhud dan terjun ke dunia sufi. Rabiah Adawiyah lahir dalam keluarga miskin dan mempunyai empat adik beradik.
Pelbagai cerita pelik menyelubungi kehidupannya, termasuklah pada malam dia dilahirkan. Di rumahnya tidak ada apa-apa, termasuk minyak untuk menyalakan pelita dan sehelai kain untuk membalut tubuhnya.
Ibu Rabiah meminta suaminya agar meminjam pelita minyak daripada jiran. Sebelumnya, ayah Rabiah telah berjanji tidak akan meminta apa pun daripada jiran, namun, kerana masa kelahiran Rabiah telah tiba, si ayah menggagahi juga permintaan isterinya.
Setelah diketuk rumah jiran, tiada jawapan. Hati ayah Rabiah menjadi lega, kerana tidak ada orang yang boleh memberikannya lampu minyak untuk dipinjam. Rasa syukur menguntum di hati, sebabnya, tidak melanggar janji yang dibuat sebelumnya.
Pulang ke rumah, ayahnya tidur. Semasa tidur, si ayah bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW. Mimpi itu memberikan tanda bahawa anak yang bakal dilahirkan itu telah ditakdirkan akan berada di puncak yang tinggi di sisi Allah SWT.
Selepas beberapa lama dilahirkan, kedua orang tua Rabiah meninggal dunia akibat kebuluran yang melanda Basrah. Ikut meninggal ialah tiga orang kakaknya. Rabiah menjadi yatim piatu dan kemudian dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam.
Setelah Rabiah mencapai usia remaja, dia dijual untuk dijadikan hamba kepada seorang majikan yang bengis. Rabiah menjadi seorang hamba yang setia, manakala di sebelah malamnya, Rabiah sentiasa menghabiskan masanya beribadat dan berdoa memohon pertolongan Allah SWT.
Pada suatu malam, majikannya cuba memerhatikan kehidupan malam yang dijalani oleh Rabiah. Malam itu, majikan sedang mendengar Rabiah berdoa: Ya Allah! Dikau telah menjadikan aku budak belian seorang manusia sehingga aku terpaksa mengabadikan diriku kepadanya. Seandainya aku bebas, pasti aku akan persembahkan seluruh waktu dalam hidupku untuk berdoa kepada-Mu”.
Selesai berdoa, Rabiah terkejut apabila melihat sinar cahaya di kepalanya. Majikan Rabiah turut melihat fenomena itu, dan dia menjadi ikut terkejut. Keesokannya, kerana takut dengan cahaya itu, majikannya memerdekakan Rabiah. Maka, bermulalah kehidupan Rabiah sebagai seorang hamba yang merdeka, dan seluruh waktu dihabiskan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Hari-harinya dihabiskan melewati tempat-tempat sunyi dan pada suatu hari, Rabiah sampai ke sebuah pondok di kota Basrah. Di situ Rabiah memulakan hidup seperti menjalani pertapaan, dengan hanya berbekalkan segulung tikar, sebuah kendi (atau periuk kecil) yang diperbuat daripada tanah, dan seketul batu.
Suatu hari, hadir sekumpulan orang untuk melamarnya. Setelah diketahui maksudnya, Rabiah menolak pinangan itu dengan cara yang baik dan sangat berhemah. Di suatu ketika yang lain, seorang sholeh bernama Sufian Suri datang bertemu Rabiah.
Sebaik sahaja melihat kelibat Sufian, Rabiah berdoa: “Ya Allah! Tuhan Yang Maha Kuasa, daku mohon harta duniawi milik-Mu”.
Rabiah menangis dan selepas melihat Rabiah selesai berdoa, Sufian bertanya: Kenapakah engkau menangis wahai Rabiah?. Rabiah menjawab: Harta itu sesungguhnya didapati setelah meninggalkan segala yang bersifat duniawi ini, dan aku melihat tuan hanya mencarinya di dunia ini saja.”
Ada sedikit cerita yang lain, ada seorang saudagar mengirimkan wang sebanyak empat puluh dinar kepada Rabiah.
Setelah wang itu diberikan, Rabiah menangis dan berdoa: Dikau tahu Ya Allah! Aku tidak pernah meminta harta dunia dari-Mu, meskipun Dikau pencipta dunia ini. Lalu, bagaimana aku dapat menerima wang dari seseorang, sedangkan wang itu sesungguhnya bukan kepunyaannya.” Sufian akhirnya meninggalkan Rabiah dan tidak jadi melamarnya.
Apa yang kita dapat pelajari daripada kisah Rabiah ialah jangan kita menunjuk-nunjukkan kebaikan kepada sesiapa pun, malah harus menutupi kebaikan itu sebagaimana menutupi kejahatan. Ini kerana, dengan menunjuk-nunjukkan kebaikan, ia membuktikan tindakan yang dibuat tidak dilakukan secara ikhlas, jujur. Ramai akan menganggap seumpama ‘ada udang di sebalik batu’: Saya bukan ahlong, tapi saya mahu tolong.
Segala apa yang berlaku, penyakit dan sebagainya adalah kehendak Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya mestilah tabah menghadapinya. Dengan ketabahan itu, rasa sakit yang sedang kita alami akan bertukar menjadi ‘rasa syukur’ dan ‘nikmat’, ia tidaklah berbentuk gangguan yang menyakitkan, kita melihatnya sebagai ujian yang mematangkan diri dan akan terangkum kebahagiaan selepas itu.
Segalanya telah ditentukan oleh-Nya, kita hanya sebagai mengisi ruang dalam jalan hidup yang akan dilalui, berpandukan apa yang dikatakan amar makruf nahi mungkar. Ia bukan seperti pendirian sesetengah manusia, setiap kesulitan dianggap sebagai masalah dan setiap masalah tidak mampu diatasi walaupun Allah SWT memberikan kecerdikan akal untuk berfikir dan berprestasi.
Ertinya, dalam menjalani hidup ini, kita wajib berserah kepada Allah SWT apa yang akan berlaku seterusnya setelah kita melaksanakanya dengan ikhlas, jujur dan penuh tanggungjawab.
Itulah yang sepatutnya menjadi pedoman, kerangka dan falsafah dalam kehidupan kita, termasuk kehidupan berpasangan dalam sebuah pernikahan.
Kalaupun sebuah pernikahan itu merupakan pilihan, ia tidak bermakna pilihan itu hanya sebuah keputusan yang sementara, dan sampai ketika, atau setelah rasa ada masalahnya, kita memutuskannya, walaupun dalam Islam, ia dibenarkan.
Kebenaran itu adalah sesuatu yang sangat dikesalkan dan diperbolehkan sekiranya tidak ada jalan lain untuk menyelesaikannya.
Seboleh-bolehnya, rumahtangga wajib dipertahankan. Tentunya, untuk mempertahankannya, ia sangat memerlukan kaedah dan tatacaranya, termasuk melihat semula ke dalam diri apa sebenarnya menjadi punca keretakan.
Begitu dengan trend berpasangan secara sah, tetapi ‘hanya kami berdua’. Sindrom itu mula menjadi trend apabila sebahagian daripada pasangan terperangkap dengan pesona duniawi dan kecelaruan falsafah hidup.
Tidak memahami fitrah kenapa Allah SWT menciptakan dalam kalangan manusia hanya ada lelaki dan wanita, dan seterusnya dibekali dengan syahwat sebagai ikatan antara mereka.
Ikatan itu tidak akan berlaku secara sia-sia, kerana ketika hubungan intim berlangsung, benih-benih zuriat bertemu sehingga mampu menghasilkan foetus, kemudian membesar sebagai janin dan bila mencapai usia matang, melahirkan bayi.
Keajaiban itu tidak mampu dilakukan oleh manusia, walaupun manusia sudah dilihat cukup berjaya dalam pemikiran saintifiknya.
Manusia hanya sekadar mampu memudahkan proses kejadian, seperti membantu wanita yang sukar membenihkan zuriat melalui kaedah IVF, persenyawaan benih, ibu tumpang dan sebagainya. Manusia belum mampu mencipta benih zuriat.
Jadi, jika ada pasangan yang membuat keputusan ‘tidak mahu beranak’ ertinya pasangan itu menolak fitrah kehidupannya sendiri. Ada yang berkata, jika tidak mahu anak, jangan berkahwin.
Hakikat sebuah perkahwinan ialah berkongsi kenikmatan hidup, tanggungjwab, emosi dan amanah. Anak merupakan amanah yang tidak boleh diketepikan, kerana menolak kehadiran zuriat adalah berdosa, kecuali atas maslahah kesihatan.
Jika menolak kehadiran anak atas alasan ‘beban ekonomi’ dan mengehadkan kebebasan pasangan, maka hukumnya adalah berdosa. Kalau sekadar menjarakkan kelahiran zuriat atas faktor tertentu, ia adalah sesuatu yang dibolehkan.
Kalau hanya digunakan alasan, bahawa hidup berpasangan untuk mencari kepuasan seks semata-mata, maka terimalah bahawa pada suatu ketika, kita akan menyesal kerana tidak ada orang dapat mewarisi apa yang boleh kita berikan, termasuk kesinambungan keluarga.
Jelas Imam al-Ghazali (hal. 23): syariat mengancam keras setiap orang yang membunuh anak-anak dan yang menguburkan mereka hidup-hidup, kerana itu bererti menghalangi langgengnya [abadi atau kekal] keberadaan manusia.
“Ancaman itulah yang juga diisyaratkan oleh mereka yang berpendapat tindakan ‘azl [menumpahkan air mani di luar rahim] termasuk dalam perbuatan membunuh anak….orang yang menikah adalah orang yang berusaha menyempurnakan sesuatu yang Allah SWT cintai sedangkan orang melajang [membujang sampai tua] adalah orang yang menghilangkan sesuatu yang Allah benci jika sesuatu itu dihilangkan.
“Dalam rangka untuk mendapatkan kecintaan Allah SWT, dan mempertahankan kehidupan manusia, Allah memerintahkan pemberian nafkah terhadap keluarga dan menganjurkan perbuatan ini. Allah menganalogikan perbuatan itu dengan kata ‘pinjaman’ seperti dalam firman-Nya:
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah berupa pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan pembayarannya dengan berlipat kali ganda. “ (surah al-Baqarah, ayat 245)
Setiap kali tibanya tarikh 11 Julai, hari itu akan disambut sebagai Hari Penduduk Sedunia, (World Population Day, WPD). Sambutannya tidaklah seperti sambutan hari-hari perayaan yang lain, seperti mendapat cuti atau pelepasan, diadakan gimmick dan keraian tertentu, promosi besar-besaran dan sebagainya.
WPD disambut dengan mengeluarkan kenyataan umum tentang isu-isu kependudukan di sesebuah negara, manakala di peringkat antarabangsa, PBB khususnya UNDPFA, melihat kepada dasar dan program yang perlu dan seterusnya diberikan penekanan dalam memahami isu kependudukan.
Tahun ini, UNDPA memberikan gambaran bahawa penduduk dunia semakin bertambah dan pada tahun jumlahnya akan mencecah 9.7 bilion pada tahun 2050 dan seterusnya mencapai kemuncak menjelang tahun 2080, iaitu seramai 10.9 bilion jiwa. Ertinya, dalam tempoh 30 tahun lagi, pertambahan penduduk dunia membabitkan pertambahan sebanyak 2 bilion, iaitu daripada 9.7 kepada 10.4 bilion orang.
Menurut data yang dikeluarkan, penduduk dunia mencecah 1 bilion orang mengambil tempoh beratus tahun, dan dua ratus tahun kemudian, pertambahan meningkat tujuh kali ganda, di mana pada tahun 2011, jumlah penduduk dunia mencapai 7 bilion jiwa, dan sepuluh tahun kemudian (2021) mencecah hampir 8 bilion orang (7. 9 bilion).
Pada tahun 2030, penduduk dunia dianggarkan mencapai 8.5 bilion, seterusnya 9.7 bilion (2050) dan berada dipuncak seramai 10.9 bilion (2100). Ketika jumlah penduduk mencapai kemuncaknya, ia dilihat proses kestabilan pertambahan penduduk berbanding jumlah kematian mulai berada pada tahap stabil.(https://indianexpress.com/article/trending/trending-globally/top-10-most-populated-countries-world-population-day-2024-9443779/)
Bagaimana dengan Malaysia? Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan berdasarkan data unjuran untuk suku pertama 2024, jumlah penduduk ialah 34 juta, iaitu meningkat daripada 33.2 juta orang dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. Ia merupakan peningkatan sebanyak 2.3 peratus.
Kenyataan itu turut menjelaskan, jumlah kelahiran hidup bagi suku pertama 2024 ialah 106,386 bayi berbanding 117,413 bayi bagi tempoh yang sama tahun 2023. Kelahiran bayi hidup mengalami penurunan sebanyak 9.4 peratus. (Berita Harian, 11 Julai 2024).
Walaupun secara purata seorang bayi dilahirkan setiap minit, atau 49 bayi setiap jam dan 1.182 bayi setiap hari, ia menunjukkan bahawa kadar kelahiran bayi di Malaysia semakin menurun, dan penurunan itu menunjukkan berlakunya penurunan kadar kesuburan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Secara keseluruhannya, berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023, kadar kesuburan jumlah (TFR – total fertility rate), ia menurun daripada 2.1 orang anak (2010) kepada 1.6 orang bayi pada tahun 2022.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri: Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan TFR termasuklah faktor ekonomi, cara gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.” (Astro Awani, 2 Julai 2024).
Namun, yang tidak dijelaskan faktor yang semakin menjadi “ikutan” dalam sekumpulan kecil pasangan yang berkahwin, yakni menjalani hidup sebagai keluarga tanpa anak, kerana mempunyai anak atau tidak mempunyai anak adalah pilihan.
Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar ketika mengulas kecenderungan sedemikian, turut mengakui bahawa ‘memiliki anak’ atau ‘tidak memiliki anak’ adalah pilihan, ia tidak bermakna sesebuah perkahwinan itu akan terjamin ‘bahagia’ ke akhir hayat jika pasangan itu ‘tidak memiliki anak’.
Menurut Dr Mohd Naim:” fahaman ‘childfree’ adalah tidak selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kerana gaya hidup berkenaan adalah ‘makruh’, tidak mengikut syarak.
“Berdasarkan hadis Nabi SAW, Rasulullah menyebut kahwinilah wanita yang penyayang, subur kerana Baginda berasa bangga dengan memiliki umat yang ramai.
“Kita tahu juga hadis nabi turut menyebut apabila mati anak Adam (manusia) itu maka terputus amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariyah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan ibu bapa…
“Jadi, berdasarkan kedua-dua hadis ini, saya menasihatkan generasi muda untuk memikirkan bahawa anak-anak ini bukanlah satu beban buat mereka.
“Yang saya faham ‘childfree’ ini langsung tidak mahu anak sebab dia rasa anak beban dan mereka mereka masih lagi nak merasa macam bujang, tidak bolehlah.” (Bernama, dalam https://harapandaily.com/2024/06/29/fahaman-childfree-tak-selari-sunnah-nabi-muhammad-kata-menteri-agama/)
Jika dilihat kepada ‘trend’ hidup berpasangan tetapi ‘tidak mahu anak’ atau ‘childfree’ yang menjadi persoalan kehidupan masyarakat pascaindustri ataupun pada zaman industri, ia sangat berkait rapat dengan faham kebebasan dan kepentingan ekonomi.
Fenemona ini merupakan fenomena lazim dalam masyarakat barat kerana definis keluarga dalam kehidupan mereka semakin berubah, iaitu sekadar hidup bersama sebagai pasangan, dan ia berlaku dalam dua situasi, dalam ikatan perkahwinan dan tanpa ikatan perkahwinan (cohabitation).
Bagi masyarakat barat, persoalan hidup mereka adalah persoalan persetujuan antara pasangan tanpa melihat kepada makna sosial dan juga agama. Hal ini kemudiannya menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat lain, termasuk dalam kalangan masyarakat di sebelah timur yang pernah dikenali sebagai masyarakat yang terikat lebih kuat dengan fahaman tradisi.
Ia berlaku di Jepun, Korea Selatan dan kini menjangkiti masyarakat China, yang semakin berusaha menduduki tangga utama ekonomi dunia.
Menurut laporan, disebabkan sikap dan pendirian pasangan di China yang semakin mementingkan kerjaya dan kebebasan, demografi penduduknya sudah berubah. Sejak beberapa tahun lalu, kita diberikan maklumat bahawa China merupakan negara yang mempunyai jumlah penduduk teramai, namun kedudukan tersebut sudah bertukar di mana jumlah penduduk India sudah mengatasi penduduk China.
Daripada keseluruhan penduduk dunia berjumlah 8.1 bilion pada suku pertama 2024, berdasarkan Laporan PBB, India kekal sebagai negara paling ramai, iaitu mencecah 1,45 bilion manakala China berada di tangga kedua dengan 1.41 bilion.
Pada tahun 2054, India diramalkan menjadi rumah bagi 1.69 bilion dan penduduk China menyusut kepada 1.21 bilion orang. (Berita Harian, 12 Julai 2024)
Ertinya, China sudah pun mengalami masalah kadar pertumbuhan penduduk negatif yang sangat ketara. Kadar pertambahan penduduk negatif ditakrifkan berdasarkan jumlah kelahiran semula jadi lebih rendah daripada jumlah kematian, yang proses penggantian penduduk yang menguncup.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments