Sepuluh Muharam, dalam bahasa Arab juga disebut asyura. Asyura seperti mana yang difahami setengah orang sebagai lambang yang mengancam para pemerintah atau penguasa. Namun di sebaliknya tokoh panglima perang Bani Umaiyah, Al-Hajjaj Yusuf al-Thaqafi melambangkan asyura sebagai hari suka cita, hari bersyukur.
Kerana might is right (Kekuasaan itulah yang benar), yang salah tentu sahaja yang kalah. Justeru itulah keamanan dan keharmonian yang dicapai oleh masyarakat kita hari ini adalah hasil daripada perpaduan dan permuafakatan.
Ini semua harus kita syukuri kerana ia adalah satu kemenangan kepada negara dan bangsa Melayu.
Asyura mengingatkan kita peristiwa perayaan Nabi Nuh dan pengikutnya bersatu, bermuafakat, menggunakan bahtera Nuh bagi mengelakkan beliau dan pengikutnya daripada tenggelam. Satu kejayaan atau hasil permuafakatan dan perpaduan ummah di masa itu.
Asyura hanya layak dirayakan oleh ummah yang mementingkan perpaduan dan ia tidak layak untuk golongan yang memecahkan perpaduan.
Kaum Muslimin yang cintakan perdamaian tidak akan menjatuhkan kehormatan orang Islam yang lain, tidak akan menyakiti hatinya dan tidak akan menyebarkan aibnya. Tetapi beruntunglah seorang Muslim yang suka menutup aib saudaranya.
Barang siapa yang menutup aib saudaranya sesama Muslim, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat, kata Rasulullah s.a.w.
Imam Ali k.w berpesan, “Wahai hamba Allah janganlah tergesa-gesa mengecam aib seseorang, kerana boleh jadi Allah mengampuni dosanya, janganlah juga engkau selesa dengan dosamu yang kecil kerana mungkin Allah akan mengazabmu dengan dosa itu”.
Imam Ali juga pernah berkata “Siapa saja manusia yang suka membuka keburukan manusia lain, Allah akan mengharamkan orang itu daripada memperoleh kecintaan mereka”. Hanya kerana saudara kita sesama Muslim berbeza fahaman politik dengan kita, kita jadikan mimbar pengajian kita untuk mencaci mereka, membuka aib mereka bahkan memfitnah mereka dengan segala hal yang terfikir oleh kita. Makin kerana serangan kita, makin puas diri kita. Kita merasa kita sudah menang, unggul dan berhasil mengalahkan orang lain.
Yang kita lupakan ialah kenyataan bahawa mereka yang kita serang itu orang-orang yang rukuk dan sujud kepada Allah yang Maha Esa, yang memuliakan Nabi Muhammad s.a.w, yang pengisian malamnya dengan membaca al-Quran dan bermunajat pada Tuhan rabbul-alamin. Inilah yang akan menyebabkan berlakunya perpecahan yang maha dahsyat.
Cuba kita lihat cara Rasululah, betapa indahnya cara Rasulullah s.a.w menyampaikan pernyataan tentang persaudaraan Islam. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang padamu dengan berjalan kaki, mengendarai unta yang kurus dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan. ( 22:27-28).
Marilah kita kobarkan kembali semangat persaudaraan. Sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Kita tidak mengalami kerugian umat Islam. Kita lupa bahawa kehormatan, darah, bahkan harta seorang Muslim adalah suci sebagaimana bulan suci dan tanah suci.
Marilah kita memohon keampunan kepada Allah kerana kita telah merendahkan kesucian saudara-saudara Muslim kita hanya kerana ketaksuban dan fanatik kita terhadap ideologi politik tertentu.
Dalam kesempatan Haji Wada (haji yang terakhir), Rasulullah menjadikan dirinya teladan bagi kebebasan berfikir dalam Islam.
Sekiranya berlaku perbezaan pendapat antara anda dengan saudara Muslim yang lain dari segi pemahaman al-Quran dan sunah, anda harus menghormati pandangan dan pemahaman mereka.
Dalam diri manusia itu banyak pertarungan di antara nafsu ammarah, lawwamah dan muthmainnah. Akibat lemahnya iman, menyebabkan nafsu ammarah itu sentiasa menang sehingga manusia tidak tahu menilai antara haram dan halal. Manusia tidak segan silu menindas saudara sesama Islam.
Apabila manusia dikuasai oleh nafsu ammarah, ketinggian darjat manusia itu akan hancur sehingga tidak dapat dibezakan antara manusia dengan binatang.
Tetapi apabila manusia memiliki iman yang kuat, taat beribadat dan dekat pada Tuhan, nafsu muthmainnah itulah yang menang dalam pertarungan yang wujud dalam hati manusia. Hal ini akan menjadikan seseorang manusia itu mempunyai pedoman dan dapat membezakan yang mana baik dan buruk.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments