Doa adalah alat untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah SWT sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.
Antara lain firman Allah SWT: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-A’raf ayat 55).
Impak dari doa ini akan munculnya proses tunduk secara tulus dalam erti kata melenyapkan ‘ego’ atau individualisme dalam diri kita . Semakin kita sering berdoa maka semakin dalam pula proses pelenyapan ego dan individualisme dalam diri kita.
Isi doa pula haruslah mengandungi perkara kebaikan. Kita dilarang berdoa memohon perkara-perkara yang merosakkan serta mencelakakan, baik terhadap diri sendiri mahupun orang lain yang tidak sehaluan dengan kita.Hal ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Janganlah kamu mendoakan kecelakaan untuk dirimu, anak-anakmu, pembantumu dan harta bendamu. Boleh jadi permintaan yang demikian tepat dengan saat dikabulkannya permintaan secara langsung oleh Allah”. – (Hadis riwayat Abu Daud).
Nabi SAW tidak pernah memohon kebinasaan bagi suatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal. Salah satu doa baginda yang popular yang maksudnya: “Wahai Tuhan berikanlah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.”
Sepatutnya doa yang ditujukan kepada umat Islam hendaknya berbentuk kebaikan umum dan menyeluruh seperti memohon keselamatan, petunjuk hidayah, jalan petunjuk yang lurus dan sebagainya. Pada hakikatnya doa yang buruk yang ditujukan kepada umat Islam lain itu, akan terkena pada dirinya juga kerana kita sendiri sebahagian daripada mereka.
Pada waktu Rasulullah SAW, doa untuk keburukan hanya ditujukan kepada musuh Islam seperti kaum Nasrani dari Najran dan mereka tertentu daripada kalangan kaum musyrik. Amatlah dikesal kiranya, di negara kita terdapat segolongan manusia yang Islam memohon hajat kepada Allah SWT agar dijatuhkan bala ke atas umat Islam lain hanya kerana tidak sependapat dengan mereka.
Doa dengan tujuan memusnahkan orang tersebut dianggap sebagai satu bentuk doa yang tidak wajar dilakukan oleh orang Islam kerana tidak dilakukan secara berhemah seperti memohon kepada Allah SWT untuk “melembutkan hati yang keras” sekiranya benar telah berlaku kezaliman.
Tindakan segelintir pihak yang menimbulkan rasa kebencian termasuk membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan kehancuran terhadap pimpinan negara dianggap sebagai perbuatan tidak wajar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kebencian kepada pemimpin tidak sepatutnya hingga tahap mendoakan keburukan termasuk mencerca.
Menurutnya, sesuatu perkara yang diputuskan pimpinan negara membabitkan ijtihad yang berbeza di mana ada kemungkinan menepati kebenaran atau mungkin juga salah.
Bagaimanapun, katanya tidak perlu sehingga seseorang perlu mendoakan kehancuran seperti membaca Qunut Nazilah.
Disyorkan
Dari perspektif Islam, Allah SWT sentiasa menyuruh setiap Muslim agar berdoa dan memohon restu daripada-Nya. Allah SWT juga berjanji akan memperkenankan setiap permohonan yang diminta oleh hamba-Nya, asalkan doa itu bukan untuk menganiayai orang lain atau membalas dendam, yakni bukan keinginan negatif.
Setiap kali selepas bersembahyang, setiap Muslim digalakkan berdoa bagi mensejahterakan setiap Muslim kerana mereka adalah bersaudara. Dengan sifat yang positif, setiap Muslim mengharapkan perkenan dan rahmat-Nya.
Rasullullah SAW mengingatkan manusia bahawa doa adalah ibadat, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada riwayat al-Nu’man Ibn Basyir, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya doa itu adalah ibadat.”
Daripada Aisyah r.a., al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Persediaan dan berhati-hati tidak mampu mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdirkan dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga Hari Kiamat.”
Doa telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada setiap orang Islam dan perlu dilakukan sepanjang masa untuk mendapat restu dan rahmat-Nya. Makna daripada kerahmatan Allah SWT ialah untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan keseluruhan ummah.
Maknanya, jika doa itu ditujukan untuk menghancurkan sekelompok orang Islam kerana perbezaan ideologi, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana hanya untuk kebaikan diri dan bukannya kebaikan untuk seluruh umat Islam.
Allah SWT tidak mensyariatkan kepada orang Islam untuk mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam. Bahkan, Rasulullah SWT telah bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya (seagama) seperti mana ia mencintai dirinya sendiri.”
Sepanjang hayat Rasulullah SAW melaksanakan dakwah dengan kata-kata yang manis dan perilaku sederhana, tidak menggalakkan sebarang bentuk kemusnahan sama ada dalam kata-kata ataupun tindakan.
Ketika berhadapan dengan penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Rasulullah SAW diberikan pilihan oleh malaikat yang menjaga urusan bukit-bukau. Malaikat hanya perlukan arahan daripada Rasullullah SAW untuk memusnahkan mereka yang degil, malaikat akan campakkan bukit bukau itu bagi memusnahkan kedegilan penduduk Taif itu.
Bagaimanapun, Rasullullah SAW menolak pilihan itu tetapi terus mengharapkan agar Allah SWT melembutkan hati mereka dan dilimpahkan kebaikan. Mungkin pada suatu hari generasi keturunan mereka akan dilahirkan dan beriman kepada Allah SWT.
Rasullullah SAW berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah hidayah dan petunjuk-Mu kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui.” Nyatalah pendekatan yang diambil oleh Rasullullah SAW adalah bertentangan dengan sikap para pemimpin PAS yang mendakwa diri mereka sebagai ulama. Pada anggapan umum, ulama adalah “pewaris nabi” maka, tindakan yang dilaksanakan oleh ulama politik itu bukanlah tindakan yang diwariskan daripada Rasullullah SAW.
Rasullullah SAW tidak mewariskan ‘doa laknat’, ‘doa kemusnahan’ Doa-doa yang dilakukan itu adalah senjata politik yang terdesak dilakukan oleh ulama politik demi kuasa, akhirnya doa itu pulang ke pangkuan mereka sendiri sebagai ‘karma politik’.
Menggunakan doa sebagai senjata politik adalah sikap mereka yang membudayakan kehidupan yang zalim dan melampau, kerana Rasullullah SAW tidak pernah mendoakan musuhnya menjadi ‘buta’, ‘musnah’ dan ‘ditumbangkan’. Hanya dilakukan oleh Rasullullah SAW, mereka yang bermusuh itu ‘dilembutkan hatinya’.
Menerusi kelembutanlah Islam akhirnya muncul sebagai agama kedua terbesar dari segi jumlah penganutnya. Itulah hakikat sebuah dakwah yang diajar oleh Rasullullah SAW dan bukannya menyanjungi pendekatan politik yang dilakukan oleh ulama kemaruk kuasa dan terdesak mahu menutup kelemahan sendiri.
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments