Rakyat melihat sikap dan toleransi politik dalam pengambilan guru, penempatan guru di sekolah-sekolah jenis kebangsaan sebagai hal yang sangat mengecewakan.

Walaupun KPM mengatakan dasar pengambilan untuk guru yang bakal ditempatkan di sekolah jenis kebangsaan sebagai ‘one off’, ia akan mengungkapkan kembali persoalan bantahan dan keikhlasan politikus Melayu dala memperkasakan dasar pendidikan kebangsaan.

Jika KPM boleh menerima mereka yang berkelulusan UEC diterima sebagai ‘pelatih guru’ di IPG sebagai ‘khas atau one off’ tuntutan seperti itu akan terus berlaku pada masa hadapan.

Apatah lagi bila persoalan DLP yang ditolak oleh sekumpulan ibu bapa aktivis sosial yang tidak mahukan ia dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik walaupun hanya ‘satu kelas’ cukup membengkokkan peranan bahasa kebangsaan dalam pendidikan arus perdana.

Ia mengingatkan bagaimana KPM boleh berkompromi apabila dasar PPSMI ditamatkan, dengan membenarkan permohonan sekolah untuk melaksanakan DLP –Dual Languange Programme- di sekolah-sekolah kebangsaan, kerana  ada dalam kalangan guru dan ibu bapa mahu  bahasa Inggeris digunakan.

Di Pulau Pinang, ada sekolah tidak mahukan DLP –dalam bahasa kebangsaan- dilaksanakan kerana sikap dan tanggapan terhadap ekonomi bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Mereka lebih mahukan anak-anak mereka mahir berbahasa Inggeris, kerana bahasa tersebut adalah bahasa antarabangsa, sedangkan mutu pencapaian bahasa Inggeris di Malaysia semakin merosot.

Bukan Melayu lebih boleh menerima bahasa-bahasa asing daripada bahasa kebangsaan, kerana itulah ramai bukan Bumiputera belum cekap berbahasa kebangsaan, termasuk ahli politik bukan Melayu yang menjadi pembuat dasar.

Pandangan dan pendapat Prof Teo Kok Siong terhadap sikap dan pendirian bukan Melayu ada kebenarannya, tetapi kenyataan-kenyataan tersebut dipandang sepi dan serong. Logik Prof Teo Kok Siong tidak boleh diterima, sebagaimana usaha mendiang Prof Khoo Kay Kim dalam meletakkan sejarah Malaysia dalam landasan yang betul, bahawa negara ini adalah dipunyai oleh orang Melayu, dan orang Melayu menerima bukan Melayu atas toleransi dan kompromi.

Atas sebab itu, sejarah sebenar perlu dilihat sebagai kekuatan dalam pembinaan negara, bukan cuba menulis sejarah dalam konteks kemahuan politik “apa yang saya miliki adalah milik saya dan apa yang saya tidak ada, itu juga adalah milik saya.”

Itulah amanat Tunku Abdul Rahman ketika memerihalkan sikap bukan Melayu terhadap negara ini, walaupun asasnya adalah menyelar aspirasi PAP ketika berada dalam gagasan Malaysia. Tunku memberikan amaran itu untuk difahami oleh setiap rakyat Malaysia, kerana asas pembinaan negara ini sangat berkait dengan nilai sejarah Tanah Melayu, yang telah pun bermula sebelum penjajahan lagi.

Namun, kerana tujuan politik, toleransi dan kompromi berlaku sehingga nilai dan kedudukan ‘ketuanan Melayu’ terperosok jauh. Apatah lagi apabila arus politik lebih mengheret ke kancah “meritokrasi dan lobi melobi”, kepentingan sejarah mula dipersoalkan, diubah dan disesuaikan kerana demokrasi dan keperluan ‘sokong menyokong’, merintih dalam megalothymia.

Semakin lama semakin muncul larangan-larangan untuk memperkatakan tentang isu yang ada kaitan dengan kaum, agama dan institusi raja, maka perdebatan atau ucapan terhadap sesuatu kaum akan dianggap berbaur 3R.

Hal ini sangat merugikan orang Melayu, apabila orang Melayu bercakap mengenai kemelayuan, ia mudah ditafsirkan sebagai berbentuk perkauman manakala jika bukan Melayu memperjuangkan aspirasinya, jarang pula dikaitkan dengan persoalan perkauman.

Terdapat satu ukuran yang tidak sekata, dan orang Melayu mula melihat kerajaan perpaduan sebenarnya lebih berhasrat berkompromi dengan bukan Melayu. Ia dicontohkan dengan cadangan memberi ruang kepada lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang. Bukan Bumiputera mengikuti program matrikulasi.

Semakin banyak hak istimewa orang Melayu/Bumiputera cuba dirombak, atas makna ‘politik kebersamaan’, yang akhirnya akan merugikan Bumiputera sendiri.

PN walaupun tidak mengapungkan isu-isu tersebut secara serius, mesej kempennya cukup mudah apabila menyerang, manakala PH-BN cukup sukar untuk menangkisnya. PN berjaya membakar emosi, dan emosilah yang berjaya memenangkan PN.

Boleh sahaja dilihat kembali ada yang pemimpin-pemimpin PN bercakap dalam ‘grand finale’ yang diadakan pada malam sebelum hari mengundi.

Ertinya, tuduhan dan dakwaan tidak lagi mudah dijawab, kerana selepas ‘grand finale’ atau tepatnya jam 12 malam, kempen tidak lagi dibenarkan. PN berjaya menggunakan ‘tempoh terakhir’ dengan baik, sedangkan PH-BN tidak membuat ‘finishing’ yang menarik.

Media yang digunakan juga tidak banyak yang membantu, termasuk media konvensional dalam era pengaruhnya yang semakin berkurangan. Media sosial yang dikendalikan oleh parti dalam komponen PH-BN tidak menampilkan jawapan dan tangkisan isu yang memadainya, manakala orang perseorangan terus boleh meletakkan ‘harapan yang salah’ kepada kerajaan madani.

Senario itu membawa kekalahan yang besar buat PH-BN, sesuatu pengalaman pahit yang terpaksa dihadam oleh jentera kempen untuk meraih sokongan pengundi dalam mana-mana PRK yang akan berlangsung nanti.

PAS dan juga Bersatu berjaya menafikan beberapa rumusan yang ditemui oleh para pengkaji yang tidak membawa kesan positif kepada calon mereka. Mereka membelasah tinjauan pendapat dengan persepsi, tanpa memberikan fakta yang sahih atau dalam bentuk ilmiah, tetapi tangkisan tersebut dipercayai oleh para pengundi.

Itulah sebabnya PAS memenangi di tujuh daripada lapan daerah mengundi DUN Sg Bakap. Bahkan, daerah mengundi tunggal yang dimenangi PH-BN, iaitu Puteri Gunung juga ikut menunjukkan sokongan yang semakin tipis. PH-BN menang dengan kelebihan lebih 300 undi sahaja.

Pemuda Amanah Pulau Pinang, Muhammad Khairul Mohd Ali ikut mengakui bahawa akibat komunikasi jentera parti dalam kerajaan perpaduan yang lemah, gabungan itu ‘mesti mengambil tanggungjawab bersama atas kegagalan menarik undi anak muda’

Hal itu menjadi ‘ketidakupayaan memperoleh segmen undi anak muda menjadi semakin kronik’ dan ia adalah hal yang sangat perlu dititikberatkan’.  (Malaysiakini, 9 Julai 2024).

Secara umumnya, dianggarkan jumlah pengundi yang keluar mengundi dalam PRK Sg Bakap berkurangan sebanyak 4,500 berbanding PRN lalu. Melihat kepada perkiraan tersebut, PH dikatakan gagal mempertahankan jumlah undi yang diraihnya pada PRN, yakni kurang 3,648 undi manakala PN, sekitar 944 undi sahaja.

Pengundi Melayu keluar mengundi sekitar 70 peratus, manakala pengundi Cina sekitar 47 peratus dan India, kekal pada tahap 58 peratus. Sayangnya, 70 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi telah menunjukkan trend menyokong calon PN dan Rafizi memberikan gambaran bahawa “ kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu – bukan Melayu 55:45 kepada 75:25.” (Sinar Harian, 6 Julai 2024).

Gambaran yang jelas mengenai trend pengudian pengundi Melayu, semakin memihak kepada gabungan parti lawan (pembangkang). Ia bukan suatu perubahan kecil, ia membabitkan perbezaan sekitar 20 peratus.

Rafizi turut  menjelaskan bahawa telah berlaku peralihan undi Melayu, PH telah ditolak oleh orang Melayu. Ia sekaligus menafikan pendapatnya sendiri. Rafizi pernah menyatakan bahawa ‘data’ yang dikumpulkan (forecasting), berlaku peningkatan sokongan orang Melayu, namun “data’ itu tidak menyokong keputusan sebenar bila SPR mengumumkan Abang Bidin menang kerusi DUN Sg Bakap, ia kekal menjadi milik PAS. (Malaysia Now, 6 Julai 2024).

Dua rencana tulisan Hishamuddin Aun: “Bakar emosi, simpati menangkan PN”, (Free Malaysia Today, 8 Julai 2024) dan “Antara bengong, bodoh dan betul”, (Free Malaysia Today, 10 Julai 2024) dapat kita memahami sedikit sebanyak faktor kenapa Rafizi Ramli perlu bertanggungjawab di atas kekalahan calon PH, Dr Joohari Arifin.

Walaupun sebelumnya, Hishamuddin Aun turut memperkatakan sikap dan bentuk kempen pemimpin PN boleh dianggap semberono, kesemberonoan itulah dipercayai oleh pengundi. Apatah lagi bila Haji Hadi berkata: Mengundi Sabtu, Ahad dah menang dah”.

Sebuah keyakinan yang memberikan keyakinan kepada pengundi, dan malam grand finale itu cukup hangat sambutannya berbanding ceramah akhir PH yang ikut dihadiri oleh Rafizi.

Muhyiddin pernah ‘membodohkan Anwar’, pengundi yakin dan percaya kerana apa yang diperkatakan itu mendekati kehidupan mereka. Walaupun Muhyiddin pernah gagal semasa berperanan sebagai PM ke-7, kegagalan itu dapat disembunyikan dan pengundi menerimanya sebagai pengecualian.

Namun, dalam perkiraan terbaharu, dakwaan bahawa “Anwar bodoh” tidak dapat disangkal oleh Rafizi, akhirnya ‘kebodohan’ itu membingkai minda pengundi Sg Bakap.

Begitu juga dengan seruan-seruan yang dilontarkan oleh Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS dan juga Ketua Penerangan PAS. Ia mendekati aspirasi pengundi walaupun seruan-seruan itu sebahagian besarnya bersifat falasi.

Logik Rafizi, Zahid dan Fadhlina Sidek tidak mudah menjadi daya penangkis persepsi pengundi dan juga memberikan simpati kepada calon PH. Sedikit sebanyak unsur-unsur elitis mempengaruhi interkasi dengan pengundi, yang dilihat sedikit berjarak termasuk gaya dan penampilan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki, cawangan utara itu.

Pementasan gerik geri calon PAS di mata umum cukup ‘humble’ dan bersifat jalanan. Sikap dan cara itulah yang menjadi tarikan pengundi Sg Bakap untuk mengekalkan penguasaan PAS walaupun mereka sedar, manifesto KERJA yang ditawarkan tidaklah sehebat manifesto calon PH.

Manifesto adalah manifesto, soal boleh dilaksanakan atau tidak, itu adalah persoalan yang akan dinilai kemudian, tetapi yang penting ia enak didengar dan mampu dicerna dalam persekitaran semasa yang panas dan benar budaya politik.

Jelaslah bahawa dalam mana-mana kempen PRK, komunikasi offensive (terbuka atau menyerang) adalah lebih berkesan daripada komunikasi ‘defensive’ (mempertahankan) atau menafikan sesuatu isu. Namun, ia tidak bermakna komunikasi mempertahankan tidak berkesan sedikit pun, dan tidak perlu.

Komunikasi defensive perlu dalam situasi bila mesej yang dibuat itu ‘tidak benar’ atau ‘silap’, ia perlu disertai dengan gaya komunikasi ofensif, iaitu menyernag balik pihak lawan dengan fakta yang mudah difahami, bukan bersifat teknikal dan penuh jargon politik.

Sememangnya, pembangkang lebih mudah membuat dakwaan dan menimbulkan persepsi buruk, kerana sifatnya tidak bertanggungjawab ke atas apa yang diperkatakan, kecuali kemungkinan berhadapan dengan saman (saman fitnah mahupun saman sivil yang lain) ekoran kenyataannya yang negatif.

Tetapi, ia tidak mudah diselesaikan (dibuktikan memfitnah) dalam masa terdekat, memerlukan masa yang panjang untuk menuntut keadilan dan membuktikan apa yang diperkatakan itu bukan suatu fitnah atau pembohongan. Yang pastinya, jika fitnah atau pembohongan itu benar-benar dirasai sebagai pembohongan oleh pengundi.

Mudahnya jadi pembangkang, dalam kempen tidak ada banyak halangan yang boleh menyekat seumpama Ketua Penerangan PAS, Fadhil Shaari mempersoalkan kelulusan akademik calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Walaupun akhirnya beliau ‘menyesal’ dan dipersoalkan oleh netizen mengenai kelulusannya, calon PH berjaya membuktikan pengesahan sijilnya, mendapat keputusan cemerlang SPM dan kepujian bahasa Melayu, sedikit sebanyak terhapus dengan sendirinya.

Realiti itu tidak menjadi dalam PRK Sg Bakap apabila kelulsan akademik calon PAS dipersoalkan.

Sebaliknya, PAS terus membina keyakinan pengundi bahawa walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik dan tinggi, seseorang itu mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengundi, selagi calon itu memahami sifat dan memahami budaya politik setempat.

Ini tidak dapat diselami dengan baik oleh calon PH walaupun cuba menafikan interaksi dengan pengundi ada jarak yang memisahkan, sehingga didakwa kurang mesra.

Persembahan gerak-geri bahasa badan cukup memainkan peranan dalam mempengaruhi kemenangan dalam mana-mana persaingan, terutama yang membabitkan pesaing daripada parti lawan yang sudah dikenali mampu menunjukkan reaksi dalam keadaan tertekan.

Calon PN berjaya memberikan gambaran gerak atau bahasa badan yang lebih baik, sehingga pengundi-pengundi yang disantuninya percaya dirinya boleh berkhidmat dengan baik kepada pengundi setempat.

Abang Bidin sudah lama belajar kaedah itu, dan Abang Bidin menunjukkan ‘presentation’ yang baik apabila bertemu atau dihadapan pengundi. Dalam dua pertembungan antara mereka, calon PAS dilihat lebih menunduk dan rendah diri daripada pembawaan calon PH. Itulah komunikasi visual yang membawa kepercayaan dan keyakinan awam berbanding komunikasi lisan.

Kesan komunikasi visual dan nonverbal cukup besar pengaruhnya, bahkan pernah dianggarkan bahawa penentuan kerberkesanan sesuatu mesej sampai 80 peratus berbanding komunikasi lisan hanya sekitar 20 peratus. Hal ini berjaya dimanfaatkan oleh Abang Bidin, dan kurang dimanfaatkan oleh Rafizi dan juga tukang kempen PH-BN.

Nampaknya, apa pun kecaman yang dibuat ke atas Rafizi, beliau tidak akan berundur sekali lagi sebagaimana pernah dilakukannya ketika berhadapan dengan beberapa tindakan undang-undang atas isu yang didedahkan.

Jika membaca komen dan sanggahan sinis terhadap Ong Kian Ming dan KJ, jelas membuktikan bahawa sangat sukar Rafizi untuk menerima dirinya menjadi salah satu sebab kekalahan calon PH.

Bahkan beliau membuat andaian, kekalahan itu ada kaitannya dengan pola pengundi yang rendah dan keputusan PRK Sg Bakap tidak banyak berbeza trendnya dengan keputusan PRN sembilan bulan lalu.

Namun, persoalan yang harus diberikan jawapan ialah kenapakah pengundi Cina tidak menunjukkan sikap untuk keluar mengundi sebagaimana mereka lakukan pada PRN lalu. Jawapan dan kajian perlu dibuat.

Ada andaian mengatakan pengundi Cina kurang berminat keluar mengundi disebabkan ada rasa terkilan dengan kerajaan madani. Mereka mula merasa mual dan dengan tidak keluar mengundi sebagai menghantar isyarat kepada Perdana Menteri yang ada hubungan sejarah dengan Sungai Bakap.

Nampaknya, keputusan PRK Sg Bakap akan menguji kerjasama yang berlaku antara PH dan BN, walaupun Naib Presiden UMNO mengesyorkan agar tidak berkelahi sesama sendiri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ikut mengecam Rafizi kerana ucapannya menggunakan perkataan ‘tolol dan bahlol’ yang tidak sepatutnya disebut dalam apa sahaja majlis kempen. Ia boleh disebut jika bukan dalam suasana kempen.

Jika parti lawan melakukannya, jentera kempen di pihak parti kerajaan tidak sepatutnya melatah dengan istilah-istilah sedemikian. Jawablah secara berhemah, dan fahamilah bahawa komunikasi assertif sangat berkesan dalam persekitaran memujuk dan meraih simpati para pengundi.

Menggunakan istilah-istilah sedemikian, ia akan menambahkan lagi rasa benci, sebabnya imej kerajaan madani sudah pun sedikit sebanyak bernada negatif.

Ada hal yang perlu dirungkaikan. Ada kelemahan yang perlu diberikan perhatian dan diatasi. Sekiranya tempo dan strategi yang sama digunakan, harapan untuk calon daripada kerajaan madani memenangi PRK Nenggiri mungkin tipis, terutama bila berhadapan dengan calon PAS.

Jika Bersatu diberikan peluang meletakkan calonnya, calon UMNO yang dianggap mewakili kerajaan perpaduan ada harapan mencetak kemenangan, itu pun Rafizi tidak perlu datang membantu berkempen.

Ruang kemenangan menjadi sedikit sukar kerana aura bekas wakil rakyat Gua Musang masih kuat di mana Neggiri berada dalam jangkauan politiknya selama 48 tahun (1986-2022) dan sebelumnya adalah Hulu Kelantan 1974-1986).

MAHANOR SALEHA

Translate »