Persembahan khas yang dipaparkan sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M telah mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat awam di media sosial. Kami terpanggil untuk meneliti persembahan khas ini, dan mungkin memberikan pendapat konstruktif kepada pihak penganjur dan juga masyarakat awam yang telah menonton.
Umum mengetahui bahawa tiap tahun, persembahan khas sempena sambutan ma’al hijrah membawa tajuk dan konsep yang berlainan. Pada tahun 1446 Hijrah, persembahan khas ini berjudul BILA HATI BERBISIK, dan konsep secara keseluruhannya ingin mengenalkan kepada penonton istilah Tafsir ‘Ilmi, yang membincangkan ilmu sains empirikal di dalam Al-Quran.
Persembahan khas ini berdurasi selama 17 minit, dan dibuka dengan pengenalan kepada watak robotik bernama Avisena, merujuk kepada ilmuan Islam Ibn Sina. Dengan grafik, efek bunyi dan lagu latar, persembahan ini membawa penonton seakan di dalam kapal angkasa futuristik, untuk menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui makhluk ciptaanya iaitu bumi dan alam semesta.
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”
Surah Ali-’Imran ayat 190 ini menjadi inspirasi kepada para ilmuan Islam sepanjang zaman. Langit dan bumi seperti yang dipaparkan dalam persembahan ini, adalah petunjuk kepada orang yang berakal dan menggunakan akalnya. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kepada akhiran ayat-ayat yang meyarankan manusia memerhati dan memanfaatkan alam. Jika diperhatikan, keseluruhan akhiran ayat-ayatnya bersifat stereotaip iaitu menekankan kepentingan berakal dan penggunaan akal, seperti di dalam ayat yang dibacakan.
Berakal di sini merujuk kepada akal yang sihat yang berupaya berfungsi mengikut apa yang ditetapkan padanya. Akal yang sakit pula ialah apabila ia tidak lagi mampu melakukan tugasan yang ditetapkan padanya.
Jika diperhatikan ayat-ayat yang mengandungi sebutan “aqal”, kita akan mendapati bahawa semuanya didatangkan dalam bentuk perbuatan “fi’il”, misalnya afala ta’qilun, la’allakum ta’qilun dan in kuntum ta’qilun. Ini menunjukkan bahawa “aktiviti” tidak boleh dipisahkan oleh akal. Dengan kata lain, orang yang tidak menggunakan akalnya adalah sama dengan orang yang tidak berakal atau sakit akalnya.
Jabir bin Hayyan, al-kindi, al-khawarizmi, al-fargani, ar-Razi, Sabit bin Qurrah, al-Battani, al-Farabi, Ibrahim bin Sinan, al-Mas‘udi, at-Tabari, Abu al-Wafa, Ali bin Abbas, Abul Qasim, Ibn al-Jazzar, al- Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Yunus, al-kashi, Ibn Haitham, Ali bin Isa al-Ghazali, Umar Khayyam, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Abdul Latif al-Baghdadi, Ibnu Abi Ushaybi’ah disebutkan bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam satu bidang tetapi juga dalam pelbagai dimensi. Ibnu Sina dan Al-Ghazali adalah seorang ahli falsafah besar tetapi dikenali juga seorang ahli fizik tersohor. Karya mereka di bidang kedoktoran tidak kalah penting dengan karyanya di bidang falsafah. Al-Biruni sebagai contoh, bukan sahaja menguasai bidang astronomi tetapi turut mahir dalam bidang-bidang lain seperti fizik, matematik, geologi dan juga bahasa.
Sesungguhnya pengembangan sains dalam sejarah Islam seiring dengan perintah al-Quran untuk mengamati alam semesta dan merefleksikannya serta menggunakan akal. Inilah dua dasar metodologi sains.
Sejurus selepas itu, persembahan memaparkan angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar, dan menceritakan secara ringkas kisahnya di atas International Space Station ISS pada 23 Julai 2007.
Kemudian dipaparkan surah Al-Anbiya’ ayat 30, yang menceritakan tentang konsentrasi asal zat alam semesta di satu tempat, dan kemudian dipisahkan oleh Allah dan menjadi alam semesta yang wujud hari ini.
Seterusnya, Dr Danial Zainal Abidin mempersembahkan monolog tentang ilmu sains dipelopori orang Islam telah mengeluarkan dunia dari kegelapan dan kejahilan. Beliau mengingatkan penonton kepada pusat ilmu Baitul Hikmah, yang dibangunkan kerajaan Abbasiyah. Beliau juga menyatakan fakta tentang kebangkitan Eropah yang sebenarnya berpunca daripada tamadun Islam, hingga mereka dapat keluar dari zaman kegelapan atau The Dark Ages. Mesej di sebalik persembahan Dr Danial adalah bahawa agama Islam dan sains sentiasa seiring, dan adalah penting untuk kita menyambung legasi tokoh-tokoh keilmuan Islam.
Skrip monolog Dr Danial kemudiannya beralih kepada revolusi industri 4.0 yang kini dibangunkan di seluruh dunia. Ledakan automasi, robotik dan kecerdasan buatan yang kita saksikan hari ini, bermula dari Al-Quran yang sentiasa menyuruh manusia untuk berfikir dan mencari ilmu yang bermanfaat. “SAINS BUKAN SIHIR!” ujar beliau dengan penuh semangat.
Seterusnya, persembahan ini memaparkan tarian interpretif, dengan skrip yang memberi fokus kepada alam sekitar yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia sebagai nikmat. Namun manusia merosakkan alam sekitar oleh kerana sikap rakus dan tamak harta, mengabaikan tanggungjawab sebagai khalifah.
Babak penutup ini memaparkan para penari dan juga cosplay untuk watak robot dari filem Transformers. Watak Transformers ini yang menjadi titik perbualan, sebenarnya tidak begitu pelik, kerana ia selari dengan konsep keseluruhan tentang pembangunan sains, robotik, automasi dan kecerdasan buatan. Watak robot yang dikenali orang ramai ini juga, akan menarik perhatian penonton kanak-kanak.
Namun mungkin ia boleh diperbaiki dari sudut penceritaan, kerana babak ini menjadi penutup kepada keseluruhan persembahan. Sebaik-baiknya ia menjadi kesimpulan kepada mesej yang di bawa, dan tidak mencampurkan isu alam sekitar dengan isu genosid yang dipaparkan di layar. Ia menghantar mesej yang kurang jelas kepada penonton, dan melemahkan penghujung persembahan.
Mungkin jika diolah kepada satu mesej tentang bagaimana manusia yang tidak bertanggungjawab menggunakan sains dan teknologi untuk menyebarkan fasad, kezaliman dan pembunuhan ke atas umat Islam, ia akan memberi impak yang lebih besar dan padu sebagai penutup persembahan. Ia juga selari dengan konsep ilmu sains, sama ada ilmu ini digunakan untuk kebaikan atau kezaliman, dan kemudian diakhiri dengan seruan supaya umat Islam kembali bersatu demi agama.
Persembahan nasyid mengakhiri persembahan khas sempena Ma’al Hijrah ini. Secara keseluruhan, mesej yang ingin disampaikan pada tahun ini sangat bagus, dan konsep futuristik memberikan nafas baru berbanding tahun-tahun sebelum. Setiap usaha tidak akan pernah sempurna, kerana kesempurnaan itu milik Allah SWT. Tahniah kepada pihak JAKIM yang membawakan idea-idea baharu setiap tahun bagi menyambut Ma’al Hijrah, dan semoga dapat lahirkan persembahan khas yang menawan hati penonton pada masa akan datang.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments