Dakwaan dengan pengapungan harga diesel akan menyebabkan rakyat bawahan terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup, awalnya mudah diterima, tetapi setelah lebih dua minggu dilaksanakan, dakwaan itu sudah dilihat tidak relevan lagi. Ini kerana, apa yang dilakukan oleh kerajaan sebagai subsidi bersasar ialah tidak menjadikan golongan yang maha kaya menjadi lebih tepu sebagaimana mereka nikmati semasa subsidi dilaksanakan secara pukal.

Golongan yang maha kaya inilah yang menggunakan kenderaan diesel yang berkapasiti lebih 2,000 c c. Mereka boleh membeli kenderaan tersebut dengan harga mahal, maka tidak ada sebab mereka tidak perlu membayar harga bahan api yang lebih tinggi.

Kesan daripada penyasaran subsidi diesel, kerajaan dijangka mampu menjimatkan wang negara sebanyak RM 4 bilion setahun. Penjimatan itu akan dikembalikan kepada rakyat yang berpendapatan rendah, juga boleh digunakan untuk penyediaan pelbagai kemudahan infrastruktur yang dapat dinikmati secara langsung.

Jika selepas PRK Kuala Kubu Bahru, kerajaan perpaduan melaksanakan subsidi diesel bersasar, makan jentera kempen pembangkang sedang memainkan isu subsidi bersasar terhadap petrol. Sebelumnya, isu kenaikan harga gula cuba dimainkan. Isu itu nampaknya tidak menjadi kerana kerajaan perpaduan terus memberikan jaminan tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Isu pengaoungan subsidi petrol, terutama RON 95 berlegar dalam beberapa kempen yang dilaksanakan. Namun, isu ini tidak akan menyebabkan pengundi Sg Bakap terpengaruh, kerana mekanisme membantu golongan pemilik kenderaan sedang diteliti sebaik-baiknya.

Secara jelasnya, kerajaan perpaduan mampu menanganinya walaupun momokan pembangkang berkemundang seolah-olah langit akan runtuh apabila harga petrol tidak lagi kekal rendah berbanding harga petrol di negara jiran.

Walaupun subsidi pukal terhadap petrol tidak lagi dilaksanakan, mekanisme ‘membantu’ dalam bentuk subsidi bahan api akan muncul, yang sedikit sebanyak mampu memberikan kelegaan kepada sejumlah besar pemilik kenderaan.

Mungkin Muhyiddin rasa kesal, kerana anggap dirinya lebih cerdik daripada Anwar. Katanya:…ya waktu saya dulu pun ada inflasi. Sekarang ada inflasi tetapi selain inflasi ditunjukkan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan yang semakin hari semakin tak terkawal, yang patut dikawal pun tak boleh kawal” Benarkah ada yang tak dapat dikawal?

Rakyat Malaysia tentu ingat, ketika Muhyiddin ‘menutup’ negara, harga barangan juga mahal, bahkan lebih mahal daripada masa kini. Harga ikan kembong sekilogram mencanak sehingga RM 26, sekarang sudah pun boleh dapat sekitar RM 20 sekilogram. Ramai juga yang masih ingat, ada ketikanya harga minyak masak paket 5 kilogram mencecah RM 40 hingga RM 50. Sekarang, boleh dibeli dengan harga bawah RM 30.

Kata Muhyiddin lagi, “Kami di pihak pembangkang, baik di Parlimen atau DUN, tak cukup tempat nak letakkan isu-isu yang kita hadapi pada hari ini yang telah dikemukakan oleh rakyat seluruh negara.” Sayangnya, Muhyiddin tidak pula bersikap seperti negarawan kerana tidak bersedia membantu ‘pulangkan menantu’ yang didakwa ‘melanggar undang-undang’.

Muhyiddin mendiamkan diri, kerana Muhyiddin takut lebih banyak perkara akan terbongkar, dan isu integriti diri akan menyebabkan harapannya untuk kembali memegang jawatan PM sekali lagi terpaksa dilupakan. Apatah lagi beliau sedang berada dalam senarai Kluster Mahkamah tahap tertinggi.

Sombong dan bongkak juga Muhyiddin walaupun pernah menyatakan dia tidak diajar bersikap demikian. Sebagai anak seorang Tok Guru, kata Muhyiddin merujuk kepada pengalaman lamanya sebagai seorang menteri daripada BN, parti yang telah membawanya ke kancah politik sehingga terkenal sebagai “menteri susah senyum”.

Katanya: Saya cakap ni (berdasarkan) ada sedikit pengalaman dulu, saya pernah jadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna. Tanggungjawab kita ialah memantau supaya negara kita mempunyai cukup bekalan bahan-bahan keperluan. Antara paling utama kita nak tentukan beras mesti ada dan cukup”.

Apakah di Malaysia sekarang tidak ada beras? Jika dikatakan beras ‘tidak cukup’ bererti Muhyiddin berbohong. Beras yang tenggelam dalam pasaran ialah beras tempatan. “Kehilangan”nya disebabkan munculnya kartel, sikap pengedar dan pemborong, termasuk pengilang yang berusaha mendapat untung besar kerana proses mengenali beras tempatan dan beras import tidak boleh dipastikan dengan jelas.

Harga runcit beras import meningkat naik. Dua sebab, pertama berlaku kenaikan harga yang ditetapkan oleh pengeksport, dan kedua, disebabkan nilai mata wang ringgit merosot, manakala bayaran pembelian eksport menggunakan mata wang dolar. Beras tempatan dikawal harga oleh kerajaan, RM 2.60 sekilogram.

Jadi, sikap tamak peniaga, pemborong dan peruncit telah menyebabkan beras tempatan ‘hilang’. Ada yang mendakwa pihak-pihak tertentu sengaja menukarkan bungkusan sebagai beras import. Ada yang mendakwa, beras tempatan dicampur dengan beras import untuk dijual mahal, sebagai beras import. Ada yang mendakwa, beras tempatan disorok, disimpan untuk dijual secara banyaknya kepada pembeli tertentu.

Tetapi, yang Muhyiddin tidak jelaskan ialah kenapa harga beras di Thailand juga adalah mahal. Bukankah ia turut mempengaruhi harga beras di Malaysia? Thailand bukan sahaja mengeksport beras ke Malaysia, bahkan lebih 80 peratus penduduk Kelantan ‘tidak makan beras tempatan’. Beras import, atau dalam istilah orang Kelantan “beras siam” telah diseludup ke negara ini menerusi pengkalan-pengkalan haram di Rantau Panjang.

Apakah penyeludupan ‘beras siam’ itu berlaku pada masa sekarang dan semasa beliau sebagai menteri perdagangan dalam negeri tidak berlaku? Jawabnya, penyeludupan beras sudah berlaku sejak sekian lama, termasuk ketika Muhyiddin ‘berjaya’ tentukan ‘cukup bekalan bahan-bahan keperluan’. Ertinya, zaman beliau juga menunjukkan ‘kegagalan’ kerana aktiviti penyeludupan (beras) tidak dapat dilenyapkan sama sekali.

Kata Muhyiddin lagi: Sekarang ini cerita beras dah tenggelam, Ini cara madanon buat kerja.—it’s ok let’s wait for the time when people will forget. Tak apa tak usah buat apa-apa. Memang pun dia bodoh…perdana menteri pun bodoh tak boleh selesaikan masala beras. Sekarang bila berhadapan dengan krisis tak ditangani sampai dibiarkan begitu saja. Saya juga pernah jadi menteri pertanian, jadi cakap ni ada authority sedikitlah.”

Sayangnya, Muhyiddin tidak mengungkapkan bagaimana ‘celaru’nya sistem pendidikan kita apabila berlaku flip-flop kerangka dasar yang direncanakan oleh beliau walaupun terlalu besar menggunakan wang negara.  Kita tahu, sejak beliau dilantik sebagai menteri pendidikan, beliau bersungguh-sungguh untuk meletakkan sistem pendidikan berada dalam kelompok sepertiga di atas, tetapi apabila kerangka siap, berbilion ringgit wang dibelanjakan, banyak hal yang tidak beres.

Usahanya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris turut gagal walaupun ada pelbagai program yang sangat mahal seperti Penutur Jati, Teach for Malaysia, CPT (Cambridge Placement Test), latihan semula guru-guru bahasa Inggeris berdasarkan tahap pencapaian CPT, penguasaan bahawa Inggeris dalam kalangan pelajar masih belum boleh dibanggakan.

Katanya, sekolah-sekolah akan menjadi jaringan pendidikan yang menepati keperluan Abad ke-21. Namun, persekitaran maya yang cuba diwujudkan kandas di tengah jalan. Terperangkap dengan jerat teknologi apabila pembekalnya gagal melaksanakannya biarpun telah berbelanja besar.

Internet di sekolah-sekolah sampai kini belum berjaya dilaksanakan sepenuhnya, dan kerugian kepada negara tersangat besar. Ia lebih dahsyat daripada kegagalan Sekolah Bestari, yang dilihat cukup megah pada awal konsep itu diperkenalkan.

Sesuatu yang masih menjadi beban besar dalam sistem pendidikan ialah mengenai program DLP yang membenarkan sekolah-sekolah meneruskan semula apa yang disifatkan oleh aktivis bahasa Melayu sebagai gentian PPSMI.

Walaupun tidak semua kelas di sekolah kerajaan dibenarkan, kini muncul pula isu penetapan untuk melaksanakan DLP di sekolah-sekolah jenis kebangsaan, dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran matematik dan sains. Muncul penentangan di Pulau Pinang.

Walaupun DLP kali ini melibatkan penggunaan bahasa Melayu, ia sedikit sebanyak mengheret pengalaman lama Muhyiddin sebagai menteri pendidikan, yang katanya, untuk meningkatkan prestasi pelajar di peringkat antarabangsa dengan ratusan inisiatif.

Sayangnya, godaan itu menyebabkan KPM terpaksa berbelanja besar termasuk membayar yuran rundingan dengan sebuah organisasi rundingan antarabangsa, McKinsey, yang memerah tenaga dan kakitangan KPM sendiri.

Diwujudkan sebuah entiti seperti badan berkanun dalam KPM, yakni PADU. PADU juga bermasalah, kerana pengurusannya lebih berorientasikan ‘sistem pelaporan’ sedangkan kakitangan KPM menjadi terlalu sibuk untuk menyediakannya.

Kadangkala, seperti kehilangan arah, tugas hakikinya mengajar dan melaksanakan aktiviti di bilik darjah ditinggalkan akibat sibuk memenuhi tanggungjawab melengkapkan data atau evidens. Akhirnya, ramai yang merasa tertekan dan pola bersara awal dalam kalangan guru meningkat setiap tahun.

Oh! Bersatu dan PAS sebenarnya sudah begitu serasi lagi. Walaupun Naib Presiden PAS, Nik Mohamad Amar menafikan, rakyat sudah boleh membaca bahawa keretakan hubungan tidak boleh disembunyikan lagi.

Ada juga cerita, PAS mula mencari jalan untuk bekerjasama dengan kerajaan perpaduan, kerajaan yang pernah dilabelkan ‘luar tabie’ dan ‘penuh muslihat dan perangkap’; sebabnya, PAS yakin, dengan terus kekal bersama PN, keupayaannya untuk menjadi kerajaan tidak akan ke mana.

Peluang untuk berada dalam kuasa pusat sekali lagi tidak ada ruang. Biarpun PAS mampu mencetak kemenangan lebih besar, PAS tidak boleh menggantungkan hasrat selanjutnya kepada Bersatu. Gerakan sangat terlalu jauh kerana parti itu sudah tenggelam dilenyek oleh liabiliti politiknya setelah tewas teruk pada PRU ke-12 (2008). Bagasi Gerakan terlalu berat untuk ditarik.

Bersatu juga semakin bermasalah dari dalam. Secara umumnya, Bersatu telah kehilangan enam wakil rakyatnya di peringkat Parlimen. Walaupun isu ini masih belum diputuskan, sama ada kedudukan enam wakil rakyat itu ‘terlucut’ ekoran sokongan kepada PMX, ia akan melakarkan lebih banyak percaturan politik yang akan merengsakan parti.

Enam wakil rakyat terbabit sudah mempersoalkan ‘ketepatan Perlembagaan parti’ yang mengisytiharkan ‘pelucutan secara automatik’ kerana pindaan dibuat selepas beberapa ketika mereka beralih arah.

Pindaan itu dianggap sebagai ‘teknik penyingkiran’ dan balas dendam setelah Akta Antilompat Parti tidak dapat mengesahkan mereka ‘melompat parti’. Enam wakil rakyat ‘tidak keluar parti’, hanya menyatakan sokongan terbuka kepada PMX.

Walaupun DUN Kelantan telah membuat keputusan tidak menyebelahi ADUN Nenggiri, ia mungkin tidak dapat memancing keputusan Yang di Pertua Dewan Rakyat memutuskan keputusan yang sama. Terdapat duluan yang berlaku di Sabah, di mana wakil rakyat Bersatu kekal sebagai wakil rakyat walaupun berganding bahu menubuhkan GRS.

Jika duluan itu menjadi takarannya, bermakna harapan Bersatu sedikit punah kerana mereka benar-benar kehilangan enam orang wakil rakyatnya. Bersatu melopong sendirian, kerana enam orang wakil rakyatnya kekal sebagai wakil rakyat Bebas.

Bagaimanapun, keputusan sama ada enam wakil rakyat lucut kedudukannya akan diketahui beberapa hari lagi. Sabarlah menanti: untung sabut timbul, rugi batu tenggelam.

Ertinya, Bersatu semakin kehilangan moral politiknya, dan tentunya dari dalam parti akan muncul cabaran yang lebih besar walaupun Muhyiddin terus kekal menerajuinya. Ada kelompok oportunis dalam Bersatu akan bergerak, kerana Azmin Ali juga cukup berhasrat untuk meletakkan kedudukannya lebih baik ketimbang Hamzah Zainuddin dan Peja (Faizal Azumu).

Warna-warni itu sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan mengundi di PRK Sg Bakap yang bagi segelintir pendokong PN melihatnya sebagai referendum rakyat, istilah yang sangat tidak tepat. Jika pun PAS menang, ia bukanlah merupakan referendum, hanya sekadar mengisi kekosongan yang berlaku setelah penyandangnya meninggal dunia. Itu sahaja.

Apakah di PRK Sg Bakap akan muncul fenomena digambarkan oleh Bertrand Russell sebagaimana yang saya kutip di awal rencana ini: Orang bodoh yang yakin, Orang pintar yang was-was? Maksudnya, adalah suatu kebodohan jika mempercayai dan memilih ‘orang yang tidak mampu menunaikan janji’ kerana jika memilihnya bererti pilihan itu yang salah (yakin bodoh).

Sebaliknya, jika memilih ‘orang tepat’ walaupun awalnya dianggap was-was, ia akan membawa lebih banyak kebaikan (maslahah) kerana orang yang dipilih itu adalah lebih cerdik dan boleh dipercayai.

Mana yang hendak dipilih: Yakin Bodoh atau Yakin Boleh?

Yang kabur ialah poster yang menggambarkan imej pemimpin Bersatu. Yang menonjol ialah pemimpin-pemimpin PAS. Sebab itulah ada yang berkata: PAS sudah naik junjung, Bersatu pula dilanyak junjung dan Gerakan, kesakitan terpijak duri di Sungai Duri dan tidak mampu sampai ke Puteri Gunung.

Sama ada PN terperangkap di Sungai Bakap atau melaju mendayung di situ akan ditentukan oleh seramai mungkin daripada 39, 279 pengundi, termasuk 128 pengundi pos dan 57 pengundi awal (anggota polis). Demografi pengundi membabitkan 59.4 peratus adalah Melayu, 22.5 peratus Cina, 17.4 peratus India dan lain-lain etnik sekitar 0.7 peratus.

Namun yang lebih ditakuti ialah peralihan sokongan pengundi Melayu, jika UMNO benar-benar berjaya menarik sokongan ahlinya agar mengundi calon PH, ia akan memberi gambaran bahawa Dr Joohari Ariffin akan menang. Jika PAS berjaya ‘mendodoikan pengundi Melayu’, Abang Abidin mungkin tersenyum lebar mendakap kemenangan dan berjaya mempertahankan legasi PAS yang sudah mula membina kubunya di Sungai Bakap.

Kecenderungan awal ketika ini (3 Julai 2023) menampakkan harapan kemenangan calon PH-UMNO sedikit cerah akibat strategi kempen PN sedikit kelam-kabut dan kadangkala tidak mempunyai arah yang jelas bagaimana gabungan tersebut mampu melaksanan KERJA, kerana pengalaman-pengalaman sebelumnya, yang turut diketahui oleh pengundi Sungai Bakap, pembangkang hanya lebih banyak bercakap dan mengecam, tidak ada apa yang boleh dibanggakan semuanya retorik.

Kerana itu ada yang menterbalikkan makna KERJA – khidmat, ekonomi, rangkaian, jaminan dan amanah – menjadi Khayal, Entahlah, Ronda-Ronda, Jerangkap dan Ampu. Sebabnya, politikus PAS banyak menempel di atas usaha dan kejayaan pihak lain, sedangkan usaha sendiri banyak yang hanyut ke laut.

Bila terperangkap atau dipersoalkan, maka alasannya, oh tiada peruntukan daripada kerajaan pusat, pembangkang didiskriminasi. Kata pemimpin seperti ‘suci dan kudus’ tidak harus dipersoalkan kerana pemimpin mereka tidak salah, yang salahnya dasar dan orientasi parti yang memerintah. Tradisi yang sudah lama berakar dalam upaya memperbodohkan dan membodohkan orang lain, yang tidak sekelompok dalam pendirian politik.

MONOSIN SOBRI

Translate »