“Masalah di dunia ini terjadi ketika orang bodoh terlalu yakin dan orang pintar penuh dengan keraguan.’ Bertrand Arthur Wiliam Russell (18 Mei1872 – 2 Februari 1970) pakar matematik, ahli falsafah dan penerima Hadiah Nobel (Sastera) 1950.
Kempen PRK DUN Sg Bakap menuju hari-hari terakhirnya, dan berlabuh cepat sekali, iaitu pada 6 Julai 2024 setelah dua minggu berkubang. Sungai Bakap, suatu kawasan yang masih ada sisa-sisa kampung tradisi walaupun sebahagian besar sudah lama kehilangan auranya sebagai sebuah kawasan asal muasalnya diduduki oleh orang Melayu.
Semuanya berubah kerana zaman dan kehendak zaman berubah. Letaknya dalam Parlimen Nibong Tebal, dalam mukim Jawi dan daerah Seberang Perai Selatan (SPS), sedikit tersorok apabila laluan Lebuh Raya Utara Selatan menjadi jalan utama dari Utara ke Selatan dan Selatan ke Utara.
Namun, yang masih terpampang di tepi PLUS ialah sebuah jenama industri yang besar, tetapi sering dianggap enteng oleh kebanyakan orang, yakni kilang pulpa yang mengeluarkan pelbagai produk kertas kegunaan rumah – kertas tisu lap tangan, tisu dapur dan tisu tandas, dengan jenama Premier atau Royal Gold.
Hanya sekadar mengimbas lokasi, Sungai Bakap ada beberapa nama unik yang cukup menarik. Salah satunya bernama Puteri Gunung, yang merupakan sebuah daripada enam Daerah Mengundi dalam DUN Sg Bakap. Daerah Mengundi Puteri Gunung pada PRN lalu merupakan satu-satunya milik BN.
Menurut Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN, terdapat saki baki ahli UMNO seramai 5,105 orang di DUN Sg Bakap. Mereka akan dikerahkan untuk keluar mengundi, yakni memangkah calon PH-BN, iaitu Dr Joohari Ariffin, bekas Pengarah Institut Aminudin Baki, Cawangan Utara.
Dr Joohari baharu beberapa bulan bersara, tetapi nasibnya baik dipilih untuk mewakili PKR bagi mencabar calon PAS, Abidin Ismail, yang sebelumnya adalah pembantu kepada almarhum Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia akibat radang perut pada 24 Mei 2024.
PAS sebenarnya baru pertama kali memenangi kerusi DUN Sg Bakap, iaitu pada PRN yang dilaksanakan pada bulan Ogos lalu. Beliau menang dengan majoriti 1,563 undi, menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose. Dari segi sejarahnya, sebelum PH yang diwakili oleh PKR, DUN Sg Bakap dikuasai oleh UMNO /BN.
DUN Sg Bakap telah wujud sejak tahun 1959, dan menjadi salah satu kerusi DUN Pulau Pinang yang dipertandingkan dalam PRU pertama (1959), yang dimenangi oleh calon MCA (Kee Yong Chin). Beliau menyandang kerusi tersebut selama dua penggal, yakni sebelum digantung selama dua tahun (1969-1971).
Pada PRU ke-3 (1971) kerusi itu disandang oleh Veerapen Veerathan dari Gerakan. Gerakan menguasai kerusi DUN Sg Bakap selama tujuh penggal, dengan tujuh orang penyandang, dua berketurunan India (Veerapan Veerathan dan SP Chellah) dan lima berketurunan Cina (Teoh Kooi Sneah, Lim Boon Soo, Goh Cheng Teik, Ooi Theng Book, dan Lai Chew Hock). UMNO mula menguasai DUN Sg Bakap pada PRU ke-11 (2004-2008) melalui Abdul Rashid Abdullah.
Bagaimanapun, kegerunan terhadap UMNO berakhir apabila calon PKR memenangi PRU ke-13 dan Maktar Shapee kekal menyandang kerusi tersebut selama dua penggal. Pada PRU ke-15, PKR mengekalkan penguasaannya menerusi Amar Pritpal Abdullah. Oleh kerana pada PRU ke-15, Pulau Pinang tidak bersama melaksanakan pilihan raya atas alasannya tersendiri, selepas hampir tamat tempoh kuasa, PRN diadakan pada bulan Ogos 2023 bersama-sama lima buah lagi negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam PRN tersebut, PAS bergabung dengan Bersatu dan Gerakan membentuk Perikatan Nasional. Namun, keputusan PRN di enam buah negeri menjadi ‘lontaran terjal’ yang cukup berat buat Bersatu, sebabnya, tidak ada satu pun negeri yang berjaya dikuasainya, biarpun sangat ‘mengidam’ Selangor dan Negeri Sembilan.
Sebagaimana diketahui, dalam kelompok yang bergabung membentuk PN, PAS dilihat sangat menonjol selain memenangi 43 kerusi Parlimen, kemenangan terbanyak dan paling bersejarah sejak menyertai PRU, dan berjaya mengekalkan kedudukannya di Kedah, Terengganu dan Kelantan dan menggugat kedudukan PH di Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang.
Pada PRU ke-15 (2022), PAS memenangi DUN Perlis buat pertama kali, dan hampir menguasai pentadbiran politik Pahang.
Berasaskan kepada pencapaian tersebut, benarlah apa yang pernah dikatakan bahawa lawan sebenar UMNO ialah PAS, bukan Bersatu mahupun PKR. Ini kerana, dalam pengkisahan silam, PAS dan UMNO adalah musuh politik yang sangat ‘meluka’ dan ‘membunuh’ seperti kisah dua makhluk rimba, Singa dan Harimau. Terjahan Singa, kadangkala menjadi dan ngauman Harimau membentak ‘kuku tajam Singa’ sehingga tidak mampu merampas Kelantan sejak tersungkur pada PRU ke-9 (1990).
Menariknya dalam PRK Sg Bakap kali ini adalah persepakatan antara PH dan UMNO cukup sinergi berbanding kesepaduan jentera kempen PN. Ini kerana, walaupun UMNO buat kali keduanya tidak meletakkan calonnya di DUN Sg Bakap, UMNO bekerja keras untuk membantu calon yang mewakili kerajaan perpaduan menang. Ia sedang mengulangi apa yang berlaku di PRK Kuala Kubu Baharu hampir dua bulan lalu (11 Mei 2024).
Sedikit berbeza ialah mengenai calon, kedua-dua calon adalah anak jati Sungai Bakap sedangkan pada PRK Kuala Kubu Baharu, calon yang mewakili PH-UMNO tidak berasal dalam konstituensi tersebut, bahkan tidak mengundi di situ. Calon DAP adalah seorang wanita kelahiran dan bermastautin di Ampang, yang berjiran dengan Kuala Kubu Baharu.
Jika isu pendidikan calon menjadi persoalan, di Sg Bakap juga muncul kontroversi sedemikian apabila calon PAS hanya diperkenalkan memiliki Sijil ISO, bukan sijil pencapaian akademik. Ia berbeza dengan calon PH-UMNO, yang berkelulusan tinggi dan memahami dengan lebih baik birokrasi kerajaan, kerana Dr Joohari adalah bekas penjawat awam, yakni sebagai pendidik.
Sebab itulah sapaan cikgu terus disebut-sebut oleh sebahagian pengundi yang mengenalinya, walaupun di tahun-tahun terakhir sebagai penjawat awam lebih banyak menumpukan perhatian kepada pengurusan, dan perancangan modul latihan dalam perkhidmatan. Ini kerana IAB terkenal sebagai pusat latihan kepimpinan guru, termasuk latihan bagi menyediakan calon pengetua dan guru besar yang akan mengisi kekosongan. Inilah kematangan yang dimiliki oleh Dr Joohari berbanding calon PAS.
Sijil ISO yang dimilikinya tidak boleh bertahan selama-lamanya, kerana sijil itu mempunyai tempoh dan perlu diperbaharui setiap dua tahun. Untuk memperbaharuinya, ia perlu menuruti prosedur yang ditetapkan dan boleh dibatalkan bila-bila masa jika berlaku ketidakakuran piawaian yang ditetapkan.
Dari segi akademik, PAS sudah mengakui bahawa calonnya tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi, dan kelulusan akademik bukan menjadi prasyarat untuk memenangi mana-mana persaingan dalam pilihan raya.
Hakikat itu sudah diterima, bahkan pada suatu ketika ada percubaan memperlekehkan calon yang tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, tetapi calon itu tetap menjadi pilihan pengundi.
Dalam mana-mana pilihan raya, termasuk PRK, seseorang calon dapat dipastikan kemenangannya ialah penerimaan pengundi terhadap calon itu sendiri. Hal inilah yang membuatkan setiap calon yang bertanding berusaha sedaya upaya mempengaruhi ‘keyakinan pengundi’ dengan mewujudkan harapan dan janji yang akan dilaksanakan sekiranya menang.
Namun, ukuran kebolehlaksanaan janji – manifesto- sangat bergantung dengan hubungannya – termasuk parti – dengan pentadbiran negeri dan persekutuan.
Sebab itulah dalam PRK Sg Bakap, calon PH-UMNO dilihat ada peluang untuk mengalahkan calon PAS yang berusaha mempertahankan kemenangannya pada PRN 11 bulan lalu. PH menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang, manakala gandingan PH-BN-GPS dan GRS berkuasa di peringkat pusat.
Hal ini menunjukkan PAS akan alami ‘kepayahan’ dari segi sumber untuk menjayakan manifestonya yang diringkaskan sebagai KERJA – Khidmat, Ekonomi, Rangkaian Infrastruktur, Jaminan Mengutamakan Rakyat dan Amanah dan Integriti – yang sebahagian besarnya membabitkan kerangka dasar yang jelas.
Malangnya, dalam memperkatakan kebolehlaksanaan 15 inisiatif dalam manifesto itu, PAS tidak menghuraikan program-program dengan jelas dan memadai. Ia hanya sekadar menyebutnya secara superficial dan tidak memperincikan bagaimana parti itu akan merealisasikan dalam keadaan kerangka dasar yang tidak dikuasainya.
Ertinya, jika calon PAS menang, calon yang disapa sebagai Abang Abidin itu tidak mampu mengatasi masalah bekalan air yang menjadi salah satu isu yang cukup dekat dengan pengundi Sg Bakap.
Membekalkan air bersih bukan semudah janji pemimpin PAS Kelantan membenarkan penggunaan telaga tiup dan membina empangan bawah tanah seperti diumumkan oleh MB Kedah, juga seumpama lelucon bekas TMB Kelantan, yang kini Speaker DUN Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar, air tidak keluar kerana antara paip dan air ‘tidak serasi’.
Untuk membolehkan air mengalir dengan baik, ia memerlukan keserasian, tukar paip ‘hijau’ walaupun rakyat tahu, tidak ada sumber takungan air yang mampu menampung keperluan, walhal Kelantan mempunyai bekalan air mentah yang banyak.
MB Kedah, yang pernah mengugut untuk ‘membelat Sungai Muda’ juga gagal dalam menyediakan bekalan air bersih seluruh wilayah yang dikuasainya, bahkan pernah berlaku bekalan terputus berhari-hari lamanya.
Namun, setelah tidak berjaya menundukkan Pulau Pinang membayar caj mengambil air mentah, Kedah beralih kepada isu yang lain sehingga kerajaan Pulau Pinang mendapat jaminan akan membeli air mentah daripada Perak.
Nampaknya, Kedah seolah-olah ‘kesal’ dan kini sedang membujuk Pulau Pinang, serta cuba berlembut dengan kepimpinan pusat. Sayangnya, MB Kedah masih berlagak sombong dan kadangkala kata-katanya terdengar pilu memikirkan banyak pengumumannya terkandas sebelum sempat dizahirkan.
Beberapa hari lalu, kedengaran pula cadangan daripada seorang pemimpin muda PAS ‘mungkin akan membentangkan laporan’ kejayaan mereka setelah memerintah empat buah negeri, yang penasihatnya adalah bekas PM yang pada PRU ke-15 hilang wang pertaruhan di kerusi ‘anak emas’nya, Langkawi.
Setakat ini, tidak kedengaran projek-projek yang dicanangkan dalam manifesto PRN lalu ‘tanggal landas’ biarpun diberitahu ‘berada di landasan yang betul’. Suatu rumusan yang hanya melihat kepada bentuk fizikal landasan semata-mata, bukan menceritakan bagaimana ‘take off’ itu berlaku.
Inilah antara persoalan, yang pada andaian umum merupakan ‘bola tanggung’ yang akhirnya akan memusnahkan harapan PAS untuk kekal menguasi DUN Sg Bakap. Persoalan sedemikian tidak semudah apa yang politikus PAS fikirkan dalam situasi syok sendiri dan budaya pembangkang.
Bersatu juga memberikan beberapa bola tanggung semasa berkempen di PRK DUN Sg Bakap. Tan Sri Muhyiddin pernah mengecam Anwar Ibrahim, PM X yang disifatkan sebagai ‘kerajaan gagal’ dan menuduh ‘bodoh’.
Sebenarnya rakyat atau pengundi Sg Bakap tidak bodoh, boleh menerima kecaman dan herdikan Muhyiddin kerana mereka kenal siapa Anwar sebenarnya.
Anwar membesar di Cerok Tok Kun, yang letaknya dalam daerah Seberang Perai Tengah, hanya sepelaung sahaja dengan Sungai Bakap. Penyandang kerusi Nibong Tebal, di mana DUN Sg Bakap berada dalam Parlimen tersebut adalah Menteri Pendidikan, yang tentunya boleh menggunakan kuasanya bagi melaksanakan program pendidikan manakala Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong adalah penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam. Bukit Mertajam berada dalam daerah Seberang Perai Tengah.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow adalah penyandang Parlimen Batu Kawan, yang sangat dekat dengan DUN Sg Bakap. Walaupun Chow Koon Yew juga merupakan ADUN Padang Kota, yang sedikit berjarak dengan Sg Bakap, tidak bermakna janji-janji yang dibuat semasa PRK akan diketepikan, terutama berkaitan bekalan air bersih.
Ertinya, DUN Sungai Bakap mempunyai jiran-jirannya yang hebat dan ada kuasa, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat. Rangkaian jiran-jiran ini akan memudahkan pengundi mendapat apa yang mereka sepatutnya dapat dan apa yang dijanjikan dalam manifesto kerajaan perpaduan. Maknanya, mereka bukan menjual ‘burung terbang’ sebagaimana calon dan pemimpin PAS sedang berkhayal.
Melihat kepada perkembangan tersebut, PAS pada umumnya sedang tertekan untuk mempertahankan kerusi DUN Sg Bakap. Apabila Muhyiddin turun membantu kempen, Muhyiddin bukanlah tokoh yang mempunyai aura politik yang besar. Aura kepimpinan Muhyiddin sudah tercemar dan terpalit dengan kes-kes mahkamahnya, termasuk tindakannya tidak berusaha untuk membawa pulang menantu yang ‘menghilang di luar negara’.
Menantu sangat diperlukan bagi membersihkan diri daripada dakwaan kegagalan projek pengurusan pengkalan data Jabatan Imigresyen Malaysia.
Tentunya, pada PRK Sg Bakap kali ini, ia akan menjadi mercutanda yang cukup besar kerjasama antara PH dan BN. Ia sedikit berbeza dengan kerjasama yang berlakuu di PRK Kuala Kubu Baharu. Di PRK Kuala Kubu Bahru, komponen BN iaitu MCA ‘merajuk’ tetapi kali ini, tidak ‘merajuk’ lagi. Bahkan MCA turun ke lapangan membantu untuk calon kerajaan meraih kemenangan.
Dalam PRK Sg Bakap tidak kedengaran retorik-retorik berbentuk politik kegamaan dimainkan oleh PAS walaupun nada kempen ‘kebencian’ terus diperlihatkan dalam beberapa isu. Antaranya pengapungan harga diesel dan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada Black Rock.
Muhyiddin nampaknya terkedu apabila dipersoalkan pernah memberikan sejumlah RM 600 juta wang pelaburan untuk diuruskan oleh Black Rock ketika beliau berkuasa, PM ke-8 selama hampir 17 bulan (1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021). Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Hishamuddin Aun dalam rencanya yang disiarkan dalam Free Malaysia Today, 3 Julai 2024 “Muhyiddin terlebih perasan di Sungai Bakap?”.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments