Terdapat ungkapan umum bahawa semakin majunya sesebuah masyarakat atau negara, semakin meningkatnya manusia yang mengalami kecelaruan emosi. Hal ini dapat dibuktikan bahawa pengaruh persekitaran sangat mempengaruhi gaya hidup manusia, yang berinteraksi secara langsung antara kehendak (want) dan keperluan (need), yang kebanyakannya menimbulkan pelbagai sifat dan bentuk yang sangat paradoks.

Dalam laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 telah ditemukan bahawa sejuta rakyat Malaysia yang berumur di atas 15 tahun mengalami masalah kemurungan. Kemurungan adalah sejenis penyakit yang dikaitkan dengan masalah mental.

Jumlah mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, yakni kemurungan itu mewakili 4.6 peratus penduduk Malaysia. Penemuan itu menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak dua kali ganda daripada apa yang diperoleh dalam tinjauan yang sama pada tahun 2019.

Malangnya, mereka yang berhadapan dengan masalah kemurungan ‘telah berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.’ Ia menjadi ‘bayang-bayang hitam’ dalam kalangan mereka yang mengalami masalah itu, yakni hampir separuh. (Sinar Harian, 10 Mei 2024).

Antara sebab masalah kemurungan berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja ialah masalah rakan sebaya (peer), tingkah laku, emosi dan hiperaktif. Dalam kalangan orang dewasa ialah tekanan kerjaya, persekitaran rumah tangga (hubungan keluarga), dan cukup menjengkelkan ialah perubahan gaya hidup.

Jika dilihat sepintas lalu, hubung kait masalah kemurungan dengan gaya hidup, ia korelasi secara signifikan. Jika kita mengambil ‘kenangan semasa pandemic COVID 19’, kita akan menemukan hubungannya, berlaku suasana ‘emosi terkepung’ yang lama dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai daripada rakyat Malaysia tertekan.

Akibat ‘rasa tertekan’ itu, berlaku suasana yang tidak harmoni dalam keluarga. Akibat sekatan pergerakan yang panjang, muncul dengan ketaranya percubaan membunuh diri dan tindakan membunuh diri dengan cara tertentu, termasuk terjun dari tempat tinggi (bangunan atau jambatan), gantung diri, terjun ke sungai atau laut.

Fenomena bunuh diri, pada umumnya jarang berlaku dalam kalangan umat Islam, namun sejak pandemic COVID 19, ia semakin mempengaruhi umat Islam untuk berbuat demikian. Hal ini dapat kita dengar, ataupun membaca laporan bahawa ia sudah menjadi ‘tindakan’ lazim di Kelantan, sehingga menyebabkan Menteri Besar Kelantan berikhtiar melaksanakan Sembahyang Hajat berjemaah untuk mencari ‘ikhtiar bagi mengekangnya.

Sehingga awal Februari 2024 (sejak 2021), sejumlah 17 kes bunuh diri berlaku di Jambatan Tendong-Pasir Mas dan perkembangan itu meresahkan ramai orang. Walaupun mendapat pelbagai reaksi, MB Kelantan tetap melaksanakan ‘ikhtiar’ tersebut. Namun, di Pulau Pinang walaupun Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim (Jambatan Kedua) juga menjadi lokasi pilihan ‘membunuh diri’, tidak juga ada solusi sepertimana dibuat oleh MB Kelantan, ‘ikhtiar secara agama’.

Sebenarnya, persoalan ‘bunuh diri’ bermula dengan ‘kemurungan’ dan dalam istilah psikologi dikenali sebagai ‘kecelaruan mental’. Islam mempunyai kaedah pendekatan menanganinya lebih berkesan daripada kaedah-kaedah perubatan moden yang hanya berdasarkan pendekatan ubat-ubatan (ubat penenang) dan rawatan secara psikoterapi. Kini, terapi diri dikenali dengan istilah ‘healing’.

Dalam kamus psikologi, pelbagai pendekatan telah ditemukan, tetapi tidak semua pendekatan-pendekatan itu menemui kejayaan sesungguhnya, walaupun pendekatan itu merupakan rumusan daripada kajian-kajian klinikal dan psikoterapi.

Dalam sejarah peradaban Islam, kita menemukan tokoh-tokoh dan ilmuan yang bersifat polymath, yang bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan, falsafah, astronomi dan juga ilmu-ilmu spiritual yang sebahagiannya kita kenali dengan psikologi pada zaman ini. Sebelum ilmuan-ilmuan barat menemui kaedah merawat kesihatan mental, kecelaruan personaliti dan masalah kemurungan, sudah muncul pandangan dan solusi menarik daripada seorang ahli geografi dan psikologi Islam untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan kesihatan mental.

Abu Zayd al-Balkhi (Abu Zayd Ahmad ibnu Sahl al-Bakhi, 849-934), seorang polymath Islam yang jarang diperkatakan disebabkan peribadinya yang sangat introvert, dan lebih gemar bekerja secara diam-diam, adalah juga seorang tabib (doktor) dan ‘khatib’ semasa zaman Daulah Abasiyyah, yakni dibawah Kesultanan Khurasan. Dengan mengehadkan dirinya sebagai ‘khatib’ walaupun pernah ditawarkan sebagai menteri dan pentadbir oleh Khalifah Abasiyyah, al-Balkhi berpandangan, ia akan menyebabkan lebih banyak masa ditumpukan, dan akan menghalangnya daripada pelbagai aktiviti keilmuan dan penyelidikan ilmiah.

Al-Balkhi sangat mencintai ilmu, termasuk ilmu psikologi. Antara karangannya yang terkenal ialah Masalih al-Abdan wa al-Anfus, yang memerihalkan tentang Kesejahteraan Tubuh Badan dan Jiwa), jauh mendahului solusi pendekatan tasawuf yang dikerangkakan oleh al-Ghazali dalam Mukassyafah al-Qulub dan Kimiye el-Sa’adah. Al-Balkhi dikatakan sangat dipengaruhi oleh teori dan amalan tabib Yunani di mana ketika itu asas-asas falsafah dan pengetahuan yang hadir di dunia Islam cukup pelbagai ekoran era pemerintahan Abassiyah (Abad ke-9 hingga ke-11) sangat mencintai ilmu pengetahuan, yang kemudiannya ditolak oleh al-Ghazali disebabkan rasionalisasi ilmu melangkaui keyakinan umat Islam terhadap kesempurnaan wahyu.

Bagi al-Balkhi, sesuatu penyakit atau masalah perlu dibendung daripada awal lagi, iaitu mencegah daripada jatuh sakit. Jelas al-Balkhi. Oleh kerana manusia dibekalkan dengan dua komponen terbesar ialah anggota badan yang menjadi rumah kepada komponen kedua, iaitu jiwa (spiritual), maka kededua-duanya perlu dicegah daripada pelbagai unsur yang boleh mendatangkan masalah atau penyakit.

Bagi menjaga kesihatan jasmani (anggota badan), al-Balkhi menyarankan penjagaan kesihatan fizikal, iaitu bersenam dan melakukan urutan. Ini kerana dalam badan manusia ada cecair (darah dan lain-lain enzim, hormone dan sebagainya) yang sentiasa bergerak dan melaksanakan peranannya dalam menjadikan manusia sentiasa hidup. Jika tidak sentiasa melakukan senaman dan urutan, kata al-Balkhi, cecair dalam badan tidak dapat mengalir dengan baiknya, seumpama ‘air mengalir yang tersekat’.

Kekurangan senaman dan urutan akan menyebabkan badan menjadi pegun dan kemudiannya berpenyakit (tercemar). Itulah sebabnya dalam perubatan moden sangat ditekankan agar manusia sentiasa memahami tentang aliran darah dalam badan, akibat aliran darah terganggu, pelbagai penyakit akan melanda.

Kesannya, bukan sekadar menjadikan pergerakan badan bermasalah, bahkan akan turut mempengaruhi ‘persekitaran jiwa’ sehingga boleh menganggu keharmonian spiritual. Misalnya, bagi 500,000 orang dewasa sebagaimana ditemukan oleh NHMS 2023, mengidap pelbagai penyakit tidak berjangkit – kencing manis, dar tinggi, kolestrol tinggi, kardiovaskular, kanser dan sebagainya – akibat kesihatan fizikal yang terganggu, maka ia turut mempengaruhi kesihatan mental.

Tentunya, kita pernah dengar mereka yang berhadapan dengan pelbagai penyakit agar mempunyai semangat kuat untuk melawan penyakit yang dihadapinya. Tanpa semangat ‘untuk hidup’ yang kuat, penyakit-penyakit tersebut akan menjadi ‘penjara diri’ yang sangat menakutkan, walaupun kita redha dengan sudah ditakdirkan pada diri sendiri.

Menurut al-Balkhi, neurosis (penyakit mental) boleh dibahagikan kepada empat: (1) ketakutan dan kecemasan (al-khawf wa al-Faza); (2) kemarahan dan kelangsangan (al-ghadab); (3) kesedihan dan kemurungan (al-huzn wa al-jaza); dan (4) obsesi (al-waswasah). Tentunya, empat kategori itu sangat cenderung memperlihatkan peribadi seseorang, perwatakan dan kawalan kendiri yang cukup identik dengan pelataran psikoterapi manusia yang menjadi bahan penelitian, kajian dan pendekatan psikologi moden untuk menangani kesihatan mental.

Dalam perubatan moden, kita temui pelbagai pendekatan psikoterapi yang ada setengahnya berjaya namun tidak berupaya mengembalikan kesejahteraan mental sepenuhnya (100 peratus). Misalnya, walaupun pendekatan psikoanalisa Sigmund Freud (1865-1939) dilihat cukup berjaya, ia belum dapat mengatasi kaedah perubatan Islam yang meletakkan kejernihan jiwa dalam fitrah kehidupan, bukan bersifat materialistik. Begitu juga pendekatan logoterapi yang diperkenalkan oleh seorang psikitiari bekas tahanan kem konsentrasi Nazi pada masa Perang Dunia II, Victor Frankl (1905-1997) atau pakar psikologi tingkah laku (behhaviorisme), Carl Gustav Jung (1875-1961).

Menurut Almarhum Profesor  Malik Badri (1932-2021), tokoh psikologi Muslim yang pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berabad-abad lamanya sebelum psikologi moden (maksudnya masyarakat barat) menemukan kaedah psikitiari moden,  telah hadir pendekatan-pendekatan psikologi atau psikoterapi Islam yang menawarkan perawatan kesihatan mental yang lebih baik, termasuk kaedah rawatan yang ditawarkan oleh al-Balkhi, walaupun pada suatu ketika pernah dianggap sesat akibat pemikirannya mirip terhadap aliran Syiah. Bagaimanapun, setelah menyedari kesilapan dalam akar falsafah, al-Balkhi kembali menjadi seorang pemikir penting dalam keilmuan Islam beraliran Sunni.

Bagi al-Balkhi, menurut Prof Malik Badri sangat menekankan hubungan erat (ishtibak) antara tubuh badan dan minda. Hubungan yang terjalin adalah cukup kuat dan saling terpintal, kerana tanpa kesihatan fizikal yang baik, akan mudah mempengaruhi kesihatan mental. Itulah sebabnya, seseorang yang sihat tubuh badannya, secara automatik dikatakan cerdas, pintar dan sihat mentalnya.

Hal ini diakui oleh seorang pakar psikoterapi moden, Herbert Benson (penulis buku Timeless Healing: The Power and Biology of Belief, ditulis bersama Marg Stark, 1996, hal.248-249) sebagaimana dikutip oleh Dr Malik Badri:

Para doktor adalah terbiasa melihat gejala atau tanda penyakit dan kecederaan sebagai komponen yang terpisah daripada diri pesakit yang sebenar. Mereka sering terbawa-bawa dengan tabiat ini dalam amalan perubatanm iaitu dengan menumpukan perhatian terhadap perkara yang khusus berbanding gambaran keseluruhannya dan terhadap tubuh badan berbanding minda. Tabiat ini menyebabkan para pesakit kecewa dengan tahap rahmah atau minat yang ditunjukkan oleh para doktor kepada pesakit.”

Maknanya, sesuatu fenomena atau gejala penyakit tidak harus diberikan rawatan secara fizikal semata-mata, ia turut merangkumi persoalan mental. Ini kerana, seseorang yang mengalami penyakit akibat perubahan gaya hidup, sebenarnya akan dapat diperpanjangkan hayatnya dengan mempengaruhi pemikirannya, untuk menukarkan gaya hidup.

Misalnya, seorang pengidap diabetes, perlu mengawal diri daripada mengambil makanan yang mengandungi gula, termasuk buah-buahan dan makanan atau minuman yang diproses. Bagi pengidap hipertensi, kandungan garam dalam makanan dan minuman perlu diminimumkan, termasuk menjauhi ‘kesedapan ikan kering’ dan jenis-jenis jeruk yang diproses atau diawet.  Jangan kita tertipu dengan iklan-iklan ‘makanan sihat’ yang mudah diambil walhal itulah makanan yang sebenarnya ‘kurang sihat’. (Michael Moss, Salt Sugar Fat: How The Food Giants Hoked us, New York, USA: Random House, 2013)

Hal yang sama perlu diberikan perhatian dengan disiplin diri untuk ‘kembali sihat’ bagi mereka yang berhadapan dengan kesihatan kardiovaskular, mengawal kolestrol dalam tubuh dan tidak mengambil makanan berminyak, berlemak (daging), melakukan senaman secara sepadan dengan usia dan upaya. Berjalan-jalan sejauh 10,000 langkah merupakan terapi yang cukup berkesan, selain membakar kalori, membantu mengurangkan berat badan, ia mampu meninggalkan kesan positif kepada minda.

Beristirehat dengan melakukan senaman ringkas – berjalan-jalan sambil menikmati keindahan alam semula jadi, mendongak ke langit melihat ruang yang terbuka luas, memandang tepat pada kehijauan alam – yang dikenali sebagai ‘healing’ pada zaman ini, akan mengurangkan satu lagi bentuk kemurungan moden, iaitu kemurungan digital. Sebenarnya, kemurungan digital menyerang manusia kerana manusia sendiri yang mengundangnya memasuki ke alam fikir atau minda.

Kalau dahulu, kemunculan televisyen dianggap sebagai ‘candu kehidupan’, kini kemunculan teknologi telekomunikasi mudah alih, teknologi kesambungan (internet. wifi, jalurlebar dan sebagainya), konvergensi audio-visual dan penjanaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) akan terus menjadi perihal yang sangat mendukacitakan, fenomena kemurungan digital atau istilah Andrew Keen,  ‘vertigo digital’. Ia sangat mengelirukan, dan kekeliruan itu menjadi perilaku ikut-ikutan dan harapan palsu.

Apa tidaknya, bila kita layari media sosial, kita akan temui harapan yang menggunung dan menjadi leka dengan permainan teknologi AI (kecerdasan buatan), tiga dimensi sehingga ‘wajah yang kusam’ muncul sebagai seorang ‘gadis cantik’ yang penuh ‘utopia’. Ini sesungguhnya menunjukkan sudah diserang masalah kesihatan mental, kalau sebelumnya kegemaran berselfie dianggap sebagai ‘neurosis’ maka, kegilaan Magic Swept, I Share, Boleh Edit Tak?, dan sebagainya, mengalir ‘hormon’ yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental, walaupun awalnya dilihat sebagai ‘main-main’ atau ‘terjebak’.

Islam melarang penganutnya daripada ‘mengundang masuk’ perkara-perkara sedemikian kerana ia sangat merosakkan aqidah dan keyakinan diri, yang menjadi asas kehidupan yang beradab dan penuh keinsafan. Walaupun Islam tidak melarang manusia menikmati, mengagumi dan menyanjungi kecantikan, Islam menetapkan bahawa kecantikan spiritual adalah tiang seri tegaknya kehidupan secara fitrah.

Ini bermakna, menurut Imam Al-Ghazali, dalam diri setiap manusia perlu dipenuhi dengan ilmu dan dengan ilmu itulah manusia membentuk jatidirinya, bukan semakin berilmu semakin ego dan celaru. Pendekatan al-Ghazali ialah sentiasa mengingat bahawa Allah SWT menentukan segala-galanya, bukan manusia. Manusia hanya menjalani kehidupannya berdasarkan proses-prosesnya yang betul dan benar, bukan mendekati apa yang dilarang (nahi mungkar).

Apa yang dilarang atau diperintah agar dihindari atau dijauhi itulah menjadi punca kepada segala jenis penyakit, dari hati yang busuk, tidak tenteram, sombong, bongkak, iri hati, mengakibatkan pelbagai petaka, dan yang paling jelas, menyebabkan penyakit fizikal dan mental.

Dalam surah al-Ra’d. ayat ke-28 misalnya, Allah SWT berfirman, yang bermaksud: (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang hatinya adalah mereka dengan Zikrullah. Ketahuilah dengan Zikrullah itu, tenang dan tenteramlah hati manusia.

Mengulas mengenai ‘healing’ dalam konteks renungan terhadap alam yang diciptakan oleh Allah SWT, al-Ghazali berkata:

Jika engkau memerhatikan sesuatu yang paling dekat denganmu, iaitu dirimu sendiri, engkau akan menyaksikan banyak sekali keajaiban dan hikmah…engkau rasakan saat melihat bumi tempat tinggal kita ini. Apalagi jika engkau merenungkan lebih dalam ciptaan Allah di dalamnya, seperti gunung-gunung yang menjulang, lautan yang luas, sungai-sungai yang mengalir, berserta kekayaan flora dan faunanya yang tersebar di seluruh belahan bumi.

“Selanjutnya, jika melihat betapa luasnya hamparan bumi ini, engkau hampir tidak mampu mencapai hujungnya. Lebih lanjut, jika engkau merenungkan temuan para ilmuan, tentang hubunganan bumi dan langit, dan bahawa bumi seisinya, jika dibandingkan dengan langit, ia bagaikan sebutir debu di padang pasir.

Renungkanlah pula apa yang dikatakan para peneliti (pengkaji) bahawa matahari lebih besar 160 kali daridapa besar bumi. Engkau juga melihat gemerlap cahaya matahari, bulan, bintang, dan sebagainya, yang menghiasai langit. Setelah itu, cuba bayangkan betapa luasnya alam semesta yang mencakup semuanya itu.

“Selanjutnya, matahari, bulan, bintang, dan planet terlihat kecil di pelupuk matamu. Dengan begitu engkau tahu betapa jauhnya karak dari bumi, Benda-benda itu bergerak tanpa kita mampu merasakan betapa cepat gerakannya, kerana terlampau jauhnya. Padahal, engkau tidak ragu bahawa planet mengorbit matahari dalam sekejap yang bererti jarak tempuhnya untuk mengelilingi bumi (dalam pandangan kita) lebih dari seratus kali, sedang engkau tidak merasakan.

Fikirkan keagungan ciptaan Allah tersebut.” (Imam al-Ghazali, Hikam al-Ghazali, terjemahan al-Hikmah fi Makhluqat Allah oleh Supriyadi, Yogyakarta, Penerbit Forum, 2022, hal. 153-154).

Kenapa seseorang itu memerlukan ‘healing’? ‘Healing’ merupakan satu bentuk penyembuhan yang bersifat spiritual atau dapat memelihara jiwa daripada ‘tercemar’ dan kembali ke asal kehidupan dalam dimensi fitrah dan kejadiannya. Tetapi, ‘healing’ yang kita lakukan bukan dengan keinginan melampau, seumpama mencabar keterbatasan akal dan keupayaan diri sehingga terlupa bahawa ada takdir yang sudah ditetapkan terhadap kita, Untung nasib, bencana dan malapetaka ditentukan oleh Allah SWT, Penguasa yang Maha Menentukan, dan kita di dalamnya, mencari keberkatan dan tunduk kepada-Nya, dengan berdoa, bermunajat dan ikhtiar menjadi insan yang sempurna.

Kata al-Balkhi, “cara fikir yang salah boleh menyebabkan tabiat emosi yang berpenyakit seperti keresahan, kemarahan dan kesedihan, yang kemudiannya menjadi punca kecelaruan psikik dalam jiwa. …keresahan adalah berkait dengan masalah pada masa hadapan seperti kehilangan pekerjaan atau jatuh sakit. Manakala, ketakutan atau kecemasan (panic) berkait dengan fobia seperti petir dan kematian…kebanyakan perkara yang ditakuti manusia sebenarnya tidak terlalu memudaratkan, jika difikirkan dengan rasional dan logik. “

Ia seperti orang Badwi melihat kabut (kabus), kata al-Balkhi, “sering takut, cemas dan neurotik” kerana “kabut itu ialah objek yang padu dan tidak boleh ditembusi”. Namun selepas melangkah “ke dalam kabut itu, dia mendapat tahu ciri sebenarnya; kabut itu hanyalah udara lembab dan tidak ada bezanya dengan udara yang disedutnya untuk bernafas.”

Analogi cerdas al-Balkhi itulah menyebabkan beliau, simpul Prof Dr Malik Badri. “pendekatannya masih dipengaruhi oleh konsep-konsep Islam tentang fitrah manusia dan kepentingan beriman kepada Allah SWT bagi menyingkirkan gejala-gejala kecelaruan emosi secara kognitif, dan mengingatkan manusia.

Al-Balkhi mengingatkan: “orang yang kemurungan dan keresahan bahawa kehidupan ini bukan tempat kebahagiaan secara total dan bukan tempat untuk menimbulkan semua hajat serta keinginannya. “(Malik Badri, Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun ke-9, terjemahan Auni Baharin, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn Bhd., cetakan ke-2, 2024).

Maksudnya, untuk menghindari penyakit mental atau kemurungan, setiap ahli masyarakat wajib mendisiplinkan ahli-ahli agar tidak keterlalun menurut gaya hidup yang diterima daripada budaya luar, sebaliknya menekankan kepada kemantapan rohani dan spiritual, kerana dari jiwa yang tenang itulah terhindarlah pelbagai kecelaruan, keserakahan dan aksi yang menjurus kepada maksiat atau nahi mungkar.

MAHANOR SALEHA

Translate »