“Demikian pula Kami telah menjadikan kalian sebagai umat pilihan (wasathan) yang adil agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian” (al-Baqarah:143)
TAKRIF ummatan wasatan lebih sering dimaknai sebagai umat terpilih. Takrif ini mewakili pandangan yang mendefinasikan ummatan wasatan lahirlah sebagai jalan tengah yang sederhana (moderat). Meskipun sejumlah ulama ada yang berselisih tafsir, namun majoriti di kalangan mereka menyepakati makna ummatan wasatan sebagai masyarakat yang sederhana. Dari sini, istilah ‘Wasatiyyah’, yang sinonim dengan cara pemahaman Islam yang sederhana, berada di tengah-tengah.
Kata wasat dengan segala derivasinya disebut lebih kurang lima kali dalam al-Quran, iaitu QS.2:143, 238, QS.5:89, QS.68:28, serta QS.100:5. Rujukan lain yang kerap dikaitkan dengan konsep ini adalah, “khairul umuri awsathuha” (sebaik-baik urusan adalah yang sederhana). Ayat ini sangat popular di kalangan Muslim sebagai hadis Nabi, kendati ada yang menganggapnya sebagai perkataan ulama. Dalam kitab Laysa Min Qaulinnaby, disebutkan bahawa ayat tersebut sesungguhnya bukan hadis Nabi, melainkan perkataan daripada salah seorang sahabat Nabi, iaitu Muthraf Ibn Syukhair.
Kitab Lisan Al-Arab wasath adalah pilihan dengan kualiti terbaik. Sementara pengarang mengertikan ‘wasath’ dengan makna “paling benar dan adil”. Ibnu Katsir menyebut kitab Al-Taisir Fi Usul al-Tafsir mengertikan “ummatan wasatan” dengan maksud bahawa umat Islam adalah saksi yang adil ke atas umat sebelum (kedatangan) Islam daripada pengetahuan mereka terhadap seruan para Nabi terdahulu kepada para umatnya. Intinya, ummatan wasatan adalah penghargaan yang diberikan Allah terhadap kaum Muslim sebagai satu komuniti dan saksi yang terbaik.
Dalam konteks kontemporari, istilah tersebut kemudian sinonim dengan pengertian Islam sebagai agama “jalan tengah”, agama wasath, agama yang berfahaman sederhana. Mereka memahami “jalan tengah” sebagai berada di tengah-tengah antara dua titik ekstrem. Sebahagian ulama berpendapat, kedua-dua titik ekstrem itu sebagai agama Kristian dan Yahudi. Yahudi mewakili kecenderungan formalisme dalam mengamalkan agama, sementara Kristian mewakili sikap agama yang didasarkan atas idea cinta kasih, namun mengabaikan prinsip-prinsip utama agama. Dalam erti kata lain, Islam diidealkan sebagai titik temu antara ibadah (formalisme beragama) dan kesalihan sosial (pelaksanaan nilai-nilai agama).
Sayyid Qutb adalah salah satu dari cendekiawan muslim yang berpandangan demikian. Kedudukan yang ada di tengah-tengah ini dilihat sebagai salah satu keunggulan dan menunjukkan pandangan sebenar dari agama Islam. Paradigma tersebut merujuk pada surah al-Baqarah (2:143). Dari sinilah sumber istilah yang melekat pada Islam sederhana.
Ada pelbagai contoh yang kerap digambarkan untuk menegaskan fahaman Islam yang sederhana. Contoh yang sering dipakai sejumlah ulama antara lain adalah soal hukum cerai. Dalam masalah cerai, dilukiskan bahwa Islam mengambil jalan tengah: tidak melarang cerai sama sekali (seperti dalam Kristen), namun tidak pula membolehkan cerai secara sembarangan (seperti dalam sebahagian tradisi pra-Islam di Arab). Cerai diperbolehkan oleh Islam tetapi dengan “peringatan” bahawa hal itu adalah cara terakhir dan merupakan tindakan halal yang paling dibenci Tuhan.
Liberal vs Fundamental
Di kalangan dalaman Islam, selama ini muncul dua kubu pemikiran yang saling bertentangan dalam mozaik peradaban umat, yakni kelompok liberal dan kubu fundamental. Di sinilah konsep ‘Wasathiyyah’ muncul sebagai satu manhaj untuk mencari jalan yang sederhana yang mana ianya mengambil unsur positif keduanya. Islam wasatiyyah merupakan kelompok paling besar dan dominan yang teguh berpegang kepada agama dan menjadikan manhaj dalam Islam sebagai jalan tengah.
Islam sederhana inilah yang harus dimunculkan ke hadapan, karena ia lebih menjanjikan jalan damai serta tidak terjebak kepada fahaman taksub dua kubu (liberal dan radikal). Oleh itu, demi menggelorakankan ‘Wasathiyyah’ ini perlu dilakukan semacam mainstreaming, agar ia dijadikan sebagai arus utama, melalui sejumlah jalur, semisal pendidikan dan pembinaan agama sama ada di sekolah, pertubuhan Islam, lembaga dakwah dan keluarga.
Sesungguhnya, kepelbagaian dalam Islam hanya terdapat pada kadar penafsiran dan pelaksanaannya. Secara ideologikal, Islam tetaplah hanya satu dan pasti. Hakikatnya,‘Wasathiyyah’, merupakan pelaksanaan dari konsep dan nilai-nilai kesederhanaan Islam sebagaimana termaktub dalam ajaran dan doktrinnya. Jika kita menelaah al-Quran, maka ‘Wasathiyyah’ tak lain adalah pandangan Islam yang bertujuan membawa umatnya menuju tatanan yang ideal. Ertinya, idea ‘Wasathiyyah’ bukanlah hal baru. Selama ini, ia hanya kering pada aspek pelaksanaan, sehingga perlu digagas ulang dan diperbaharui makna dan konteks semasa. ‘Wasathiyyah’ sebenarnya konsep yang sudah ada sejak al-Quran diturunkan. Hanya saja ia seolah-olah “tenggelam” oleh perdebatan dan perbezaan penafsiran di kalangan Islam sendiri.
Jadi sikap moderat dan penuh toleransi ‘Wasathiyyah’ inilah yang mesti dibangun umat Islam di masa sekarang dan yang akan datang. Hilangnya kesedaran sikap toleran antarumat beragama akan berbuah pada hilangnya identiti umat Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin. Untuk mewujudkannya, setidaknya diperlukan interaksi sosial yang kondusif, rasa saling percaya antar kelompok, serta tampilnya pemimpin umat yang memiliki ketegasan dan khazanah intelektual yang arif untuk membumikan sikap toleransi dalam konteks hidup kebangsaan.
Islam tidak menutup mata atas fenomena wujudnya perbezaan agama dan aliran fahaman keagamaan di tengah masyarakat Islam. Khazanah pelbagai agama serta kemajmukan merupakan realiti yang nescaya dihargai. Jauh sebelum Islam datang, bumi ini telah dihuni oleh beragam manusia dengan agama yang beragam pula. Demikian juga setelah Islam ditegakkan sebagai agama penyempurna, ia tak serta-merta tampil menjadi entiti tunggal yang menafikan peranan dari agama dan jaringan kepercayaan di luarnya.
Toleransi antara manusia (tasamuh) yang sejuk dan damai merupakan doktrin ajaran Islam yang sepatutnya diwujudkan dalam tindak nyata yang konkrit. Sejauh ia berlangsung dalam kerangka yang wajar dan tidak melanggar had kebebasan beragama, kehidupan yang harmoni antaragama patut dijadikan alternatif utama guna semakin merekatkan tali harmoni di tengah-tengah masyarakat plural seperti di Malaysia. Oleh itu, Islam yang dibawa Muhammad menjadi jalan tengah yang menjadi titik temu antara sikap mengakui bahawa hanya Islam agama yang benar serta sikap menghargai keyakinan dan agama lain, sebagaimana digambarkan dalam surah al-Kafirun (1-6).
Masyarakat Madinah
Kepelbagaian (pluralilty) adalah satu realiti yang sepatutnya tidak perlu dipersoalkan. Hal ini kerana kepelbagaian adalah sunnatullah yang mesti ditangani dengan benar agar membawa kerukunan dan harmoni dalam kehidupan umat manusia. Bukan malah dijadikan alasan untuk membuat konflik dan permusuhan. Peradaban Islam mencatat pengalaman yang hebat dalam menangani masalah masyarakat majmuk. Sejak awal Islam terbentuk dalam satu negara (Daulah Islamiyah) di Madinah, Nabi telah membuat perjanjian untuk menangani kemajmukan agar tercipta kerukunan di Madinah. Perjanjian ini yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Pada masa itu penduduk Madinah merupakan masyarakat majmuk yang terdiri daripada komuniti Muslim, Yahudi dan kaum Musyrikin.
Salah satu butir perjanjian itu berbunyi: “Bangsa Yahudi dari Bani ‘Auf merupakan kaum bersama orang-orang yang beriman (Muslim), bagi bangsa Yahudi agama mereka dan bagi umat Islam agama mereka..” Piagam Madinah ini merupakan pengakuan secara sah oleh Islam di atas kewujudan agama Yahudi dan komuniti lainnya. Gagasan Nabi dalam bentuk perjanjian Madinah ini merupakan langkah peradaban yang luar biasa, sehingga Robert N Bella, seseorang Sosiolog Amerika, menyebut Konstitusi Madinah ini – di tengah-tengah gelap kejahiliahan masyarakat Arab — sebagai “keputusan supramoden.”
Kondisi dinamis ini berlanjut hingga ketika wilayah daulah Islam meluas sampai ke Najran yang dihuni umat Kristian. Islam menunjukkan sikap yang simpatik dalam menghargai masyarakat yang majmuk. Nabi Muhammad melayan kaum Kristian Najran sama seperti Yahudi, iaitu diberikan kebebasan dalam menjalankan agama masing-masing dan bebas mengatur hal ehwal agama mereka. Sikap politik Nabi ini terlampir dalam perjanjian kesepakatan dengan suku Najran.
Perjanjian seumpama juga dibuat Nabi kepada komunitas non-muslim lainnya seperti Bani Junbah di teluk Aqaba, Bani Ghadiya, Yahudi Bani Uraid, penduduk Jarba dan komuniti yang lain. Sikap toleran ini kemudian dilanjutkan oleh para Khalifah. Dalam bentangan wilayah Khilafah yang demikian luas (2/3 dunia), semua gereja, sinagog dan kuil masih utuh sampai sekarang. Khilafah di Sepanyol membuat peradaban Islam, Kristian dan Yahudi mencapai kemucaknya. Oleh itu, Khilafah di Sepanyol dikenali dengan sebutan “negara tiga agama.” Komuniti Kristian dan Yahudi di Arab, Hindu di India sampai sekarang masih wujud dan hidup aman tenteram. Inilah bukti kuat daripada sikap sederhana (wasatiyyah) yang dilaungkan Islam terhadap tatanan tamadun manusia.
Pada dimensi yang lain, sikap ‘wasatiyyah’ (moderat) merupakan pancaran sikap pemahaman keagamaan seseorang. Pemahaman terhadap agama yang murni tidak hanya mempunyai peranan sebagai ikatan penghubung di antara makhluk dengan Tuhan secara vertikal (habl min-Allah) namun pula sebagai pengukuh ikatan sosial secara horizontal (habl min an-naas). Oleh yang demikian, akan terbentuk pemahaman agama yang konsisten, yang mampu menebar rasa kasih dan sayang pada sesama manusia. Alangkah elok bila nilai-nilai murni di setiap agama diterapkan dalam wujud pengembangan wacana dan kerjasama yang kongkret, misalnya berbentuk gerakan untuk bersatu memerangi segala perilaku rasuah, kebatilan, menjaga kelestarian alam semula jadi, dan pelbagai aktiviti sosial yang positif.
Islam ialah agama damai dan sederhana. Citra man salima al-muslimuun min lisanih wa yadih yang dilukiskan Nabi adalah bentuk daripada kepedulian dan kesungguhan ajaran Islam untuk selalu menciptakan sosok peribadi yang mampu menyelamatkan orang lain daripada gangguan ucapan dan tindakannya. Ia akan selalu dikongkong satu kesedaran bahawa pemahaman keagamaan (aliran agama) sekadar jalan (suluk) yang boleh sahaja beragam dan berbeza. Melalui metafora yang indah, Islam mengilustrasikan pelarangan sikap beragama yang tidak pada tempatnya sebagai “berlebih-lebihan dalam beragama”. Oleh itu, Tuhan melarang perkara itu untuk diamalkan oleh hamba-Nya (la taghluw fi dinikum).
Al-Quran pun mengajarkan untuk menjauhi sikap melecehkan agama lain (QS.06:108) serta memaksakan agama lain melalui cara yang negatif dan tak simpatik (QS.02:256). Di sisi lain, Islam malah mengharuskan untuk menjunjung tinggi asas penghormatan atas segenap khazanah agama yang berbeza (QS.22:40). Menciptakan komuniti ummah dalam wadah tunggal merupakan pekerjaan yang amat mudah bagi Allah. Dengan kemahakuasaannya, Allah boleh sahaja menjadikan seluruh manusia penghuni bumi dalam naungan Islam (QS.16:93). Namun hal itu tak dilakukan oleh-Nya untuk menunjukkan kemajmukan adalah rahmat bagi umat manusia.
Kesedaran yang kian terbuka (inklusif), pemikiran yang dinamik dan sikap hidup yang wasatiyyah, menjadi panduan bagi masyarakat muslim untuk lebih mampu menangani dunia Islam yang pelbagai aliran dan fahaman. Misalnya, bagaimana usaha-usaha melakukan pengukuhan semula agar umat Islam mandiri di bidang pendidikan, sosial, politik, dan bidang ekonomi. Cabaran terberat umat Islam kini adalah menyatukan jurang perbezaan antara tatanan idealisme, potensi insan, dan sumber daya alam yang dimiliki.
Dengan demikian, manusia sebagai khalifah semesta dituntut untuk terus berfikir bijak menuju kebenaran sejati serta menebarkannya dengan penuh simpati. Setiap ilmu dan amal soleh manusia adalah tabung sekaligus nilai dakwah yang membimbing mereka ke arah hidayah dan keredaan-Nya, berupa hamparan subul as-salaam, altar-altar kedamaian (QS.05:16). Pada titik ini, Islam Wasatiyyah adalah salah satu ikhtiar menuju kepada keredaan Yang Maha Kuasa.
Oleh: Mohd Ali Hisyam
Recent Comments