Islam sangat kuat menolak pelakuan tersebut, bahkan menggambarkan penerima rasuah seperti memakan bangkai saudara sendiri. Manakala kehidupan di hari akhirat, mereka yang menerima rasuah dibakar oleh ‘kayu api’, yang merupakan saudara sendiri, ataupun mereka yang menghulurkan rasuah. Apakah gambaran tersebut masih belum cukup menginsafkan?

Jelas al-Ghazali lagi: “para hukama pernah berkata lagi bahawa seorang pemerintah itu ibarat sebuah pasar. Maka, setiap orang yang akan membawa ke pasar tersebut sesuatu yang dia tahu akan memberikannya keuntungan, Dan, apa sahaja yang merugikannya, maka dia tidak akan membawanya.

“Dan dua orang yang mengadukan masalah tadi, kedua-duanya tahu bahawa pemerintah mereka sangat memandang tinggi kezuhudan, keadilan dan kebenaran. Dan, kebenaranlah yang menjadi keuntungan mereka. Justeru, mereka membawa kejujuran kepadanya, dan dia mengganjari mereka dengan keuntungan kebenaran,

“Kini terdapat hebahan yang mengatakan bahawa siapapun pemimpin kita, mereka itulah yang berhak bagi kita. Iaitu bilamana kita berakhlak buruk, berhati jahat, dan pengkhianat, Justeru pemimpin kita pun zalim dan menindas serupa kita. Hebahan tersebut: “Sepertimana kalian, sebegitulah pemimpin kalian.

“Sesungguhnya, hebahan sedemikian adalah tidak benar, Tidakkah engkau lihat bagaimana jika sesebuah negeri diperihalkan sebagai makmur dan penghuninya berada dalam keadaan aman dan damai, hal tersebut menggambarkan keadilan, kebijaksanaan, dan ketelusan pemerintahnya, dan bukan pada rakyatnya?

“Kecemerlangan sesebuah negeri bukanlah pada rakyatnya, tetapi pada pemerintahannya. Maka, benarlah apa yang disebutkan oleh para hukuma’ bahawa “Manusia mencerminkan pemerintahannya lebih lagi daripada para pemerintah yang menjadi contoh kepada zamannya.” (NBP, hal. 83-84)

Bab ini merupakan bab yang cukup panjang (mengambil ruangan sebanyak 70 halaman) dan pada perbicaraan mengenai keindahan manusia atas ilmu dan kebijaksanaan. Al-Ghazali menulis: “…sebab kemuliaan yang kekal dan kelangsungannya, dan kebijksanaan menjadi sebab kebahagiaan dan keteraturannya.”

Dan barang siapa memiliki ilmu dan kebijaksanaan, dia akan memiliki dua belas ciri: (1) maruah diri (iffah), (2) tatatertib (adab), (3) kewaspadaan (al-tuqa’), (4) amanah, (5) ketulusan (al-sihhab), (6) perasaan malu (al-haya), (7) belas kasihan (al-rahmah), (8) peribadi yang baik (husn al-khalq), (9) kesetiaan (al-wafa), (10) kesabaran, (11) kelembutan (al-hilm), dan (12) menunaikan hasrat manusia pada tempatnya.

Dan semua ini ialah tatatertib yang layak bagi seorang pemerintah. Dan, sudah tentu kebijaksanaan mesti disertakan dengan ilmu, sepertimana nikmat disertai kesyukuran, persahabatan disertai oleh kemanisan, kesungguhan disertai oleh nasib yang baik. Jika itu diperolehi, maka semua keinginan akan tercapai. (NBP, hal.127)

Dan kerana itu, al-Ghazali memetik situasi yang berlaku pada zaman Ardashir (Ardashir Babakan, 180-242), raja pertama Dinasti Sasanid (rentang waktu kekuasaan Dinasti Sasanid 224-651) yang adil dan pemurah, sehingga Parsi muncul sebagai sebuah tamadun yang sangat makmur (era pemerintahan Ardashir selama 13 tahun antara 211-224):

Setiap penguasa yang tidak meletakkan kakinya di atas ilmu, maka keaibanlah pengakhirannya. Dan setiap hamba yang tidak mendampingi ilmunya dengan perasaan takut akan Allah, sekalipun ilmunya sempurna, maka penyesalanlah akhirnya.” (NBP, hal.127)

Pada bab kedua, mengenai peranan kementerian dan peribadi menteri, al-Ghazali mengutip sebuah pertanyaan yang diungkapkan oleh Ardashir: “…sahabat terbaik untuk para pemerintah”, iaitu “seorang menteri yang cerdik, tekun, terpercaya, telus, dan pandai mentadbir – untuk mentadbir bersamanya dan berkongsi rahsia.”

Pemerintah, kata al-Ghazali hendaklah “bermuamalah dengan menterinya dalam tiga perkara: (a) jika dia mendapati menterinya tersilap langkah dan terlanjur, janganlah tergesa-gesa menghukumnya, (b) jika dia menjadi semakin kaya dan berpengaruh, janganlah mendambakan keuntungan tersebut, dan (c) jika dia memohon suatu hajat yang mustahak, janganlah menafikan keperluannya. “

Juga para menteri “perlu diberikan kebebasan” mengenai tiga perkara: (a) bila-bila masa hendak bertemu dengan pemerintah, janganlah melarangnya, (b) tidak mengendahkan perihal buruk oleh orang-orang yang mendengkinya, dan (c) tidak menyimpan sebarang rahsia daripadanya. “

Kata al-Ghazali, “seorang menteri yang telus akan memelihara rahsia pemerintahnya, mentadbir hal ehwal kerajaan dengan baik, mengimarahkan wilayah dan khazanah negara, menghiasi negara, dan memperkasakan kehebatan dan nilai kerajaan tersebut. Dia berkemahiran dalam memberikan kata putus terbaik dan menjawab persoalan-persoalan. Dia penghibur hati pemerintah dan pengancam musuh-musuhnya. (NBP, hal.141-142).

Menurut al-Ghazali lagi, seorang menteri itu ialah “perhiasan bagi kedaulatan” dan kerana itu dia mestilah “seorang yang salih dan bersih daripada sebarang aib” (hal.144); juga “perlu memiliki pegangan yang baik, untuk menegah pemerintah daripada sebarang maksiat; berpengalaman untuk meringankan beban pemerintah dalam mengendalikan semua jenis urusan; berpandangan jauh, agar dia dapat menjangkakan penghujung sesebuah perkara; dan sedar akan perubahan masa dan berjaga-jaga daripada dilapukkan olehnya, (hal. 145).

Sejujurnya, al-Ghazali menasihat para menteri, pemerintah tidak menjadi “pemburu pipit”, tetapi bergeraklah seperti “pemburu bangau”. Maksudnya, tidak mengambil harta orang miskin atau menyusahkan orang miskin, tidak melebarkan jurang: yang kaya bertambah kaya manakala orang miskin ‘papa kedana’. Apakah langkah kerajaan madani mengenakan subsidi bersasar, rekalibirasi caj elektrik, menaikan caj bayaran bekalan air bersih itu sebagai “pemburu pipit”, atau kata seseorang, “orang miskin tak makan sayurkah” bila harga diesel diapungkan?

Kita boleh berfikir, caj yang meningkat ialah kerana pengunaan elektrik lebih 1500 kw sebulan. Peniaga, pengedar dan pemborong sayur-sayuran diberikan subsidi diesel secara langsung oleh kerajaan, bukannya subsidi pukal yang menguntungkan syarikat minyak. Ini bererti subsidi itu diterima langsung oleh mereka yang layak, Mereka yang tidak layak ialah golongan “Maha Kaya” yang mempunyai kenderaan mewah dengan kapasiti lebih 3,000 cc (atau lebih 2,000 cc).

Orang kebanyakan hanya memiliki kenderaan di antara 1,000 hingga 2,000 liter. MyVi 1.3 hingga 1.5 liter; Bezza antara 1.0 hingga 1.3 liter; Saga 1.3 liter; Pesona 1.6 liter;  Proton X 50 1.5 liter; dan Axia di bawah 1,000 liter. Jadi, yang menunjukkan kemarahan sebenar ialah mereka yang memiliki kenderaan berkuasa tinggi, yang menggunakan diesel.

Antaranya, pemilik Ford Ranger, Mitsubishi Triton, Toyota Hilux atau Nissan Navara. Mereka yang menggunakan kenderaan tersebut bukan dalam kalangan ‘burung pipit’ tetapi membayangkan dirinya sebagai ‘burung pipit’, walhal sudah termasuk dalam kalangan ‘terkukur’ ataupun ‘kakak tua’.

Hal yang hampir sama bila kita ingat apa yang berlaku semasa PKP. Aktiviti keagamaan di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat ditangguhkan. Ketika aktiviti di masjid dan surau ditutup, ramai yang mengecam tindakan terbabit dengan membandingkan aktiviti maksiat yang berlaku.

Bila semua masjid dan surau dibenarkan menjalankan aktiviti keagamaan, tidak pula dipenuhi para jemaah, kecuali ketika sembahyang Jumaat.

Bahkan, ketika kempen sembahyang subuh seperti sembahyang Jumaat, sambutannya semakin berkurangan walaupun tidak setiap minggu, sebabnya tidak terasa ‘jiwa agama yang mendalam’. Jiwa agama hanya muncul ketika diri bermasalah, atau dibaluti rasa kecewa seperti ketika emosi terkepong oleh PKP yang panjang.

Bila harga setiap biji telur turun 3 sen, ramai pula mengecam. Walhal, telur tidak sepatutnya dijual dengan harga dua puluh sen sebiji seperti zaman sebelum PKP, kerana banyak faktor yang menyebabkan kos pengeluaran meningkat, seperti kos makanan dan vaksin, gaji pekerja dan kos pengangkutan.

Tapi, ada seseorang seolah-olah mengejek “Terima Kasih PMX kerana telur sudah murah tiga sen”. Ejekannya, kerana pengumuman itu tidak sepatutnya dibuat oleh PMX, cukup sekadar menteri-menteri yang lain.

Ia seharusnya difikirkan dengan bijak dan saksama, kerana itulah al-Ghazali sangat cenderung menyatakan bahawa dengan ilmu dan kebijaksanaan membolehkan kita berfikir dan bertindak sesuai dengan situasi dan kondisi, tidak bandingkan dengan zaman-zaman sebelum penduduk bertambah.

Apabila jumlah penduduk bertambah, keinginan juga turut bertambah, ia menjadi semakin besar dan nafsu pula mula bercapah-capah.

Kita sebenarnya sudah dihanyutkan oleh budaya konsumer dan bukan budaya mencipta atau mengeluarkan apa yang kita perlu. Kita lebih senang mencari alasan daripada memikirkan tindakan bagaimana mengatasi masalah secara kendiri, kerana budaya meletakkan masalah kepada orang lain sudah semakin kuat terpasak dalam minda. Kita percaya kepada bayangan yang tidak pasti: goyang kaki pun boleh hidup dan menghasilkan wang.

Pada bab ketiga, al-Ghazali membincangkan perihal dan peranan perbendaharaan (bendahari) dan keurusetiaan, yang dijelaskan sebagai ‘kekuatan pena’. Melalui pena, peristiwa lalu dapat dikenang semula, dan buah fikiran manusia dapat dipelajari semula.

Oleh kerana “tajamnya pena”, kata al-Ghazali: “apabila seseorang khatib menulis sepucuk surat, hendaklah dia membacanya terlebih dahulu sebelum melipatnya, agar apabila dia menjumpai sebarang kesilapan, dia dapat mengenalpasti dan memperbetulkannya.

“Dan, dia hendaklah menggunakan kalam yang pendek, tetapi membawa makna yang panjang. Janganlah dia mengulang-ulang perkataan yang sama, dan menggunakan kalimah yang berat dan susah jika dia ingin mendapat pujian.” (hal.160).

Mengenai kebaikan pemerintah, pada bab keempat, al-Ghazali sekali lagi menggunakan ungkapan Ardashir. Kali ini, Ardashir berpesan kepada puteranya: “Jika engkau ingin menghadiahkan sesuatu kepada seseorang, pastikan nilainya tidak lebih rendah berbanding seisi daerah atau seisi kampung. Ini agar orang yang dihadiahi tersebut menjadi bebas daripada meminta-minta, dan agar orang kampungnya juga menjadi kaya menerusi engkau selama mana mereka hidup.

“Dengannya, engkau akan disanjung dalam orang yang hidup dan bukan dalam kalangan orang yang mati. Dan, jauhilah tawar-menawar dalam urusan jual beli, kerana itu menandakan seorang pemerintah yang mementingkan diri.” (NBP, hal.164)

Himmah (keunggulan diri), akan membuahkan hasil walaupun perlukan masa, dan kerana itu, al-Ghazali memetik syair yang bermaksud:

Keghairahanku untuk memperoleh kemuliaan,                                                                     

sekalipun namaku tidak dikenali.                                                                                          

Pasti, aku akan menggapai semua yang aku cari.                                                                               

Jika khidmatku kepada Raja adalah untuk mencari bekalan hidup,                                                                    

Nescaya aku tidak akan beroleh apa-apa di bawah lindungannya.

“…kerana itu, seseorang yang terpuji adalah seseorang yang tidak membiarkan himmahnya mengjangkaui kemampuan dan kudratnya, agar dia tidak hidup dalam keadaan gelisah sepanjang hidupnya.” (NBP hal.182).

Perkara apakah yang paling hampir? Jawabnya, ajal. Perkara apakah yang paling jauh?. Jawabnya, angan-angan. Itu merupakan perbincangan awal bab kelima, perihal kiasan para hukuma.

Kata al-Ghazali: Seluruh penghuni dunia pasti akan sebulat suara bersetuju bahawa amal manusia itu terbahagi kepada dua puluh lima jenis. Lima daripadanya sudah ditentukan takdir, iaitu keinginan terhadap pasangan, anak, harta, kekuasaan, dan kehidupan. Lima lagi diperolehi dengan usaha dan kesungguhan, iaitu ilmu, kemahiran menulis, kemahiran berkuda, memasuki Syurga, dan pelepasan daripada Neraka.

Lima lagi bergantung kepada keperibadian dan kecenderungan, iaitu kesetiaan, kesopanan, kerendahan hati, kepemurahan, dan kejujuran. Dan, lima lagi adalah semulajadi, iaitu berjalan, makan minum, tidur, persetubuhan dan perkumuhan. Dan lima yang terakhir ialah warisan, iaitu kecantikan, budi, kebanggaan diri, keunggulan dan kehinaan.

Enam perkara yang setara nilainya: (1) pemakanan yang sihat; (2) anak yang cerdas; (3) peneman yang mudah berganding; (4) ketua yang bertimbang rasa; (5) kata-kata yang benar dan tersusun; dan (6) akal yang sempurna.

Manakala lima perkara yang sangat sia-sia, ialah: (1) lampu dinyalakan di bawah terik matahari; (2) hujan di tengah-tengah sungai; (3) isteri yang cantik dan dimiliki oleh suami yang buta; (4) makanan yang mewah disajikan kepada orang yang kenyang; dan (5) kalam Allah dalam hati seorang pemerintah yang zalim. (NBP, hal.187-188)

Oleh kerana itu, elakkan daripada (1) mengumpat (ghibah); (2) membenci ulama; (3) kufur nikmat: dan (4) mengambil nyawa tanpa hak (NBP, hal.201). Sebagai pemerintah, penjawat awam dan seluruh anggota pemerintah perlu mengingati satu sama lain agar, pisau yang ada di tangan masing-masing tidak digunakan untuk membunuh dan menyebabkan diri sendiri terbunuh.

Bab keenam, perihal kemuliaan akal dan uqala (cerdik pandai) ialah (1) mengabaikan kesalahan orang lain yang dilakukan terhadapnya; (2) merendah diri dengan bawahan (subordinate); (3) bersegera mengerjakan kebaikan; (4) sentiasa mengingati Allah; (5) bercakap berlandaskan ilmu dan mengatur tuturkata sesuai dengan tempatnya; dan (6) bila ditimpa kesusahan, mencari (atau mengingati) Allah.

Sifat orang yang jahil ialah (1) menindas dan zalim sesama manusia; (2) melayan buruk orang bawahannya; (3) membesarkan diri di hadapan orang unggul dan terdahulu; (4) bercakap tanpa ilmu; (5) menyembunyikan kesalahan;   (6) memparahkan diri sendiri apabila ditimpa kesusahan; dan (7) berpaling daripada amal yang baik.

Dalam bab terakhir, iaitu perihal wanita, al-Ghazali berusaha memberikan penerangan mengenai kelebihan dan kekurangan wanita, di mana wanita yang paling baik ialah yang “dapat melahirkan zuriat dan paling ringan maharnya.” Kalau menurut kriteria ini, apakah pendirian anda bila mendapat tahu ada seorang wanita meminta mahar RM 10 juta jika ingin melamar dan mengahwininya?

Yang penting ialah mencari wanita yang berpegang kepada agama, bukan yang berharta. Tetapi, jika pegangan agamanya kuat, harta yang dimiliki (atau diwarisi) menjadi lebih berkat. Wanita yang tidak berpegang kepada agama, kata al-Ghazali, ‘seumpama tidak bernasab dan tidak diberkati.” (BNP, hal.220-221).

Seorang wanita yang beragama, sangat mustahil bersifat tamak. Begitu juga dengan nilai keimanan seorang lelaki, sentiasa berwaspada melindungi kehormatannya dan “tidak mencuri dengar hentak kaki seorang wanita ajnabi.

“Dan jika seorang lelaki datang mengetuk pintu, janganlah seorang wanita menjawab pintu tersebut dengan suara yang lunak dan lembut yang menggoda, kerana hati seorang lelaki itu lemah, mudah terpikat dengan suara yang lembut. Dan hendaklah ketika menjawab [ketukan atau sapaan] pintu tersebut, dia melitupi mulutnya dengan jari, serta menggaraukan suaranya seperti seorang wanita tua.” (NBP, hal,228).

Sudah amat terang, bahawa peranan wanita seumpama ‘mata pisau’; jika ketajamanya digunakan untuk menggoda, maka porak perandalah hubungan yang sudah terikat sebagai sebuah pasangan, jika godaan itu bukan pada suaminya. Ia akan meruntuhkan institusi keluarga, sedangkan Islam sangat menitikberatkan kehidupan yang aman, sejahtera dan harmoni sebagai sebuah keluarga.

Jika ketajaman pisau digunakan untuk memotong sayur, buah-buahan dan menyiang ikan, ia merupakan sesuatu yang sangat baik. Bahan yang dipotong itu, dihidangkan setelah selesai dimasak untuk makanan ahli keluarga, ia memperoleh ganjaran pahala yang besar. Itulah sebenarnya berkat rezeki dan kehidupan dalam keluarga, setiap tindakan dan kata-kata terselit makna kasih sayang.

Apabila sesebuah keluarga itu harmoni, banyak persoalan kejiwaan dapat diatasi. Situasi rumahtangga dipenuhi nilai dan amalan kasih sayang, dan ia akan memberikan laluan kejayaan pasangan lebih besar. Sebab itulah ada peribahasa mengatakan, di sebalik kehebatan dan kejayaan seorang lelaki, di belakangnya ada seorang wanita – ibu atau isteri.

Namun, dalam kehidupan moden yang serba materialistik, kehidupan keluarga diukur berdasarkan pemenuhan material. Ia sesuatu yang gah pada satu tahap, tetapi apabila memasuki fasa hati dan perasaan, ia cukup menyedihkan. Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan. Wang tidak dapat membeli kasih sayang, tetapi tanpa wang, ramai pasangan mengajukan penceraian.

Begitu juga dalam kepimpinan seorang lelaki, jika isterinya merupakan seorang pendesak, mata duitan, banyak hal yang negatif akan mewarnai kehidupan, yang akan berakhir dengan kemusnahan dan kebinasaan, walaupun pasangan itu tidak membuat keputusan bercerai (berpisah). Duduk serumah, tapi tidur di kamar yang berbeza.

Fenomena ‘pasangan berusia’; masing-masing ada ragamnya. Juga, perihal habit yang semakin menggila, masing-masing lebih senang ‘memeluk handphone’ daripada memeluk pasangan masing-masing. Thrill mesej hanphone lebih menarik daripada ‘kehebatan sentuhan fizikal’. Fenomena zaman yang memasuki fasa ‘gila’ dan hiperrealiti.

Kesimpulannya, pemikiran al-Ghazali dalam Nasihat Buat Pemerintah cukup merumput, walaupun kadangkala dipenuhi dengan cerita-cerita besar dalam sejarah.  Pada akhirnya al-Ghazali cuba menyusuri ke dalam diri seseorang, kerana dari dalam diri itulah akan terpancarnya tindakan yang mengarahkan kepada ‘politik mulia’, proses politik yang cukup manusiawi dan menepati makna kesejagatan atau kerahmatan Islam.

Semakin banyak kali saya membaca buku ini, semakin banyak kesan yang baharu melekat di minda, mungkin dipengaruhi oleh situasi dan kondisi politik yang telah dan sedang berlaku, sama ada secara sedar ataupun bawah sedar (unconscious mind) secara subliminal atau menghampiri insecure?. Sebab itulah saya cukup bersedia berulangkali membacanya, tanpa rasa bosan dan jemu, kerana setiap kalinya muncul hubungan yang baharu secara affektif dan kognitif.

Saya ucapkan tahniah kepada Yusra kerana terjemahan, penerangan istilah (dan nota kaki) serta indeks tokoh memberikan saya pengalaman baharu, pengalaman sejarah yang akurat, yang mampu saya bayangkan daripada rentang waktu yang cukup panjang, yakni sejak Islam muncul sebagai peradaban manusia tatkala negara-negara Eropah dirundung zaman gelap.

Ertinya, kemunculan teori-teori politik terkemudian, dapat saya bandingkan, apakah sebenarnya budaya politik Islam dan kendalian kita dalam kerangka amar makruf, nahi mungkar, termasuk ketika pestaria politik dipentaskan secara ‘drama sangat’ sebagai proses pembingkaian persepsi.

Semoga Allah SWT memberkati susah payah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali menulis dan meletakkan pemikirannya yang bernas, cerdas dan penuh kelembutan, dengan keberkatan ilmu dan amal. Begitu juga penterjemah-penterjemah yang telah berjaya melakukannya dengan baik, termasuk Yusra Hulaimi lakukan pada edisi lengkap berbahasa Melayu yang pertama ini.

KAMARUN KH

Translate »