Persoalan kuasa menjadi hal yang sangat kritikal dalam sesebuah masyarakat, kerana kuasa dapat menukarkan wajah, bentuk dan posisi seseorang, yang sebahagiannya menjadi semakin merasai seronoknya ‘pesona dunia’ dan  sangat ingin dipertahankan, dengan apa sahaja cara dan kaedahnya.

Akibat tersihir oleh ‘kepalsuan’ atau ‘pesona dunia’ tersebut, al-Ghazali menegaskan:

Nabi Muhammad SAW bersabda: Celakalah bagi para pemimpin, dan celakalah para ketua jabatan, dan celakalah para pendakwa raya, kerana mereka ini akan digantung daripada langit dengan serigala-serigala mereka, dan wajah mereka diseretkan ke dalam api neraka, dalam keadaan mengharapkan agar mereka tidak pernah menjawat kedudukan mereka di dunia.

“Dan Rasulullah SAW pernah bersabda lagi: Pada Hari Kiamat, para pemegang kuasa akan dihadapkan kepada Allah”.

“Lalu Dia berkata: “Kalian adalah para penggembala sekalian ciptaan-Ku dan pemegang khazanah kerajaan-Ku di Bumi-ku.”

Kemudian, Allah berfirman kepada salah seorang daripada mereka: “Engkau! Mengapa engkau memukul pada hamba-Ku melebihi had yang diperintahkan kepadamu?”.

“Lalu dia menjawab: “Wahai Tuhan, kerana dia menyelingkuhi-Mu dan menyalahi-Mu”.

Maka, Allah membalas: “Tidak patut kemarahanmu mendahului kemurkaan-Ku!”

“Kemudian, Allah bertanya pula kepada orang yang lain:”Engkau! Mengapa engkau memukul para hamba-Ku kurang daripada had yang diperintahkan kepadamu?”.  

“Lalu, dia menjawab: “Wahai Tuhan, kerana Engkau Maha Mengasihi mereka.”

“Maka, Allah membalas: “Bagaimana mungkin engkau merasakan lebih pemurah berbanding Aku?.

Lalu Allah berfirman: “Heret mereka yang memandai-mandai menambah dan mengurangi itu, dan lontarkan mereka ke dalam sudut-sudut Jahanam!”. (NBP, hal. 20-21)

Mengenai penambahan atau pengurangan hukuman, tulis al-Ghazali:

Hudayfah bin al-Yaman berkata: Aku tidak sesekali memanjatkan pujian kepada sesiapa yang memegang tampuk kuasa, baik dia seorang yang salah ataupun tidak. Ini kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada Hari Kiamat, para pemegang kuasa sama adil mahupun zalim akan dihadapkan di hadapan Allah, dan mereka semua akan diletakkan di al-Sirat.

Lalu, Allah akan mewahyukan kepada untuk bergoncang dan menjatuhkan mereka ke dalam api Neraka, kerana tidak seorang pun daripada kalangan mereka yang tidak pernah berlaku culas dalam menghukum, atau mengambil rasuah dalam membuat keputusan, atau mendengar aduan hanya daripada sebelah pihak. Maka, mereka pun jatuh daripada al-Sirat dan mereka jatuh ke dalam Neraka selama tujuh puluh tahun, sehinggalah akhirnya mereka tiba ke tempat tinggal mereka.” (NBP, hal.21-22).

Bab pengenalan ini sangat penting untuk pembaca memahaminya.  kerana bab inilah yang menjadi ‘tunjang atau akar’ yang akan memasakkan diri seseorang pemimpin, yang di dalam hatinya disaluti dengan iman dan menjadi kerangka pemenuhan tanggungjawab (amanah) sebagai pemimpin.

Dalam membicarakan asas Iman berteraskan prinsip Akidah, al-Ghazali mengemukakan 10 usul: (1) Asas usul bagi iman; (2) Ketinggian al-Khalik; (3) Kudrat (kekuasaan) Allah; (4) Ilmu Allah; (5) Kehendak Allah; (6) Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat; (7) Kalam Allah; (8) Perbuatan Allah; (9) Tentang Akhirat; dan (10) Tentang Rasulullah SAW.

Cabang-cabang pohon iman – secara vertikal (amalan peribadi yang diperintah: sholat, berpuasa, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat, menjauhi minuman keras dan menahan diri daripada kejahatan) dan secara horizontal (berlaku adil dalam kepimpinan dan menahan diri daripada melakukan kezaliman kepada orang lain)- diibaratkan sebagai dua mata air – mata air dunia dan mata air akhirat.

Cabang-cabang pokok iman, yakni dasar keadilan (‘al-adl) dan kesaksamaan (al-insaf)  itu ialah (1) Memahami kepentingan dan bahaya kekuasaan (al-wilayah);  (2) Merindukan pertemuan dan nasihat ulama (bukan ulama suu’, yang mencari kepentingan peribadi dan pesona dunia); (3) Bersih daripada tindakan zalim; (4) Menghindari diri daripada takabbur; (5) Pemimpin dalam hirarki organisasi, juga adalah salah seorang daripada keseluruhan rakyat; (6) Memenuhi keperluan rakyat; (7) Tidak melayani keinginan memenuhi nafsu atau syahwat (membolot kekayaan peribadi, berfoya-foya dan bermewah-mewahan); (8) Melayani rakyat dengan kesantunan (rifq) dan kelembutan (lutfi); (9) Meraih redha rakyat berdasarkan syarak; dan (10) tidak dahagakan reda manusia semata-mata, tetapi juga meraih redha Allah SWT.

Di antara dua mata air, mata air dunia adalah kiasan untuk memahami keberadaan diri manusia. Al-Ghazali mengungkapkan melalui bidalan, iaitu: (1) Sihir dunia; (2) Cinta dunia; (3) Perhiasan dunia; (4) Sifat kesementaran dunia; (5) Kebejatan nikmat dunia; (6) Kebejatan dunia yang berganda; (7) Manusia sebagai tetamu dunia; (8) Jenis-jenis musafir dunia; (9) Hakikat dunia; dan (10) Bahaya dunia.

Mata air kedua, yakni ketika ‘anak-anak Adam’ melepaskan nafas terakhir (meninggal), al-Ghazali mengungkapkan lima pengajaran berhikayat, iaitu:

(1) Cerita seorang Yahudi yang menjadi mualaf, Wahb bin Munabbih, yang meraih keberkatan Allah SWT;

(2) Ketamakan seorang kaya mengumpulkan semua harta (monopoli) dan semua harta diletakkan di sebuah kubu yang tinggi. Akhirnya, pengumpul harta itu, ‘terjelupuk mati’, akibat terlupa kepada Allah SWT;

(3) Kisah seorang pemimpin Bani Israel terserempak dengan seorang lelaki yang tidak dikenali, yang memasuki rumahnya, dan cuba dihalanginya dengan arahan yang tegas dan keras. Berdasarkan cerita Yazid al-Raqashi, pemimpin Bani Israel itu akhirnya meninggal dunia kerana ‘lelaki yang memasuki’ rumah itu adalah Malaikat Maut;

(4) Malaikat Maut menjeling ke arah salah seorang pembantu dengan pandangan yang tajam, dan Nabi Sulaiman bin Daud AS meniup angin menghalau atas permintaan pembantunya.  Tetapi Malaikat Maut datang lagi selepas itu, maka tercabutlah nyawa si pembantu tersebut walaupun telah diarahkan (tiupan angin Nabi Sulaiman AS) ke India; dan,

(5) Zulkarnian bertemu dengan sekelompok manusia yang tidak mempunyai sebarang harta dan sedang menggali kubur nenek moyang mereka sendiri. Kubur-kubur itu terletak di hadapan rumah masing-masing. Hal itu membuktikan bahawa mereka menziarahi kubur-kubur setiap hari. Mereka hanya memakan herba dan tumbuh-tumbuhan. Zulkarnain menghantar seseorang untuk memujuk ketua kaum tersebut, tetapi mereka gagal kerana ketua kaum itu menjelaskan mereka ‘tidak memerlukan apa-apa’ dan ‘tidak ada apa-apa urusan” dengan Zulkurnain. Kubur-kubur itu dijadikan sebagai “peringatan” kerana “ia memperbaharui ingatan kami terhadap kematian, dan membekukan kecintaan dunia dalam hati kami, supaya kami tidak sibuk dengan dunia.”

Dalam buku ini (NBP), al-Ghazali mengadunkan pengetahuan agama yang dimilikinya dengan sejarah dan pendapat para ulama di atas laluan sejarah sepanjang hidup merungkaikan sebuah kerangka sistem pentadbiran, yang berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah. Ini kerana siasah (politik) sangat dikenali sebagai proses menguruskan negara. Menguruskan negara bererti menguruskan sumber, termasuk sumber manusia dan keperluan-keperluannya. Dan, tentunya, pengagihan dan pembudayaan keadilan adalah sesuatu yang sangat diperlukan.

Latar belakang sejarah, al-Ghazali lahir pada tahun 1058, pernah merasai kehidupan yang sukar tetapi perjalanan hariannya sangat bersandarkan ‘keimanan’, setiap pemikirannya cukup bertaut dengan renungan yang tajam, yang dituangkan dalam bentuk proses menasihati, yang menepati prinsip keutamaan Islam. Ulama sebagai penasihat kepada ulil amri, dan juga pendidik masyarakat umum.

Beliau lahir dua puluh tahun setelah berdirinya Daulah Saljuk (1040). Daulah Saljuk merupakan sebuah kerajaan kecil di bawah Empayar Abasiyyah. Ia ditubuhkan setelah Tughuril Beg berjaya mengalahkan kekuasaan Sultan Mas’ud dari Daulah Ghaznawi.

Empayar Abasiyyah dikenali sebagai era keemasan Islam ekoran perkembangan dunia intelektual – menerusi kecintaan para khalifah terhadap ilmu pengetahuan – tidak kurang dengan konflik politik daripada penguasa-penguasa wilayah, yang awalnya dilantik sebagai gabenor atau penguasa wilayah. Akhirnya mereka berjuang menuntut kuasa autonomi, yakni membebaskan diri daripada pemerintahan khalifah.

Daulah Saljuk, pada awalnya merupakan sekumpulan bangsa Turki yang membantu Khalifah Abasiyyah membenteras keengkaran mengikut perintah. Setelah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dan membanggakan, Khalifah Abaiyyah akhirnya menganugerahkan sebuah wilayah. Dari situlah kemudiannya Daulah Saljuk mengembangkan pengaruhnya hingga ke Palestin, Syria dan Asia Kecil, selain menguasai Khurasan.

Pada zaman Daulah Saljuk, muncul seorang Perdana Menteri yang sangat cintakan ilmu pengetahuan, iaitu Nizam al-Muluk (Abu Ali Hasan ibn Ali al-Tusi, 1018-1092) berbangsa Parsi. Nizam al-Muluk, selain berjaya meletakkan asas pentadbiran negara yang baik, terkenal sebagai peletak asas pendidikan yang kukuh bagi masyarakat Sunni bagi berhadapan dengan pengaruh Syiah dan aliran falsafah Yunani. Sistem pendidikan yang berasaskan fahaman Syiah telah berkembang di Mesir di bawah Empayar Fatimiyyah. Fatimiyyah turut berusaha menumbangkan pengaruh Abassiyyah.

Beliau menubuhkan Madrasah Nizamiyyah, hampir di setiap daerah yang dikuasai oleh Daulah Saljuk. Al-Ghazali merupakan salah seorang ilmuan yang pernah mendapat pendidikan tinggi di Madrasah Nizamiyah (Naisapur) dan didik langsung oleh Iman al-Haramain, (Dia ul-Din Abd Malik  ibn Yusuf al-Juwayni, 1028-1085), yang cukup dikenali ketika itu.

Selepas kematian Imam al-Juwayni (1085), al-Ghazali menggantikannya sebagai tenaga pengajar. Tidak lama kemudian, al-Ghazali pergi ke Muskar dan akhirnya diberikan kepercayaan sebagai salah seorang penasihat di Istana Perdana Menteri.

Setelah beberapa lama, al-Ghazali dilantik sebagai pengajar dan pentadbir Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Di situlah kecemerlangan intelektualnya kian terserlah, sehingga kuliahnya dihadiri lebih 300 orang, termasuk para pelajar dan para pencari ilmu yang lebih dewasa.

Empat tahun kemudian, al-Ghazali mula mengalami ‘tekanan psikologi’ sehingga kesihatannya terganggu dan tidak mampu mengeluarkan suara selama enam bulan. Kesan daripada ‘gangguan psikologi’ itu, al-Ghazali mula mencari jalan penyelesaian dan mempertimbangkan untuk menolak ‘pesona dunia’ dengan melakukan uzlah dan perenungan diri (berkhalwat) dalam memenuhi tuntutan batinnya.

Semua harta miliknya dijual, dan sebahagian wang diberikan kepada isteri untuk menyara kehidupan, manakala al-Ghazali memulakan uzlah dan perenungan diri ke Damsyik, Mekah dan sebagainya selama 10 tahun (1095-1105).

Sekembalinya ke Tus, beliau menubuhkan sekolah kecil untuk mengajar tasawuf dan setiap hari dihabiskan untuk meraih kebahagiaan jiwa. Al-Ghazali dipujuk oleh Fakhr al-Muluk (1042-1106), putera sulong Nizam al-Muluk (yang dilantik sebagai Perdana Menteri (Wazir) Sultan Saljuk (oleh Berkayuq dari tahun 1095-1099 dan Ahmad Sanjar dari 1101-1106).

Bagaimanapun, al-Ghazali berjaya dipujuk untuk kembali mengajar, tidak memilih untuk menjadi tenaga pengajar sepenuh masa dan tidak berminat dengan posisi pentadbiran. Sebaliknya, bersetuju mengajar secara sambilan, selain boleh meneruskan bimbingan para pelajarnya dalam penghayatan tasawuf, di kampungnya, iaitu di Tus.

Nizam al-Mulk dibunuh (14 Oktober 1092 / 10 Ramadhan 845H), di Nahavand, Iran oleh kumpulan Assasin atau Hashasin (pecahan Syiah Ismailiyyah) pimpinan Hasan as-Sabah. Nizam al-Muluk memegang jawatan Perdana Menteri selama 30 tahun, dalam dua era kepimpinan –Alp Arsalan antara 455- 464H dan Malik Syah I antara 464- 485H.

Dalam tujuh bab seterusnya, al-Ghazali mengungkapkan secara mendalam mengenai (1) Keadilan dan Siasah (politik); (2) Perihal Kementerian dan Peribadi Menteri; (3) Peranan Perbendaharaan dan Keurusetiaan Pemerintah; (4) Kebaikan Hati Pemerintah (Penguasa atau Pemimpin); (5) Perihal Peranan Hukama’; (6) Kemuliaan Akal dan Uqala; dan (7) Kelebihan dan Kekurangan Wanita.

Mengenai keadilan dan siasah, al-Ghazali banyak membahaskan tentang prinsip keadilan yang bermaksud: Sultan yang adil itu adalah yang berlaku adil kepada para hamba Allah, dan berwaspada daripada sebarang kerosakan. Dan seorang sultan yang zalim itu dicela oleh rakyatnya sendiri, kerajaannya tidak akan kekal dan berlangsungan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: Sesebuah kerajaan itu akan berkekalan walaupun dengan adanya kekufuran, tetapi tidak akan berkekalan dengan adanya kezaliman.” (hal.69)

Ertinya, sedikit kekufuran tidak menimbulkan mudarat yang besar, kecuali seluruh jentera pentadbiran dan elit kuasa melakukannya. Tetapi, kezaliman itu biarpun kecil sifatnya, ia boleh menyebabkan sesebuah kerajaan itu runtuh, apatah lagi bila tahap jenayah, kekerasan dan juga pembohongan pemerintah berleluasa. Janji hanya tinggal janji.

Perihal ini mengingatkan kita kepada ‘tindakan zalim’ yang membawa kepada runtuhnya penguasaan Pakatan Harapan pada 24 Februari 2020 apabila kepimpinan Dr Mahathir sebagai PM ke7, tidak ‘mendengar nasihat’ tetapi kekal dengan Mahathirisme. Ia memunculkan konflik dalaman PH sendiri, dan hubungan retak dengan parti-parti komponen, manakala parti-parti yang menjadi pembangkang, segera bersetuju membentuk pakatan baharu untuk mengubah kedudukan majoriti. PH akhirnya tumbang pada 24 Februari 2020.

Kezaliman itu ada dua jenis, menurut al-Ghazali (NBP, hal.74-75): Pertama, kezaliman pemerintah ke atas rakyat, para pembesar ke atas orang awam, dan kezaliman orang kaya ke atas orang miskin. Kedua, kezaliman ke atas diri sendiri, apabila melakukan maksiat. Oleh kerana itu, kedua-dua jenis kezaliman tersebut wajar dijauhi kerana kesan buruk adalah pada diri sendiri, ditolak atau dikecam oleh orang lain, dan dimurkai oleh Allah SWT.

Namun, apa yang menarik ialah rumusan al-Ghazali mengenai hubungan “perangai rakyat” dengan “perangai pemerintah”. Hubungan yang buruk itu, menyebabkan orang awam meniru perbuatan orang-orang besar. Cukup menarik perkaitan itu, kerana di Malaysia pada awalnya, kes-kes rasuah yang besar (berprofil tinggi) membabitkan pemimpin politik, sekarang sudah membarah dalam kalangan penjawat awam (pengurusan pertengahan, pegawai penguatkuasaan dan juga peringkat pegawai eksekutif dan pengkeranian).

Menurut laporan, setakat ini sejumlah RM 28.3 bilion harta atau aset negara 1MDB berjaya dipulangkan (Berita Harian, 7 Mac 2023) manakala lebih RM 25 bilion wang kerajaan berjaya diselamatkan. Menurut SPRM, ia merupakan kejayaan ‘memerangi rasuah dan ketirisan sepanjang lima tahun.” (Berita Harian, 17 Jun 2024).

Cukup meresahkan, kerana nilainya semakin besar, daripada ratusan ribu ringgit hingga ke berbilion ringgit. Ia bukan lagi muncul sebagai salah guna kuasa individu, malah bertukar kepada bentuk ‘bersindiket atau berjemaah’ (contoh, skandal kontena terbang di Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan nilaian sebanyak RM 3.5 bilion, The Star, 14 Jun 2024) dan pelbagai agensi (awam dan swasta).

Contoh yang lain, skandal penjualan tanah FELDA di Bukit Katil, Melaka bernilai RM 400 juta (tahun 2023). Mereka yang terbabit, mendaftar akuan atas nama FELDA, dan kemudian mempengaruhi pihak untuk membelinya. Komisyen ke atas ‘penjual’ ditaksirkan bernilai RM 2 juta. Setakat ini, lapan orang telah ditahan, membabitkan orang awam, pegawai bank dan penjawat awam. (Harian Metro, 11 Jun 2024).

Sayangnya, kes-kes rasuah di Malaysia banyak dikaitkan dengan mereka yang menerima atau meminta rasuah, sedangkan pemberi rasuah jarang kita dengar mereka dibicarakan di mahkamah. Seharusnya, kedua-dua pihak perlu diadili dengan kesalahan tersebut, kerana perbuatan itu sangat merugikan hasil negara dan rakyat menjadi sedikit keliru, sedangkan pemberi sogokan patut dikenakan hukuman yang lebih berat.

Kalau dalam sedekah ada bidalan, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima; maka dalam konteks rasuah, salah guna kuasa, penggubahan wang haram, orang yang memberi itu sewajarnya dihukum dua kali ganda daripada orang yang menerima.

Sebenarnya, pemberi rasuah itulah merupakan kumpulan terdesak: terdesak mendapat projek akibat bimbang persaingan (mula melobi dan ‘mencuri spesifikasi’ serta mendapatkan maklumat dalaman); manakala penerima rasuah, dibayangkan dengan tawaran wang yang membolehkan mereka hidup mewah, atau mencapai tujuan serakah, atau pakej pelancongan mewah dan produk berjenama.

Jika inilah yang akan dilakukan, dilakukan secara bersama, salah laku rasuah mungkin dapat dikurangkan pada tahap paling minimum. Juga, nampaknya, perihal melakukan rasuah dan memberi rasuah, bukan sahaja melibatkan orang awam, turut melibatkan pemuka agama, termasuk anak guru-guru agama.

Ayah kasi projek kepada anak; ayah mertua bagi lesen perniagaan kepada menantu; aktivis politik melobi projek; aktivis politik membahagi-bahagikan projek dengan komisyen jutaan ringgit; parti agih projek, parti dapat ‘sedekah’ daripada syarikat yang mendapat projek. Itulah sebabnya, setiap projek ada cerita di belakang tabirnya sendiri: nasib baik berjaya dirahsiakan, bernasib malang, bila ‘money trail’ berjaya dikesan.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »