Mengejutkan, bila berita yang ditulis oleh wartawan Bernama benar-benar mengikut rentak media barat, melihat Hamas sebagai ‘penceroboh’ bila melakukan serangan ke Israel pada 7 Oktober 2023. Walaupun berita itu tidak menyebut ‘ mempertahankan diri’, ia jelas serangan bertubi-tubi Israel seperti membenarkan tindakan tersebut sebagai reaksi balas yang wajar dengan kaedah ‘menyentak kerak bumi’ (removing the topsoil).
Terkejut ‘beruk’ jadinya, kerana Bernama tidak mencerminkan imej Malaysia, yang tidak pernah melabelkan Hamas sebagai penceroboh, sebaliknya membuat kecaman ke atas Israel yang memang bertekad menjadi peneroka-penjarah di bumi Palestin.
Apa yang tidak tepatnya? Tajuk berita: Jumlah bom Israel bedil Gaza melepasi Perang Dunia Kedua. Saya petik sepenuhnya para 7: Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza berikutan pencerobohan Hamas pada 7 Oktober lepas, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera.”
Apakah benar Hamas telah melakukan pencerobohan ke atas Israel, yang kini menyebabkan Gaza menanggung kemusnahan yang fatal? Saya temui dalam Kamus Dewan (edisi keempat, cetakan 2007, hal. 274): kata dasarnya ialah ceroboh.
Maksud ceroboh: (1) tidak senonoh atau tidak sopan (berkenaan kelakuan, perbuatan dan sebagainya), melanggar tatasusila, biadab; (2) keji, hina…..pencerobohan: perihal (perbuatan, tindakan) menceroboh (i), pencabulan.
Saya belum berpuas hati, maka saya cuba melihat maknanya di kamus yang lain. Dalam bahasa Inggeris, istilah penceroboh ialah intruder.
Intruder, menurut Oxford English-Malay Compact Advanced Learner’s Dictionary (AS Hornby, terjemahan Asmah Haji Omar, cetakan 2007, hal. 767): intrude bermaksud, memasukkan (diri sendiri/sesuatu) ke dalam tempat atau keadaan yang tidak disenangi orang atau tidak sesuai; mengganggu, mencelah, menceroboh manakala intruder ialah orang atau benda yang menceroboh, terutama sekali yang memasuki kawasan milik orang lain secara haram; penceroboh,
Selain intruder, ada satu lagi istilah bahasa Inggeris yang membawa maksud sama, iaitu aggressor. Aggressor bermaksud, orang atau negara yang menyerang terlebih dahulu tanpa digoda; penyerang. Maknanya, penyerang itu melakukan tindakan (serangan) tanpa sebab musabab yang jelas, hanya ikut nafsunya. Jadi, bila Hamas menyerang, apakah tidak ‘godaan’ sebelumnya oleh Israel?
Di situ ada sedikit kejelasan, serangan Hamas dilakukan kerana sudah lama Israel melakukan pelbagai ‘godaan’. Dengan ‘godaan’ telah menyebabkan Hamas ‘tergoda’ sehingga Hamas benar-benar melakukan serangan pada 7 Oktober 2023. Serangan yang sangat tidak disangka oleh Israel, kerana Hamas melakukannya dengan baik dan berkesan sehingga Israel sedikit nanar dan kebingungan pada hari tersebut.
Selain dua istilah, intruder dan aggressor, terdapat satu lagi istilah yang membawa maksud yang sama atau hampir sama, iaitu incursion. Setelah disemak berita berbahasa Inggeris, yang saya kira sumber berita yang diterjemah dan disunting oleh Bernama, saya temukan istilah ‘incursion’.
Ia adalah laporan Anadolu, agensi berita Turkiye. Saya petik para itu: Israel has continued its brutal offensive on Gaza following the Oct. 7 Hamas incursion, despite a UN Security Council resolution demanding an immediate cease-fire.” (https://www.aa.com.tr/en/middle-east/amount-of-israel-bombs-dropped-on-gaza-surpasses -that-of-world-war-ii/3239665). Jelas, istilah sebenar yang digunakan dalam laporan asal ialah ‘incursion’, bukan intruder dan aggressor.
Menurut kamus, incursion bermaksud: (1) serangan tiba-tiba terhadap sesuatu tempat (biasanya bukan untuk mendudukinya secara menetap); serang tawan; dan (2) gangguan terhadap masa, keadaan bersendiri seseorang, dan sebagainya yang menyusahkan; pencerobohan. (Oxford English-Malay Advanced Learner’s Dictionary, 2007, hal.730).
Sekurang-kurangnya, pencarian istilah sudah selesai. Apa belum seselai ialah perihal proses sejarah yang sangat cenderung dilihat, dinilai dan dibentangkan berlaku sejarah terputus. Ia seperti kelaziman media yang tidak lagi menghormati prinsip-prinsip kewartawanan yang baik, yang Nick Davies panggil dengan istilah churnalism. (Nick Davies, Flat Earth News, 2007).
Seperti kita memilih potongan daging untuk dimakan atau dibuat sop. Sop sangat enak jika bahagian daging yang menempel pada tulang dijadikan bahan. Jika kita gemarkan masakan kari, kita mungkin memilih daging pejal, yakni daging yang menempel di bahagian peha lembu. Jika gemar daging goreng atau daging dendeng (masakan Padang), kita akan menggunakan daging batang pinang, yang lebih lembut berbanding daging pejal.
Itulah yang churnalism. Kita pilih mana yang kita suka daripada seluruh ‘daging lembu’ untuk disesuaikan dengan selera kita pada ketika itu, apa jenis menu yang hendak dimasak. Kita lupakan bahagian-bahagian lain, walaupun ia juga enak kerana selera pada hari itu adalah apa yang kita rasa enak.
Begitulah juga dengan penulisan berita tentang sesuatu yang berlaku atau ada sejarahnya yang panjang. Ramai yang melihat peristiwa yang berlaku pada hari itu dianggap ‘menarik’ kerana ia berlaku dalam istilah semasa, ‘timely’. Akibatnya, kita terlupa awal dan kesinambungannya, kerana daging batang pinang tidak akan terhasil tanpa adanya seekor lembu yang sihat, gemuk dan ‘cantik’. Kita tidak tergiur bila melihat seekor lembu yang kurus, berkudis dan tidak lagi mampu bangkit.
Hamas bukanlah sebuah organisasi yang lemah walaupun seluruh bumi Gaza sudah dikepong dan dikawal oleh Israel sejak bertahun-tahun lamanya. Ia berbeza dengan PLO atau Fatah. PLO yang menubuhkan sayap politiknya, Fatah sudah tidak lagi mampu bangkit sejak Yaser Arafat menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993.
Pilihan Raya Palestin 2006 menyaksikan Hamas sebagai kekuatan baharu yang kental memperjuangkan nasib keturunan Arab-Palestin. Keturunan Arab-Palestin merupakan penduduk asal bumi Kanaan yang pernah dimitoskan oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) sebagai ‘tanah kosong’, ertinya ‘tidak berpenghuni’.
WZO adalah pertubuhan yang muncul pada tahun 1896/1897 dan diasaskan oleh Theodore Herzyl, seorang Yahudi liberal dan sesekali menampakkan ciri sebagai seorang ateis. Herzyl selain meminati dunia teater dan sastera, akhirnya terjun ke lurah kewartawanan sehingga mampu membangkitkan ‘simpati’ masyarakat Eropah menyokong keinginan besar Yahudi liberal menubuhkan sebuah negara Yahudi (der Judenstaat). Waktu itu, tidak ada istilah ‘negara Israel’, kerana tanpa mengheret istilah Yahudi, ideanya membeku seperti salji di Greenland.
Walaupun menggunakan istilah Negara Yahudi, ramai daripada orang Yahudi di Eropah tidak menyambut seruan tersebut atas pelbagai sebab. Pertama, enggan meninggalkan harta dan aset yang mereka sudah kumpulkan bertahun-tahun sejak penganut Yahudi diusir keluar oleh penjajah Rom, Byzantium dan atas kerelaan penganut Yahudi sendiri keluar daripada bumi Kanaan.
Yahudi bukanlah penduduk asal Kanaan, atau Palestin Kuno. Sejarah telah membuktikan, Yahudi yang membentuk komuniti di bumi Kanaan adalah berasal daripada keturunan Nabi Yaakub AS. Nabi Yaakub adalah putera Nabi Ishak AS, dan Ishak adalah putera Nabi Ibrahim AS. Ishak adalah saudara Nabi Ismail AS berlainan ibu. Nabi Yaakub mempunyai 12 orang putera dan empat orang isteri.
Anak-anak Nabi Yaakub inilah dikatakan bebuyut Yahudi sebagaimana didakwa oleh aktivis WZO dalam mitosnya yang lain, iaitu kembali ke “Tanah Yang Dijanjikan”, yang cuba memasukkan cebisan sejarah yang terdapat dalam Bible dan kitab suci Yahudi, Taurat. Untuk menarik minat, Herzyl menggunakan cebis-cebisan sejarah sebagai latar ‘permasalahan orang Yahudi’ sebagai mitos ‘kaum tanpa negara’ atau kita kenali dengan istilah diaspora.
Perbincangan yang menarik mengenai mitos yang sengaja diciptakan itu, Ilan Pappe, seorang sejarawan generasi baharu melihat seperti apakah yang diperjuangkan oleh Yahudi Zionis adalah tidak mempunyai asas sejarah yang kuat.
Sebabnya, “History lies at the core of the every conflict. A true and unbiased understanding of the past offers possibility of peace. The distortion or manipulation of history, in contrast, will only disaster. As the example of the Israel-Palestine conflict shows, historical disinformation, even the most recent past, can do tremendous harm.
“This whillful misunderstanding of history can promote oppression and protect a regime of colonialization and occupation. It is not suprising, therefore, that policies of disinformation and distortion continue to the present and play an important part in perpetuating the conflict, leaving very little hope for the future.” (Ilan Pappe, Ten Myths About Israel, 2017, hal.2).
Arthur Koestler (1905-1983), seorang sejarawan dan wartawan dari Hungary turut mengakui bahawa Yahudi Zionis tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan leluhurnya di Palestin, mereka berasal daripada suku kaum Khazar, yang berasal daripada Jerman dan juga sebahagian wilayah Rusia. Teori tersebut bagaimanapun disangkal oleh Yahudi Zionis tanpa memberikan fakta kaitannya, termasuk hubungan genetik. (Arthur Koestler, Thirteenth Tribe:The Khazar Empire and Its Heritage, 1976).
Douglas M Dunlop (1909-1987), sejarawan British-Amerika yang dilantik sebagai professor di Universiti Columbia, New York turut mengkaji mengenai suku kaum Khazar yang menjadi leluhur keturunan Yahudi-Zionis, yang kemudiannya melahirkan suku kaum Askhenazim, majoriti rakyat negara haram Israel. Kajiannya mendapati bahawa suku kaum yang membina sebuah imperium di Timur Tengah ialah kaum Khazar, bukannya orang Ibrani. (DM Dunlop, The History of Jewish Khazar, 1954).
Leluhur Yahudi di bumi Kanaan turut dipanggil orang-orang Ibrani. Kaum Khazarlah yang berperang dengan Byzantium, Muslim dan Mongol. Namun setelah kerajaan Khazar mengalami kemerosotan, mereka berhijrah ke Eropah Timur sejak ribuan tahun sebelum Theodore Herzyl muncul dengan idea Negara Yahudi dan menamatkan diaspora Yahudi.
Setelah beradaptasi dengan masyarakat di Eropah Timur, suku kaum Khazar membentuk pula suku kaum Askhenazim, yang merupakan kelompok terbesar yang menunjangi gerakan menubuhkan negara haram Israel sehingga menjadi realiti pada tahun 1948 dengan bantuan dan kesungguhan Britain, Perancis dan Amerika Syarikat.
Dalam penelusuran sejarah mengenai penduduk asli Palestin, putera Maulana Wahidudin Khan (1925-2021), seorang aktivis Islam dari India, Dr Zafarul Khan mengkaji rentang waktu lebih 2,500 tahun (1220 SM hingga 1339M) mendapati bahawa mitos Palestin tidak berpenghuni adalah satu bentuk pemalsuan sejarah yang disengajakan oleh Yahudi-Zionis dalam usahanya membentuk ‘Negara Yahudi di Palestin’. Sejak zaman kuno, Palestin atau bumi Kanaan sudah dihuni oleh manusia, bukan ‘empty land’ sebagaimana digambarkan.
Kenapa Yahudi-Zionis memilih Palestin? Pada pendapat Dr Zafarul Islam, “…bukan kerana memenuhi ajaran Taurat atau agama mereka, bukan kerana kandungan mineral mahupun bukan mineral dari Laut Mati yang berharga billion dolar, dan bukan juga kerana cadangan minyak Palestin yang setara dengan 20 kali ganda cadangan minyak Amerika.
“Namun, alasan utama cita-cita Yahudi untuk menguasai Palestin kerana Palestin berad di pertemuan jalur Eropah, Asia dan Afrika; Palestin berada di pusat utama kekuatan dunia; dan Palestin merupakan markas tentera yang strategic untuk menguasai dunia. (Zafarul Islam Khan, Tarikh Filisthin al-Qadim (1973), edisi terjemahan bahasa Indonesia, Siapa Orang Asli Palestina (2024), hal. 1).
Ada fakta sejarah mengenai cadangan awal sebuah ‘Negara Yahudi’. Britain menawarkan sebuah negeri di Afrika yang masih dilindunginya, walaupun penjajahan langsungnya telah berakhir. Selain itu, turut dicadangkan di sebuah negara di Amerika Selatan. Dua cadangan tersebut telah ditolak oleh WZO, biarpun Herzyl tidak membangkangnya.
Kelompok ultra-Yahudi akhirnya mendesak agar Palestin dijadikan matlamat mutlak untuk membina sebuah Negara Yahudi, disebabkan ada hubungan sejarah kerohanian dan keagamaan. Sejarah kerohanian ialah kerana agama Yahudi diturunkan di Palestin, khususnya di Jerusalem, yang juga menjadi tempat suci dua lagi agama samawi, iaitu Kristian dan Islam.
Hubungan kerohanian juga menyebabkan rasa bertaut Yahudi dengan keturunan Nabi-Nabi yang diutuskan sebahagian besarnya adalah keturunan Bani Israel. Itulah sebabnya nama Negara Yahudi kemudiannya ditukar kepada nama Negara Israel, sebagai hubungan kerohanian dengan Nabi-Nabi dalam kalangan Bani Israel, seperti Nabi Yaakub, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.
Setelah hubungan itu berjaya dimasukkan dalam agenda Negara Yahudi, ia mendapat sokongan dalam kalangan agamawan Yahudi, termasuk rabi-rabi yang berpendirian otordoks, Yahudi liberal (dan ateis), dan Yahudi agnostik yang kaya raya di Eropah.
Taikun-taikun Yahudi yang rasis berusaha mengumpulkan pengaruh, kewangan dan semangat untuk mempengaruhi elit politik di beberapa buah negara Eropah, terutamanya Britain dan Perancis.
Simpati menjadi sesuatu yang memuncak apabila Herzyl berjaya mengungkapkan Tragedi Dreyfus sebagai ikon perjuangan Yahudi Zionis sebagai satu bentuk diskriminasi – yang dikenali sebagai Anti-Semitik- dan selepas kematiannya, Chase Wiseman meneruskan perjuangan tersebut dengan nada yang lebih keran dan terancang.
Chase Wisemen yang mendapat kepercayaan elit politik Britain, kerana solusi kimianya bagi membantu pembangunan senjata (dan bom) menyebabkan Britain semakin bersemangat membantu pembentukan Negara Yahudi di Palestin.
Rencana yang muncul ialah mencari ruang untuk meruntuhkan Daulah Utsmaniah terlebih dahulu, kerana Palestin berada dibawah kekuasaan Istanbul. Bagi Britain, mengalahkan Utsmaniah juga merupakan cita-cita yang besar, mengembalik kuasa selepas Empayar Byzantium berjaya dikalahkan oleh Muhammad al-Fateh pada tahun 1453.
Ia menjadi sejarah hitam Christiendom, setelah mengalirkan semangat Perang Suci (Perang Salib 1095 oleh Pop Urban II), Empayar Byzantium bertapak di Palestin sebelum dikalahkan oleh Salahudin al-Ayubbi (Perang Salib III) dan seterusnya oleh Muhammad al-Fateh.
Jerusalem pernah beberapa kali dihancurkan, termasuk pusat-pusat ibadat yang dikaitkan dengan agama Yahudi oleh Parsi, Romawi dan Assyiria. Namun, semasa dikuasai oleh Islam (era Omar al-Khattab, Salehudin al-Ayubbi dan Utsmaniah), penganut Yahudi tidak dihalang melakukan ibadat agama dan kebebasan mereka dijamin. Situasi itu sangat berbeza sejak negara haram Israel ditubuhkan, penganut Islam sentiasa disekat, dihalang dan dibelasah oleh Tentera Israel (IDF) mahupun kumpulan pengganas, Irgun dan Haganah, yang menjadi ‘tangan kanan’ Mandat Palestin (1931-1948) untuk mempercepatkan proses kemasukan Yahudi di bumi Palestin.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments