Slogan: Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka’ telah menarik minat awam sehingga tercetusnya pelbagai demonstrasi, pemboikotan dan pengucilan firma-firma milik Israel dan sekutunya bersemarak di seluruh dunia.

Bahkan, di kampus universiti terkemuka Amerika Syarikat sokongan ke atas Palestin turut diucapkan oleh para mahasiswa pada istiadat konvekesyen, sehingga ada universiti terpaksa menangguhkannya. Malaysia tidak terkecuali, namun dalam menyekatnya, ada juga yang terlepas, atau sengaja dilepaskan atas alasan tertentu.

Perihal ini menunjukkan simpati dan empati masyarakat antarabangsa cukup meluas, dan sangat membimbangkan negara-negara yang pernah bersekutu dengan Israel. Semarak simpati dan empati bukan lagi berasaskan agama, ia merupakan gerakan kemanusiaan dan protes terhadap Israel yang jelas menghina prinsip yang menjadi tunjang kepada tertubuhnya PBB selepas Perang Dunia II. Ia juga menjadi wajah herot yang membentuk imej Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Australia.

Ketujuh, penguasaan media barat tidak lagi menjadi sumber maklumat utama apabila media sosial lebih cepat, tangkas dan memaparkan apa sebenarnya yang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza. Dalam serangan balas Iran misalnya, masyarakat antarabangsa telah mentertawakan Israel yang berbelanja besar meneydiakan sistem pertahanan Iron Drome.

Begitu juga dengan kejayaan Hamas membunuh tentera Israel, mengebom kem-kem tentera Israel dan juga membunuh tentera Israel ketika memasuki sebuah terowong yang dijangka menjadi lokasi perlindungan Hamas.

Kejayaan-kejayaan itu disebarkan dengan meluasnya dalam media sosial sehingga Israel tidak keruan emosi marahnya. Israel yang tertekan itu akhirnya sanggup menembak mati 300 orang remajanya sendiri yang disangka aktivis Hamas di malam Festival Muzik Supernova.

Kesemuanya menggambarkan sikap terdesak Israel, dan kebiadapannya semakin menggila apabila memutuskan bekalan elektrik sehingga menyebabkan para pesakit di hospital tidak dapat dirawat, doktor-doktor dibunuh dan pekerja sukarela yang bertugas ditembak mati.

Kelapan, dalam konflik kali ini, Israel dilihat seperti terkepung oleh tiga kelompok penentangnya – Hizbullah, Houthi dan al-Qasam – dan Iran sehingga menjadikan fokus serangan tidak menentu.

Hamas melihat kekejaman Israel ini sebagai sesuatu yang kehilangan arah dan panduan, sebabnya, tentera Israel tidak mengetahui apa sebenarnya motif yang ingin dicapai oleh kabinet perang Israel. Cuma, yang diketahuinya Neetanyahu akan terus melakukan serangan biadab, menghapuskan etnik Palestin secara genosid, dan dalam masa yang sama, ada di antaranya mula mengalami pergolakan psikologi.

Apakah selepas ini akan muncul tindakan membantah sebagaimana berlaku dalam kalangan tentera Amerika Syarikat yang pernah terbabit dalam Perang Irak? Kita mungkin teringat dengan kisah Nidal Hassan yang berjaya membunuh 13 rakannya di Fort Hood pada November 2009.

Pada 3 April 2014, di pengkalan yang sama berlaku lagi tragedi tembakan rambang menyebabkan empat tentera terbunuh. Amerika Syarikat mengelasifikasikan pembunuh sebagai orang yang berhadapan dengan masalah mental, tetapi tidak menjelaskan puncanya.

Nidal Hassan melakukan pembunuhan kerana marahkan pembabitan Amerika Syarikat dalam Perang Irak. Pada pandangannya, tidak ada sebab kenapa Amerika Syarikat perlu terbabit untuk menyerang Irak kerana Irak tidak menyerang Amerika Syarikat.

Dalam kejadian kedua, penyerangnya juga merupakan veteran tentera yang pernah dikerahkan berperang di Irak. Insiden itu bukan dikaitkan dengan pengganas, tetapi merupakan masalah dalaman yang lazim berlaku apabila tentera dikerahkan berperang bukan kerana negara sendiri diserang.

Senario ini dijangka akan berlaku dalam kalangan tentera Israel, walaupun pada asasnya Israel telah melakukan indoktrinasi berterusan ke atas rakyatnya dalam pelbagai kaedah termasuk pendidikan. Namun, apa yang berlaku ialah ‘reserve psychology’ setelah menyedari teknik brainswashing itu tidak menepati kepada prinsip pembangunan intelektual.

Sikap menentang akan menjadi sesuatu yang hadir secara berperingkat-peringkat. Hal itulah yang menjadi pokok persoalan George Orwell ketika menulis novelnya, Animal Farm, yang membuktikan bahawa binatang pun boleh berubah kecenderungan apatah lagi manusia.

Dalam 1984, Orwell memerihalkan tentang dunia politik yang bersifat dystopia, dunia politik masa hadapan. Masa hadapan yang dimaksudkan oleh George Orwell ialah pada tahun 1984, dan ketika novel itu dihasilkannya (1948), menyebabkan kita berfikir, apakah ramalan itu adalah suatu kenyataan?

Masa depan diramalkan dikuasai oleh rejim yang berkuasa penuh secara authoritarian, yang dipimpin oleh mereka yang gila berperang. Hal ini berlaku di tiga negara besar, Oceania, Estania dan Eurasia. Tokoh utama ialah Winston Smith, seorang pegawai kerajaan yang berkuasa di Kementerian Kebenaran, yang berusaha mengubah sejarah bagi memenuhi kepentingan Parti Sosing di negara Oceania.

Secara luarannya, Winston berhasrat menjadi seorang warganegara yang baik dan nasionalis, namun secara batinnya, mula bergeser dengan pertanyaan makna dasar-dasar negara yang dipatuhinya dengan perilaku kediktatoran para elit politik yang berkuasa.

Wisnton bertugas sebagai propagandis, menterjemahkan apa-apa keputusan dan program parti pemerintah sebagai suatu kebenaran yang perlu dilibatkan dengan rakyat, dan rakyat wajib mematuhi tanpa soal.

Parti Sosing memonopolikan kuasa, dan masyarakat diprogramkan dengan sistem pengawasan total (undang-undang yang ketat dan penuh sekatan), ia dikawal melalui tokoh yang dipanggil Big Brother, manakala kritikan dan pemikiran bebas dianggap sebagai satu bentuk kejahatan (jenayah dan pelanggaran undang-undang).

Wiston mula merasai keterjebakannya, meragukan kebenaran elit politik berkuasa, dan mula menulis catatan harian (diari) rahsia, yang mengandungi cetusan pemikiran dan emosinya terhadap dasar-dasar kerajaan.

Apabila bertemu dengan seorang wanita, Julia, mereka mula menjalin hubungan terlarang, dan membentuk kesepakatan untuk ‘memberontak’. Namun, mereka sebenarnya tidak berupaya melakukannya, kerana setiap gerak gerinya diperhatikan.

Pada suatu ketika, gerakan ‘perlawanan’ berlaku, dan pasangan tersebut (Julia dan Winston) terbabit, akhirnya dapat dihancurkan oleh elit politik yang berkuasa.

Novel ini menggambarkan bagaimana kawalan ‘minda dan emosi rakyat’ diindoktrinasikan sepanjang masa dengan manipulasi sejarah dan menggabungjalinkan dasar politik yang mengabaikan kebebasan dan hak awam di ruang awam.

Jadi, dua buah novel George Orwell (Eric Arthur Blair, 1903-1950) -Animal Farm dan 1984 – cukup kuat satira politik yang digarap bagi menggambarkan manipulasi dan indoktrinasi dalam kalangan elit politik yang berkuasa, hanya kerana ingin mempertahankan kuasa dan melanjutkan kekuasaan dengan apa cara sekali, tanpa berpijak kepada realiti dan sejarah yang benar.

Kesemuanya akan diekploitasikan dengan aktiviti ‘brainwashing’ tanpa henti, sebagaimana Israel lakukan untuk meyakinkan masyarakat dunia bahawa apa yang dilakukan oleh TelAviv sebagai haknya ‘mempertahankan diri’ dan ‘menjamin keselamatan’, walaupun tindakan tersebut sangat kejam dan melanggar prinsip undang-undang serta nilai-nilai kemanusiaan.

Ia jelas selari dengan falsafah politik moden yang diusulkan oleh Nicolo Machiavell (1469-1527), seorang diplomat Itali yang memendam rasa kecewa setelah disingkirkan.

Setelah tidak berjawatan dalam kerajaan, Nicovealli menulis II Principle, yang dikenali sebagai The Prince  (diterbitkan tahun 1532, iaitu lima tahun selepas kematiannya)  adalah sebuah kitab falsafah politik yang banyak mempengaruhi budaya politik hingga kini, dalam apa pun sistem politik – demokrasi, sosialisme, komunisme dan monarki – kerana politik bermoral itu hanya diperbualkan sebelum ‘mendapat kuasa’.

Machiavelli turut dianggap sebagai seorang humanis, walaupun dalam prinsip kekuasaannya saling bercanggah kerana ‘sesuatu kebenaran yang berkesan’ adalah lebih penting daripada sebarang idea yang abstrak.

Sebab itulah dalam sesebuah pemerintahan, elit politik yang pragmatik lebih berjaya daripada elit politik yang berfalsafah. Walaupun kata-katanya cukup indah dan cantik, ia akan memudar apabila tidak mampu menyelesaikan persoalan yang dihadapi oleh rakyat. Ia dikenali sebagai retorik politik.

Namun, rejim Tel Aviv menggunakan retorik yang disusuli dengan tindakan walaupun kejam dan ganas. Sebab itulah dalam konflik terbaharu, Neetanyahu terus berkeras untuk menyerang dan mengebom Gaza walaupun dikecam oleh masyarakat antarabangsa, kerana hasratnya adalah cukup kuat, menghancurkan bangsa Palestin, dengan mengatakan tidak akan bersedia melakukan gencatan senjata selagi Hamas tidak dapat dihapuskan.

Neetanyahu juga menerima tekanan daripada sekutunya yang membentuk kerajaan perpaduan. Salah sebuah parti telah memberikan amaran akan menarik diri sekiranya Neetanyahu melakukan gencatan senjata dengan Hamas, selagi Hamas tidak berjaya dihapuskan, biarpun Amerika Syarikat sudah bersuara untuk meminta Israel berbuat demikian.

Israel tidak pedulikan Amerika Syarikat mahupun keputusan ICC dan ICJ, sebabnya, badan dunia itu tidak dapat bertindak dengan berkesan sekiranya tidak direstui oleh Amerika Syarikat.

Walaupun Rusia dan China sudah memvetokan cadangan Amerika Syarikat agar Israel dan Hamas melakukan gencatan senjata, ia tidak menampakkan sikap dan pendirian jujur Washington. Cadangan Joe Biden itu hanyalah bagi menutup ‘rasa malu’ dan ‘tertekan’ apabila tidak mengundi dan menerima Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Sebabnya, sangat jelas, Palestin boleh mengambil tindakan untuk mengadu secara rasmi dan mendapat keadilan perundangan di atas segala kekejaman yang dilakukan ke atas negara itu sejak Israel menjarah tanah-tanah milik rakyatnya, dan membunuh jutaan keturunan Arab-Palestin, yang ketika ini, Israel berusaha keras untuk menafikan apa yang dilakukan sejak tahun 1948 sebagai satu bentuk genosid.

Masyarakat dunia kian sedar dengan kejahatan Israel. Masyarakat dunia semakin mengecam genosid Israel, kerana bukti yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv cukup banyak, sejak episode penubuhan negara haram Israel mula dilaksanakan, sebelum negara haram itu ditubuhkan secara rasmi dengan persetujuan PBB.

Namun, kerana ‘kesilapan’ itu sudah mengubah pola sejarah geopolitik, maka ‘kesilapan’ itu tetap dipertahankan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Oligarki Yahudi mempengaruhi dan ‘mengawal’ keseluruhan keputusan elit kuasa di negara-negara berkenaan, dan juga PBB serta organisasi bukan kerajaan secara langsung dan rahsia. Persoalan itu akhirnya memperkayakan pemikiran masyarakat dunia tentang ‘tangan-tangan ghaib’ yang menguasai geopolitik dunia.

Rakyat akan menilai apakah pemimpin melakukan sesuatu yang betul atau membentuk landasan untuk kekal berkuasa atau membina legasi sendiri. Dua persoalan sedemikian terus menjadi bayang-bayang hitam dalam kesedaran manusia, dan tidak terkecuali dalam kalangan generasi baharu Yahudi Israel sebagaimana telah berlaku dalam kalangan ahli akademik Yahudi sendiri.

Kita mungkin boleh melihat bagaimana kecenderungan pakar sejarah generasi baharu Yahudi, sebagai contohnya ialah Ilan Pappe. Ilan dilahirkan di Haifa, Israel pada tahun 1954. Belajar di Israel sehingga meraih ijazah pertama di Universiti Hebrew, Jerusalem dan seterusnya ke University Oxford sehingga lulus ijazah kedoktoran tahun 1984. Ketika berusia 18 tahun, menyertai IDF dan terbabit dalam Perang Yom Kipur (1973).

Antara tahun 1984 hingga 2007, Ilan merupakan pensyarah kanan Universiti Haifa, Jerusalem dan dilantik sebagai pengerusi Institut Kajian Palestin dan Israel Emil Touma, Haifa (2000-2008). Beliau banyak menulis mengenai Palestin dan ikut menyelar tindakan ganas Israel, termasuk bukunya yang terkenal, The Ethnic Cleansing of Palestine (2006).

Walaupun berbangsa Yahudi dan pernah terlibat dalam pertubuhan belia Zionis, Ilan Pappe tetap menentang keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel ke atas bangsa Palestin.

Buku tersebut menggunakan sumber dan arkib Israel seperti jurnal David Ben-Gurion, dokumen tentera, para perunding (the Consultancy) dan keputusan-keputusan kerajaan Israel ketika itu, namun, pembersihan etnik tidak berhenti sehingga  sekarang: “…jentera pemusnah tidak pernah berhenti…mereka akan meningkatkan strategi pembasmian etnik.”

Turut didedahkan dalam buku tersebut mengenai talibarut yang kedapatan di setiap buah kampung yang memberikan maklumat bagi melengkapkan pengumpulan data perisikan Israel, yang dinamakan sebagai “village files”. Ia merupakan maklumat yang cukup terperinci, termasuk topografi, jenis tanah, jenis pokok, tinjauan udara (aerial survey) jumlah penduduk, yang kemudiannya dikoordinasikan bagi pembersihan etnik mulai tahun 1948.

Pengumpulan ini dilakukan secara rahsia, bahkan British pun tidak mengetahuinya. Data inilah akhirnya menyebabkan lebih 500 buah kampung Arab dimusnah oleh kumpulan pengganas Irgun dan Haganah. Ia dirujuk sebagai Plan Dalet dan village files.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »