Dua keputusan yang dibuat oleh dua mahkamah antarabangsa, iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak pun menjadikan Israel gentar dan takut. Sebaliknya, Israel makin mengganas, menyerang kem-kem yang menempatkan rakyat Palestin di Gaza.

Tanpa pedulikan bantahan masyarakat antarabangsa, Israel terus membedil di mana sahaja lokasi yang kedapatan rakyat Palestin dengan alasan, pejuang-pejuang Hamas bersama mereka. Inilah juga alasan yang digunakan oleh Israel untuk membedil dan mengebom premis-premis awam, pusat kesihatan medan, hospital, sekolah-sekolah. Israel menyatakan pejuang Hamas bersembunyi di premis tersebut bagi mengelabui mata tentera Israel.

Atas alasan itulah menyebabkan lebih 36,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 80,000 cedera sejak konflik itu bermula. Namun, yang cukup mengecewakan masyarakat antarabangsa ialah serangan tentera Israel tidak menepati sasaran, tentera Israel sebenarnya bukan berperang dengan Hamas, tetapi cukup jelas dengan tindakan genosid.

Sebab-sebab itulah menjadikan Israel semakin ‘terkucil’ dan ‘dikucilkan’ oleh masyarakat antarabangsa.

Keputusan yang dibuat oleh dua mahkamah antarabangsa yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa minggu lalu sudah memberikan indikasi yang jelas mengenai tindakan biadab Israel, namun dua keputusan itu menjadikan sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa semakin terbelah.

Jumaat lalu (24 Mei 2024), ICJ mengeluarkan arahan kepada Israel untuk menamatkan segera serangan dan menarik balik tenteranya daripada Rafah. Namun, Israel tidak mengendahkan arahan tersebut, menjadikan jumlah kematian terus meningkat.

Empat hari sebelum itu (20 Mei 2024),  Ketua Pendakwaraya ICC, Karim Khan (Karim Asad Ahmad Khan peguam British yang dilantik ke jawatan tersebut sejak 2021) telah memutuskan memohon waran tangkap ke atas dua pemimpin Israel – PM Israel, Benjamin Neetanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant- dan tiga orang pemimpin Hamas – Ismail Haniyeh, Yehia Sinwar dan Mohamed Deif.

Alasannya, kedua-dua pihak terbabit dalam melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan Israel.

Namun, permohonan waran tangkap tersebut tidak mungkin dapat dilaksanakan sebaik sahaja keputusan itu dibuat. Ia memerlukan masa yang panjang, tiga hakim yang menjadi panel perbicaraan tersebut memerlukan masa dua bulan menilai bukti sebelum perbicaraan selanjutnya dimulakan.

Ini bererti, Israel boleh melakukan apa sahaja yang dimahuinya. Israel boleh terus membunuh dan menjadikan rakyat Palestin sebagai sasaran genosid seterusnya. Waran tangkap itu belum ada kuasa untuk menangkap setiap daripada mereka yang dikatakan terbabit melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

ICC juga tidak mempunyai kuasa untuk menangkap, ia bergantung kepada keputusan negara-negara yang menandatangani Statut Rome pada tahun 1998. Hanya 124 daripada 193 buah negara yang menganggotai PBB menandatangani Statut Rom.

Antara negara yang tidak menandatangani Statut Rom ialah Amerika Syarikat, Israel, Rusia, China, Arab Saudi dan Malaysia manakala sebahagian lagi belum meratifikasikan undang-undang domestik masing-masing.

Bagaimanapun, Jerman memberikan pendirian bahawa akan menangkap Neetanyahu sekiranya waran tangkap itu dikuatkuasakan dan Neetanyahu menjejakkan kaki ke negara tersebut. Lain-lain negara belum menyatakan pendirian terhadap keputusan interim ICC itu.

Permohonan ICC itu menyebabkan kemarahan sebahagian negara, bukan sahaja berlaku di Tel Aviv dan juga Hamas, ia turut menimbulkan persoalan terhadap keputusan itu di Washington dan London. Bahkan, ada kedengaran di Amerika Syarikat mungkin akan mengenakan sekatan ke atas Karim Khan, sekatan daripada memasuki negara tersebut.

Karim Khan (Karim Asad Ahmad Khan) merupakan seorang peguam British yang mengkhususkan kepakaran dalam bidang undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Beliau merupakan abang kepada seorang politikus Britain yang dikaitkan dengan skandal seks kanak-kanak bawah umur pada tahun 2008, Imran Ahmad Khan. Keluarganya berasal daripada Pakistan

Ia merupakan sesuatu yang agak ironi, Washington dan London pernah memberikan sokongan kuat kepada keputusan ICC apabila memohon waran tangkap ke atas pemimpin Rusia, Vladimir Putin dan Pesuruhjaya Hak Asasi Kanak-kanak Rusia, Maria Lvova-Belova berikutkan serangan ke atas Ukrain pada tahun 2022.

Ini jelas membuktikan bahawa dwistandard Washington dan London cukup menggila, tidak dibuat pertimbangan yang saksama, tetapi lebih mengutamakan kepentingan politiknya. Jika Britain membuat keputusan seiring dengan keputusan ICC, Britain akan berhadapan dengan konflik dengan masyarakat Yahudi, dan menyergah kenangan sejarahnya yang menjadi peledak kepada inisiatif pembentukan negara haram Israel menerusi Mandat Palestin setelah berjaya meruntuhkan kekuasaan Empayar Utsmaniah selepas Perang Dunia I.

Amerika Syarikat pula akan berhadapan dengan tentangan besar dalam kalangan kapitalis Wall Street yang menguasai pasaran saham dan kapitalis-kapitalis itulah yang menentukan politik Washington. Joe Biden menjadi serba salah, sama ada dalam pengumpulan dana pilihan raya atau mengekalkan kemenangannya untuk penggal kedua dalam pemilihan yang akan berlangsung pada bulan November nanti.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, PM pertama bukan ‘kulit putih’, menggantikan Liz Truss yang meletakkan jawatan setelah 49 hari mengangkat sumpah (6 September 2022 – 25 Oktober 2022). Rishi cukup popular untuk bersaing dengan Liz Truss (Mary Elizabeth Truss, lahir 26 Julai 1975) dalam parti Konservatif, yang merupakan pengagum Thatcherite (Margaret Thatcher). Gaya kepimpinan Thatcher tidak disenangi oleh ahli Parti Konservatif.

Rishi Sunak dilahirkan di Southampton (12 Mei 1980) dari pasangan imigran keturunan India yang datang daripada Afrika Timur pada tahun 1960-an. Rishi Sunak telah menetapkan bahawa pilihan raya Britain akan diadakan pada bulan Julai 2024, dan setakat ini saingan terdekatnya ialah bekas PM Britain, Boris Johnson daripada Parti Konservatif.

Sunak pernah dikaitkan dengan masalah cukai pendapatan antarabangsa (April 2022) dan kemudian bersetuju membayar cukai tahunan sebanyak RM 161,000. Sunak dan isteri, Akshata Murthy memiliki kekayaan sekitar USD $800 juta (RM3.8 bilion).

Sunak menyertai persaingan merebut kepimpinan Parti Konservatif pada 8 Julai 2022, dan pada 20 Julai 2022, beliau menerima pencalonan terbanyak. Beliau kemudiannya berdepan dengan Liz Truss dan kalah. Bagaimanapun, apabila Lizz Truss meletakkan jawatan, Sunak mengambil alih tanggungjawab itu bermula 25 Oktober 2022.

Namun, sepanjang pentadbirannya, Sunak dilihat gagal mengatasi masalah ekonomi dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk Britain. Ini menyebabkan bekas pemimpin Parti Konservatif, dan juga PM Britain kembali mengkritik dasar dan pentadbirannya. Ini bermakna, kedudukan Sunak dalam Parti Konservatif tercabar, dan pencabar terdekatnya ialah Boris Johnson.

Dua senario politik itu menyebabkan Britain dan Amerika Syarikat cukup berhati-hati dalam menangai isu genosid Israel. Itulah harapan yang ada setakat ini untuk mereka kembali berkuasa, atau memenangi kepimpinan politik masing-masing.

Kedua-duanya terpaksa berhati-hati, mengimbangi kemarahan rakyat terhadap pelanggaran hak kemanusiaan oleh Israel yang semakin meningkat di negara masing-masing. Jika menyebelahi kemarahan rakyat, mereka akan kehilangan sokongan daripada oligarki yang menguasai proses politik di negara masing-masing, dan antaranya saling berkait antara dua negara.

Apa yang dapat kita lihat daripada dua keputusan itu (ICJ dan ICC), selain membesarkan proses keterbelahan sokongan dan pemusnahan statusquo negara-negara yang pernah mendokong Israel, ialah keberanian Afrika Selatan mempengaruhi arus pemikiran masyarakat antarabangsa terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

Afrika Selatan merupakan sebuah negara yang menjadi ahli dua badan mahkamah tersebut setelah menandatangani Statut Rom pada 17 Julai 1998 dan meratifikasikan undang-undang domestik pada 27 November 2000. Mulai 1 Julai 2002, negara Afrika Selatan disahkan sebagai ahli Statut Rom.

Ini bermakna, Amerika Syarikat dan Britain tidak boleh mengawal keputusan dan ketetapan yang akan dibuat dalam timbangtara dua mahkamah antarabangsa tersebut walaupun mempunyai kuasa veto. Amerika Syarikat dan Britain hanya boleh memveto sebarang keputusan yang dibuat dalam Majlis Keselamatan PBB.

Itulah sebabnya ketika di awal konflik, Amerika Syarikat telah cuba memvetokan keputusan menerima Palestin sebagai anggota penuh PBB walaupun mendapat sokongan majoriti.

Namun, dalam pengundian kedua, keanggotaan penuh Palestin telah mendapat sokongan 143 buah negara. Pada 28 Mei lalu, tiga buah negara lagi – Sepanyol, Norway dan Ireland – telah memuktamadkan sokongannya ke atas Palestin, tetapi dengan syarat, semua ketetapan perlulah menghormati keputusan PBB yang dibuat pada tahun 1967.

Ini bermakna, PBB perlu menyediakan pelan peralihan yang lengkap, menurut pembahagian wilayah antara Palestin dan Israel berdasarkan keputusan yang dicapai selepas Perang Enam Hari (1967).

Sekiranya ini berlaku, dan dilaksanakan, Israel wajib mengembalikan kesemua wilayah-wilayah yang dirampas, dijarah baik semasa menyerang Semenanjung Sinai dan menjadikan Gaza sebagai penjara terbesar, dan selepasnya. Tindakan untuk menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara Israel perlu dibatalkan kerana Jerusalem Timur telah ditetapkan sebagai wilayah milik Palestin.

Begitu juga dengan beberapa kawasan di Tebing Barat yang dijarah oleh Israel. Ini bermakna, Israel hanya dibenarkan memiliki wilayah yang ditetapkan pada tahun 1967 dan wilayah-wilayah yang dirampasnya atas apa pun alasan, wajib dikembalikan kepada Palestin.

Selain persoalan wilayah, PBB perlu mengatur rancangan untuk membolehkan kesemua pelarian Palestin yang berada di beberapa buah negara berhak untuk kembali ke Palestin dengan aman dan selamat.

Selain itu, PBB perlu melaksanakan tindakan pemulihan yang cukup ketat kerana kepulangan pelarian ke negara asal mereka sangat memerlukan proses penyesuaian semula setelah sekian lama berada di negara asing dan hidup dalam kurungan di kem-kem pelarian.

Bantuan-bantuan pembinaan semula Palestin sangat diperlukan, maka PBB harus mengawasi Israel agar tidak melakukan pelbagai halangan dan sabotaj, termasuk dalam bekalan elektrik, air bersih dan kemudahan kesihatan. Israel tidak lagi bertindak sebagai pengawal dan pendominasi, kerana semua enklaf dan bantutsan perlu diruntuhkan.

Persoalannya, bilakah misi tersebut akan tercapai? Apakah dengan berakhirnya konflik Gaza-Israel kali ini semuanya akan berakhir? Ia merupakan suatu jawapan yang sukar, walaupun tanda-tanda kemenangan bagi kemerdekaan Palestin daripada penjajahan Israel sudah ada dan jelas kelihatan.

Pertama, adanya kekalutan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Israel sendiri, Knesset Israel semakin terbelah selepas Menteri Keselamatan, Gideon Saar meletakkan jawatan pada 18 Mac 2024.

Gideon Saar merupakan seorang menteri veteran dalam kabinet perpaduan Neetanyahu dipinggirkan setelah tidak berada dalam kabinet perang yang merancang pengeboman terhadap Gaza pada 7 Oktober 2023.

Permohonannya untuk menyertai kabinet perang tidak diendahkan oleh Neetanyahu, dan Saar menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘pelan jahat’. Saar pernah menjadi pesaing kepada Parti Likud pimpinan Neetanyahu sebelum menyertai blok yang diketuai oleh bekas Menteri Pertahanan, Benny Gantz untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Namun, pemerhati politik antarabangsa tidak menjangkakan penarikan diri Saar memberikan tekanan besar kepada Neetanyahu, kerana Parti Likud masih mempunyai 64 daripada 120 kerusi di Knesset.

Seorang lagi menteri dalam kabinet Neetanyahu (Menteri Kewangan) mengugut akan keluar daripada kerajaan sekiranya gencatan senjata di Gaza dilaksanakan sebelum Hamas dapat dihapuskan sepenuhnya.

Kedua, dalam kalangan anggota tentera telah muncul pertanyaan-pertanyaan apa sebenarnya tujuan mereka berperang di Gaza untuk kali ini. Setakat ini, belum ada penjelasan yang dapat menyakinkan keseluruhan pemimpin tentera Israel, bahkan ada dalam kalangan mereka mula menyoal sesama sendiri. Walaupun setakat ini ia dapat dibendung, ia akan menjadi lebih besar jika peperangan ini terus berlangsung dalam jangka masa panjang.

Setelah memasuki lapan bulan menyerang Gaza, Israel gagal untuk menghapuskan Hamas, sebagaimana menjadi tujuan asalnya. Israel yang berhasrat tidak akan berhenti selagi Hamas tidak dapat dilumpuhkan sepenuhnya, terpaksa menghabiskan perbelanjaan perang yang sangat besar, melebihi apa yang pernah dibelanjakan dalam perang-perang sebelumnya.

Ini bermakna, bagi menampung keperluan membiayai peperangan, Israel dijangka akan menaikkan pelbagai cukai, yang tentunya akan menyebabkan rakyatnya keluar memberontak, dan seterusnya memaksa Neetanyahu meletakkan jawatan.

Neetanyahu masih belum bebas daripada dakwaan salah laku dan rasuah yang dihadapinya. Ini akan menjadikan beliau semakin tertekan dan ditekan oleh rakyatnya sendiri, yang boleh menyebabkan kabinet perpaduan runtuh.

Ketiga, akibat serangan ke atas Gaza tanpa henti, Israel kehilangan sekutunya. Kehilangan itu menyebabkan hubungan diplomatik, perdagangan dan sebagainya akan menjadikan Israel berhadapan dengan krisis ekonomi dalam jangka waktu yang panjang.

Krisis ini akan menyebabkan Israel kehilangan pendapatan, dan seterusnya menjadi pengemis seperti mana pernah dilakukan pada peringkat awal penubuhan negara haram Israel.

Namun kali ini, yang menjadi halangan terbesar ialah sokongan politik daripada kebanyakan negara, kerana Israel semakin dibenci. Ini mengingatkan kita kepada bagaimana Adolf Hitler yang dikecam oleh sebahagian besar masyarakat barat selepas peristiwa holocaust berjaya dieksploitasikan oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO), yang berjaya meraih simpati sehingga tertubuhnya negara haram Israel.

Israel akan dikecam sehingga puluhan tahun sebagai pelaku genosid yang lebih kejam daripada apa yang pernah dilakukan oleh Parti Nazi. Ini kerana, cara penyiksaan yang dilakukan oleh tentera Israel melebihi kekejaman yang dilakukan oleh tentera Nazi di Poland, Hungari dan Austria sepanjang perlakuan itu sebelum ditamatkan oleh Rusia pada tahun 1945.

Keempat, kali ini, Rusia bukan lagi merupakan penyelamat bagi orang-orang Yahudi. Rusia mempunyai hubungan yang akrab dengan Iran. Ini bermakna, jika berlaku peperangan yang lebih besar, Israel terus memprovokasi Iran untuk terbabit dengan perang, Rusia akan membantu Iran. Bahkan, dalam beberapa kenyataan pemimpin Rusia, Putin sanggup memudahkan bantuan senjata canggih kepada Iran jika negara itu terus diserang oleh Israel.

Ini bermakna, Iran akan mendapat bantuan senjata canggih dengan lebih mudah, tanpa perlukan perundingan lebih awal untuk membeli atau memilikinya. Sebahagian daripada senjata canggih itu telah diuji oleh tentera Rusia dalam peperangan dengan Ukrain sejak bulan Februari 2022.

Kelima, Amerika Syarikat nampaknya tidak lagi menggertak Rusia dan menggunakan NATO untuk membantu Ukrain. Ukrain seolah-olah sedang mengemis masyarakat antarabangsa untuk membantunya melawan Rusia. Hal yang sama sedang berlaku di Israel, walaupun Amerika Syarikat dan sekutunya masih berhati-hati sama ada bakal meneruskan bantuan senjata dan ketenteraan kepada Israel.

Ini kerana Amerika Syarikat dan sekutunya akan terjerat dalam lingkaran ekonomi yang ganas, termasuk berhadapan dengan inflasi yang tinggi. Sebabnya, sistem perdagangan dunia akan terganggu, ekoran sekatan dan halangan yang dilakukan oleh kumpulan Houthi yang disifatkan sebagai pengganas. Arab Saudi tidak lagi sanggup berperang dengan Houthi sebagaimana sebelumnya, kerana Houthi disokong oleh Iran.

Iran dan Arab Saudi sudah menjalinkan semula hubungan diplomatik. Dalam hubungan yang lain, Arab Saudi mula menjarakkan diri dengan negara-negara barat. Kini menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan China. Bahkan, Arab Saudi sedang memikirkan untuk mengesahkan kedudukannya dalam BRICS. Jika secara jelas Arab Saudi menyertai BRICS, pengaruh Amerika Syarikat dan sekutunya semakin mengecil di Arab Saudi.

Perspektif ini akan dikaitkan dengan sikap dan pendirian Amerika Syarikat terhadap Palestin. Perspektif ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada pengekalan pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah, akibat kesilapan Amerika Syarikat sendiri yang tidak pernah ikhlas dan jujur merangkakan pelan damai.

Amerika Syarikat sudah meminta China untuk mengambil bahagian dalam menyelesaikan konflik di Timur Tengah. Ini menunjukkan Amerika Syarikat juga semakin kurang percaya dengan Israel setelah memberikan pelbagai sokongan, masih berdegil dan keras kepala.

Imejnya sebagai negara besar dan polis dunia semakin dikecam sinis, dan China nampaknya semakin diterima dalam kalangan negara-negara membangun dan negara miskin yang dibuli oleh kuasa barat.

Kesemua faktor geopolitik yang muncul – kekuatan China, kemaraan Rusia dan masalah ekonomi Amerika Syarikat – memberikan kesan dan pengajaran kepada negara-negara membangun. Kebanyakan negara-negara membangun melihat semula perspektif sejarah dan percaturan politik antarabangsa. Negara-negara itu semakin membina harapan untuk membentuk sistem check and balance yang baharu, tidak lagi melihat Amerika Syarikat sebagai keutamaan, lebih mahukan dunia menjadi sistem multipolar.

Keenam, akibat kegelojohan Amerika Syarikat dalam dasar luar negara, sama ada dwistandard terhadap Israel dan negara-negara lain, menjadikan China lebih kuat dan berpengaruh dari segi ekonomi.

Pengaruh ekonomi inilah menyebabkan Amerika Syarikat melanggar prinsip ekonomi bebas, dengan menjadikan produk daripada China sebagai ‘punching bag’, sedangkan China mampu bersaing secara saksama dengan produk-produk keluaran Barat.

Dalam persaingan itu, produk China dikenakan pelbagai sekatan – cukai, tariff, duti dan alasan keselamatan – menyebabkan produk keluaran Amerika Syarikat semakin hilang pasarannya.

Kehilangan itu menjadikan Amerika Syarikat bimbang kuasa hegemoninya akan berakhir, dan China akan merampasnya. Diramalkan, dalam tempoh lima puluh tahun lagi, ianya akan menjadi kenyataan.

Di atas kebimbangan itulah Amerika Syarikat terpaksa memikirkan semula sokongannya ke atas Palestin, walaupun sekarang sebagai satu bentuk hipokrasi, ia pasti akan berubah apabila benar-benar terdesak. Ini kerana keupayaan sebenar Amerika Syarikat sangat bergantung kepada hubungan dagangannya dan sumbangan pekerja imigran yang ada di dalam negaranya.

Itulah yang dibimbangkan kerana lebih tiga perempat firma teknologi yang berada di Lembah Silikon pekerjanya adalah warganegara asing, atau keturunan bukan asal Amerika Syarikat.

Begitu juga dengan kedudukan beberapa orang eksekutif asing dalam beberapa syarikat terkemuka Amerika Syarikat, yang mungkin suatu hari akan beralih ke negara asal sebagaimana pernah berlaku ketika Taiwan berjaya membawa balik kepakaran rakyatnya.

Tentunya, ada pelbagai faktor peralihan pakar itu berlaku. Namun, sedikit sebanyak sangat dipengaruhi oleh proses politik dan iklim politik semasa. Amerika Syarikat kini turut dipengaruhi oleh gelombang Free Palestin, dan ia akan menyebabkan tindakan itu mempengaruhi para pekerja.

Hal ini sudah pun berlaku di syarikat Google, di mana para pekerjanya menyelar keputusan Google berhubung dengan kontraknya dengan Israel.

Itulah juga yang berjaya memaksakan beberapa syarikat milik keturunan Yahudi menanggung kerugian yang besar akibat meletusnya kemarahan awam apabila menyediakan makanan dan membantu Israel. Gerakan BDS – boycott, deinvestmen and sanction – semakin meluas dan berjaya. Beberapa syarikat pemilik francais dilaporkan mengalami kerugian yang besar akibat menyokong Israel.

Antaranya, McDonald, Starbucks dan ada di antaranya sedang memfailkan notis kebangkrapan. Badan-badan pelaburan dan sistem perbankan juga ada yang telah runtuh setelah masyarakat antarabangsa memahami sistem kapitalisme liberal yang merasuah dan menekan negara-negara tertentu.

Secara langsungnya, keenam, kuasa dolar walaupun masih berpengaruh, sedang berhadapan dengan cabaran yang cukup besar sehingga dijangkakan akan menjadi seperti ‘tisu tandas’ kerana semakin banyak negara akan menyisihkannya. Biarpun pada peringkat awal cabaran itu berlaku, kesungguhan banyak negara menyahkan dolar akan menyebabkan Amerika Syarikat terpaksa memikirkan semula polisinya terhadap Israel.

Israel telah dianggap sebagai punca sebenar berlakunya suasana kehidupan yang tidak harmoni, atas sikap tamak, haloba dan sewenang-wenangnya membuat tuduhan antisemitik, jika ianya dikritik.

Jika sebelumnya, Israel meraih keuntungan daripada ‘holocaust industry’ kini, Israel menggunakan antisemitik sebagai slogannya untuk memulihkan moralnya yang telah hancur. Namun, pembohongan Israel tidak lagi dapat dibendung, antisemitik tidak lagi menjadi sesuatu yang nyata dan benar maksudnya.

Antisemitik hanyalah sekadar label bagi menafikan sikap dan tindakan Israel yang kejam, melanggar undang-undang dan nilai kemanusiaan.

Konsep kebebasan dan hak asasi manusia yang menjadi slogan masyarakat antarabangsa, dan diyakini sebagai prinsip terbaik mengekalkan keamanan sejagat turut disindir sinis apabila Amerika Syarikat menyokong dan mempertahankan tindakan Israel yang jelas melanggarinya. Kebebasan dan hak asasi juga bermakna tersangat condong kepada faham perkauman, kerana Israel terus mengekalkan keinginannya tanpa mempedulikan kebebasan dan hak asasi orang lain.

Misalnya, istilah ‘mempertahankan diri’ yang dikatakan hak yang dipertahankan oleh Israel apabila menyerang Hamas dan juga rakyat Palestin. Istilah itu sudah berkembang menjadi sebuah konsep yang bersifat penjajahan, yang kini dikenali sebagai settler colonialism, yang dipraktikan oleh keturunan kulit putih di Amerika Syarikat, Australia, Afrika Selatan dan New Zealand.

Konsep itu sudah ditolak oleh masyarakat antarabangsa selepas berakhirnya Perang Dunia II. Namun, konsep itu menjadi semakin ganas dan kejam setelah terbentuknya negara haram Israel, dan hingga kini, belum ada kesudahannya jahatnya Zionis menindas, menjarah dan membohongi masyarakat antarabangsa ‘matlamat menghalalkan cara’.

Sebahagian dosa Israel itu menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutunya menanggung bagasi yang tersangat berat, yang tentunya tidak mudah untuk dilepaskan sebagai liabiliti bagi setiap para pemimpinnya.

Amerika Syarikat juga berdosa ke atas Afrika Selatan kerana menyokong apartheid. Dan, dalam masa yang sama, Amerika Syarikat terpaksa menanggung malu kerana apartheid itu berjaya ditamatkan oleh Cuba, sebagaimana Rusia menamatkan holocaust. Ini bermakna, walaupun Amerika Syarikat merupakan negara besar dan adidaya.

Amerika Syarikat sebenarnya merupakan sebuah negara yang gagal berperanan sebagai ‘polis dunia’. Bahkan pernah dituduh sebagai ‘negara mafia, mafia state’ berdasarkan pembabitannya dalam hampir kesemua perang yang berlaku di era moden.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »