1. Kisah mengenai pinangan Nabi Muhammad S.A.W kepada Ummu Hani’ R.A yang diriwayatkan  oleh Muhammad  bin  Al-Sa`ib disebut  dalam  beberapa  kitab-kitab sejarah seperti al-Tobaqat al-Kubra oleh Muhammad bin Sa’ad (Ibn Sa’ad, Jilid 8, Ms., 120,  Beirut:  Dar  al-Kutub  al-`Ilmiyah),  Tarikh  al-Tabari  oleh  al-Imam  Abu  Jaafar al-Tabari (1967, Jilid 11, Ms. 619, Kaherah: Dar al-Ma`arif), Tarikh Madinah Dimasyq (Ibnu Asakir, Ali bin Hasan, 1995, Jilid 3, 243, Beirut: Dar al-Fikr), al-Isobah oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani (jld. 8, ms. 317), dan juga Subul al-Huda wa al-Rashad fi  Sirah Khair  al-‘Ibad  oleh  Muhammad  bin Soleh al-Solihi  (1993, Jilid  11, Ms.  236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah).
  1. Para ulama juga berpendapat harus mengambil pendapat yang lemah selagi mana ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Jilid 5,  Ms.  59,  Kaherah:  Idarah  al-Tiba’ah  al-Muniriyah)  juga  Imam  al-Baihaqi  dalam Shuʼab  al-Imam  (Ahmad  bin Husain al-Baihaqi, 2000, Jilid.  2, Ms,  372, Beirut:  Dar al-Kutub  al-‘Ilmiyah)  juga  ramai  lagi  seperti  Ibnu   ‘Abd  al-Barr  dalam  Madkhal al-Dalail, Imam al-Baqa’iy dalam al-Nukat al-Wafiyyah dan lainnya.
  1. Periwayatan kisah dan sirah Nabi dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah satu perkara baharu dan menjadi satu isu perlu diperbesarkan. Hal ini telah termaktub dalam diskusi, kitab serta artikel-artikel ilmiah yang boleh diakses dengan mudah seperti artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/5422-bayan-linnas-siri-ke-258-bagaimanakah-ulama-berinteraksi-dengan-riwayat-riwayat-sirah
  1. Bahkan Syaikh    Saeed   al-Kamali      dari         Maghribi       menegaskan      bahawa periwayatan sirah Nabi S.A.W tidaklah seketat hadis dari kitab-kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi, gambaran sejarah dan tidak digunakan untuk penetapan hukum hakam halal dan haram. Oleh itu tidak menjadi kesalahan untuk meriwayatkan hadis yang lemah sekalipun dalam konteks sirah ini, lebih-lebih lagi Ustaz Don Daniyal hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukan beliau.
  1. Kisah yang diriwayatkan menerusi perawi Muhammad bin Al-Saib al-Kalbi mengenai pinangan Rasulullah S.A.W kepada Ummu Hani’      itu  tidak  dikritik  secara khusus dengan menafikan ia tidak berlaku sama sekali atau menjadikannya bertentangan dengan kisah yang lebih sahih sebaliknya kritikan kepada perawi tersebut berlaku secara umum
  1. Pendekatan penilaian sesuatu sumber dalam periwayatan sirah dan kisah adalah sesuatu yang perlu dibezakan dengan menilai sumber bagi sesuatu perkara yang berkaitan dengan akidah dan hukum
  1. Kisah ini juga tidak merendahkan kedudukan Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang nabi dan utusan Allah yang mulia, apatah lagi ia juga berlaku sebelum kenabian Baginda.
  1. Ustaz Don Daniyal tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarat-syarat tauliah seperti melanggar prinsip-prinsip utama dalam Ahli Sunnah wal Jamaah, memberi pandangan yang bertentangan dengan fatwa setempat dan menyentuh isu sensitif seperti 3R. Setakat kenyataan ini dikeluarkan, Ustaz Don Daniyal masih memegang tauliah di beberapa buah negeri seperti Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor dan lain-lain.
  1. Masyarakat awam dinasihatkan tidak mudah untuk mengulas dan membawa pelbagai spekulasi mengenai perkara ini sehingga menimbulkan kritikan yang tidak ilmiah serta dilihat kurang beradab di dalam perkara-perkara keilmuan seperti ini.
  1. Melihat kepada masa peminangan pertama itu berlaku, tidak terlampau jauh, sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah S.A.W untuk diambil menjadi isteri. Namun ungkapan ‘first love’ yang disebut oleh beliau dirasakan kurang sesuai, lantas memberi gambaran tidak enak atau tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya.
  1. Para asatizah dan pendakwah perlu bersikap lebih berhati-hati dalam tutur kata serta memilih istilah yang tepat dan sesuai, supaya apa yang dilafaz tidak mudah disalahertikan oleh orang yang mendengar.
  1. Pun begitu, jika ianya sekadar ketidaktepatan pemilihan perkataan yang tidak membawa kepada kerosakan iman, maka tidak perlu sehingga membawa kepada cercaan, cacian, makian, hinaan serta tuduhan-tuduhan liar seperti penglipur lara Apatah lagi sehingga digam dari meneruskan khidmat menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat.
  1. Tanpa menafikan   andaian   wujudnya  kesilapan   isu   cabang  ‘ijtihadi’ dalam penyampaian kalangan pendakwah agamawan, ianya amat tidak wajar dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh kalangan mereka yang berkepentingan untuk melakukan    (pembunuhan watak) dan melumpuhkan karier dakwah pendakwah agamawan tertentu. Isu ini sewajarnya ditangani melalui mekanisme konstruktif secara lebih berhemah dalam kalangan agamawan dan pihak berautoriti agama, bukan melalui platform media sosial yang mendedahkan kritikan terbuka oleh masyarakat awam sehingga ke tahap mencaci tanpa adab yang dilihat selari dengan agenda pasca modenisme.
  1. Mana-mana pihak tidak sepatutnya tunduk pada desakan netizen lebih-lebih lagi yang menggunakan akaun palsu bagi menjadikannya satu isu yang kontroversi, termasuk juga desakan dari mana-mana pihak yang bukan autoriti agama dengan kepentingan tertentu.

Terima kasih.

MAJLIS AKADEMIK ISLAMI

10 Jun 2024, bersamaan 3 Zulhijjah 1445H

Turut bersama,

  1. Dr. Mohd Khafidz bin Soroni
  2. Dr. Muhammad Ayman al-Akiti
  3. Dr. Mohd Shahid bin Mohd Noh
  4. Dr. Engku Ibrahim al-Aydarus
  5. Dr. Azmil bin Zainal Abidin
  6. Dr. Wan Haslan bin Khairuddin
  7. Dr. Mohd Anuar bin Mamat
  8. Dr. Asharaf bin Mohd Ramli
  9. Dr. Muhammad Adib bin Samsudin
  10. Dr. Ahmad Fakhrurrazi bin Mohammed Zabidi
  11. Dr. Ahmad Arif bin Zulkefli
  12. Dr. Mahyudin bin Daud
  13. Dr. Muslim Mustapa
  14. Dr. Abdul Manam Mohamad al-Merbawi
  15. Dr. Mohd Murshidi Bin Mohd Noor
  16. Dr. Ahmad Hilmy Abdul Rahim
  17. Dr. Mohd Hasrul Shuhari
  18. Dr. Mohd Manawi Mohd Akib
  19. Ustaz Hamid bin Mat Isa
  20. Ustaz Engku Ahmad Fadzil
  21. Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre
  22. Ustaz Aizuddin Hakim bin Mohd Yusof
  23. Ustaz Hafiz Al-Za’farani
Translate »