Dakwah dalam terminologi sejarah Islam adalah gerakan yang tertua, sejak Nabi Adam AS diciptakan dan menerima amanah Ilahi menjadi Khalifah fil Ardhi. Saat ini menjadi titik permulaan gerakan dakwah, dan ditujukan kepada bani Adam.

Misi gerakan dakwah merupakan misi utama para nabi dan rasul. Dakwah Islamiyah merupakan suatu usaha untuk membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada di dalam satu acuan yang ditentukan oleh Allah SWT. Untuk mencapai matlamat tersebut banyak halangan yang terpaksa dihadapi oleh dakwah, yang datang dari berbagai-bagai pihak.

Maka untuk mengelakkan kekeliruan antara para pendakwah dan juga golongan awam, perlu adanya pengetahuan dan wawasan tentang tujuan, semangat dan “esensi Deen” ajaran Islam. Abu Ishaq al-Syatibi memperkatakan dalam bukunya Al-I’tisam: Kurangnya pengetahuan agama dan kesombongan adalah akar-akar bid’ah serta perpecahan umat dan akhirnya membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Sikap ini harus dibendung kerana bagaimana mungkin kita mengajak orang lain untuk mengikuti idea-idea Islam seperti “tasaamuh” atau toleransi, “I’tidal” iaitu lurus dan “adl” atau keadilan, jika kita sendiri gagal memperlihatkan nilai-nilai tersebut dalam hubungan sesama kita.

Berasaskan perspektif ini, sudah sewajarnya segala bentuk perbincangan sama ada digelar dengan halaqah, debat, mujadalah, muzakarah dan sebagainya, ia perlu dalam kerangka mengelakkan perpecahan.

Umum mengetahui bahawa tokoh pendakwah seperti Ustaz Don Daniyal ini masih muda dan mempunyai ramai peminatnya. Dengan bekal ilmu dan pengetahuan luas yang beliau miliki, potensi untuk dirinya menjadi tokoh Islam yang berpengaruh di masa hadapan cukup besar.

Justeru, beliau perlu berpendirian yang merentasi ideologi tertentu dan keluar dari kepompong fahaman yang selama ini membelenggu diri sendiri kepada penggolongan dalam masyarakat Islam. Sebagai seseorang yang diberi amanah ilmu dan pengetahuan agama yang memadai oleh Allah SWT, jangan sampai terlajak kepada sikap ‘kamu tak tahu ke siapa saya’.

Bahkan setiap pendakwah yang mempunyai pengaruh atau peminat, perlu menanggalkan ego dan unsur Ananiyah dalam diri mereka sekiranya mereka ingin diterima oleh semua kalangan Islam di negara ini. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 18 telah menjelaskan perkara ini;

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman: 18)

Dalam isu menceritakan kisah-kisah sama ada dari hadis yang berstatus lemah, atau dari kitab Isra’iliyat, hendaklah dipastikan terlebih dahulu fakta yang ingin disampaikan itu berpunca daripada sumber yang betul dan diyakini benar. Hal ini supaya tidak berlaku kepincangan dalam kalangan masyarakat serta apa yang dipegang oleh masyarakat itu merupakan suatu perkara yang diyakini. Ingatlah bahawa perbuatan menyebarkan apa sahaja yang kita baca dan dengar tanpa memastikan kesahihannya boleh dikira sebagai seorang pendusta. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Cukuplah seseorang itu dikira menipu apabila dia menyampaikan semua perkara yang dia dengar (tanpa tahu kesahihan berita tersebut).” – (HR Muslim)

Justeru adalah wajar agar orang awam tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti dan tiada asalnya. Apabila suatu hadits disandarkan pada nama Nabi Muhammad SAW, ia bukanlah isu yang kecil malah mencerminkan metodologi pembelajaran agama Islam.

Isu ini juga membuka ruang kepada kritikan dan tuduhan melampau secara terbuka, bukan hanya kepada Ustaz Don Daniyal, malah kepada para pendakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang lain. Kritikan ini dipelopori oleh beberapa individu yang melebih-lebih dalam teguran, dan kemudiannya disokong oleh pendukung fahaman mereka.

Memetik kesimpulan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Dr Luqman Abdullah;

“Menyatakan first love Nabi SAW iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihati agar berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berkait dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Hal yang demikian supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendustakan Baginda SAW.”

Sebagai langkah proaktif juga, menteri agama Dato Dr Naim Mokhtar, telah mengarahkan JAKIM memanggil Ustaz Don Daniyal, bagi mendapatkan perincian berhubung isu ini. Beliau menasihati semua agamawan supaya berhati-hati dalam menyampaikan ceramah, termasuk menyemak hadis bagi memastikan kesahihan.

Di samping itu, Dato Dr Naim mengingatkan bahawa umat Islam perlu ada sifat tawadhu’ dan rendah diri untuk menerima nasihat, dan mengaku jika tersilap, tidak kira sebesar mana kesilapan dilakukan.

Isu penggunaan hadis yang tidak ada sumbernya merupakan isu yang besar, sampai para ulama’ pernah berkata ancaman dosa kepada sesiapa yang menyebarkan hadis dalam keadaan dia tidak tahu statusnya. Di harap isu ini jadi peringatan kepada semua para pendakwah dan juga orang awam dalam menyampaikan sesuatu tentang Nabi Muhammad SAW. Jangan kerana kita mengejar amalan baik, tetapi terjebak dalam perkara yang tidak betul.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »