Intifada kedua muncul pada bulan September 2000 dan tamat pada bulan Februari 2005. Intifada kedua dikenali sebagai Intifada al-Aqsa, dan Intifada ketiga dikatakan bermula selepas berlakunya konflik Israel – Gaza setelah Israel dan Amerika Syarikat bersepakat untuk menghancurkan Hamas. Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin 25 Januari 2006 tidak diiktiraf dan dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai ‘demokrasi yang silap’ manakala Israel, kemenangan Hamas sebagai ‘pilihan yang salah’.
Hamas menguasai 44.45 peratus manakala Fatah sekadar 41.43 peratus undi. Bagi mengetuai Majlis Perundangan Palestin (PLC) ia memerlukan 67 daripada 132 kerusi yang dipertandingkan. Hamas memenangi 74 manakala Fatah sekadar 45 kerusi. Selebihnya dikuasai oleh pelbagai parti: PFLP (3), Alternatif (2), Bebas Palestin (2), Tiga Hala (2) dan Ahli Politik Bebas (4). Pertemuan pertama PLC pada 18 Februari 2006 dan sebelumnya, 26 Januari 2006, Perdana Menteri, Ahmed Qurei mengumumkan peletakan jawatan.
Dua hari kemudian (20 Februari 2006), Ismail Haniyeh dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan mengangkat sumpah pada 29 Mac 2006. Ia berlangsung sehingga 2 Jun 2014. Ismail juga merupakan Ketua Biro Politik Hamas (mulai 6 Mei 2017).
Oleh kerana tumpuannya di Gaza, Ismail dikatakan telah merampasnya daripada Fatah (14 Jun 2007) dan dipecat oleh Mahmud Abbas. Namun, Mahmud Abas tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan kabinet Ismail Haniyeh dan mendakwa apa yang dilakukan ke atasnya sebagai ‘tidak berperlembagaan’.
Pada 15 Februari 2007, Ismail meletak jawatan untuk membentuk kerajaan perpaduan, setelah Hamas dan Fatah bersedia bekerjasama. Ismail sekali lagi dilantik sebagai Perdana Menteri pada 18 Mac 2007. Perkembangan ini menyebabkan Israel dan Amerika Syarikat resah dan bimbang, kekuatan semangat untuk melahirkan sebuah negara Palestin yang merdeka, menjatuhkan rejim haram Israel , kedua-duanya dilihat kembali bangkit bersama-sama melawan Israel.
Kebimbangan inilah menjadikan salah satu punca’ketakutan terbesar Israel’ kerana mereka melawan pejuang yang tidak takut mati, kerana apa yang dilakukan itu adalah jihad ‘mempertahankan tanah air daripada pencerobohan’. Persoalan itu semakin difahami oleh masyarakat antarabangsa, dan menyebabkan sejarah kembali diletakkan ke dalam prosesnya yang betul. Propaganda Israel semakin melemah dan kepercayaan masyarakat antarabangsa kian terhakis.
Ini berlaku kerana pada November 2005, Israel dan PA telah menandatangani Perjanjian Pergerakan dan Akses (Agreement on Movement and Access, AMA) yang membenarkan lintasan Rafah dibuka untuk pergerakan penduduk, eksport barangan, pergerakan konvoi bas dan pengurangan halangan di Tebing Barat, pembinaan pelabuhan Gaza dan pembukaan lapangan terbang Gaza yang telah dihancurkan sebelumnya. Israel mengeluarkan kelompok peneroka-penjajah (tentera Israel) daripada Gaza.
Pengunduran ini, menurut Dov Douglas, orang kanan PM Ariel Sharon, tujuan utama perjanjian tersebut ialah “membekukan proses damai” dan “apabila membekukan proses damai, kita dapat mencegah pembentukan negara Palestin” serta “menghalang sebarang bentuk perbincangan mengenai isu pelarian Palestin, sempadan dan Jerusalem’.
Dengan AMA tersebut, seluruh isi kandungannya ‘telah dibuang habis’ daripada agenda kita. Semua ini mendapat keizinan dan kuasa. Semuanya hasil restu Presiden Amerika Syarikat dan ratifikasi oleh kedua-dua dewan Kongress.
Jelas Dov lagi: “Pengunduran ini sifatnya seperti formaldehid [sejenis gam yang digunakan dalam proses pembinaan]…yang menyediakan bergelen-gelen formaldehid yang diperlukan supaya tidak akan ada sebarang proses politik dengan rakyat Palestin.”
Noam Chomsky menyatakan proses ini: “digambarkan sebagai usaha mulia oleh Israel untuk mencapai damai tetapi realitinya berbeza. Israel tidak pernah melepaskan kawasan terhadap Gaza dan diktiraf sebagai kuasa penjajah oleh PBB, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain (tidak termasuk Israel).
“Dalam sejarah lengkap tentang pendudukan Israel di Wilayah Jajahan, sarjana Israel, Idith Zertal dan Akiva Eral memperihalkan hal yang sebenarnya berlaku apabila Israel berundur” wilayah-wilayah musnah ini tidak terlepas “sehari pun daripada genggaman tentera Israel atau daripada harga mahal yang mesti dibayar penduduk setiap hari disebabkan penjajahan.”
Sambung Noam Chomsky lagi: Selepas pengunduran, “Israel meninggalkan tanah yang tandus, perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak lagi boleh berfungsi dan penduduk yang tidak mempunyai masa sekarang atau masa hadapan.
“Kawasan-kawasan petempatan telah dihancurkan oleh tindakan zalim penjajah jahil yang masih berterusan mengawal, membunuh dan mengancam penduduk menggunakan kekuatan ketenteraan yang mengerikan.” (Ilan Pappe dan Nam Chomsky, Perihal Palestin, 2024, hal. 186-187).
Letusan kemarahan dan rasa kesal di atas kemenangan Hamas menyebabkan Amerika Syarikat dan Israel melakukan serangan ke atas Gaza, dan keseluruhan Gaza dikepung sehingga menjadikan seluruh wilayah itu sebagai penjara mega. Juga dilihat serangan-serangan untuk meratakan bumi (moving the lawn) dan menyentak kerak tanah (removing the topsoil) sebagai tindakan ketenteraan yang ‘paling bermoral’ kerana ‘pilihan yang salah’ para pengundi Gaza yang memilih Hamas.
Dalam serangan tersebut. Israel dikesan menggunakan bahan kimia untuk ‘membunuh’ rakyat Gaza. Bahan kimia berwarna putih itu dikenali sebagai posforus. Dalam perang selama 22 hari pada tahun 2008-2009, posforus digunakan untuk menyebabkan penderitaan penduduk Palestin sepanjang hayat, terutama di dalam kawasan yang padat. Ia boleh menyebabkan kecederaan kulit terbakar yang parah hingga boleh meresap ke tulang.
Suhu bahan posforus itu boleh meningkat ke tahap 800 darjah celcius. Bayangkan, dalam keadaan cuaca panas lebih 40 darjah celcius pun kita tidak mampu bertahan, dan boleh menyebabkan diserang strok haba. Ketika ini, disebabkan peningkatan suhu (pemanasan global) akibat perubahan iklim, dilaporkan lebih 60 orang telah meninggal dunia di Thailand tahun ini, sehingga pertengahan Mei 2024. Keadaan menjadi semakin serius di beberapa kawasan di India sehingga dilaporakn suhu harian meningkat hampir 50 darjah celcius.
Pemanasan global, dikatakan berlaku akibat kenaikan suhu paras laut, air laut panas dan tidak dapat lagi diseimbangkan sehingga menyebabkan ketulan ais cair, selain kehilangan pokok-pokok akibat penebangan hutan dan pelepasan karbon dioksida (kenderaan dan rumah hijau).
Namun, perlu diselidiki berapa banyakkah pelepasan karbon dioksida telah berlaku akibat penggunaan senjata canggih untuk membunuh, termasuk apa yang berlaku di Ukraine dalam tempoh dua tahun (Februari 2022 hingga Februari 2024), dan penggunaan bom, peluru berpandu, mortar dan sebagainya oleh Israel dalam peperangan di Gaza yang sudah melangkaui 8 bulan (sejak 7 Oktober 2023).
Menurut data terbaharu (26 Mei 2024), Israel telah membunuh hampir 40,000 penduduk Gaza dan mencederakan lebih 80,000 orang; meruntuhkan rumah-rumah dan memusnahkan khemah pelarian (walaupun khemah-khemah itu dicadangkan oleh Israel, iaitu di selatan Gaza), mengebom hospital dan melakukan pelbagai lagi strategi bumi hangus, atas alasan ‘menghapuskan pejuang Hamas’.
Malangnya, sehingga ke hari ini, pejuang Hamas tidak dapat dihapuskan sebagaimana dikatakan sebelumnya, sebaliknya, Israel membunuh kanak-kanak, wanita dan orang awam. Tanpa pedulikan tekanan masyarakat antarabangsa, resolusi PBB dan desakan-desakan yang diterimanya, Israel kekal dengan pembohongan dan pemalsuan fakta.
Seperti yang kita ketahui, pasukan tentera haram Israel telah membunuh lebuh 300 orang remajanya sendiri yang meraikan Festival Muzik Supernova pada di sebuah kawasan bersempadanan dengan Genting Gaza pada 7 Oktober 2023. Israel menuding jari kepada pejuang Hamas, bagi mengelabui pendapat awam.
Menurut laporan, “Helikopter tempur dari pengkalan Ramat David melepaskan tembakan bertalu-talu tanpa mengenal pasti sasaran.” Dakwa Israel, pejuang Hamas dikatakan telah berjaya menyusup masuk ke lokasi berhampiran kibbutz Re’im dan perkampungan lain dekat sempadan Gaza. Festival tersebut dilaporkan dihadiri oleh 4,400 orang, yang ketika itu Hamas telah mula melancarkan serangan ke atas Israel.
Berdasarkan siasatan (pemetaan sasaran) yang ditemui pada mayat seorang pejuang Hamas, tidak ada bukti menunjukkan lokasi itu menjadi sasaran serangan. Pejuang dilaporkan ‘tidak tahu menahu’ acara tersebut, apatah lagi pesta itu telah ditukarkan pada hari Sabtu (sebelumnya dirancang pada hari Khamis dan Jumaat), perubahan di saat-saat akhir.
Daripada siasatan itu, saksi mengakui bahawa yang menyerang mereka adalah tentera Israel, bukannya pejuang Hamas.
Itu adalah pengakuan daripada remaja Israel yang terpaksa melarikan diri ketika mendengar bedilan daripada helikopter. Setelah disimak semula, didapati seramai 364 terbunuh (termasuk 17 anggota polis) berbanding laporan awal yang mengesahkan hanya 270 orang.
Laporan polis Israel turut memberikan indikasi bahawa yang membunuh remajanya sendiri adalah tentera Israel, bukannya pejuang Hamas, sebagai dilaporkan oleh akhbar Israel, The Haaretz yang dipetik oleh media tempatan berdasarkan berita daripada Agensi. (Harian Metro, 19 November 2023; Utusan Malaysia, 20 November 2023; Sinar Harian, 19 November 2023 dan Kosmo Digital, 19 November 2023).
Festival itu berlangsung ketika masyarakat Yahudi merayakan Sukkot, yang dilaporkan oleh bbc.com (Indonesia): “Waktunya telah tiba ketika seluruh keluarga akan berkumpul kembali,” dan “betapa menyenangkan hal itu.” Beberapa jam kemudian, media sosial dibanjiri ‘orang-orang yang berusaha menemukan anggota keluarga mereka, setelah sekelompok milisi Palestin menyerbu festival tersebut” dan “salah seorang pengunjung, Ortel, mengaku merasa ada sesuatu yang tidak beres ketika terdengar siren saat fajar, yang memperingatkan bakal ada serangan roket.”
Setelah itu, “mereka mematikan listrik dan tiba-tiba entah dari mana mereka (milisi) masuk ke dalam sambil melepaskan tembakan, melepaskan tembakan ke segala arah….Lima puluh teroris tiba dengan mobil van, mengenakan seragam militer….Orang-orang berusaha melarikan diri dari lokasi tersebut…berlari melintasi gurun pasir dan masuk ke mobil mereka untuk kabur- namun sejumlah pengunjung pesta mengatakan ada beberapa jip yang penuh pria bersenjata, yang menembaki mobil-mobil.
“Mereka melepaskan tembakan, dan kami mencapai titik di mana semua menghentikan kenderaan mereka dan mulai berlari…Saya menuju sebuah pohon, di antara semak-semak seperti ini, dan mereka mulai menembak orang-orang.
“Saya melihat banyak orang terluka terlempar ke sana ke mari san saya sembunyi di balik pohon, serta mencuba memahami apa yang terjadi.
Menurut salah seorang pengunjung, Adam Barel : semua orang yang hadir telah mengetahui adanya kemungkinan tembakan roket di area tersebut – namun tembakan membabi-buta itu sangat mengejutkan, “saya keluar dan lari.”
Esther Borochov yang sedang memandu dan kenderaannya telah dilanggar, diarahkan oleh seorang lelaki agar masuk berkata: Dia menurutinya, tetapi lelaki itu ditembak dari jarak dekat.” Akhirnya, Esther mengakui dia “pura-pura mati” sehingga diselamatkan oleh tentera Israel dengan membawa mereka ke semak-semak.
Namun, dalam laporan tersebut tidak dijelaskan secara tepat siapakah yang menyerang pertunjukan Festival Muzik Supernova malam itu. Ini adalah sesuatu yang sangat kita sedar, BBC Indonesia adalah sebuah agensi berita kepunyaan British Broadcasting Corporation, tentunya akan berusaha mencari kambing hitam terutama dalam laporan-laporannya mengenai Israel. (rujuk: https://www.bbc.com/indonesia/dunia-67050686)
Britain merupakan negara yang memainkan peranan penting dalam persetujuan menubuhkan negara haram Israel, yang ditandai dengan Deklarasi Balfour dan kemudian diteruskan dengan Mandat Palestin, yakni negara yang diberikan kuasa (oleh kelompok mereka sendiri, penjajah) menguruskan beberapa wilayah Utsmaniah. Palestin berada dalam pentadbiran penjajah British.
Gambaran buruk oleh bbc.com itu, walaupun versi berita itu diterbitkan di Indonesia tetap menampakkan kewartawannya yang bias dan cukup berprasangka. Ia mewakili pendirian dan orientasi media barat, menimbulkan persepsi kejahatan dan keganasan hanya cenderung kepada budaya (pihak) yang menentang agenda Yahudi Zionis. Tragedi itu digambarkan seperti ‘filem seram/horor’. Akhirnya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengakui telah menembak mati sejumlah pengunjung Festival Muzik Supernova itu. Tembakan tersalah sangka.
Pada andaian IDF, mereka menyangka pengunjung pada malam itu bukanlah remaja dan pemuda Israel, sebaliknya adalah dalam kalangan keturunan Arab-Palestin. Ia merupakan situasi kelam-kabut dan cukup mengelirukan. Pada masa sama, pejuang Hamas melakukan serangan ke atas Tel Aviv dengan menggunakan peluru berpandu dan sebagainya ke arah Israel sehingga menyebabkan settler-colonialism terpaksa bertindak balas.
Tindak balas itu dikatakan sebagai langkah ‘mempertahankan diri’ yang mendapat sokongan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Sayangnya, mereka melihat serangan balas itu dalam acuan sejarah yang terputus dan laporan-laporan akhbar tidak menyoroti dengan cermat apakah puncanya, hanya menyalahkan Hamas kerana memulakannya.
Tragedi itu menunjukkan ketidakcekapan Israel dalam mengatur strategi perang sehingga tidak dapat mengecam dengan jelas ‘musuh sebenar’. Inilah yang tergambar dalam pemikiran masyarakat awam mengenai ‘tentera Israel yang bermoral’ dan dianggap ‘terkuat’ di Timur Tengah. Kecekapannya ialah melakukan tembakan rambang dan akibatnya cukup fatal.
IDF telah gagal menghapuskan pejuang Hamas, dan kegagalan itu dapat dibuktikan melalui tindakan menyerang membuta tuli, menyerang mereka yang tidak berdaya melawan, iaitu kanak-kanak, wanita, pesakit di hospital, sukarelawan dan orang awam. Fokus serangan itulah menyebabkan Israel terus dikecam sebagai pelaku genosid, walaupun pemimpinnya terus bertegas sebagai langkah ‘mempertahankan diri’ dan ‘menjaga keselamatan’.
Serangan balas Israel ke atas Gaza kali ini dilihat sebagai kemuncak yang tidak lagi boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa. Atas sebab itulah Afrika Selatan berusaha keras untuk memfailkannya di peringkat antarabangsa sehingga Israel berusaha sekeras-kerasnya menafikannya sebagai penghujatan ‘palsu’.
Namun, Israel gagal untuk menafikan kekejamannya, kerana Afrika Selatan telah memberikan bukti setebal 84 halaman, yang sukar untuk ditolak oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan pada 10 Mei 2024, Israel diarahkan menghentikan tindakan ganasnya dan membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Seperti mana diketahui, Israel tidak berganjak dan menghormati keputusan badan antarabangsa. Israel terus menyerang kem-kem yang menempatkan penduduk Palestin, walaupun Amerika Syarikat memberikan amaran agar bantuan kemanusiaan dibenarkan melaksanakan tanggungjawabnya di Gaza.
Serangan-serangan ganas tanpa pedulikan kecaman masyarakat antarabangsa itulah menjadikan Israel semakin terpencil dan dipulau oleh negara-negara yang pernah ada hubungan perdagangan dan diplomatik dengannya. Israel yang lahir dengan semangat dan ideologi zionis tetap berdegil, tanpa henti menyerang penduduk Gaza, selagi apa yang dikatakan pejuang Hamas tidak dapat dihapuskan.
Dalam keghairahan itu, Israel terpaksa menanggung malu yang teramat serius. Ia bukan sahaja menyebabkan sekutunya mula memikirkan semula tindakan masing-masing, bahkan keadaan dalam negara sekutunya menjadi semakin ‘kecoh’.
Demonstrasi dan kecaman terhadap dasar membantu Israel semakin meluas sehingga melangkaui sempadan Yahudi, ia dimotivasi oleh nilai-nilai kemanusiaan yang telah dirobek dan dilanggari oleh Israel.
Dalam perkembangan ekonomi sejagat, oleh kerana Amerika Syarikat menjadi pendokong utama “godfather”, kemunculan BRICS dilihat sebagai usaha yang bakal menggugat hegemoni dolar dan kini, negara-negara dalam pakatan tersebut tidak lagi menjadikan dolar sebagai mata wang perdagangan utama.
Dilaporkan transaksi separas USD $ 4 bilion dolar tidak lagi menggunakan dolar dalam pembayaran perdagangan antara India dan Rusia ‘arms deal”. India mengesahkan, 22 buah negara ahli membayar eksportnya dalam matawang tempatan, bukannya dalam nilai dolar. Ini juga akan memberikan ruang kepada Rusia untuk melepaskan sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan disokong oleh Kesatuan Eropah. (rujuk: https://www.watcher.guru/ , 19 Mei 2024).
Ia bermakna, dalam jangka masa panjang, pengaruh dolar tidak lagi dominan dalam perdagangan antarabangsa, bahkan ASEAN turut membuka ruang penggunaan mata wang negara ahli dalam urusan perdagangan masing-masing. BRICS turut mendapat sokongan beberapa buah negara Arab, yang asalnya menjadi rakan kuat Amerika Syarikat, seperti Arab Saudi.
Iran sangat mengalu-alukan pengembirian mata wang dolar, kerana Amerika Syarikat mula tercabar apabila China berjaya merintis semula hubungan diplomatik Iran dan Arab Saudi. Ia akan turut mengubah geopolitik di Timur Tengah, tidak lagi membawa kepada pengekalan sistem ‘single polar’, semakin menjurus kepada ‘multipolar’, di mana China dan Rusia semakin berpengaruh.
Dalam satu laporan, BRICS sedang menimbangkan permohonan lebih 74 buah negara untuk menyertainya. Ertinya, semakin banyak negara mula mengambil tindakan untuk menjarakkan diri dengan hegemoni Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Atas sebab itulah Amerika Syarikat, yang mengenakan sekatan ke atas Rusia mula meminta agar negara Rusia berusaha membantu memulihkan geopolitik Timur Tengah, agar kembali merujuk kepada dasar Washington. Biarpun Rusia turut disekat (setelah menyerang Ukraine) oleh Kesatuan Eropah, China mendapat manfaat yang besar kerana dapat membeli minyak dan gas dengan harga yang lebih murah daripada Rusia. China juga menjadi pembeli utama minyak dan gas daripada Iran.
Hal inilah sebenarnya sangat membimbangkan Amerika Syarikat dan turut menjadi tekanan kepada Kesatuan Eropah. Jerman pernah penasaran dengan sekatan tersebut dan terpaksa mencari alternatif, bahkan terpaksa berbelanja lebih untuk keperluan bekalan sumber tenaga, untuk kegunaan domestik dan industri. Israel masih bernasib baik kerana masih peroleh bekalan minyak dan gas daripada Azerbaijan.
Namun, dengan nada sinis Presiden Azerbaijan, Iham Aliyev ketika berucap di Forum Dunia ke-6 mengenai Dialog Antara Budaya di Baku, Azerbaijan mahukan setiap negara dan rakyatnya dilayan dengan secara bermaruah dan hormat bagi memastikan keamaan dan keselamatan. Dengan mengambil pengalaman Azerbaijan menangani pertembungan etnik dan kepelbagaian budaya, Iham Aliyev berkata: Perjuangan Azerbaijan menentang neokolonialisme oleh negara-negara Eropah yang besar seperti Perancis, sebagai perjuangan untuk keadilan.
Katanya lagi, menggelar neokolonialisme sebagai ‘menjijikkan’, ia adalah hipokrit dan mesti dihentikan. Perang kadangkala perlu untuk membawa keamanan, dan Azerbaijan perlu perlu mempertahankan integriti wilayahnya dan memerangi gerakan pemisah dalam konflik Nagorno-Karabah, yang akan berakhir pada 1 Januari lalu, iaitu dengan terbubarnya kumpulan pemisah Artsak. (Sinar Harian, 2 Mei 2024).
Ertinya, Azerbaijan perlukan wang, sebagaimana Iran juga memerlukan wang untuk menguruskan negara masing-masing. Oleh kerana minyak dan gas merupakan hasil utama, maka ia akan terus menjual kepada sesiapa pun pembelinya, termasuklah menjadi pembekal utama untuk Israel.
Iran juga berbuat demikian, setelah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat dan Eropah, Iran menjual minyak dan gas kepada Rusia. Rusia turut membantu Iran untuk membina kepakaran dalam pembangunan tenaga nuklear, yang kemudiannya menjadi asas sekatan yang lebih besar semasa pentadbiran Obama.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments