Tidak ada sesuatu yang lebih menarik dan dibanggakan oleh orang Islam daripada gugur semasa berperang di jalan Allah, iaitu semasa berjihad. Mereka yang gugur adalah syahid dan mereka ini dijanjikan oleh Allah s.w.t tempat di syurga. Kesanggupan berjihad dijalan Allah dipandang mulia dan ramai orang Islam yang sedia berjihad dan menjadi syahid kerananya.

Janji syurga kepada orang yang mati syahid kerana berjihad di jalan Allah disebut dalam surah at-Taubah ayat 88 seperti berikut:

Yang bermaksud:

Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga Berjaya.

Dan dalam surah Ali-Imran ayat 195:

Yang bermaksud:

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan  agamaKu, dan yang berperanan (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh(gugur Syahid dalam perang Salib)  sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungghnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).

Sama ada gugur atau tidak, berjihad dijalan Allah memang akan dibalas dengan syurga di akhirat Rasulullah sendiri tidak gugur semasa berperang untuk menegakkan agama Islam tetapi Baginda adalah antara orang yang dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.  Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak gugur di medan perang tidak bermakna Nabi tidak berhijad. Selepas Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t., Baginda telah berjuang dijalan Allah dan menghadapi berbagai cabaran dan dugaan serta bahaya kepada diri Baginda sendiri. Baginda telah cedera parah dalam peperangan Uhud, tetapi Baginda tidak terbunuh. Namun Baginda juga ditempatkan di syurga, tetapi sebarang perjuangan di jalan Allah termasuk sumbangan harta juga adalah jihad dan balasan jihad Allah s.w.t. ialah syurga di akhirat. Ini jelas dalam surah As-Saff Ayat 10 dan 11 seperti berikut:

Yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, iaitu berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu dan yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui.

Dalam Islam jika sesuatu yang dibuat menyumbangkan kepada amalan yang diwajibkan, maka sumbangan itu juga menjadi wajib. Demikian mengambil wuduk diwajibkan sebelum bersembayang. Membekalkan air untuk wuduk menjadi perkara yang juga wajib dan memberi pahala kepada pembekal.

Pertahanan Islam dan umat Islam adalah satu kewajipan. Dengan itu orang Islam bukan sahaja disuruh berperang tetapi juga menyediakan peralatan perang yang boleh menakutkan musuh kerana kesediaan dan kemampuan berperang. Ini menjadi kewajipan yang penting dengan berperang. Tanpa menunaikan kewajipan ini peperangan di jalan Allah tidak mungkin dilakukan dan tidak mungkin dijayakan. Persediaan ini menjadi sebahagian daripada perjuangan di jalan Allah, iaitu ia adalah satu jihad.

Di zaman Nabi, persediaan ini boleh dibuat oleh orang perseorangan atau oleh masyarakat atau oleh pemerintah dengan mengadakan pasukan pertahanan. Oleh kerana persediaan ini diwajibkan, maka segala-gala yang dilakukan dalam usaha mengadakan pertahanan adalah wajib. Jika persediaan tidak dibuat dengan baik, mungkin pertahanan tidak boleh dibuat atau perang tidak akan berjaya.

Mengenai persediaan ini Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60.

Yang bermaksud:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dankamu tidak akan dianiaya.

Justeru itu di zaman nabi, menternak kuda untuk perang menjadi wajib. Pertukangan dan penempaan senjata adalah wajib. Melatih diri untuk memacu kuda perang, untuk menggunakan senjata seperti pedang dan pemanah dan senjata-senjata lain adalah wajib. Oleh kerana berperang dijalan Allah adalah jihad, persiapan untuk berjihad adalah sebahagian daripada jihad yang tidak kurang pentingnya.

Kewajipan bersiap sedia ini adalah fardu kifayah. Seseorang anggota masyarakat Islam terlepas daripada dosa kerana tidak membuat persediaan sendiri untuk berperang mempertahankan umat Islam hanya jika sudah ada pasukan yang didirikan untuk pertahankan umat Islam. Ini bermakna jika pemerintah mendirikan pasukan pertahanan, iaitu tentera, yang dipertanggungjawabkan untuk pertahankan umat Islam, maka individu Islam dalam masyarakat itu tidak lagi akan berdosa kerana tidak menyediakan peralatan sendiri untuk pertahanan  Islam dan orang Islam dalam masyarakat.

Berperang mempertahankan umat Islam dan agama Islam adalah jihad di jalan Allah. Tetapi untuk berperang dengan jayanya, bukan sahaja tentera yang diperlukan tetapi peralatan juga menjadi penting. Keupayaan membuat peralatan dan menggunakannya adalah sama penting. Seterusnya segala ilmu dan kecekapan untuk membuat peralatan dan senjata turut menjadi penting.

Ajaran Islam berkenaan fardu kifayah berkaitan dengan persediaan pertahanan wajib diketahui oleh semua orang Islam. Tanpa pengetahuan ini umat Islam mungkin bertindak liar dengan kepercayaan bahawa mereka berjihad di jalan Allah, sedangkan tindakan mereka sebenarnya mencemas dan merugikan umat Islam dan membawa malapetaka kepada mereka. Demikian apabila kumpulan-kumpulan kecil daripada orang Islam mengganas dan membunuh beberapa orang yang dianggap sebagai musuh, hasilnya bukan kemenangan bagi orang Islam. Sebaliknya orang Islam dan negara Islam ditindas dengan lebih kuat. Tidak ada tempat bagi orang yang ingin melepas geram melalui jihad. Berjihad dijalan Allah bertujuan menyelamat dan mencapai kejayaan bagi Islam. Mereka yang mengganas secara buta tuli bukan berjihad. Mereka sebenarnya mengkhianati Islam dan orang Islam.

Jihad berperang memerlukan senjata dan kenderaan perang yang setanding atau lebih baik daripada yang dimiliki musuh. Di zaman Nabi tanpa dibekalkan dengan senjata (pedang, tombak dan pemanah) dan kenderaan (kuda), maka pejuang Islam yang ingin berjihad akan ditewaskan. Di zaman ini senjata dan kenderaan peperangan bukan lagi pedang dan kuda. Tanpa peralatan moden mereka yang ingin berjihad di medan perang tidak mungkin serjaya.

Apakah agama Islam hanya berkehendakkan orang Islam bertempur dan gugur serta mati syahid semata-mata tanpa kejayaan dalam pertempuran itu? Sudah tentu agama Islam tidak menghendaki tentera Islam dikalahkan semata-mata untuk memberi peluang kepada orang Islam mati syahid. Peperangan oleh orang Islam ialah untuk kemenangan serta memaju dan menyelamatkan agama dan umat. Inilah tujuan jihad berperang oleh orang Islam. Jika tentera Islam kalah sepanjang masa maka perkembangan agama Islam tentulah akan tergendala.

Dengan pertolongan Allah s.w.t. tentera Islam yang kecil dapat menewaskan tentera musuh yang jauh lebih besar dalam Peperangan Badar (Ali Imran: 123). Tetapi di Jabal Uhud tentera Islam kalah dan kekalahan ini disebabkan tidak ada disiplin dalam pasukan tentera Islam. Kedua-duanya adalah jihad di jalan Allah. Kalah atau menang, yang gugur adalah syahid. Tetapi jika tentera Islam selalunya tewas, maka perjuangan di jalan Allah tidak akan membawa apa-apa kemajuan kepada perkembangan Islam atau orang Islam.

Peperangan Badar dan Jabal Uhud memberi banyak pengajaran kepada umat Islam. Pasukan yang kecil di Badar menang dengan pertolongan Allah s.w.t. Di Jabal Uhud, tentera Islam kalah kerana ada pasukan yang tidak mengikut arahan, lalu meninggalkan tempat untuk merebut anfal, iaitu barangan yang digugurkan oleh manusia apabila berundur. Dengan itu musuh dapat menyerang dari sudut yang tidak lagi dikawal oleh pasukan berkenaan dan tentera Islam ditewaskan. Rasulullah cedera parah dan Saidina Hamzah dibunuh.

Semua telah berjihad dan Saidina Hamzah serta ramai lagi mati syahid. Tetapi kemenangan tidak dicapai kerana tidak berdisiplin. Tuhan menolong orang Islam tetapi mereka perlu bersikap baik, iaitu tidak tamak dan tetap berdisiplin. Kerana dalam Perang Uhud disiplin tidak wujud, maka tentera Islam kalah.

Tetapi masih ada orang Islam yang ingin gugur dalam peperangan tanpa mengambil kira sama ada peperangan itu diperlukan atau tidak untuk Islam dan umat Islam. Mereka ini tidak mengambil kira berjaya atau tidak peperangan mereka. Bagi mereka perang jihad akan memberi peluang kepada mereka mengorbankan nyawa mereka untuk mendapat pahala dan mati syahid. Sebenarnya mereka tidak berjuang dijalan Allah. Malah mereka mungkin merugikan perjuangan Islam dengan kegagalan mereka.

Orang Khawarij adalah antara orang yang amat suka berperang kerana ingin menjadi syahid. Jika tidak ada musuh bukan Islam mereka mengkafirkan orang Islam lain supaya mereka boleh berjihad melawan orang yang dikafirkan ini. Dalam peperangan ini mereka suka mencari maut untuk menjadi syahid. Sebenarnya mereka bukan berjihad di jalan Allah. Perbuatan mereka memecah belahkan orang Islam, kerana peperangan sesama Islam ramailah orang Islam yang terkorban. Orang Islam menjadi lemah dan terdedah kepada serangan musuh-musuh Islam. Amatlah jelas perbuatan orang Khawarij mengkafirkan orang Islam lain dan memerangi mereka adalah jauh daripada perjuangan di jalan Allah dan bukan jihad. Kematian orang Khawarij ini dalam peperangan adalah sia-sia sahaja. Mereka bukan berjihad dan mereka tidak mati syahid.

Sejak kemunculan puak khawarij, ramailah orang Islam yang suka mendakwa orang Islam lain sebagai kafir yang perlu diperangi dan peperangan ini didakwa oleh mereka sebagai jihad dan mati mereka adalah mati syahid. Sepanjang sejarah Islam kumpulan-kumpulan seperti ini telah menyebabkan perang saudara berlaku yang melemahkan orang Islam dan mengalih tumpuan mereka daripada menangkis serangan oleh musuh bukan Islam ke atas mereka. Dengan itu sedikit demi sedikit wilayah Islam jatuh ke tangan bukan Islam.

Orang Khawarij sebenarnya mengkhianati Islam dengan berperang dan membunuh orang Islam lain. Mereka tidak berhak mendakwa bahawa orang Islam lain yang sebenarnya menjadi majoriti dalam masyarakat mereka adalah tidak Islam. Mengkafirkan orang Islam lain, orang yang mengucap dua kalimah syahadat adalah perkara yang amat berat. Ia tidak harus dibuat oleh orang yang tidak diberi mandat untuk mentadbir agama Islam dalam sesuatu masyarakat Islam. Pebezaan pendapat dan tafsiran berkenaan dengan agama Islam dalam sesuatu masyarakat Islam. Perbezaan pendapat di antara orang yang mengucap dua kalimah syahadat tidak harus menjadikan mana-mana pihak kafir. Jika kerana perbezaan-perbezaan ini orang yang mengaku diri mereka Islam dikafirkan, maka semua orang Islam akan menjadi kafir, kerana orang Syiah akan dianggap kafir oleh orang Sunni dan orang Sunni akan dianggap kafir oleh orang Syiah. Jika diterima dakwaan kedua-dua pihak ini, maka sekaligus tidak akan ada orang Islam di dunia. Di kalangan orang Sunni dan Syiah pula terdapat ajaran-ajaran dan amalan-amalan yang berbeza, dan masing-masing mungkin akan anggap orang lain kafir. Akibatnya jauh daripada bersaudara, orang Islam akan bermusuhan sesama sendiri kerana mempertikaikan KeIslaman masing-masing.

Dalam Islam pihak yang bertanggungjawab mengisytiharkan jihad ialah pemerintah seperti yang dilakukan di zaman Rasulullah s.a.w., sama ada jihad menentang pencerobohan musuh mahupun jihad menyediakan peralatan perang untuk menghadapi musuh. Tetapi apa yang berlaku dalam sejarah Islam ialah pemimpin pelbagai puak yang berbeza pendapat kerap mengambil alih peranan yang menjadi tanggungjawab pemerintah itu dan mereka menyalahgunakannya dengan mengisytiharkan jihad terhadap siapa sahaja. Dengan mendakwa orang Islam lain tidak Islam dan kafir, maka siapa sahaja boleh melancarkan perang jihad terhadap orang yang dikafirkan ini. Maka berlakulah peperangan sesama orang Islam sepanjang sejarah Islam.

Dalam perang Salib (Crusade) Paus di Rome telah mengisytiharkan Holy War iaitu Perang Suci ke atas orang Islam di Palestin. Semua orang Kristian dari semua negara Eropah telah menyambut seruan Paus secara serentak dan mereka memperolehi kejayaan merampas Palestin. Tetapi selepas itu orang Kristian Barat berpecah dua apabila satu pihak menolak Paus di Rome sebagai Ketua agama Kristian. (Gereja Timur Ortodoks memang pun terasing dari Gereja Barat, Namun mereka juga turut serta dalam angkatan Salib). Perpecahan yang besar dalam Gereja Barat tidak mencetuskan peperangan di antara mereka. Sebaliknya jika ada peperangan di antara mana-mana mazhab orang Kristian dengan orang Islam, mereka memihak kepada orang Kristian tanpa mengambil kira mazhab.  Walaupun beberapa kali mereka kalah dengan orang Islam, tetapi kerjasama antara mereka akhirnya memberi kemenangan secara berterusan kepada mereka.

Dalam Islam terdapat orang-orang yang suka mendakwa diri sebagai Imam Mahdi yang datang untuk memimpin umat Islam ke jalan yang benar dan kejayaan sebelum akhir zaman atau kiamat. Mereka akan menisytiharkan jihad melawan orang Islam lain yang tidak menerima dakwaan mereka. Dalam abad ke 12 Masihi bersamaan abad ke-5 Hijrah kumpulan Al-Murabitun di Maghribi yang percaya pemimpin mereka ialah Imam Mahdi telah mendakwa semua pemerintah negeri-negeri Islam di Sepanyol dan Afrika Utara (Maghribi, Tunisia dan Mauritania) adalah tidak Islam dan mereka berperang untuk merebut kuasa di negeri-negeri ini.

Kemudian Puak ini pula diisytiharkan sebagai tidak Islam oleh Puak Al-Muwahidun dan puak ini memerangi puak Al-Murabitun sehingga negeri-negeri Islam di Sepanyol dan Afrika Utara jatuh ke tangan mereka. Dalam peperangan antara orang Islam ini kedua-dua pihak bersubahat dengan orang Kristian Sepanyol untuk mendapat kemenangan. Namun begitu mereka masih juga mendakwa mereka berjihad.

Di Asia Barat, orang Arab Islam dihasut oleh kuasa-kuasa Barat  supaya memupuk semangat kebangsaan Arab dan berperang dengan Pemerintahan Turki sebagai tidak Islam, tetapi hakikatnya ialah mereka menolak persaudaraan Islam, ketaatan kepada kepimpinan Islam (Ulil Amri) dan bersubahat dengan orang bukan Islam untuk memerangi orang Islam. Pada masa itu Turki masih diperintah oleh sultannya dan Mustafa Kamal belum muncul untuk mengisytiharkan Turki sebagai negara sekular.

Hasil daripada pemberontakan nasionalis Arab ialah keruntuhan Empayar Islam Turki. Tetapi orang Arab tidak pula dapat kebebasan yang diperjuangkan oleh mereka. Sebaliknya wilayah-wilayah Arab dikuasai oleh Barat, iaitu Inggeris dan Peranchis yang telah membantu mereka berperang dengan tentera Turki. Penjajah dari Barat ini Kemudian memecahkan wilayah-wilayah Arab kepada negeri-negeri yang berasingan, masing-masing dengan kebangsaan kenegerian sendiri walaupun mereka semua adalah Arab dan Islam.

Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) wilayah Islam dari Afrika Barat sehinggalah ke Asia Tengah yang dahulu diperintah oleh khalifah-khalifah Islam yang berpusat di Madinah, Damsyik, Baghdad dan Istanbul pecah berkecai hasil daripada hasutan Barat dengan konsep nation-state dan ideologi-ideologi mereka. Masing-masing negara yang ditubuhkan oleh kuasa-kuasa barat dan diperintah secara berasingan oleh mereka mempunyai identiti kebangsaan sendiri. Oleh kerana orang Islam masih feudal, ketua-ketua mereka yang ditentukan oleh penjajah digelar raja dan dianggap sebagai keluargaDiraja iaitu royal. Gelaran Barat seperti King diberi kepada pemimpin-pemimpin mereka, dan dengan itu kerajaan-kerajaan yang berketurunan (feudal) didirikan. Walaupun dalam Islam pemerintahan feudal berketurunan tidak mempunyai asas agama. Tetapi ketua-ketua pemberontak dan ketua-ketua suku kaum tidak menolak konsep Raja dan Pemerintahan Beraja.

Orang British adalah yang paling cekap mengadakan sistem ruling house, atau sistem beraja ini. Walaupun mereka menakluk dan menguasai penuh pemerintahan, mereka secara sengaja meletakkan orang-orang pilihan mereka sebagai rulers iaitu orang yang memerintah kononnya. Rulers ini diberi gelaran-gelaran tempatan dan Barat, ditempatkan di istana dan dilayan dengan penuh adat istiadat. Tetapi kuasa kekal di tangan penjajah Barat.

Dengan mengkhayalkan pemimpin-pemimpin Islam, Barat dapat memberi identiti yang berasingan kepada wilayah-wilayah yang ditakluki oleh mereka. Selepas itu mereka melaga-lagakan negeri-negeri Islam ini supaya konsep umat Islam yang satu dan bersaudara tidak dapat dipulihkan lagi.

Dikhayalkan dengan kebesaran-kebesaran ini, tidak ada tentangan yang dibuat terhadap kuasa-kuasa Barat, walaupun orang Islam yang dijajah ini mempunyai cukup sebab untuk menentang penjajah Barat dan berjihad melawan mereka. Sudah tentu tidak ada persiapan yang dibuat yang boleh memberi kejayaan membebaskan diri mereka. Perpaduan yang dipupuk bukanlah sesama orang Islam tetapi perpaduan berasaskan nasionalisme negara-negara Arab yang berasingan. Dan kerap kali negara-negara ini bermusuh sesama mereka. Penubuhan Liga Arab tidak berjaya menyatukan mereka.

Orang Kurdish yang bukan daripada bangsa arab, tetapi semuanya penganut agama Islam tidak diberi sebarang wilayah oleh Barat. Sebaliknya wilayah mereka dibahagikan antara negara-negara Arab, Turki dan Parsi. Walaupun ketiga-tiga negara ini adalah negara Islam, tetapi mereka tidak pernah menganggap orang Kurdish sebagai saudara seagama mereka. Mereka sentiasa menindas orang Kurdish di negara-negara Islam mereka kerana mereka lebih mengutamakan kebangsaan masing-masing daripada persaudaraan Islam mereka.

Sepanjang masa Empayar Islam diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam, umat Islam tidak pernah melancarkan jihad yang melibatkan seluruh umat Islam seperti orang Kristian melancarkan Perang Salib atau Crusade. Semasa Perang Salib, orang Islam tidak bangun berjihad untuk menyelamatkan Palestin. Tidak ada kerahan di kalangan umat Islam seperti orang Kristian dikerah. Pertahanan wilayah Islam dipertanggungjawabkan kepada tentera pemerintahan Islam yang pada masa itu berpusat di Baghdad Pelung untuk berjihad tidak direbut oleh majoriti umat Islam semasa berlakunya peperangan melawan tenter Salib.

Kecewa dengan kelemahan dan kegagalan orang Islam yang cuba menentang penjajah bukan Islam ke atas semua wilayah Islam dan muak dengan kelakuan raja-raja buatan Barat yang menjujung tinggi penjajah, maka tertubuhlah puak revolutionary yang mirip kiri dan mendapat ilham serta sokongan daripada blok komunis, khususnya Russia. Puak bukan berniat untuk berjihad. Mereka adalah nasionalis yang ingin menggulingkan pemerintahan beraja dan mendirikan republik sosialis. Ramai daripada pemimpin mereka terdiri daripada Komunis/Sosialis Arab yang menolak agama Islam.

Dalam peperangan sivil yang dilancarkan oleh puak revolutionary tersebut, hampir semua raja negara Islam Arab digulingkan dan ramai yang dibunuh dengan kejam. Selepas itu kerajaan demi kerajaan didirikan dan dijatuhkan dalam perebutan kuasa yang berterusan tanpa menghiraukan larangan terhadap permusuhan sesama Islam atau kesetiaan kepada Ulil Amri.

Puak Sosialis/Komunis Arab ini tidak mendakwa mereka berjihad dijalan Allah sebab mereka berjuang kerana ideologi dan kebangsaan Arab yang sempit yang hanya terhad kepada merebut kuasa di negara-negara mereka sahaja.  Pemerintahan yang didirikan oleh mereka bukanlah berasakan kepada Islam. Semua kerajaan ini bersifat autokratik yang menggunakan kekerasan untuk mengekalkan pemerintahan mereka. Semasa menentang Israel beberapa negara Arab telah mencantumkan diri dalam satu Persekutuan Republik. Tetapi dalam jangka masa pendek mereka berpecah semula.

Sekali lagi kita lihat bagaimana ajaran Islam dilupakan oleh orang Islam. Akibatnya ialah umat Islam terus berpecah dan lemah. Ada yang berpendapat mereka ini sudah menjadi sekular seperti negara Turki yang memeluk sekularisme ala Barat di bawah kepimpinan Ataturk. Tetapi sekularisme mereka tidak menjadikan mereka negara maju seperti yang dipercayai oleh mereka. Mereka terus mundur dan tidak berupaya bersaing dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Mereka tidak juga dapat mempertahankan negara mereka.

Sekularisme mereka hanya setengah masak. Tidak semua daripada mereka dapat memisahkan diri mereka daripada agama Islam. Yang menjadi Sosialis dan tidak Islam hanyalah pemimpin mereka. Rakyat masih kukuh dengan keislaman mereka. Tetapi rakyat yang kekal dengan agama Islam biasanya terdiri daripada orang yang berpendapat bahawa kemajuan di dunia tidak secocok dengan agama Islam. Justeru itu tidak ada penerimaan oleh mereka akan pentingnya menguasai pelbagai ilmu dan kecekapan semasa untuk menaikkan daya saing dan daya tahan mereka dalam dunia yang sudah jauh berbeza dengan dunia di zaman Nabi dan Khulafa Rasyidin.

Walaupun orang Islam begitu kuat berpegang kepada sunnah-sunnah Nabi, tetapi ini terhad kepada amalan-amalan dan ibadat-ibadat tertentu sahaja. Cara Nabi membangunkan umat Islam, cara Nabi menghapuskan kepercayaan kolot kaum jahiliah sehingga mereka dapat menegakkan tamadun yang tinggi, cara Nabi mendisiplinkan umat Islam dan memajukan mereka dalam serba-serbi ilmu pengetahuan, tidak termasuk dalam sunnah-sunnah Nabi yang diikuti oleh umat Islam sama ada di negara sekular ataupun di negara yang terus berpegang kepada Islam.

Yang diutamakan ialah rupa bentuk yang dikatakan Islam. Kejayaan umat Islam di zaman Nabi dan khalifah-khalifah yang terdiri daripada sahabat-sahabat nabi tidak dianggap sebagai sunnah Nabi yang perlu ditiru dan diamalkan. Tafsiran yang dibuat terhadap al-Quran dan Hadis adalah sempit dan terhad kepada ibadat-ibadat tertentu, kepada hukum-hukum dan rupa bentuk yang dianggap Islam. Sudah tentu perjuangan Nabi untuk mendirikan negara Islam di Madinah dan membangunkannya serta mempertahankan pusat perkembangan Islam ini tidak dijadikan sebagai sunnah Nabi yang perlu dicontohi. Perjuangan Nabi mendiri, membangun dan mempertahankan Madinah tidak dianggap sebagai jihad. Pengorbanan harta yang dibuat oleh sahabat-sahabat Nabi dan Khulafa Rasyidun tidak juga di tafsir sebagai jihad walaupun al-Quran jelas menyebut perjuangan dengan harta juga adalah jihad. Yang ditfsirkan sebagai jihad hanyalah berperang.

Walaupun pada mulanya seruan untuk membaca (iqra) ditafsir sebagai menuntut ilmu dan ada Hadis yang menyuruh menuntut ilmu sehingga ke liang lahad dan ada sahabat menyeru orang Islam menuntut ilmu sehingga ke negeri China, tetapi selepas beberapa abad, muncul ulama-ulama tertentu mentafsirkan membaca dan menuntut ilimu bermakna ilmu berkenaan dengan agama Islam sahaja. Tekanan yang diberi ialah kepada feqah atau hukum yang akan dikenakan di dunia dan di akhirat terhadap sesuatu jenayah atau dosa yang dilakukan. Fardu kifayah tidak dianggap penting melainkan berkenaan dengan acara seperti pengkebumian jenazah.

Dengan ini menuntut ilmu yang berasal daripada tokoh-tokoh ilmuan yang terkenal dari zaman sebelum Islam dihentikan. Tidak ada lagi pakar-pakar matematik, sains dan perbuatan di kalangan orang Islam yang muncul. Yang ada hanyalah ulama yang terpelajar berkenaan dengan agama dan hukum hakam sahaja.

Tanpa ilmu berkenaan dengan sains, matematik dan kecekapan-kecekapan lain, keupayaan orang Islam dalam bidang-bidang pengeluarkan barangan dan alatan pertahanan merosot dengan teruknya.

Apabila revolusi industri berlaku di Eropah, orang Islam tidak mengambil peduli dan tidak mengambil bahagian di dalamnya. Dengan itu keupayaan negara dan umat Islam bersaing dengan negara bukan Islam dalam semua bidang semakin merosot. Apa juga keperluan hidup, peralatan, termasuk senjata pertahanan terpaksa dibeli daripada orang bukan Islam . Jika ada sedikit keupayaan mengeluarkan barang-barang buatan, kualitinya rendah. Teknik mass production atau pengeluaran secara besar-besaran tidak dipelajari atau dicipta oleh orang Islam atau negara Islam.

Dagangan negara-negara Islam merosot dengan teruknya. Pengeluaran bahan mentah oleh orang Islam juga bergantung kepada kepakaran dan usaha orang bukan Islam. Sebagai contoh Tuhan mengurniakan minyak yang banyak di negara-negara Islam, tetapi kepakaran dan teknik mengeluarkan minyak dari dalam tanah dan dasar laut tidak diterokai atau dikuasai oleh orang Islam. Sebaliknya orang bukan Islam yang mendapat hak dan peluang mengeluar minyak ini dan menguasai segala urusan daripada pengeluaran hinggalah ke pamasaran dan penggunaan. Buat beberapa dekad orang Islam ditipu dengan dibayar harga yang amat murah. Keuntungan yang besar diperolehi oleh tujuh buah syarikat minyak Barat sehingga mereka lebih kaya dan lebih berkuasa daripada negara-negara pengeluar minyak. Jika tidak kerana peperangan di antara Israel dengan negara-negara Arab, bayaran royalti kepada negara pengeluar minyak tidak akan dinaikkan.

Walaupun negara-negara Islam berjaya merebut balik hak milik pengeluaran minyak di negara mereka, tetapi mereka terus terikat kepada  Syarikat Minyak Gergasi Barat dan teknik mencarigali dan mengeluarkan minyak tidak dipelajari oleh rakyat negara-negara ini. Mereka terus bergantung kepada syarikat asing. Syarikat pengeluar minyak dari negara selain dari Barat atau Jepun tidak diberi kepercayaan untuk mengeluar minyak.

Bahan mentah dan minyak yang terdapat di negara-negara Islam tidak digunakan untuk menaikkan keupayaan dalam teknologi moden dan ilmu pengetahuan. Pendapatan yang besar daripada minyak tidak dilaburkan dalam industri dan perniagaan atau untuk penguasaan ilmu dan teknologi-teknologi penting.

Kemewahan hidup lebih dipentingkan oleh kebanyakan orang Islam dan kepimpinan mereka daripada peningkatan pertahanan dan pembangunan negara. Banyak negara yang ditipu oleh rakyatnya sendiri yang berkongsi dengan peniaga senjata antarabangsa. Banyaklah wang negara Islam yang hilang kerana penipuan ini. Maka kekuatan semua semua negara Islam tidak dapat menyelamatkan orang Islam di mana-mana. Mereka terus ditindas dengan sewenang-wenangnya.

Semasa harga minyak naik, wang yang banyak yang diperolehi disimpan di negara Barat. Ini menjadikan negara Barat kaya kerana mereka dapat mengeluarkan pinjaman atau melabur wang simpanan ini dalam berbagai industri dan perniagaan. Kenaikan harga minyak lebih menguntungkan syarikat-syarikat minyak Barat kerana bahagian yang dimiliki oleh mereka jauh lebih besar daripada yang dimiliki oleh negara-negara pengeluar Islam. Namun yang disalahkan kerana kenaikan harga minyak ialah negara-negara Islam yang dikatakan tamak dan tidak berperikemanusiaan.

Penindasan oleh musuh-musuh Islam tidak akan dapat ditangkis selagi negara-negara Islam tidak dapat dibangunkan sehingga sama kaya dan sama berkebolehan dalam semua bidang dengan negara-negara maju di dunia. Perlu ada daripada kalangan negara Islam yang boleh diiktiraf sebagai kuasa dunia. Usaha untuk membangunkan negara Islam supaya mampu menggerunkan musuh-musuh Islam dan juga mempertahankan wilayah Islam tidak kurang penting daripada simpanan kuda perang dan alat peperangan yang diwajibkan ke atas orang Islam di zaman Nabi mengikut al-Quran dalam ayat 60 surah Al-Anfaal seperti berikut:

Yang bermaksud:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekutan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Sebenarnya jika berperang di jalan Allah adalah jihad, pembangunan negara Islam di zaman ini sehingga mampu menakutkan musuh Islam dan mempertahankan wilayah Islam adalah juga jihad. Pembangunan tetap mengambil masa yang panjang tetapi hasilnya tetap lebih baik daripada seranganmembuta-tuli oleh kumpulan-kumpulan kecil orang Islam kerana kecewa atau marah dan ingin melepas geram semata-mata. Dan ayat yang sama memperingatkan bahawa apa sahaja yang (kamu) belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu. Belanja untuk pembangunan negara dan penguasaan ilmu untuk pertahanannya sudah tentu menjadi tuntutan agama, suatu kewajipan negara dan orang Islam, suatu belanja kepada Allah, suatu jihad.

Berjuang di jalan Allah tidak bermakna jika hasilnya ialah orang Islam dan agama Islam dan agama Islam semakin kuat ditindas. Berjuang di jalan Allah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk kejayaan dan kemenangan dalam mengembangkan Islam mempertahankan dan menyelamatkan wilayah Islam. Mereka yang gugur dianggap syahid dan akan ditempatkan di syurga. Tetapi mereka yang tidak gugur juga dijanjikan syurga. Bukan gugur di medan perang yang membawa kebaikan kepada perjuangan tetapi kejayaan menewaskan musuh yang membawa hasil. Ini tidak boleh dilupakan dan perlu ditekankan sepanjang masa- iaitu yang penting dalam perjuangan dan peperangan ialah kemenangan dan kejayaan dalam menegakkan Islam dan mempertahankan orang Islam. Keguguran di medan perang semata-mata tidak menjayakan perjuangan orang Islam. Jika semua tentera Islam gugur, tidak akan ada sesiapa daripada mereka yang akan menikmati apa-apa hasil peperangan di dunia. Keguguran akan menjadi sia-sia sahaja, walaupun mereka yang gugur adalah syahid.

Sementara orang Islam perlu berani menggadai nyawa, kemenangan dalam peperangan adalah lebih utama. Hanya dengan kemenangan barulah orang Islam dan agama Islam terselamat. Untuk kemenangan pasukan pertahanan Islam bukan sahaja perlu bersemangat dan berani, tetapi perlu dilengkapi dengan senjata yang terbaik, perlu terlatih, tertib dan berdisiplin.

Jika kita faham bahawa yang penting dalam jihad bukan mengorbankan nyawa secara membuta-tuli untuk menjadi syahid tetapi untuk menyelamat dan melindungi agama Islam dan umat Islam, maka persiapan untuk berjihad menjadi sesuatu yang wajib ke atas orang Islam dan negara Islam. Demikian di zaman Nabi umat Islam diwajib menyediakan kuda perang dan peralatan pertahanan. Tujuan pertama ialah untuk menggerunkan musuh. Dengan itu musuh tidak berani menyerang dan peperangan tidak akan berlaku. Tiada siapa yang akan gugur dan mati syahid.

Tetapi jika musuh menyerang, maka orang Islam sudah bersiap sedia dan mampu berperang dengan jayanya. Bersiap sedia adalah sebahagian dari jihad, walaupun kerananya perang tidak berlaku dan tidak ada siapa yang mati syahid.

Di zaman moden ini perang bukan lagi terhad kepada medan perang dan tentera. Seluruh negara dijadikan medan perang dan tiada sesiapa yang terselamat daripada serangan bom dan roket dan meriam jarak jauh yang digunakan. Oleh itu persiapan untuk berperang mempertahankan umat Islam bermula dengan pembangunan negara supaya memiliki keupayaan menyediakan pertahanan awam dan ketenteraan yang kuat yang bukan sahaja dapat menakutkan musuh Islam, tetapi benar-benar mampu mengalahkan mereka.

Bersambung

Oleh: Dr. Hamdi Irfan

Translate »