Telah ramai ilmuwan sejarah yang mengupas tentang sejarah khilafah Islam, baik dari kalangan muslim sendiri mahupun dari golongan orientalis. Mereka telah merumuskan beberapa faktor seperti pencerobohan, kemelesetan ekonomi, industrialisasi, dan kuasa Eropah yang semakin kuat, yang menyumbang kepada kemerosotan khilafah Islam, terutamanya 3 khilafah terakhir.
Jatuhnya kerajaan Islam satu persatu, dari empayar Khawarizmi dan kemudiannya kerajaan Abbasiyyah di Baghdad. Dimusnahkan oleh tentera-tentera Mongol yang tidak dapat dihalang. Jatuhnya juga Baitul Maqdis kepada tentera Salibiyyah pada tahun 1099, mengakibatkan sungai-sungai darah mengalir di laluan-laluan kota suci itu. Jatuhnya kerajaan Islam Al-Andalus dan Emiriyah Granada, sehingga dihalau dan dipaksa murtad oleh tentera-tentera Ferdinand dan Isabella. Dan jatuhnya khilafah Islam besar terakhir, Khilafah Uthmaniyyah, hingga hilangnya Khilafah di bumi ini. Maka berpecah kembali umat Islam, berpuak-puak mengikut kaum sendiri; Arab, Afrika, Turk, Berber, Melayu dan Eropah.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 26 yang bermaksud;
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – (QS Ali ‘Imran, 26)
Putaran turun-naik dan jatuh-bangun sesebuah kekuasaan bukanlah suatu peristiwa yang tidak bermakna, kerana dalam setiap penggiliran kuasa itulah sebenarnya Allah SWT ingin memperlihatkan bentuk pengajaran yang terbaik untuk manusia. Teladan itu akan membentuk satu falsafah moral yang bakal menjadikan panduan buat manusia bagi meneruskan kelangsungan kuasa dan membentuk sebuah peradaban yang kuat. Konsep naik dan jatuhnya sebuah kerajaan atau tamadun, tidak berbeza seperti kuat dan lemahnya keimanan seseorang, yang menuntut kepada keyakinan hati, amalan hati, pernyataan lisan dan amal perbuatan.
Begitu banyak kajian dan penyelidikan dibuat terhadap kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam, dengan pelbagai rumusan seperti kelemahan pihak penguasa, dan perancangan musuh-musuh Islam. Namun amat sedikit melihat peristiwa fitnah kehancuran kerajaan Islam itu sebagai hilangnya peranan dan pengaruh ulama’ yang rabbaniyyun terhadap penguasa dan juga ummah.
Imam Al-Ghazali RH menyifatkan golongan atau ulama rabbani ialah mereka yang hidupnya tidak terpesona dengan kemewahan (duniawi) dan kesehariannya hidup dalam keadaan zuhud, sentiasa mengingati Allah SWT, dengan jiwa yang suci.
Kewujudan ulama’ rabbani akan mewujudkan suasana sejahtera lagi aman dalam kehidupan rakyat. Rakyat akan terdorong untuk mencontohi tindakan pemerintah, mencintai ilmu dan menggalakkan kegiatan keilmuan, selain mengasihi serta memuliakan ulama’. Hal ini sebagaimana yang dapat dilihat berlaku dalam pemerintahan khalifah-khalifah dan sultan-sultan agung dalam sejarah pemerintahan Islam.
Antaranya termasuklah Khalifah Harun al-Rasyid (766-809M.) dan kumpulan ilmuwannya, termasuklah Imam Abu Yusuf yang menghasilkan kitab al-Kharaj yang mengandungi nasihat serta garis panduan dalam segala urusan berkaitan dengan pemerintahan seperti percukaian dan kewangan, persoalan jenayah dan hukuman termasuklah isu murtad.
Sebahagian besar pemerintah Islam yang lain pula menggunakan khidmat ilmuwan untuk tujuan pentadbiran negara. Antara mereka termasuklah Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz (1259-1260M.) dan penasihatnya, Sultan al-`Ulama’ `al-`Izz ibn `Abdissalam, iaitu dalam menghadapi tentera Mongol dalam peperangan di `Ayn Jalut.
Sultan Qutuz telah membuat keputusan untuk memungut cukai yang besar daripada rakyat untuk digunakan oleh tenteranya. Dengan penuh jujur dan tegas, Sultan al-`Ulama’ al-`Izz mengutarakan pandangan bahawa jika musuh menyerang negara Islam, setiap individu wajib mempertahankannya. Cukai tinggi yang diperlukan bagi membiayai peperangan dan pertahanan negara diharuskan. Namun ia bersyarat, iaitu tiada satu pun barang-barang bernilai seperti emas dan perhiasan batu permata yang masih berada di dalam Baitulmal. Selain itu, sultan perlu menjual barang-barang berharga milik baginda, milik kaum kerabat baginda, gabenor, pembesar-pembesar yang lain dan tentera, dan dibelanjakan bagi tujuan yang sama.
Sultan Muhammad al-Fatih (1451-1481) juga menjadikan gurunya, Syeikh Syamsuddin al-Wali sebagai penasihat ketika mengadakan persiapan untuk menghadapi peperangan. Syeikh Syamsuddin yang mendidiknya sejak kecil sehingga menjadi pemerintah yang memiliki tahap keilmuan, keperibadian serta kewibawaan yang amat tinggi. Baginda memiliki kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik di samping menguasai enam buah bahasa, hingga berjaya menawan kota Konstantinopel.
Di alam Melayu, kita dapat melihat bagaimana Sultan Zainal Abidin III (1725-1734) melantik Tok Ku Paloh atau Syed Abdul Rahman sebagai penasihatnya dalam urusan pentadbiran negeri Terengganu, khususnya dalam menghadapi ancaman British.
Qatadah telah berkata, “Ulama’ itu umpama garam. Jika sesuatu rosak, garamlah yang digunakan untuk membaikinya, namun jika garam itu sendiri yang rosak, tiada apapun yang boleh digunakan untuk membaikinya.”
Namun ulama’ bukan hanya berperanan menasihati golongan penguasa secara eksklusif, tetapi juga bertindak sebagai pemangkin kepada sebuah masyarakat Rabbani. Al-Baydawi menjelaskan bahawa golongan Rabbani ialah orang yang mempunyai ilmu yang sempurna dan mengamalkan ilmu yang dimiliki. Dengan itu, apabila dikaitkan istilah rabbani dengan sebuah masyarakat, maka masyarakat Rabbani merupakan sebuah ummah yang menjiwai unsur-unsur rabbani, dalam sentiasa menambah ilmu dan mengamalkannya. Sebuah masyarakat yang berkualiti, dan mempunyai ciri-ciri dan sifat kecemerlangan.
Khilafah dan kerajaan Islam yang berjaya dalam membangunkan negara, adalah disebabkan bimbingan ulama’ rabbani, justeru membentuk sebuah masyarakat rabbani, dan selanjutnya melahirkan penguasa atau ketua rabbani. Masyarakat yang tidak memiliki ciri-ciri rabbani, tidak menghormati ulama’, mana mungkin akan melahirkan penguasa rabbani. Masyarakat yang kelibatnya serupa seperti monyet, hanya akan dapat pemimpin serupa monyet.
Tetapi apabila aqidah dan keimanan masyarakat awam dan golongan penguasa kukuh, maka kerajaan dan tamaddun negara itu tetap utuh. Sudah tentunya ia perlu dibimbing oleh para ulama’. Jika tidak, maka ia hanya mengundang fitnah keruntuhan, kehancuran dan penghinaan. Keruntuhan sebuah kuasa, negara atau empayar Islam, sebenarnya menggambarkan aqidah dan keimanan ummah yang sedang terhakis dan rosak.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments