Bercerita mengenai kegiatan pelacuran rentas negara, saya teringat kepada sebuah karangan seorang wartawan berbangsa Ukraine yang meneliti bagaimana pemerdagangan orang untuk tujuan seks berlaku selepas runtuhnya Blok Timur, yakni Kesatuan Sosialis Soviet Rusia (KSSR) pada tahun 1991.
Akibat kemerdekaan negara-negara dalam KSSR, muncul keperluan baharu untuk rakyat, yakni mengatasi masalah ekonomi dalam sistem ekonomi yang lebih terbuka. Semasa dalam KSSR, negara-negara tersebut sangat cenderung kepada pekerjaan berpusat, yakni menghasilkan apa sahaja untuk negara, tidak dibenarkan memiliki aset sendiri.
Apabila kemerdekaan diraih, negara-negara itu berhadapan dengan cabaran menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya sendiri. Salah satu kelompok yang mula memikirkan mencari peluang pekerjaan, sebagai memenuhi keperluan diri sendiri ataupun membantu keluarga adalah para wanita muda, dalam kalangan mereka yang sudah melepasi umur 18 tahun.
Dilaporkan, tahap pengangguran dalam kalangan wanita di tahap sehingga 80 peratus, dan kerana tidak ada peluang, perempuan menjadi sasaran empuk. Ketika itu, datanglah ‘para penyelamat’, menawarkan pelbagai pekerjaan: sebagai pengasuh di Yunani, pembantu rumah di Austria dan Sepanyol. Model di Amerika Utara dan Jepun,
Perekrut sentiasa memberikan gambaran yang indah-indah dan bergaji tinggi. Perempuan muda yang membesar dengan membangunkan “fantasi romantis tentang dunia Barat” melihat kesempatan itu bukan sekadar “pekerjaan impian” bahkan sebagai ‘jalan keluar’ mengatasi kemiskinan keluarga yang mereka warisi. Tanpa berfikir panjang “mereka langsung menyambarnya” dan akhirnya seda telah ‘terjebak dalam lingkaran syaitan.”
Sebahagiannya menjadi mangsa pemerdagangan orang. Wanita-wanita muda itu setelah sampai di sesebuah negeri, dipaksa menjadi pelacur. Semua kos penerbangan dan perbelanjaan semasa dalam perjalanan, harus dibayar. Jumlahnya lebih sekali ganda daripada perbelanjaan asal, dan jika enggan melayani lelaki, akan didenda. Denda itu juga membabitkan peningkatan jumlah hutang yang terpaksa ditanggung.
Jika layanannya tidak memuaskan pelanggan, denda dikenakan. Denda-denda itu, selain dimaki, dicaci dan dipukul, akan dikira sebagai hutang yang wajib dilunaskan. Ini membuatkan hutang semakin bertambah. Dalam keadaan sakit, atau waktu datang bulan, wanita-wanita itu wajib juga melayani lelaki.
Menariknya, kisah pemerdagangan orang di Israel membawa kita kepada satu kesimpulan, negara haram itu adalah pusat pelacuran yang sebahagian besar adalah wanita muda daripada Eropah Timur, yang ditipu dengan pekerjaan bergaji lumayan.
Menyoroti hal tersebut, Victor Malarek menulis, wanita-wanita daripada Eropah (yang menjadi mangsa) ditawarkan dengan pelbagai pekerjaan dengan gaji yang menarik di beberapa buah negara. Wanita itu direkrut oleh agen-agen pemerdagangan orang dengan menggunakan agen tempatan.
“…seorang perempuan menor (cara berdandan yang mencolok) gemuk di sebuah agen di sebuah kantor agen tenaga kerja di kota asal Marika, Kharkiv di utara Ukraine, berbicara dengan penuh semangat mengenai pekerjaan yang ditawarkannya kepada Marika – pelayan restoran di Tel Aviv, Israel.
“Awalnya Marika khuatir. Ia sudah pernah mendengar mengenai gadis-gadis muda yang terbujuk menerima tawaran pekerjaan bohongan dan akhirnya dipaksa melacurkan diri. Tapi, si perekrut bersikukuh (dengan tegas) dan berkali-kali bersumpah – bahkan atas nama Tuhan – bahawa tawaran itu sungguhan, bukan penipuan.”
Marika, seorang gadis di awal 19 tahun dari Ukraine turut menjadi mangsa penipuan – pemerdagangan orang – telah dibawa menaiki pesawat ke Vienna, kemudian mengambil pesawat ke Cyprus, dan dari Cyprus ke Kaherah. Daripada Kaherah, Marika dibawa menaiki kereta ke Tel Aviv.
Setelah tiba di Tel Aviv, pada malam itu juga beberapa orang wanita muda yang berjaya diperangkap, dipaksa untuk melayan seberapa banyak lelaki secara bergilir-gilir. Pengalaman malam pertama itu cukup menakutkan, kerana itulah juga kali pertama dipaksa melayan lelaki sebagai pemuas nafsu seramai lapan orang. Setiap penjuru kawasan penginapan mereka dikawal rapi.
Cerita Marika: Kami amat takut. Kami lakukan apa yang mereka suruh. Salah seorang lelaki membawa saya dan si gadis dari Rusia. Nama gadis itu Lydia. Laki-laki itu membawa kami dengan kenderaan ke Tel Aviv, ke apartmen dekat laut. Di dalam apartmen ada tiga perempuan lain. Dua dari Ukraine, satu lagi dari Moldova.
“Pintunya punya banyak kunci dan seorang laki-laki berbadan amat besar bernama Avi di belakang meja di depan pintu. Avi mengawasi kami. Kami disuruh mandi, dan ketika kami sedang mengeringkan tubuh, laki-laki itu masuk dan menyuruh kami memakai pakaian dalam murahan yang tembus pandang.
“Gadis-gadis itu digiring ke ruang utama, tempat mereka bertemu dengan pemilik mereka.
“Kami menyebut pemilik sebagau Talabi. Belakangan aku tahu bahawa Talabi dalam bahasa Ibrani ertinya “pemilik rumah”. Tal adalah pemilik dan bi ertinya rumah.” Jelas Marika.
“Laki-laki durjana itu mengatakan bahawa ia telah membeli mereka dengan harga masing-masing $10,000 dan mereka akan jadi miliknya sampai boleh membayar hutang sebesar $20,000. Diberitahunya gadis-gadis itu bahawa mereka harus mulai bekerja untuk membayar hutang malam itu juga dengan melayan klien.
“Ia juga memperingatkan gadis-gadis itu bahawa siapa pun yang menolak bekerja akan dihukum berat. Untuk menegaskan maksudnya, si pemilik melirik ke arah Avi. Raksaksa berbulu yang menjaga pintu itu menyeringai mengancam gadis-gadis ketakutan.
“Malam itu untuk pertama kali aku mengetahui bagaimana rasanya menjadi pelacur. Aku harus melayan delapan laki-laki. Aku mandi setiap kali selesai melayan orang tapi aku tidak boleh membersihkan najis yang menempel pada diriku. Empat bulan sesudahnya, aku tak tahu lagi berapa banyak laki-laki Israel yang terpaksa kulayani.
“Laki-laki muda, tua, gendut, menjijikkan. Perajurit, suami, bahkan pemuka agama. Biarpun aku sedang sakit atau datang bulan aku harus tetap bekerja atau dihukum.
Tulis Victor Malarek lagi: Ketika melayani klien yang terus menerus datang, ada satu hal yang membuat Marika tertanya-tanya. Sebahagian besar klien tidak membeza-bezakan asal usul gadis-gadis itu, Tidak peduli aslinya mereka itu dari Rusia, Moldova, Romania, atau Ukraine. Di mata pada laki-laki hidung belang itu, mereka semua gadis Rusia.
“Yang lebih aneh lagi adalah cara sebahagian besar laki-laki itu memanggil mereka.
“Mereka panggil kami Natasha. Tidak pernah sekalipun mereka menanyakan nama asli kami. Bagi mereka, kami semua Natasha.
“Kami adalah fantasi seks mereka. Manusia-manusia bejat itu berjalan masuk bordil [rumah pelacuran] dan sambil nyengir [tersengih] mereka memanggil “Natasha” seolah-olah kami ini semacan boneka Rusia. Dan, kami harus tersenyum dan menghampiri mereka”
Marika mengingati saat pertama kali dia dipanggil nama itu: Babi gendut yang mandi keringat itu hampir mencapai klimaks dan ia mulai mengguman, “Oh, Natasha! Natasha”. Awalnya kufikir aneh juga rasanya dipanggil dengan nama lain. Tapi aku segera menerimanya sebagai pelarian.
“Ketika aku larut dalam fikiran dan impian, aku adalah Marika – yang bebas dari penjara ini. Tapi, ketika aku sedang bersama seorang laki-laki, aku menjadi seorang perempuan lain –pelacur bernama Natasha yang mati dan dingin dalam diriku.
“Natasha adalah mimpi burukku. Marika adalah penyelamatanku. Aku tidak pernah memberi tahu nama asliku kepada semua laki-laki.
“Dan mereka tidak pernah bertanya.”
(Victor Malarek, Natasha: Menyibak Perdagangan Seks Dunia, terjemahan oleh Zia Anshor, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2008. Hal. 11-18).
Dalam andaian Victor Malarek, pemerdagangan orang merupakan penyumbang pendapatan ketiga tertinggi di dunia selepas perdagangan senjata dan ubat-ubatan secara haram. PBB menganggarkan, ia membabitkan jumlah sekitar 12 bilion dolar setahun.
Pada tahun 2003, menurut Jabatan Luar Amerika Syarikat, “tidak ada negara yang bebas pemerdagangan orang” dan melibatkan antara 800 ribu hingga 900 ribu orang rentas negara. Terdapat empat gelombang pemerdagangan orang:
- Gelombang pertama berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1970-an membabitkan perempuan Thailand dan Filipina;
- Gelombang kedua bermula pada awal tahun 1980-an, membabitkan perempuan Afrika, terutama Ghana dan Nigeria;
- Gelombang ketiga berlaku di Amerika Latin terutama perempuan Colombia, Brazil dan Republik Dominica;
- Gelombang keempat berlaku selepas runtuhnya KSSR (kes Natasha), perempuan Eropah Timur dijual ke serata dunia di atas kelalaian, keterlibatan dan rasuah bermaharajalela.
Kata Victor, kes Natasha adalah mengenai ‘satu generasi gadis-gadis yang hilang. Nyaris setiap kota dan desa di Eropah Timur dan Tengah telah menyaksikan hilangnya sebahagian kaum perempuan mereka, Yang menghairankan, mereka tidaklah lenyap kerana penyakit, perang, kelaparan, atau bencana alam.
“Mereka justeru telah menjadi pion (seperti papan catur) yang telah dikorbankan dalam perniagaan wang, syahwat, dan seks yang sedang menanjak. Yang paling menyakitkan, perdagangan perempuan-perempuan adalah bencana buatan manusia yang boleh dicegah. Namun, dunia terus mengabaikan penderitaan perempuan-perempuan korbannya. Sudah tiba saatnya untuk menghentikan perdagangan perempuan.” (hal. 27-28).
Oleh kerana itu, saya cukup terkilan apabila ada perempuan sendiri yang ‘melacurkan dirinya’ atas nama memenuhi hidup mewah, yang awalnya terdetik sebagai tindakan mencari populariti melangkaui batas dan susila.
Apa yang saya lihat kecenderungan mempamerkan tubuh, aset, aksi ghairah dan berbusana nipis adalah kebejatan sosial yang wajib diperbetulkan. Kerana itulah sebenarnya telah menyumbang kepada pelbagai masalah sosial dan moral dalam kehidupan beradat dan beradab.
Melihat semula kepada pencitraan perempuan di media sosial, saya fikir, ada wajah-wajah mereka dalam platform media sosial yang berkolaborasi dengan admin di luar negara, apabila foto, video wajah eksotik dan penampilan erotik dimuatnaikkan secara cross platform dan cross account. Sedangkan kita tahu, semakin maju manusia semakin bertebaranlah kegiatan pelacuran kelas atasan rentas negara berlaku.
Dalam kalangan pelacur, ada pula peringkat dan kelasnya. Pelacur kelas tinggi menerima bayaran beratus ribu dolar bagi setiap kali melayani lelaki jutawan hidung belang. Wanita pekerja seks kelas atasan boleh sahaja terbang beribu kilometer bagi memenuhi permintaan.
Ia berbeza dengan pelacur kelas kambing, kadangkala terpaksa menerima berapa sahaja bayaran oleh pelanggannya kerana tiada wang untuk membeli makanan, membayar sewa bilik dan ada juga yang menanggung anak kecil.
Kendatipun, tidak semua mereka yang mempamerkan aset diri di media sosial boleh dikaitkan dengan aktiviti pelacuran. Tentunya, sangat sukar untuk mengesan pembabitan mereka dalam aktiviti seks, tetapi “bunga-bunga ros” yang dipaparkan sangat mendekati dengan tawaran perkhidmatan seks.
Itulah liciknya kaedah yang sedang berlaku dalam industri seks seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali kerana pada suatu ketika, menerusi platform sosial (social dating) pernah ditemui kebenarannya, biarpun perkhidmatan itu disediakan secara separuh masa (part time).
Jadi, adalah lebih baik pihak berkuasa mengambil inisiatif untuk melihat laman-laman sosial yang bergerak dengan tujuan tersebut yang menempel dengan pelbagai nama, yang secara zahirnya tidak boleh dikaitkan dengan jelas menuju tahap menyediakan perkhidmatan seks.
Saya beranggap demikian, kerana saya menyoal sendiri, kenapa laman-laman sedemikian menjadi semakin leluasa, dan paling banyak dimuatnaik (upload) ialah waktu malam, dan keesokan paginya cukup menyampah.
Saya melihat apa yang dilakukan oleh facebook (meta) tidak menepati ‘piawaian komuniti’ tempatan, kerana mereka menggunakan piawaian seks bebas, kebebasan menurut kacamata komersialisasi dalam prinsip ekonomi kapitalis.
Sudah tiba masanya, MCMC mengkaji semula beberapa terma dan definisi yang digunakan bagi menjustifikasikan makna komunikasi jelek, tidak bermoral, dan juga aktiviti yang ada kaitannya dengan istilah pelacuran.
Semakin sehari, semakin bijak manusia mencari kelemahan atau kelompongan undang-undang. Itulah sebabnya mereka lebih berani menempel di atas kelemahan dan kelompongan tersebut, asalnya niat dan tujuan tercapai.
Kata Francis Fukuyama, kepercayaan sangat ditentukan oleh budaya, harapan yang tumbuh dalam komuniti dengan nilai-nilai luhur (jujur, saling membantu dan berkerjasama) telah berubah dan asas kepercayaan luhur menjadi lumpuh.
Ketidakpercayaan menjadi kepercayaan, dan membuahkan prasangka. Prasangka melunturkan sensibiliti awam. (Francis Fukuyama, Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity, 1996).
Demokrasi yang di dalamnya ada teras kebebasan dan hak asasi, akhirnya membuahkan makna hedonisasi. Dromologi pula mencetuskan banaliti, pementasan yang dangkal dan pemikiran yang sangat menghancurkan (deconstructive).
Itulah yang sangat dibimbangi, kehadiran media sosial, yang dampaknya sangat janggal dan membangkitkan imaginasi realiti semu (pseudo reality, hiperreality, post-truth society); nafsu manusia (men’s desire) lebih kuat dan berpengaruh daripada kemahuan manusia (men’s need).
Penjungkirbalikan (distortion) daripada teori motivasi Abraham Maslow (1908-1970), hirarki keperluan manusia: fisiologi (physiological needs), keselamatan (safety needs), kasih sayang (love and social needs), harga diri (esteem needs) dan hasrat diri (self-actualizaton).
Hasrat diri mengatasi keperluan yang lain. Ia berlaku kerana pada tahap itu, manusia sudah hampir sempurna keperluannya – fisiologi (makanan dan tempat tinggal), keselamatan (kestabilan, perlindungan dan kebebasan) kasih sayang (ada pasangan dan ahli keluarga) dan harga diri (nama baik, dihormati, kewibawaan dan pendapatan sendiri). Hasrat diri menjadi semakin tinggi dan menggila.
Maka, semuanya itu tidak lagi merupakan sesuatu yang besar (keperluan asasi) dan bermasalah, hasrat diri akan menjadikan seseorang itu lebih berserakah, melampaui batas, -susila, batas agama, batas sosial, batas budaya dan sebagainya- sehingga ada percubaan-percubaan terhadap seks di luar pasangan yang sah (ego mahu terus jadi hebat, gagah walaupun sudah berusia dan sebagainya).
Agaknya, akibat ego lelaki sentiasa mahu jadi jaguh membuatkan platform media sosial meriah dengan kebanjiran pelbagai promosi ‘ubat kuat’; yang keberkesanannya tidak diketahui. Tetapi, ramai juga yang membelinya, terpedaya dengan aksi video seks, pujukan si promoter wanita genit, seksi dan gedik, kata-kata erotik yang dizahirkan menerusi chatboot.
Paling menjengkelkan ialah apabila diminta nombor notifikasi yang diluluskan oleh Bahagian Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Terkial-kial menjawabnya, berpusing-pusing untuk meyakinkan pembeli, ubat itu dihasilkan oleh doktor dan farmasi bertaraf tinggi, tidak perlu mendapatkan kelulusan.
Katanya, ahli farmasi dan doktor itu diiktiraf oleh KKM. Itu adalah pengiktirafan kepakaran, bukan pengiktirafan terhadap ubat kuat yang dihasilkan pakar yang dikatakan itu. Prosedurnya berbeza. Syarat dan kelayakannya juga tidak sama.
Ada yang menjawab, kepakaran doktor dan ahli farmasi, bukan bermakna produk yang dihasilkan diiktiraf secara automatik. Masih memerlukan kelulusan, kerana antara ubat dan kepakaran penciptanya adalah dua hal yang berbeza.
Ubat boleh memudaratkan, apatah lagi jika diketahui mengandungi dadah, racun berjadual dan sebagainya. Akhirnya, si promotor perempuan bersuara manja mula bercakap kasar, kalau tak nak beli, tak payahlah ‘masukkan pasir ke periuk nasi orang lain’.
Itu adalah kiasan yang salah. Sebabnya seseorang itu berhak bertanya, dan seterusnya berwaspada, mudaratnya ialah pengguna, bukan penjual. Penjual terus dapat wang, pengeluar produk boleh jadi kaya, yang menderitanya ialah pengguna (pembeli) ubat yang salah dan berbahaya.
Namun ia tidak didengari oleh sebahagian besar orang. Begitulah juga mengenai persoalan hubungan seks di luar ikatan perkahwinan yang sah. Setiap agama mengharamkan aktiviti tersebut di atas besarnya mudarat – keruntuhan moral, melampaui hakikat fitrah kehidupan, jangkitan penyakit (Vietnamese Desease, HIV/AIDS, herpes dan sebagainya) tetapi masih ramai yang melakukannya.
Ini kerana, pemerdagangan wanita, atas aspek apa sekalipun semakin menjadi bahan komersialisasi, yang asasnya adalah kegilaan bersifat materialistik yang telah membentuk budaya popular. Biarpun diharamkan oleh undang-undang, ia tetap berkembang sebagai satu bentuk perniagaan yang amat menguntungkan, kerana budaya popular mengeksploitasi hirarki keperluan asas secara berlebihan dalam piramid hasrat diri (self-actualisation).
MONOSIN SOBRI
Recent Comments