Saya teringat kepada dua buah buku yang cukup laris di pasaran, di Indonesia dan juga di Malaysia. Buku itu ditulis oleh Yuyu A N Krisna, Menyusuri Remang-Remang Jakarta (1979) dan Dolly: Membedah Dunia Pelacuran Surabaya, oleh Tjahjo Purnomo Wijadi dan Ashadi Siregar.

Yuyu adalah seorang wartawan. Ashadi Siregar adalah seorang pensyarah komunikasi (Publisistik) di Universitas Gadjah Mada (Jogjakarta). Tjahjo merupakan pelajar sarjana yang membuat kajian pekerja seks di Surabaya, dengan mengambil kes kompleks pelacuran “Dolly” sebagai kajian kes.  Tjahto lulus sarjana ilmu-ilmu sosial (sosiologi) dari Universitas Airlangga (Surabaya) tahun 1982.

Kedua-duanya (Tjahjo dan Ashadi) bergabung untuk menjadikan tesis itu sebagai buku. Buku itu laris dan mendapat sambutan hangat, kerana ia sebuah kisah yang benar-benar ada. Ini kerana jika tesis dicetak menjadi buku seperti adanya, ia terlihat kaku dan kurang menarik.

Untuk jadi menarik dan laku laris, ia memerlukan penyuntingan dan didramatisasikan. Menurut Amir Yasraf Pailing, ia perlu dibentuk sebagai dromologi. Atau istilah lain ialah disensasikan. Itulah antara ciri-ciri budaya popular.

Ashadi juga dikenali ramai sebagai novelis. Antaranya trilogi Cinta di Kampus Biru (1972), Terminal Cinta Terakhir (1976) dan Kugapai Cintamu (1974 ). Trilogi itu merupakan cerita bersambung yang disiarkan dalam akhbar Kompas.

Novelnya, Sirkuit Kemelut (1977) dikatakan sebagai sambungan trilogi, tapi tidak menjadi. Kebetulan, novel-novel karangan Ashadi Srigar menjadi santapan minda saya di awal tahun 1980-an, sewaktu masih berumur awal dua puluhan, masih kuat berimajinasi tentang cinta.

Ini mungkin akibat banyak menonton filem-filem cinta dan permulaan kehidupan pasangan yang baharu kahwin, yang menjadi trend tema filem-filem Indonesia ketika itu. Antaranya, Akhir Sebuah Impian (1973), Pengantin Remaja (1971), dan tiga buah filem daripada novel Ashadi Siregar,  Cinta di Kampus Biru (1976), Kugapai Cintamu (1977) dan Terminal Cinta Terakhir (1977).

Dari situ, saya kenal gaya pengarahan Wim Umboh dan kenali dari jauh, Widyawati, Sophan Sophian, Marini, Maruli Sitompul, Paula Rumokoy, Benjamin S. Juga mula meminati kelunakan suara Broery Marantika dan kekuatan suara bernada tinggi Emilia Contessa.

Beberapa tahun lalu, saya membaca karya yang menaikkan nama Eka Kurniawan, Cantik Itu Luka (2002). Ia berkisah tentang kehidupan wanita cantik yang menawarkan khidmat seks, pemuas nafsu untuk beberapa orang aktivis (nasionalis, komunis) dan bekas tentera Jepun.

Ia berlaku di Halimunda pada zaman akhir pentadbiran kolonial Belanda hingga ke zaman Jepun. Ada sebuah rumah pelacur terkenal, yang diuruskan oleh ibu ayam, Ma Kelawar.

Wanita pelacur itu melahirkan empat orang puteri. Tiga puterinya cukup cantik – Alamanda, Adinda dan Maya Dewi – yang menjadi rebutan. Rebutan antara lelaki perkasa yang pernah meniduri dan melakukan hubungan seks dengan Dewi Ayu.

Lelaki perkasa itu bukan sembarangan, ada wira yang bekerja sebagai soldadu Jepun, ada wira yang memperjuangkan ideologi komunis, dan dalam kalangan lelaki tempatan dan asing.

Dalam kejantanan dan perkasa diri, ada ketikanya mereka menjadi pendamba yang sanggup mengemis seks daripada seseorang wanita. Dewi Ayu menjadi pilihan, kerana kacantikan yang dimilikinya, walaupun dalam banyak keadaan Dewi Ayu tidak meraih hubungan intim selayaknya, tidak dibaluti perasaan kasih sayang.

Dewi Ayu melayani semua lelaki yang ingin memuaskan nafsu, dan baginya, itulah kerjaya untuk kelangsungan hidup, menyara anak-anak yang tidak pernah mengenali siapa bapa mereka.

Tetapi, pada kehamilan terakhir, Dewi Ayu memanjatkan doa agar tidak melahirkan puteri yang cantik seperti kakak-kakaknya. Doa itu termakbul, puteri bongsunya hodoh dan buruk rupa. Dewi Ayu sendiri tidak sanggup melihat wajah puteri bongsu.

Dewi Ayu kemudiannya meninggal dunia. Keributan mula berlaku, bunuh membunuh terjadi. Puteri bongsu itu diberikan nama Cantik. Kenapa Cantik Itu Luka. Lukanya, ada banyak sebab. Sebab kecantikan menyebabkan berlakunya perebutan dan juga sengketa.

Tetapi, Cantik yang hodoh juga terluka, lukanya kerana bernama Cantik. Ertinya, cantik atau hodoh, ada naluri yang sama, tetap mempunyai harga dan kos yang tinggi.  Cantik dan hodoh adalah realiti yang subjektif.

Suatu bentuk gaya penulisan yang disulami dengan kepercayaan mistik dan juga realiti dalam hidup, baik sebagai wanita pelacur yang ikut dilanggan oleh menantunya sendiri mahupun orang lain.

Saya tidak berhasrat memanjangkan ulasan Cantik Itu Luka, mungkin boleh membacanya sendiri untuk memahami intrig dan pergolakan jiwa seorang ibu, yang mempunyai anak-anak yang cantik, dan juga hodoh.

Namun, kesemua empat puteri yang dilahirkan, tidak ada kejelasan siapakah bapa-bapa mereka. Atas sifat itu, tidak ada seorang pun daripada empat puteri Dewi Ayu bertanyakan siapakah ayah mereka.

Ada sindiran tajam terhadap lelaki, seperti disebut oleh Alamanda: Aku menyukai laki-laki, tapi aku lebih suka melihat mereka menangis kerana cinta.

Dewi Ayu juga pernah berkata: Tidak ada bezanya perajurit rendahan atau Kaisar Jepun. Mereka semua sama mengincar selangkangan betina

Krishan, yang akhirnya menjadi pendamping Cantik pernah bersuara: Apa yang salah dengan perempuan yang buruk rupa? Mereka bisa dientot sebagaimana perempuan cantik

Kata Ma Gedik: Patah hati oleh kekasih yang cantik? Kuberi kau saran, Nak, carilah kekasih yang buruk rupa. Mereka cenderung tak akan membuatmu terluka.

Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat terhadap aktiviti persundalan, sama ada dalam bentuk komersialisasi mahupun dalam bentuk peribadi. Aktiviti itu diharamkan dalam undang-undang sivil dan juga undang-undang syariah.

Sebab itulah aktiviti persundalan sukar ditemui secara terbuka berbanding di pusat-pusat pelancongan di Thailand dan Indonesia. Secara legalnya, aktiviti persundalan itu diharamkan di Thailand dan Indonesia, namun ia mudah ditemui jika kita mengunjunginya.

Di Indonesia misalnya, ada beberapa kompleks kediaman khusus yang menjadi sarang pelacuran seperti kompleks Dolly yang dikaji oleh Tjahjo. Di Jogjakarta pun ada kompleks sedemikian dan cukup banyak di Jakarta. Bahkan di Bandung pun ada walaupun tidak sehebat Jakarta, Jogjakarta, Surabaya dan Bali.

Di Thailand juga ada, perumahan-perumahan khusus untuk pelacur. Tetapi tidak sehebat kompleks di beberapa buah bandaraya di Indonesia.

Itulah sedikit gambaran aktiviti pelacuran pada masa lalu. Dengan perkembangan teknologi, ada rumah-rumah pelacuran khusus telah ditutup, sama ada atas keberanian politik Gabenor atau Walikota seperti yang berlaku di Surabaya.

Tetapi, ia sama sekali tidak bermakna aktiviti itu pupus. Kini, muncul pula istilah muncikari, orang yang menghubungkan antara pelanggan dan pekerja seks, atau artis dan model secara dalam talian.

Surabaya pernah terjebak dengan penangkapan seorang artis ternama, Vanessa Angel (1993-2021). Vanessa dikatakan dilanggan oleh seorang lelaki kaya dengan bayaran RM 23,270 (80 juta rupiah) pada 5 Januari 2019.

Lain-lain artis dan model yang turut dikaitkan dengan aktiviti seks di Indonesia antaranya, Avriella Shaqqilla dan Nikita Mirzami. Nikita Mirzami meletakkan harga semalaman cukup mahal, yakni sekitar 300 juta rupiah (RM 87,300).

Bayaran itu tidak termasuk sewaan hotel mewah sebagai syarat untuk mereka berhubungan.

Menurut satu kenyataan, Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera, terdapat juga artis yang berusia 19 tahun menawarkan khidmat seks.

Juga dilaporkan, sehingga Januari 2019, sekurang-kurangnya dikesan seramai 45 orang artis dan 100 orang model menawarkan khidmat seks di Indonesia. (Malaysiakini, 11 Januari 2019).

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching: Sejumlah 118 laman sosial yang berkaitan pelacuran telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) antara 1 Januari hingga 15 November 2023 dan sekatan itu dibuat berdasarkan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya: tindakan terhadap kegiatan pelacuran sama ada dalam talian atau luar talian adalah secara khusus tertakluk di bawah bidang kuasa PDRM di bawah perundangan sedia ada seperti Kanun Kesiksaan (Akta 574).

Bagi platform media sosial, tindakan yang diambil tidak berfokus kepada satu platform sahaja, sebaliknya mencakupi berbilang platform media sosial.

“Dari I Januari hingga 15 November 2023, sejumlah 76 kandungan berkaitan pelacuran  di platform-platform media sosial termasuk Twitter (kini X) telah diturunkan atas pelanggaran piawaian komuniti yang ditetapkan oleh platform media sosial terbabit serta perlakuan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang negara.”

Itu adalah jawapan soalan Zulkifli Ismail (PN Jasin) di Parlimen pada 21 November 2023, selepas terbentuknya kerajaan perpaduan pada 2 November 2023. (Sinar Harian, 21 November 2023).

Ia jelas, jika sesuatu platform media sosial mempromosikan aktiviti pelacuran, ada undang-undang atau piawaian komuniti boleh dikenakan. Tetapi, sayangnya, kita belum diberitahu bahawa adanya sekatan atau laman-laman sosial yang diturunkan bila memaparkan ghairah seorang model, perempuan yang bertentangan dengan batas agama.

Pelanggaran itu belum dianggap sebagai prapelacuran, walhal tujuannya adalah jelas.

Biarpun, laman-laman sedemikian beroperasi di luar negara, ia sedikit sebanyak berupaya mempengaruhi aktiviti tersebut dengan menempel bersama ekosistem pelancongan. Ini bermakna, rakyat tempatan turut membantu hebatnya negara-negara tersebut menyumbangkan ekonomi pelancongan kepada negara yang menawarkan khidmat seks dengan harga terjangkau.

Walaupun ringgit Malaysia dikatakan merudum dan tukarannya ‘rendah’, tidak bermakna tidak ada lelaki Malaysia berkunjung ke negara tersebut untuk tujuan itu. Mungkin 10 atau 20 peratus. Ia membuktikan bahawa aktiviti seks telah menyumbang kepada pendapatan sesebuah negara, serta mengembangkan industri seks.

Inilah yang kita rasakan ada buruknya bila sektor pelancongan berusaha meningkatkan kemasukan pelancong asing, bahkan ada pelancong asing, setibanya di Malaysia mereka dikawal oleh rakyat tempatan untuk dijadikan sebagai pekerja seks.

Tidak kurang juga sebahagian pelancong asing, atau rakyat asing terperangkap dengan tawaran-tawaran pekerjaan yang mereka terima, sebelum tiba di negara ini. Setelah tiba, mereka dikurung dan passportnya dipegang, akhirnya terpaksa menjalani kehidupan sebagai pekerja seks.

Bagaimana reaksi seorang lelaki jika mendapat tawaran istimewa daripada seorang wanita, termasuk daripada seorang artis luar negara yang sangat menonjol posisi erotiknya. Saya teringat dengan satu tawaran menarik daripada seorang bintang filem lucah kepada Menteri Komunikasi Indonesia, Tifatul Sembiring kira-kira empat belas tahun lalu.

Vicky Vette (lahir 2 Jun 1965), berambut blonde, bermata biru merupakan seorang artis filem lucah dari Norway dan menetap di Kanada sedia membenarkan apa sahaja yang akan dilakukan oleh Tifatul sebagai reaksi erotik apabila menonton aksi Tifatul bersalaman dengan Michelle Obama, isteri Barrack Obama yang melakukan kunjungan ke Indonesia. Ia sebagai cabaran kepada Tifatul yang sebelumnya menegaskan tidak akan bersalaman dengan mana-mana wanita yang bukan muhrim.

Vette merupakan pemilik laman web VNA Network, yang memaparkan aksi lucah dan dikhususkan untuk dewasa. Pernah memenangi beberapa anugerah daripada lakonan lucahnya menerusi laman web, termasuk Adult Video Network (AVN) Award (2005, 2013, 2014 dan 2016), Girl of the Year (Booble.com 2008), Night Movies Award (2010, 2011, 2012 dan 2014) dan XBIZ Award (2012 dan 2013).

Tifatul melanggar ikrarnya, bila bersalaman dengan wanita pertama ketika rombongan itu tiba untuk lawatan rasmi ke Indonesia. Obama mempunyai hubungan sejarah dengan Indonesia, bahkan pernah bersekolah di sana tatkala ibunya, Stanley Ann Duham (1942-1995), yang merupakan seorang pakar antropologi berkahwin kali kedua dengan  rakyat Indonesia, Soetero pada tahun 1965.

Ketika itu, Obama sudah pun berusia 4 tahun hasil perkahwinan Ann Dunham dengan Obama Sr, berasal dari Kenya (2 Februari 1961). Ann Dunham meneruskan pengajian di Universiti Washington sebagai ibu tunggal. Mereka bercerai apabila diketahui bahawa Obama Sr sudahpun memiliki seorang isteri sebelumnya, seorang wanita Kenya bernama Kezia). Obama Sr menipu Ann Duham bahawa mereka telah bercerai.

Soetero beragama Islam dan selepas tamat sarjana geografi, pasangan itu berpindah ke Indonesia pada bulan Oktober 1967. Obama kemudiannya bersekolah di sebuah sekolah Katholik di Menteng dan tahun 1970 bersekolah pula di Besuki School yang berbahasa Indonesia.

Pertengahan Ogos 1970, Soetero dan Dunham dikurniakan seorang anak perempuan, Maya Kasandra Soetero. Tahun 1971, Obama dihantar pulang ke Hawaii untuk tinggal bersama neneknya, Madelyn Durham yang bekerja di Bank of Hawaii.

Dalam platform twitter (kini, X), Vette menulis:@tifsembiring Come to USA and shake anything you want. Tifatul boleh menyentuhnya, di mana pun bahagian tubuhnya walaupun didepan khalayak ramai.

Selain itu, Vette dengan sinis berkata: Hmm, saya ingin menjadi orang yang ‘berguna’ juga bagi Menteri Komunikasi Indonesia! Adakah anda sudah melakukannya dengan cepat, perlahan, genggam erat atau menggunakan kedua-dua belah tangan?” (Berita Harian, 14 November 2010).

Tiada perkembangan mengenai cabaran tersebut. Jangkaan ramai, Tifatul tidak menyambut cabaran itu. Sebaliknya mendiamkan diri sebagai langkah tidak membiarkan lebih banyak lagi tawaran erotik dibuat oleh Vicky Vette.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »