Seperti yang dimaklum kepada setiap muslim, ibadah Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya. Hukum menunaikan ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Namun, wujud sejenis manusia yang sanggup mengaut keuntungan haram menerusi penipuan pakej-pakej haji, badal haji dan umrah, dengan menunggang perwatakan ‘alim, mulut manis serta hati yang bertompok-tompok kehitaman. Dengan iklan-iklan melalui media sosial, serta lahirnya idea seperti umrah DIY, scammer ini berselindung disebalik topeng agensi pelancongan, dan mencari mangsa melalui posting gambar dan video indah di Haramain.
Malah baru-baru ini, seorang individu mengalami kerugian kira-kira RM40,000 akibat diperdaya oleh sebuah agensi pelancongan, yang menawarkan pakej haji menggunakan visa pelancong. Beliau kini terpaksa menunggu di hotel kerana tidak diberikan gelang untuk menandakan dirinya sebagai seorang jemaah Haji yang sah.
Ditambah pula dengan kes scammer badal Haji, yang mengambil upah tetapi tidak melaksanakan badal Haji dengan mengikuti syara’, hanya mengambil keuntungan atas angin. Lalu bersenang-lenang dan hidup mewah dengan penipuan yang telah mereka lakukan.
Setiap tahun juga, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama melalui Lembaga Tabung Haji mengingatkan masyarakat Islam supaya berwaspada dengan tawaran pakej murah yang tidak logik. Masyarakat perlu maklum bahawa kebenaran memasuki kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah sahaja. Maka bakal-bakal haji mesti lebih berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji oleh 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH.
Di dalam kenyataan beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr. Naim Mokhtar, juga menasihati jemaah yang merasakan terpedaya dengan janji untuk menunaikan haji, supaya membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya MOTAC untuk langkah selanjutnya.
Maklumat tentang status mana-mana agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah, boleh juga didapatkan di laman web MOTAC, atau e-perkhidmatan Sistem Kerajaan Arab Saudi sendiri. Anak-anak disarankan untuk membuat penyemakan bagi pihak ibu-bapa, supaya dapat membanteras aktiviti scammer dan agensi pelancongan yang menunggang agama.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA telah memberi amaran yang keras kepada golongan penipu ini;
“Sesiapa yang mengangkat senjata ke atas kami, bukanlah daripada golongan kami, dan siapa yang menipu kami, bukan daripada golongan kami.” – (HR Imam Muslim)
Sebagai peringatan untuk mereka yang masih giat mencari keuntungan melalui scam, ingatlah bahawa azab Allah SWT itu pasti. Dunia ini bukan untuk selama-lamanya. Apabila harta haram itu sudah licin, kesihatan telah meninggalkan tubuh-badan, dan ruh mula meronta-ronta di anak tekak, maka pada masa itu tertutup pintu taubat dan kemaafan.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita tentang empat perkara yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Tidak akan bergeser dua telapak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya (diminta pertanggungjawaban) tentang umurnya ke mana dihabiskannya, tentang ilmunya bagaimana dia mengamalkannya, tentang hartanya; dari mana diperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, serta tentang tubuhnya untuk apa digunakannya.” – (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments