Noam Chomsky merupakan pakar linguistik keturunan Yahudi yang turut melihat ‘permainan politik Israel’ sebagai keburukan yang fatal kepada masyarakat berperadaban.

Chomsky, walaupun ada hal yang berbeza pandangan dengan Ilan Pappe, pandangan dan kritikannya terhadap hegemoni politik semakin diterima sebagai intelektual yang berjuang untuk mengheret Israel ke jurang kebencian atas perilakunya yang enggan mendengar, patuh dan menghormati keputusan masyarakat antarabangsa.

Sebab itulah, Noam Chomsky berpendapat: Masalah Israel adalah, ia merupakan penjajahan versi abad ke-!7 hingga ke-19 yang sedang dilakukan pada abad ke-20. …Wujudnya mentality yang tersirat di sebalik minda golongan Anglo Sfera atau masyarakat peneroka-penjajah ini, yang mana menjadi akar kepada cara berfikir mereka dalam melihat dunia yang mana adakalanya, – tergelincir di bibir.

“Bagaimanapun, apabila kita melihat masa hadapan, keadaan semakin berubah dalam ruang Anglo Sfera. Sejak tahun 60-an, kesan daripada aktivisme zaman ini, wujud satu kebangkitan yang besar terhadap kesedaran tentang perkara yang berlaku pada waktu lampau.

“Banyak perkara yang disembunyikan sehinggalah zaman 60-an.

Pada zaman itu, kebanyakan ahli antropologi terkenal menuntut bahawa bilangan orang peribumi di Amerika (Red Indians) hanyalah berjumlah satu juta. Pandangan itu kini sudah tidak diterima.

“Sikap sekarang juga, sudah berbeza. Saya rasa, ini merupakan sebahagian daripada latar sebab musabab semakin banyak kecaman disasarkan terhadap Israel yang bersikap seperti peneroka-penjajah. Semua perkara ini, secara tidak langsung berkait satu sama lain.” (Ilan Pappe dan Noam Chomsky, Perihal Palestin, hal.63).

Setidak-tidaknya, dengan membaca buku Perihal Palestin akan menjawab beberapa persoalan kenapa Israel digelar sebagai ‘negara pariah’ dan menjadi latar yang dapat melengkapkan susur galur sejarah ‘kebencian’ masyarakat antarabangsa terhadap negara haram Israel.

Dan, yang lebih menarik ialah mengesahkan apa yang Allah SWT perihalkan mengenai keturunan Yahudi, yang menentang Allah SWT: Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.” (Ali-Imran: 54).

Imam Imran N Hosein, seorang cendekiawan Islam dari Trinidad menulis, Jerusalem Di dalam Al-Qur’an (terjemahan bahasa Melayu diterbitkan oleh Masjid Jami’ah City of San Fernand dan diedarkan oleh Al-Tasneem Sdn. Bhd,  2009) : “Negara Yahudi Israel telah bertapak selama 50 tahun (1948-2009). Ini bukan satu kejayaan yang dicapai oleh kaum Yahudi dengan penuh kesusahan seperti mana kaum Yahudi mahukan kita mempercayainya.

“Sebaliknya, kejayaan ini adalah hasil pengaruh Zionis yang telah menipu Bani Israel dengan penipuan yang amat besar sekali. Salah satu dari penipuan mereka ialah penggunaan slogan “tanah untuk manusia, untuk manusia tanpa tanah”. Sekiranya tiada manusia yang menduduki tanah tersebut, siapa yang sekarang ini membaling batu kearah mereka?”(hal.12)

Sambung Imam Imran: Kembalinya golongan Bani Israel ke Tanah Suci Jerusalem, mengesahkan bahawanya Yakjuj dan Makjuj telah dibebaskan di atas bumi ini serta telah turun dari segenap ketinggian dan telah merebak ke segenap arah dan dengan demikian telah menguasai dunia keseluruhannya.

“Order yang memerintah dunia hari ini, adalah order dunia Yakjuj dan Makjuj. Yakjuj dan Makjujlah yang telah membolehkan Bani Israel kembali ke Tanah Suci Jerusalem.

“…Perancangan ini termasuklah penguasaan orang-orang Yahudi ke atas seluruh kawasan Tanah Suci Jerusalem. Penguasaan yang meluas ini merupakan suatu langkah bagi menunjukkan dominasi Dajjal ke atas dunia.

“Negara Israel ini perlu diserahkan kepada Dajjal kepada orang-orang Yahudi agar Dajjal dianggap sebagai al-Masih yang ditunggu-tunggu. Asas kepada pernacangan besar tersebut adalah penguasaan ke atas kekayaan dan sumber air.” (hal. 40).

Apa pun kesimpulannya, sama ada Yahudi-Zionis bermaharajalela di bumi Palestin untuk suatu tempoh tertentu, perancangan jahat dan liciknya tidak dapat disembunyikan lagi, semakin terbuka luas, dan semakin menyebabkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Israel kian lebur.

Tatkala itulah, Israel akan merasakan kehancurannya, kerana tidak ada yang kekal dan belum ada mana-mana peradaban kekal selama-lamanya hingga ke hari Kiamat.

Seperti apa yang kita ketahui daripada sejarah, kehebatan empayar Rom berjaya dilenyapkan selepas berkuasa selama 500 tahun (27SM hingga 476M) dan digantikan dengan kerajaan Romawi (Roman Empire). Kerajaan Rom yang dibangunkan itu akhirnya berjaya dilumpuhkan oleh Muhammad al-Fatih dari Dinasti Utsmaniah pada tahun 1453.

Empayar-empayar Islam juga tumbang walaupun merupakan sebuah empayar yang besar dan berpengaruh sejak Islam berjaya menghapuskan masyarakat kabilah dan menyembah berhala pada tahun 600 M. Empayar-empayar Islam terbentang luas daripada seluruh negara-negara Arab, Afrika Utara, tiga suku tanah Eropah dan India selama lebih empat abad akhirnya berjaya diruntuhkan dengan bantuan kuasa-kuasa asing.

Tentunya, sebab terbesar keruntuhan empayar Islam adalah perpecahan dalaman yang tidak pernah berakhir sejak kemunculan dua fraksi yang berakar umbikan doktrin politik di atas masalah pengangkatan kepimpinan. Ia dilihat bermula secara drastinya pada zaman pemerintahan Uthman bin Affan, khalifah ketiga yang menggantikan Umar al-Khattab. Ia berlaku atas perseteruan antara pendokong kepimpinan Uthman dan pendokong Syiah (yang bermula dengan munculnya puak Khawarij semasa wafatnya Nabi Muhammad SAW).

Setelah itu, muncul pula Muawiyah yang menuntut pembelaan terhadap kematian Uthman bin Affan pada zaman pemerintahan Ali bin Abi Talib. Akhirnya, Ali bin Abi Talib, yang merupakan sepupu dan menantu Rasulullah SAW dibunuh oleh aktivis Syiah, dan diikuti oleh kematian putera Ali bin Abi Talib di Karbala.

Muawiyah kemudiannya menjadi tokoh utama dalam pembentukan sistem pemerintahan dinasti (warisan) setelah berjaya mengasaskan Dinasti Muawiyah. Dinasti Muawiyah akhirnya dihancurkan pula oleh Dinasti Abassiyah. Abassiyah pula berhadapan dengan saingan dengan Dinasti Fatimiyyah yang didirikan di Mesir oleh aktivis Syiah.

Dalam tempoh kekuasaan Dinasti Abbasiyyah, muncul kerajaan-kerajaan kecil yang berasal daripada proses desentralisasi khalifah untuk mengurus dan mentadbir wilayah-wilayah kekuasaannya. Akibat daripada kecelaruan fikrah memudahkan Dinasti Abbasiyah dihancurkan oleh tentera Mongol sehinggalah muncul bangsa Turki menghancurkannya dan menubuhkan Empayar Utsmaniah.

Empayar Utsmaniah bukan sahaja mampu mengalahkan penguasaan tentera Mongol, bahkan berupaya melenyapkan Empayar Byzantium setelah Muhammad Al-Fateh menawan Constantinapole,

Constantinapole kemudiannya dinamakan Istanbul dan menjadi pusat pemerintahan Empayar Utsmaniah sehingga berjaya ditawan oleh kuasa-kuasa Eropah di akhir Perang Dunia I. Keruntuhan itu menandakan berakhirnya penguasaan Islam dan bermulalah sekularisasi di dunia Islam.

Keruntuhan itu kemudiannya menjadi sejarah hitam keturunan Arab apabila negara haram ditubuhkan pada 14 Mei 1948 apabila Ben Gurion mengangkat sumpah sebagai PM Israel. Sejak itu, penjarahan Yahudi-Zionis ke atas bumi Palestin tidak pernah berhenti dan semakin menjadi persoalan masyarakat antarabangsa, bukan lagi sekadar persoalan berteraskan agama, iaitu Islam dan Yahudi.

Walaupun asalnya, persoalan agama menjadi bingkai perjuangan, yakni menguasai Jerusalem, yang menjadi pusat sejarah tiga agama samawi- Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam. Di awal penubuhan WZO, dan permulaan proses pemindahan Yahudi ke Palestin, ia tidak mendapat sambutan, maka itulah menyebabkan unsur-unsur agama dieksploitasikan.

WZO pernah ditentang oleh penganut Yahudi otordok, kerana mereka sedar bahawa cadangan itu lahir daripada kehendak Yahudi liberal, agnostik dan ateis, yang tidak ada pemahaman yang murni terhadap ajaran Yahudi. Disebabkan itulah akhirnya persoalan agama mula menjadi impulse yang berkesan, selain tawaran-tawaran sistem perumahan yang lebih menarik kepada keturunan Yahudi bagi menamatkan diaspora mereka di seluruh dunia.

Tidak kurang juga keputusan yang berlawanan berlaku, masyarakat Yahudi Eropah yang disifatkan berada dalam keadaan diaspora tidak kembali ke ‘Tanah Yang Dijanjikan” atas sebab-sebab tertentu, termasuk aset yang mereka berjaya kumpulkan, dan melihat seruan itu lebih bersifat perkauman, suatu seruan yang gila dan bakal merosakkan hubungan antara agama dan etnik.

Sebahagian mereka berhijrah ke Amerika Syarikat dan membina kehidupan yang lebih, Inilah menyebabkan pengaruh Yahudi-Zionis cukup besar dalam menentukan kemenangan seseorang calon presiden sejak Perang Dunia I dan menjadi lebih kuat selepas Perang Dunia II, tatkala Amerika Syarikat dikatakan kuasa adidaya. Namun, tidak kurang pula keturunan Yahudi di Amerika Syarikat menjadi penentang dan pengkritik dasar Washington terhadap Palestin, yang dapat kita baca menerusi tulisan akademik.

Antaranya, Noam Chomsky, Ilan Pappe, Norman Filkenstein, Ralph Epperson dan Avi Shivam mahupun keturunan Palestin sendiri seperti mendiang Edward Wadie Said,  Rashid Khalidi dan Mahmud Barghauti; dan lain-lainya  seperti DM Dunlop, Henry Ford, Eugene Rogan, Michael Collins Pipper dan RebeccaRuth Gould.

Empayar Islam terakhir tumbang ialah Empayar Utsmaniah atas peranan besar kuasa-kuasa barat yang bersengkongkol dengan Yahudi selepas Perang Dunia I (1918). Dengan tumbangnya Utsmaniah, maka bermula era Yahudi Zionis untuk menguasai dunia, namun kekejamannya sudah mula diperkata dan dikecam oleh masyarakat antarabangsa, dan ketika ini, ia menjadi petunjuk awal tentang kehancuran Israel, yang diramalkan akan hancur sebelum mencapai usia seratus tahun (satu abad).

Terdapat dua kajian sejarah yang cukup menarik menceritakan tentang punca-punca kejatuhan Empayar Utsmaniah, yang ditulis oleh pakar sejarah keturunan Turki. Buku pertama ialah tulisan Prof Dr Mehmet Maksudoglu, The Untold History of Ottoman,  terjemahan bahasa Indonesia oleh Wisnu Tanggap Prabowo, Esti Oktora dan Muriani Suyanto, terbitan Pustaka al-Kautsar, Jakarta Timur, 2023, dan M Sukru Hanioglu, Detik-Detik Akhir Empayar Utsmaniah, terjemahan ke bahasa Melayu oleh Puspawati Rosman, terbitan IBDE Ilham Sdn, Bhd,, Kuala Lumpur, 2023. Sebuah lagi buku menarik ialah karya Eugene Rogan, The Fall of Khalifah, terjemahan bahasa Indonesia oleh Fahmi Yamani, terbitan PT Serambi Ilmu Semesta, Jakarta, 2016.

Benih-benih kehancuran negara haram Israel sedang membiak dan berkembang. Telah muncul keyakinan dalam kalangan penganut atau keturunan Yahudi sendiri (Haaretz Aluf Benin) yang dipetik oleh Noam Chomsky menggambarkan pemimpinnya (seperti): “Israel sedang bertinju dengan bayang-bayangnya sendiri.”

Pemimpin Israel sentiasa berada dalam ketakutan, seperti takut diusik oleh hantu walaupun pada zahirnya mampu berehat dan bersenang lenang kerana mempunyai kekuatan tentera dan teknologi persenjataan termoden, tetapi rehat mereka seumpama berada di sebuah “vila di dalam rimba’. (Ilan Pappe dan Noam Chomsky. Perihal Palestin, hal.144).

Bagi saya, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 benar-benar menjadikan Israel sedang bertinju dengan bayang-bayangnya. Biarpun mampu membunuh lebih 35,000 nyawa penduduk Palestin, meruntuhkan ribuan bangunan termasuk hospital, sekolah dan khemah pelarian, Israel terpaksa menanggung cemas dalam mimpi ngeri di setiap malam.

Mimpi ngerinya yang paling seram ialah penerimaan 143 negara terhadap keanggotaan penuh Palestin, yang akan menyebabkan algojo-algojonya tidak boleh tidur lena pada hari-hari mendatang (10 Mei 2024). Persoalannya, sejauhmanakah Israel dan Amerika Syarikat menghormati keputusan tersebut?

Persoalan sedemikian muncul kerana Amerika Syarikat masih berusaha untuk mengawal dan menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan apa-apa sahaja keputusan yang menyebelahi Palestin dalam UNSC. Itulah sebabnya Amerika Syarikat dan Israel masing-masing digelar ‘negara pariah’, bahkan ada tulisan dan bangkangan rakyat Amerika Syarikat, menggelarkan negara mereka sebagai ‘negara haus darah’ atau ‘negara gila perang”.

Amerika Syarikat yang menanggung hutang tertinggi di dunia adalah disebabkan tindakannya campur tangan dalam hampir kesemua peperangan yang berlaku sejak selepas Perang Dunia I dan dalam yang sama menjadi pengeluar senjata terbesar dunia. Dengan menjual senjata untuk membunuh, dan juga menghulurkan bantuan senjata, telah menyebabkan Amerika Syarikat dilihat cukup kontradik dengan dasar dan peruntukan undang-undang antarabangsa, menjamin keamanan dan keselamatan setiap orang atau negara.

Dalam beberapa kes yang membabitkan isu terorisme, Amerika Syarikat sendiri telah dimasukkan sebagai negara terrorist, dan definisi terorisme tidak lagi terhad kepada individu dan kumpulan, ia termasuk negara. Tentunya, Amerika Syarikat campur tangan dalam Arab Spring kerana mahu mempertahankan kepentingannya di negara Teluk, tetapi Amerika Syarikat juga belum mampu menebus malunya apabil terpaksa menarik diri (menyerah kalah) di Vietnam, Afghanistan, dan sekadar menggertak Iran.

Biarpun Libya dan Iraq berjaya diluluhlantakkan oleh senjata canggih, Amerika Syarikat belum mampu mengubati luka perangnya. Jadi, Amerika Syarikat akan dianggap bermaruah dan mampu mengubati lukanya, sekiranya dalam penyelesaian konflik Palestin-Israel kali ini, Washington benar-benar memaksa Israel berundur dan tidak melakukan sebarang provokasi terhadap Palestin.

Amerika Syarikat perlu memaksa Israel menerima syarat yang dipertahankan oleh Hamas, sekiranya gencatan senjata akan kekal dan berpanjangan. Hamas menetapkan tiga syarat: (1) pelarian Palestin yang ada di seluruh dunia dibenarkan kembali ke Palestin; (2) menyerahkan balik tanah-tanah yang dirampas sejak tahun 1948 (termasuk Gaza, Tebing Barat dan Jerusalem Timur) dan menerima pembahagian yang dibuat oleh PBB pada tahun 1967; (3) membenarkan kemasukan bantuan asing untuk pembangunan Gaza.

Ketika itu, suara PLO atau Pihak Berkuasa Palestin (Palestine Autority) dan part Fatah tidak dapat mewakili pendirian dan ketetap Hamas. Hamas ditubuhkan di atas kegagalan PLO yang dipimpin oleh Yasser Arafat kerana menggadaikan hak Palestin apabila bersetuju menandatangani Perjanjian Oslo (Oslo Accrod, 13 September 1993). Fatah dan PA telah menerima dasar dan kehendak Israel, dalam banyak perkara, pemimpin-pemimpinnya didakwa menerima gaji dan upah yang lumayan oleh Israel di atas penerimaan terma-terma dalam perjanjian tersebut.

Jika Perjanian Versailles dianggap menekan dan menyiksa Jerman, maka Perjanjian Oslo adalah kaedah menghalalkan kebiadapan Israel ke atas keturunan Arab-Palestin. Itulah sebabnya ideologi perjuangan Syeikh Ahmad Yassin terus hidup dalam jiwa aktivis Hamas dan penduduk Gaza. Sebab itulah Palestin yang semakin kerdil dan kecil wilayahnya terbelah dua, Tebing Barat dikuasai oleh Fatah manakala Gaza dikuasai oleh Hamas.

Hamas kini dilihat sebagai’musuh” oleh Israel, tetapi Hamas tidak pernah menerima Israel sebagai sebuah negara berdaulat. Hamas selama-lamanya akan berpendirian, Israel adalah sebuah negara haram, yang lahir daripada penipuan dan sikap tamak Yahudi Zionis.

Ini dapat dilihat daripada rasa cemasnya apabila Iran melancarkan lebih 300 tembakan dan dron kearah negaranya, walaupun berjaya ditangkis. Dengan wajah yang kusut masai, berpeluh dan berlumus, Israel menghantar surat kepada pemimpin Malta, agar mempercepatkan proses mengecam Iran. Presiden Malta merupakan pemegang pengerusi UNSC masa kini.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin dan diplomat Israel terus melobi Rumah Putih sehinggalah seorang diplomatnya dihantar ke Asia Tenggara untuk membantu menyekat Iran daripada terus menjual produknya (termasuk minyak) dan tidak menggunakan kemudahan sistem kewangan menyalurkan bantuan kepada Hamas.

Brian Nelson, setiausaha rendah perbendaharaan mengenai Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat kurang memberikan impak, sekurang-kurangnya mengubah pendirian Malaysia.

Pada pertemuan itu (9 Mei 2024), Menteri Dalam Negeri berkata: …menjadi polisi kita untuk mengenal pasti kalau sekatan ini dikemukakan oleh UN Security Council. Maknanya, dalam kata lain, saya menyebut bahawa menjadi pendirian dasar kita bahawa kita tidak mengiktiraf sekatan yang dibuat oleh individu. Dalam konteks AS menghormati pendirian kita.”

Sedikit sebanyak perbincangan ini, yang saya asalnya mengutip pandangan dua ahli akademik keturunan Yahudi cukup memberikan saya tentang permasalahan Palestin, yang sukar difahami dengan jelas kerana banyak penulisan yang bersifat bias dan keterlaluan membenarkan tindakan Yahudi Zionis.

Namun, buku yang disusun berdasarkan wawancara antara mereka cukup memadai untuk saya memahami dan menelusuri keganasan pemimpin negara haram Israel dan keliaran makna keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia yang menjadi ‘komoditi politik’ wilsonisme mahupun demokrasi, yang dipenuhi ‘kebiadaban’ dan ilusi.

Noam Chomsky dan Ilan Pappee berjaya memberikan saya suatu pendedahan intelektual yang menarik dan membawa kepada sebuah kesimpulan bahawa apa yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 (konflik terbaharu) adalah kesinambungan sekelompok manusia yang berhati binatang, membenarkan makna ‘animal politic’, menggunakan apa sahaja alasan dan kewajaran bagi menghalalkan kejahatan. Big Mongering! Big Liar!

Algojo masyarakat moden yang hilang pertimbangan moral dan kemanusiaan. Pelaku kejahatan dianggap sebagai hero; mereka yang menjadi mangsa itu dianggap jahat dan ganas (militant and terrorist).

*********

Tanahku jauh, bila diukur kilometer                                                                                              

jumlahnya beribu-ribu,                                                                                                            

tapi azan Masjidil Aqsa yang merdu,                                                                                                

serasa terdengar di telingaku.

(Taufiq Ismail, Palestina, Bagaimana Bisa Aku Melupakanmu, 1989)

KAMARUN KH

Translate »