Bukan sekali ianya dilakukan, bahkan berkali-kali. Misalnya dalam Tragedi Dier Yassin (9 April 1948) di mana 25 orang ibu hamil dipaksa melihat bagaimana bayi yang dikandungnya dikerat sebelum menghembuskan nafas. Tiga kumpulan pengganas Yahudi – Irgun, Haganah dan Stern – menceroboh Qilqiya, Nablus, Tulkarem, Bersheba, Baisan, Haifa dan Yaffla – di mana Irgun dipimpin oleh Menachem Begin,  mereka membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub-mesigan, bayonet dan pisau.

Tragedi Jenin (3-24 April 2004). Jenin merupakan kawasan yang menempatkan pelarian perang (1948) dalam jumlah yang besar, yakni sekitar 14,000 orang. Bermula 3 April 2002, penduduk Jenin dikenakan perintah berkurung oleh Israel, yang dirancang pada awal Mac oleh Ariel Sharon. Ariel Sharon adalah orang yang bertanggungjawab melakukan genosid di Sabra dan Shatila pada tahun 1982, yang menyebabkan 3,000 rakyat Palestin disembelih.

Tidak cukup dengan kekejaman menyembelih, Ariel Sharon dengan angkuhnya berkata: Rakyat Palestin mesti dihentam dengan cara yang paling menyakitkan. Kita mesti menyebabkan kemusnahan, kematian supaya mereka membayarnya dengan harga yang paling tinggi.

Dengan berbekalkan ‘semangat memusnahkan’, tentera Israel menceroboh khemah pelarian Jenin yang sempit dan padat itu. Ditembaknya secara membabi buta kediaman dan jentolah digunakan untuk meranapkan rumah-rumah di Jenin. Selesai melakukan tindakan biadab itu, salah seorang pemandu jentolak berkata:

Ada ramai penghuni apabila kami mula melakukan operasi meranapkan rumah-rumah…saya pasti mereka mati di dalam rumah-rumah mereka, tetapi ia sukar untuk dilihat…saya berasa seronok melihat setiap rumah yang tumbang…kalaulah ada yang menyakitkan saya, ialah apabila kami tidak melenyapkan seluruh khemah-khemah pelarian ini.”

Pemandu jentolak itu kemudiannya diberikan pernghargaan, pingat keberanian. Penduduk Jenin turut digunakan sebagai perisai: “Seorang ayah dan anak yang berumur 14 tahun, dijadikan tebusan dan bahu anak yang berumur 14 tahun, dijadikan tebusan dan bahu mereka dijadikan sebagai galas untuk menembak.

“Seorang kanak-kanak juga dibawa ke mana sahaja sebagai pelindung askar-askar pengganas ini. Kanak-kanak ini kemudian ditembak dilututnya dan dibiarkan selama enam hari tanpa dibenarkan keluar dari khemah Jenin untuk mendapat rawatan.

Apabila kanak-kanak itu diselamatkan kemudian, kakinya sudah busuk (gangrene) dan tidak dapat diselamatkan lagi. Seorang jururawat Palestin yang sedang bertungkus lumus untuk merawat seorang mangsa tembakan pula ditembak pada jantungnya dengan sengaja.”

Dua kisah kekejaman tentera Israel – Dier Yassin dan Jenin- yang saya kutip itu dirakamkan cukup berkesan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Palestin Kemenangan Yang Dekat, Shah Alam: Karya Bestari, cetakan ke-2, 2024, hal. 13-20.

Berdasarkan laporan, lebih 100 orang sukarelawan dan anggota yang bertugas di bawah panji PBB terbunuh sejak 7 Oktober 2023; lebih 140 wartawan ditembak mati; hampir 35,000 orang terbunuh, dan hampir 80,000 cedera di pihak penduduk Palestin; lebih 1,700 juta penduduk Palestin menjadi pelarian; berpuluh ribu buah bangunan runtuh; berpuluh buah pusat rawatan dirosakkan; dan lebih dahsyat lagi, Israel hanya berkata, apa yang dilakukan itu adalah hal yang wajar demi keselamatan Israel dan mempertahan diri.

Tidak lagi ramai mempercayai kata-kata itu. Bahkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sudah ‘berpatah arang’ kerana Israel enggan mendengar nasihatnya. Awalnya, Joe Biden mempertahankan tindakan Israel, dan menyokongnya dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk senjata atas tujuan ‘keselamatan dan mempertahan diri’. Semuanya tergenjat pada awal Mei lalu, apabila tentera Israel terus mengebom Gaza dan menutup kemasukan bantuan masyarakat dunia menyampaikan makanan dan ubat-ubatan.

Joe Biden juga menjadi ‘berang’ dengan sikap Israel yang tidak lagi ‘mendengar cakap’ dan Perdana Menteri Israel, tidak mempedulikan sama ada Amerika Syarikat sedia menghulurkan bantuan atau menghalanginya, Benjamin Neetanyahu akan terus menjadi ketua algojo di Palestin.

Dalam reaksinya, ketika Washington mengumumkan bantuan peralatan senjata dan peluru berpatah balik atas arahan Joe Biden, Neetanyahu dengan sombongnya berkata: Jika Israel dipaksa untuk berdiri sendiri, Israel akan berdiri sendiri

“….Tiada negara datang membantu kami, kami sekali lagi berdepan musuh yang tekad  memusnahkan kami…

Saya berkata kepada pemimpin dunia, tiada tekanan, tiada keputusan oleh mana-mana forum antarabangsa akan menghalang Israel daripada mempertahankan diri.”

Dalam membenarkan kata-kata tersebut, Neetanyahu berkata: Betapa besarnya penyelewengan keadilan dan sejarah.”

Kata-kata itu diucapkan ketika melakukan upacara Hari Peringatan Holocaust di tugu peringatan Yad Vashem, Baitul Maqdis pada 6 Mei lalu. Secara umumnya, hari peringatan Holocaust Antarabangsa diraikan pada 27 Januari setiap tahun. Pada tarikh itu, tahun 1945, tentera Rusia menyelamatkan ribuan orang Yahudi daripada kem-kem konsentrasi setelah berjaya menghentam tentera Nazi.

Holocaust dikatakan dilakukan oleh tentera Nazi pimpinan Adolf Hitler dan sekutunya menjelang Perang Dunia II, membabitkan 6 juta keturunan Yahudi dibunuh kejam, 2 juta orang Gipsi, 250,000 orang kurang upaya fizikal dan mental, serta 9,000 pengamal homoseksual.

Ia pertama kali ditetapkan oleh resolusi PBB 60/7 pada 1 November 2007. 24 Januari 2005 adalah ulangtahun ke-60 pembebasan kem-kem tahanan Nazi dan berakhirnya holocaust, yakni tamatnya Perang Dunia II. Namun, apa yang jelas, holocaust Nazi bukanlah menjadi puncak balas dendam Yahudi-Zionis terhadap rakyat Palestin.

Holocaust sebenarnya tidak pernah berakhir. Holocaust kembali dilaksanakan oleh Israel atas alasan yang tidak benar dan bohong. Tindakannya melaksanakan pembersihan etnik, menjadikan Israel sebagai ‘negara pariah’ dan kepariahan Israel telah dibuktikan sejak tertubuhnya negara haram tersebut pada 14 Mei 1948.

Setelah lebih 75 tahun, sejak berkuasa dan menjarah bumi Palestin, Israel tidak pernah berhenti melakukan holocaust, walaupun tidak sepatutnya melempiaskan dendam terhadap Nazi ke atas sasaran yang salah dan tidak melakukan holocaust ke atas bangsa Yahudi. Palestin tidak pernah terbabit, sama ada sebelum kemunculan Hitler mahupun pada masa-masa Palestin berada di bawah empayar Islam.

Berdasarkan fakta sejarah, Yahudi yang bersetuju dengan proses penempatan semula di Palestin bukanlah merupakan 12 suku kaum Yahudi asal, yang dinisbahkan dengan 12 putera Nabi Yaakob AS. Mereka tidak mempunyai genetik dengan mana-mana induk Yahudi, kerana Yahudi dimaksudkan dalam dua pemahaman, iaitu mereka yang beragama Yahudi (Judaisme) dan cucu cicit Nabi Yaakob, yang menjadi induk bangsa Yahudi.

Dua kelompok itu menganut agama Judaisme, yang kemudiannya dikaitkan dengan kuasa dan pemerintahan Yehuda dan Benjamin. Yehuda dan Benjamin menguasai Kanaan di bahagian selatan, manakala 10 lagi anak-anak Nabi Yaakob menubuhkan kerajaan masing-masing di bahagian utara. Lama kelamaan, generasi 10 anak Nabi Yaakob yang tinggal di bahagian utara lenyap tanpa dapat dikesan, yang menjadi penduduk Yahudi asal di bumi Palestin seterusnya ialah daripada jurai keturunan Yehuda dan Benjamin.

Namun, bilangan mereka tidaklah ramai selepas kerajaan-kerajaan yang dianggap kuat itu berjaya diruntuhkan oleh pelbagai pihak. Antaranya, Byzantium, Parsi dan orang-orang Tartar. Semasa Baitul Maqdis berada di bawah kuasa Islam (pada zaman khalifah Umar al-Khattab, Umayyah, Salahudin al-Ayubbi dan Utsmaniah) mereka diberikan hak yang sama dan tidak dihalau keluar daripada Palestin. Ia berbeza pada zaman penguasaan Byzantiu, Rom dan Parsi.

Kelompok Yahudi yang mendokong cita-cita Hertzl dikatakan berasal daripada bangsa Khazar, yang memeluk agama Judaisme. Mereka tidak hubungan sejarah dengan Palestin. Daripada bangsa Khazar inilah munculnya etnik-etnik Yahudi yang lain seperti Askhenazim, Sefardin dan Syarqiyin. (Dr Muhamad Syakir, Ensklopedia Sejarah Palestin dan Yahudi, terjemahan Haji Abdullah Sani, Puchong, Selangor: Pustaka Ibnu Katsir, 2014; dan Arthur Kosstler, The Thirteen Tribes: Khazar Empire and It’s Heritage, 1976).

Teori genetik, kaitannya Khazar dengan Yahudi Askhenazi tidak mampu menjawab asal usul rumpun Yahudi yang mendominasi bumi Palestin sekarang. Tetapi, yang jelasnya, Yahudi Zionis yang mendominasi Israel adalah kelompok Yahudi liberal dan ateis, yang tahap beragama mereka cukup rendah, bahkan tidak ada hubungan darah dengan Yahudi asal yang mendiami bumi Palestin semasa berdirinya kerajaan Bani Israel, pada zaman kegemilangannya, iaitu pada zaman Nabi Daud AS (King David) dan Nabi Sulaiman AS (King Solomon).

Yahudi Zionis bukanlah berkaitan dengan agama Yahudi semata-mata, ia kaum Yahudi, yang lahir daripada campuran pelbagai etnik daripada nenek moyang yang beragama Yahudi (Judaisme). Ini kerana, jika dihubungkan dengan agama, tentunya Yahudi memahami dan mengamalkan ajarana yang penuh prihatin, kasih sayang dan cintakan keamanan. Apa yang berlaku sekarang, Yahudi Zionis terlalu jauh daripada nilai-nilai tersebut, yakni nilai dan semangat Judaisme yang sejati.

Yahudi Zionis adalah generasi yang lahir menerusi Yahudisasi, atau pengyahudian. Merela boleh berbuat apa sahaja walaupun menipu dan melanggar prinsip agama mereka sendiri. Sebabnya, sebahagian aktivis Zionis adalah mereka yang agnostik, ateis dan jika ada pun sekelumit pengamal ajaran Judaisme, ia hanyalah tempelan, yang akan digunakan sebagai ‘matlamat menghalalkan cara’.

Inilah wajah yang membingkai para pemimpin negara haram Israel sejak mereka menduduki bumi Palestin –David Ben Gurion, Chaim Weizmann, Mosye Dayan, Ariel Sharon, Golda Meyr (wanita pertama PM Israel) dan Benjamin Neetanyahu – penyembelihan penduduk Palestin tidak pernah berhenti. Jika dalam holocaust yang berlaku sekitar 4 hingga 5 tahun dibawah kepimpinan Adolf Hitler adanya kem-kem konsentrasi, para tahanan masih diberikan makanan walaupun tidak mencukupi dan berkhasiat.

Tetapi pada era holocaust Israel, rakyat Palestin dikepong dan dipenjarakan di penjara terbuka tanpa ada ruang menikmati makanan, ubat-ubatan dan ditekan fizikal dan minda berpanjangan tanpa kesudahan memasuki tahun ke-76. Entah bila akan berakhir, tidak dapat dipastikan dengan jelas, kerana Amerika Syarikat akan menolak atau memveto apa sahaja rencana damai yang diputuskan oleh PBB.

Israel yang dipertahankan oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat tidak pernah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, walaupun sudah dibuat ketetapan dalam forum antarabangsa. Beberapa resolusi, tidak pernah dipatuhi oleh Israel, bahkan disanggah oleh Amerika Syarikat dan Britain, yang diberikan hak memveto.

Namun, keputusan pengundian yang dilaksanakan pada 10 Mei 2024, melakarkan sedikit kejayaan buat Palestin: 143 buah negara menyokong Palestin diberikan status penuh, sebagai sebuah negara dalam PBB. Ini bermakna, Palestin akan menjadi negara ke 194 keahlian dalam PBB, dan bakal mendapat hak sebagai sebuah negara. Ini turut memberikan ruang kepada Palestin untuk membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan juga Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dibentuk oleh PBB.

Namun, setiap kali ada keputusan yang berpihak kepada Palestin, Israel akan bertindak lebih ganas, kerana pemimpinnya kebal undang-undang. Kekebalan itu diperoleh kerana Amerika Syarikat dan sekutunya akan tetap menolak apa sahaja tekanan dan proses undang-undang ke atas Israel, dan ini menunjukkan selagi PBB dipengaruhi oleh Amerika Syarikat, selagi itulah masalah perdamaian di Timur Tengah tidak akan selesai.

Namun, dalam perkembangan geopolitik semasa, Amerika Syarikat mula berhadapan dengan tekanan lebih besar dan banyak, apabila kedudukannya sebagai kuasa ekonomi dunia mulainya mengalami kemerosotan. Amerika Syarikat sedang tertekan dengan gerakan nyahdolar (dedolarisation), dan yang lebih meresahkan ialah kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi yang semakin bersedia mengejar hegemoni negara settler-colonialism itu.

Walaupun China sedang dan akan terus ditekan oleh Amerika Syarikat sejak bermulanya perang perdagangan, China tidak gentar menghadapi, bahkan menjadi sangat kreatif menyaingi apa sahaja produk dan strategi perniagaan kapitalis Barat.

Setelah tertubuhnya BRICS – kerjasama ekonomi di antara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan – dan semakin banyak negara menyokong kerjasama tersebut, Amerika Syarikat menjadi semakin ‘tidak bermaya’ dan kini menggunakan alasan, subsidi daripada kerajaan telah menyebabkan produk daripada China lebih murah.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah yang tidak adil. walhal Amerika Syarikat juga tidak adil dalam mengawal pasaran. Ia menggambarkan beberapa rekonsilasi ekonomi seperti WTO (World Trade Organisation), ILO (International Labour Organization), diskriminasi tariff dan duti, subsidi pengeluaran bahan pertanian tidak lagi mampu bersaing dengan kos pengeluaran industri di China yang lebih murah.

Usaha Amerika Syarikat menarik firma teknologi atau menyekat komoditi melabur dan menjual ke China, hanya dilihat sebagai penyelesaian sementara. Ini kerana China mempunyai kepakaran dalaman yang diperlukan, bahkan menjadi lebih cepat memenuhi kekosongan yang disebabkan dasar diskriminasi Amerika Syarikat.

Ini dapat dilihat daripada kesungguhan China membangunkan teknologi canggih dan produk berteknologi yang lebih murah daripada produk daripada negara barat. Kini, persaingan sudah nampak kekalahan besar produk Amerika Syarikat dan Eropah dalam teknologi telekomunikasi dan penghasilan kereta elektrik (EV). Bahkan, syarikat automatif China semakin banyak menjalin kerjasama dengan pengeluar automatif Eropah, selain membeli saham syarikat automotif yang bermasalah.

Jenama Eropah – misalnya Smart (antara Mercedes dan Swatch) dan MG- telah mula dikilangkan di China menerusi kerjasama dengan syarikat automotif China. Ketika ini, Tesla jenama kereta elektrik Amerika Syarikat turut melakukan kerjasama dengan China, demi survival dan kelangsungannya. Tesla sangat memerlukan bateri yang dihasilkan oleh pengeluar bateri dari China. Ini menyebabkan kapitalis Yahudi menjadi resah dan terpaksa menggunakan lobinya bagi mempengaruhi dasar perdagangan bebas Amerika Syarikat yang diskriminatif.

Askhenazim adalah kelompok yang beragama Judaism yang tinggal di Jerman, sebab itulah dikenali sebagai Yahudi Jerman. Mereka menggunakan bahasa Viadish dan menyerapkan beberapa kosa kata Ibrani. Askhenazi turut diberikan kepada kelompok Yahudi Khazar yang tinggal di Britain, utara Perancis, sebahagian wilayah Austria dan sebahagian suku Slavik. Istilah Askhenazi merujuk kepada pola kebudayaan pada abad ke-13.

Sefardim adalah kelompok Yahudi yang berhijrah ke Iberia setelah ditakluki oleh orang Islam pada tahun 711. Mereka kemudiannya menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa pertuturan menggantikan bahasa Arab. Setelah hancurnya kekuasaan Islam di Sepanyol (Andalusia), keturunan Yahudi mendapat tekanan daripada pemerintah Kristian Katholik. Setelah itu, mereka tidak lagi menggunakan bahasa Sepanyol, sebaliknya menjadikan bahasa Ladino.

Bagi melindungi daripada ancaman kuasa Kristian, mereka berpura-pura menjadi penganut Kristian dan sebahagian daripada mereka berhijrah ke Jerman. Mereka kemudiannya berasimilasi dengan Askhenazim dan mengakui bahawa mereka adalah kelompok Yahudi yang paling mulia, mereka kemudiannya bersatu mulai abad ke-16. Sebahagian daripada Yahudi yang tidak mahu berasimilasi dengan Askhenazi, berhijrah pula ke Slanik, Yunani.

Syargiyin adalah orang Yahudi yang meninggalkan Palestin sama ada secara sukarela ataupun dihalau oleh kuasa-kuasa yang memerintah (Babylon, Romawi, Parsi dan Tartar) dan yang bencikan Islam. Mereka berhijrah ke Iran, Iraq, Afghanistan, lembangan Mesir dan Afrika utara. Sebahagian daripada mereka berasimilasi dengan penduduk setempat dan dalam masa yang sama tetap mempertahankan primordial masing-masing. Mereka kemudiannya disebut sebagai Yahudi Sefardim sebaik sahaja kembali ke Palestin dan memiliki rabinya yang khusus.

Apa yang dapat kita simpulkan, bahawa Yahudi yang mendokong ideologi Zionis inilah yang menjadi kelompok ganas dan paling kejam dalam sejarah tamadun manusia, kerana melakukan pelbagai penipuan untuk menjarah Palestin, walaupun secara asal muasalnya, tidak ada kaitan dengan Yahudi asal di Palestin. Mungkin hanya ada sebahagian kecil daripada mereka yang kemudiannya ‘kembali ke Palestin’ setelah ditawarkan pelbagai keistimewaan dalam konteks settler colonialism.

Yahudi Ashkhenazim inilah yang berlagak seperti ‘abang besar’ atau ‘big brother’ kalau diteliti daripada ungkapan-ungkapan pemimpin mereka, termasuk ungkapan terbaharu daripada PM Israel sebanyak enam kali dan paling lama berkuasa, Benjamin Neetanyahu. Kalau sebelumnya, meraih dan menagih simpati kuasa-kuasa barat, dalam konflik terbaharu, Neetanyahu tidak lagi akur dengan permintaan Washington.

Malah, Neetanyahu memerli keputusan Joe Biden dan pendirian masyarakat antarabangsa sebagai ‘tidak adil’ dan tidak memahami fakta sejarah. Sebenarnya, Yahudi Zionislah yang menjungkirbalikkan fakta sejarah dan makna keadilan, sebagai kaedah menuding jari dan brainwashing. Mungkin kerana Joe Biden takutkan ‘abang besar’, kerana bulan November nanti akan berhadapan dengan pemilihan penggal kedua, membuat kenyataan baharu bahawa akan memberikan bantuan persenjataan bernilai USD$3.8 bilion kepada Israel ketika rakyat Palestin berarak mengingati Hari Nakba di tengah-tengah keganasan Israel di Haifa pada 15 Mei 2024.

Ertinya, ‘abang besar’ telah berjaya menggugah pendirian Joe Biden, dan jelaslah bahawa kenyataan Neetanyahu seminggu sebelumnya, sangat menggigit pendirian sebelumnya. Jiwa Joe Biden semakin kerdil, dan kerana itulah Amerika dan Israel sama-sama dipanggil negara pariah. Negara kecil (Israel) berjaya ‘menelan’ negara besar (Amerika Syarikat). Lebih menyedihkan, negara besar (Amerika Syarikat) semakin kerdil semangat juang dan hilang arah, kerana penentuan dasarnya ditentukan oleh orang lain, dan dipengaruhi oleh Yahudi Zionis, yakni kapitalis yang ada kaitannya dengan Israel.

Tetapi, itulah Israel yang sangat terkenal sebagai ‘big mogering’, menjual kebohongan kepada masyarakat dunia bagi memperlihatkan dirinya tidak bersalah dan perlu dihormati secara adil, berlatarkan sejarah yang ‘benar dan tepat’.

Israel sebenarnya berusaha keras untuk memesongkan sejarah, kerana Yahudi Zionis yang menguasai negara haram Israel bukanlah ada kaitannya dengan keturunan Yahudi yang dikatakan bakal peroleh “Tanah Yang Dijanjikan” pada masa Allah SWT meminta mereka ‘berperang’ dan ‘mengembara’ setelah menerima siksaan dan tekanan daripada kerajaan fir’aun di Mesir (khususnya pada zaman pemerintahan Ramses II).

Akibat propaganda yang keterlaluan, masyarakat dunia sudah memahami apa sebenarnya yang berlaku di Palestin, bahkan semakin ramai keturunan Yahudi mula mempersoalkan sikap dan pendirian sebenar Israel.

Mereka mula menulis dan membongkarkan pelbagai salah laku, termasuklah pendedahan yang dibuat oleh Ilan Pappe dan Noam Chomsky. Ilan Pappe ialah seorang sarjana dan pakar sejarah Israel, berketurunan Yahudi dan sangat lantang mengkritik ‘political game’ Israel. Ilan Pappe mengajar sejarah Israel di Universiti Exeter, United Kingdom.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »