Sehari selepas Ben Gurion mengiytiharkan diri sebagai Perdana Menteri Israel, kebencian dunia Arab mula meletus dan bangkitlah apa yang dikenali sebagai Nakba. Ketika rencana ini ditulis, sambutan ulangtahun Nakba ke-76 sedang berlangsung, di mana dalam suasana penduduk Gaza terkepung, dihentam dengan bedilan peluru dan bom tentera Israel, semangat memperjuangkan kemerdekaan Palestin semakin membuak-buak, semangat jihad rakyat Palestin tidak pernah gentar walaupun dicengkam kematian dan kelaparan.
Ribuan rakyat Palestin berarak berhampiran bandar Haifa. Mereka tidak gentar dalam situasi tentera Israel mengganas untuk memperingati malapetaka rampasan besar-besaran terhadap Palestin. Perarakan itu turut dikenali sebagai “return march” yang mula diadakan setiap tahun sejak 27 tahun lalu (1997). Perarakan tahun ini merupakan sejarah terbesar yang menampakkan sinar kemenangan buat rakyat Palestin. ( Sinar Harian, 15 Mei 2024).
Mereka cukup berani untuk memperingati Hari Nakba, yang dilihat mencabar Hari Memperingati Holocaust yang disambut oleh Benjamin Neetanyahu minggu lalu. Benjamin Neetanyahu menyambut ulangtahun Holocaust sebagai simbol terhadap penderitaan Yahudi yang dibantai oleh tentera Nazi, sempena tarikh pembebasan tahanan kem konsentrasi Jerman pada Januari 1945 oleh tentera Rusia, yang juga menandakan tamatnya Perang Dunia II.
Namun, sambutan Benjamin Neetanyahu terlewat empat bulan daripada tarikh ulangtahun pembebasan. Tentunya, ramai orang boleh membuat andaian, kenapa Benjamin Neetanyahu berbuat demikian walaupun sudah terlewat. Tidak lain tidak bukan, ialah sebagai satu bentuk propaganda, bertujuan mengalihkan kecamam masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman Israel yang semakin memuncak sehingga meluas di serata dunia, termasuk dalam kalangan pelajar universiti-universiti di Amerika Syarikat.
Para pelajar mendesak agar universiti memutuskan hubungan dengan entiti perniagaan dan pelaburan yang ada hubungannya dengan Israel, juga ada desakan tidak lagi menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat pembuat senjata yang membunuh rakyat Palestin. Ertinya, persoalan Palestin semakin berubah kepada persoalan pembantaian manusia dan pelanggaran undang-undang, tidak lagi dilihat sebagai konflik antara Yahudi-Islam, Arab-Israel dan Palestin-Israel.
Inilah landasan dan idea pemikiran yang dibincangkan secara jelas dalam dialog Noam Chomsky dan Ilan Pappe dalam buku Perihal Palestin. Namun, oleh kerana perihal Palestin belum berakhir, berkembang menjadi fasa pembantaian yang lebih besar, terma proses perdamaian yang bercelaru, perkembangan-perkembangan terbaharu yang lebih dahsyat daripada konflik sebelumnya (sehingga tahun 2014, yakni ketika buku itu dihasilkan), saya tidak melakukan ulasan sepenuhnya, biarpun beberapa asas dan pertimbangan yang dicadangkan masih relevan atau nampak ada sinar berpihak kepada Palestin.
Saya jadikan apa yang dibincangkan oleh dua tokoh akademik itu– Amerika Syarikat dan Britain –sebagai kerangka dalam memahami secara jelas permasalahan konflik dan harapan penyelesaiannya.
Pada mulanya, beberapa tindakan yang awalnya dilihat tidak memberikan kesan buruk terhadap entiti perniagaan yang ada kaitan dengan usahawan Yahudi berideologi Zionis di seluruh dunia, semakin bermasalah ekoran bantahan dan pemulauan terhadap produk mereka. Gerakan ini dikenali sebagai BDS – boycott, divestment and sanction – atau dalam bahasa Melayu ialah boikot, nyahpelaburan dan sekatan.
BDS awalnya dimulakan oleh dua orang penduduk Palestin, Omar Barghouti dan Ramy Shaat pada tahun 2001, yang mengambil model kejayaan gerakan Anti-Aparthed dari Afrika Selatan. BDS kemudiannya berkembang menjadi gerakan antarabangsa dan diinstitusikan secara rasmi pada 9 Julai 2005.
Sebagai tindakan mengekang kekejaman Israel, BDS akan menumpukan usaha memboikot mana-mana produk, syarikat dan entiti perniagaan yang membantu Israel dalam usahanya untuk melenyapkan keturunan Palestin di tanah airnya sendiri, melalui tindakan kejam dan proses pengenyahkan mereka sehingga demografi penduduk berubah, dari majoriti Arab Palestin kepada majoriti Yahudi, atas alasan, keturunan Arab-Palestin adalah penyebab huru hara di Timur Tengah.
Israel dengan bijaknya mengeksploitasi sejarah, dan berusaha menulis semula sejarah sehingga gambaran akan berpihak kepada ‘kebenaran’ bahawa Yahudi Zionis adalah pemilik sebenar bumi Palestin dengan menggunakan slogan “Tanah Yang Dijanjikan” oleh Tuhan untuk bangsa Yahudi.
Seperti kata Prof Ilan Pappe, ia suatu tuntutan yang melampau dan tidak benar, setelah 3,000 tahun berada dalam fenomena diaspora di Eropah, maka imaginasi itu muncul hanya pada tahun-tahun terakhir Abad ke-19, yakni setelah munculnya impian seorang Yahudi ateis dan liberal kelahiran Budapest, Hungary, bernama Theodore Hertzl.
Sebelum Hertzl muncul dengan impian menubuhkan sebuah negara Yahudi (Der Judanstaat), tidak pernah muncul impian tersebut walaupun kelompok Yahudi menjadi sekelompok kapitalis kaya yang menguasai ekonomi dan kuasa di beberapa buah negara Eropah, sama ada di Jerman, Perancis, Poland dan Britain.
Ilham Hertzl bermula daripada pengalaman kewartawanannya dalam membuat laporan terhadap nasib yang menimpa seorang tentera Perancis keturunan Yahudi yang dihukum atas dakwaan palsu menjual maklumat rahsia kepada tentera Jerman. Kaptan Alfred Dreyfus ((1859-1935), yang ketika itu berusia 35 tahun (Disember 1894) dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan dipenjarakan di Pulau Syaitan (Devil Island). Isu ini menjadi eksploitasi dan manipulasi yang cukup berkesan oleh Hertzl.
Pada bulan Mac 1896, Kolonel Georges Picquart berjaya menemukan bukti sebuah dokumen (tulisan tangan) yang dibuat oleh Major Ferdinand Walsin-Esterhazy yang menjelaskan bahawa dakwaan ke atas Dreyfus adalah dakwaan palsu.
Namun, bukti itu sengaja diketepikan kerana telah berlaku kesepakatan dalam kalangan pemimpin tentera Perancis untuk mendiskriminasikan mana-mana anggota tentera keturunan Yahudi, maka Esterhazy dibebaskan dari semua tuduhan terhadapnya. Esterhazy kemudiannya dihantar menyertai ketumbukan tentera Perancis ke Afrika Utara.
Setelah itu, muncul beberapa tindakan untuk mencari keadilan untuk Dreyfus. Bulan Januari 1898, kes tersebut kembali menjadi kontroversi, dan Emile Zola, seorang wartawan menulis sebuah rencana berjudul J’accuse. Rencana itu menyebabkan masyarakat Perancis menjadi semakin terbelah dua – penyokong Dreyfus (Dreyfusards) dan penentang Dreyfus (Anti-Dreyfusards) – akhirnya membangkitkan kemarahan kelompok cendekiawan dan liberal Perancis.
Tahun 1899, kerajaan Perancis memberikan pengampunan kepada Dreyfus dan dikembalikan tugasnya sebagai anggota tentera. Dreyfus turut serta dalam ketumbukan tentera Perancis dalam Perang Dunia I dan kemudian bersara dengan pangkat Leftenan Kolonel.
Hertzl menulis risalah Negara Yahudi pada tahun 1896, kemudian ia dibentangkan dalam persidangan pertama Yahudi di Basel, Switzerland yang diadakan pada 29-31 Ogos 1897. Dalam persidangan tersebut, telah dipersetujui menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) dan ini menjadi titik tolak kepada usaha dan rancangan menubuhkan negara haram Israel.
Pada hari kedua persidangan tersebut, satu ketetapan telah dibuat: “Zionisme bertujuan untuk menubuhkan rumah orang-orang Yahudi di Palestin yang dijamin di bawah undang-undang awam,”
Hertzl dalam diari yang bertarikh 1 September 1897 menulis: “At Basel I founded the Jewish State. If I said this out loud today, I would be greeted by universal laughter. In five years perhaps, and certainly in fifty years, everyone will perceive it.” Itulah yang menjadi permulaan bersejarah dalam perjuangan menubuhkan negara haram Yahudi, yang dirintis dengan penuh tekad dan keazaman sehingga berjaya mendapat sokongan daripada keturunan Yahudi yang berpengaruh dan dalam kalangan elit kuasa, yang awalnya di Britain dan seterusnya Perancis.
Perancis sebenarnya lebih gembira dengan usul tersebut kerana negara itu amat terkilan dengan sikap dan tindakan keturunan Yahudi, ia dilihat sebagai ‘langkah pengusiran semulajadi’, atau atas kehendak keturunan Yahudi sendiri. Itulah yang kita fahami apabila dua orang diplomat, seorang dari Britain, Mark Skyes (Colonel Sir Tatton Benvenuto Mark Skyes, 1879-1919) dan seorang dari Perancis, Francois Georges-Picot (Francois arie Denis Georges-Picot, 1870-1951) menandatangani satu perjanjian pada 3 Januari 1916. Perjanjian itu dikenali sebagai Perjanjian Skyes-Picot.
Ia kemudiannya satu surat persetujuan telah dikeluarkan dengan persetujuan Parlimen Britain untuk membantu menubuhkan negara haram Yahudi oleh Arthur Balfour kepada Lord Rothchild, kapitalis Yahudi Britain yang membantu menjayakan impian Hertzl pada 9 November 1917. Ia dikenali sebagai Deklarasi Balfour.
Deklarasi inilah kemudian dilaksanakan oleh Amerika Syarikat tatkala Britain menyerahkan mandatnya selepas Perang Dunia II. Selepas Perang Dunia I, ekoran jatuhnya empayar Utsmaniah, Perancis dan Britain membahagi-bahagikan masing-masing wilayah untuk dikuasainya.
Britain menguasai sebahagian wilayah bekas Utsmaniah di sekitar Semenanjung Arab dan Palestin, sebagaimana dirancang oleh aktivis Yahudi ketika merencanakan Perang Dunia I. Halangan WZO ialah kuasa Utsmaniah, maka dengan merancang Perang Dunia I, akan mengheret Utsmaniah ke kancah perang, kerana mendokong Jerman. Jerman pula dihasut oleh Yahudi untuk melakukan serangan ke atas beberapa negara Eropah yang berideologi komunis dan berkelahi dengan Rusia.
Utsmaniah dilihat sebagai halangan terbesar telah disuarakan oleh Hertzl setelah beliau berjaya menemui Sultan Abdul Hamid II, untuk mendapatkan wilayah Palestin, dengan bantuan pemimpin Jerman. Pemimpin Jerman, Kaiser Wilhelm berjanji menjadi pelindung migrasi orang-orang Yahudi ke Palestin. Keputusan itu dicapai dalam pertemuan kedua di Jaffa, pada 6 Oktober 1898.
Sebulan kemudian, Wilhelm dan Hertzl bertemu kali ketiga, dan Jerman bersedia membantu untuk menyediakan keperluan air untuk bakal diduduki dan juga penanaman pokok di Palestin. Jelas Kaiser Wilhelm: Kami akan menyediakan semua keperluan itu. Meski usaha ini memerlukan biaya dengan jumlah jutaan, tapi usaha ini juga akan mendatangkan jutaan juga.”
Hertzl kemudian menubuhkan Jewish Colonial Trust (diterajui oleh David Wolfson dan Jacobus Kahn, ditubuhkan pada tahun 1889) telah mampu menjual saham sebanyak 200,000 dan sepertiga pembelinya adalah dari Rusia.
Ketika itu, kedudukan ekonomi Utsmaniah cukup perit, manakala Sultan Abdul Hamid II mendapat gelaran The Sick Man of Europe, kerana mempunyai hutang yang besar. Dikatakan, hutang luar negeri Utsamaniah berjumlah 53 juta pound sterling.
Hertzl menggunakan pelbagai cara dan kemungkinan untuk bertemu Sultan Abdul Hamid, namun akhirnya berjaya dilakukannya dengan bantuan seorang tokoh orientalis Yahudi, Armin Vambery pada 7 Mei 1901. Namun, pertemuan itu tidak menghasilkan apa-apa keputusan yang membantu Hertzl, sebaliknya, Hertzl pulang dengan rasa kecewa yang mendalam. Hertzl kemudiannya membina strategi baharu, iaitu menggunakan kapitalis Yahudi untuk mendekat elit politik Britain.
Inggeris mula tertarik dengan cadangan menempatkan warga Yahudi di sempadan Palestin dan Mesir, iaitu di al-Arish. Cadangan itu dapat membantu Inggeris menjamin keselamatan Terusan Suez di bahagian timur yang siap dibangunkan.
Namun, al-Arish bukanlah merupakan lokasi terbaik, dan dikeluarkan penyelesaian alternatif, diusulkan Uganda (oleh Kolonel Joseph Chamberlain), yang sudah ditinggalkan oleh Inggeris sejak tahun 1892, akibat wabak penyakit yang telah mengorbankan lebih 250,000 orang.
Masyarakat Yahudi menentang cadangan tersebut, atas alasan bahawa Uganda bukanlah zion (tanah air kaum Yahudi, di mana Bukit Zion (Jabal Sahyoun) yang berada di Jerusalem adalah tempat di mana pusara Nabi Daud AS. Nabi Daud merupakan raja kerajaan Bani Israel yang kedua, selepas berjaya menurunkan Thalut.
Seluruh Bukit Zion diwartakan sebagai tempat suci pemeluk agama Yahudi. Oleh itu, sebarang cadangan yang lain tidak boleh diterima kerana tidak ada hubungannya dengan agama Yahudi. Hanya Palestin yang merupakan “Tanah Yang Dijanjikan”. Dalam agama Yahudi dan Kristian, Nabi Daud AS dipanggil David, dan dengan nama itulah juga Zionis merakamkan bendera mereka dengan bintang David, yang melambangkan enam penjuru – asalnya adalah tujuh, yang menjadi simbol nama malaikat- iaitu ejaan Daud yang mengandungi dua ‘D’ dan ia ditulis sangat mirip dengan segi tiga (dalam bahasa Ibrani), sama dengan huruf Yunani, delta. Dua “D” (dalet) inilah menghasilkan dua segi tiga, yang kemudian disusun timbalik (bertindih dan terbalik).
Dalam memoir, Sultan Abdul Hamid II menyatakan: Yahudi sedunia bersatu dan berusaha membuat jalan menuju Tanah Yang Dijanjikan. Pada suatu saat, mereka datang kepadaku dan menuntut kepadaku bahagian tanah Palestin untuk dijadikan pemukiman Yahudi. Imbalannya, adalah sejumlah harta yang mereka telah serahkan, walaupun aku tolak.”
Namun, sayangnya ketegasan Sultan Abdul Hamid II tidak meningkatkan solidariti wilayah-wilayah naungannya, bahkan semakin mengalami perpecahan dan tindakan untuk keluar daripada penguasaan Utsmaniah.
Atas sebab dan perenungan itu, Sultan Abdul Hamid II menulis: Namun negara-negara besar yang menguasai bangsa-bangsa Muslim sangat banyak di Asia, seperti Inggeris dan Rusia yang akan gementar ketakutan terhadap persenjataan Khalifah yang aku miliki. Oleh sebab itulah mereka berusaha keras membuat kesepakatan untuk mengakhiri negara Utsmaniah.
“Adalah kewajipanku untuk tidak menggunakan persenjataan tersebut di luar wilayahku sampai hari yang dinantikan, kerana tindakan seperti itu tidak bermanfaat bagi saudara-saudara kami segama dan tidak juga bagi negeriku. Aku putuskan, sebagai khalifah, untuk menggunakan kekuatanku dalam mempertahankan keutuhan dan keamanan negeriku, seperti keputusan yang lain untuk berusaha menyelamatkan saudara-saudara kami seagama di luar negeri menentang segala risiko.
“Keputusanku menahan armada laut telah memberikan ketengan kepada Inggeris dan Perancis, namun keberadaan khalifah dalam genggamanku menjadikan Inggeris sentiasa hidup dicengkam kekeliruan.” (Dr Muhammad Harb, Memoar Sultan Abdul Hamid II, terjemahan Masturi Irham dan Mujiburrahman, Jakarta Timur: Pustaka al-Kautsar, 2013).
Akal panjang Yahudi akhirnya menjerat Utsmaniah, apabila menjalin kerjasama dengan Jerman dan ikut terbabit dalam Perang Dunia I. Dengan penyertaan Utsmaniah dalam Perang Dunia I, maka adalah mudah bagi gabungan tentera Britain, Perancis dan di akhirnya disertai oleh Amerika Syarikat menghapuskan kuasa Utsmaniah. Bila Utsmaniah dapat dihancurkan, usaha menubuhkan negara haram Israel dapat dilaksanakan dengan mudah.
Setelah Britain menyerahkan Mandat Palestin kepada Amerika Syarikat, kerana Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa utama yang memenangi Perang Dunia II, menghancurkan Jerman dan Jepun, maka pada 14 Mei 1948 lahirlah sebuah negara haram Israel di bumi Palestin.
Mulai tarikh tersebut, Israel yang ditunjangi oleh aktivis Zionis terus melaksanakan impian jahat, dan kekal berperanan sebagai algojo membunuh keturunan Arab-Palestin, bertindak sebagai ‘big brother’ dan tegar melakukan ‘big mongering’ kepada seluruh masyarakat antarabangsa.
Israel menggambarkan apa sahaja tindakannya, mengganas, menjarah, membunuh dan merampas setiap inci tanah penduduk Palestin adalah sesuatu yang wajar, tidak salah dan ia adalah ‘hak etnik Yahudi’ dalam memenuhi slogan “Tanah Yang Dijanjikan”.
Inilah hasil dan rentetan wacana kejam Israel yang cuba dibahaskan secara teliti dan mendalam oleh dua orang ahli akademik keturunan Yahudi dalam persoalan masa lalu dan permulaan settler colonialism yang dilakukan oleh Israel, dalam buku yang cukup mengajak pembaca berfikir dan berpendirian berbeza dengan apa yang disenandungkan oleh media barat dan retorik Rumah Putih serta sekutunya.
Seperti kutipan yang saya ambil dibahagian awal rencana ini, walaupun ramalan Prof Ilan Pappe itu sehingga konflik than 2014, sepuluh tahun kemudian (2024) ia menunjukkan ada harapan besar masa depan Palestin untuk hadir sebagai sebuah negara yang tidak lagi ditindas kejam, bergerak dengan cita-citanya sendiri, sehingga matlamat penguasaan (dominasi) Israel lenyap oleh kebangkitan masyarakat antarabangsa merejamnya (Tel Aviv).
Tragedi serangan balas Israel sejak 7 Oktober 2023 benar-benar menjadi sejarah peralihan persepsi masyarakat antarabangsa daripada tidak peduli ke atas Palestin kepada menggerakkan lebih banyak simpati dan dokongan hatta daripada rakyat negara-negara yang menjadi pelindung dan pendokong Israel sendiri.
Akibat serangan ganas Israel sehingga tiada rasa peri kemanusiaan, Afrika Selatan menjadi negara yang paling berani untuk bertindak. Afrika telah mengajukan usul kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan mendakwa Israel melakukan genosid, suatu kekejaman yang pernah WZO gunakan untuk meraih simpati masyarakat antarabangsa bagi membolehkan Yahudi ‘kembali ke Tanah Yang Dijanjikan’.
Genosid yang dilakukan oleh Israel adalah lebih kejam daripada apa yang dilakukan oleh tentera Nazi ke atas keturunan Yahudi menjelang Perang Dunia II, bahkan tentera Nazi tidak melakukan apa yang tentera Israel lakukan ke atas penduduk Palestin.
Terlalu banyak bukti yang dilakukan oleh rejim Zionis sehingga penduduk Palestin yang dikepong dibiarkan mati tanpa makanan, mereka yang cedera dibiarkan membusuk lukanya sehingga diserang gangerin, kanak-kanak dibunuh dan disembelih, wanita diperkosa dan dibelah perutnya tanpa pedulikan janin yang ada dalam kandungan, rumah-rumah penduduk diruntuhkan dengan serangan mortar, peluru berpandu dan dron pembunuh, seluruh pintu masuk ditutup dan dikawal, fizikal dan mental didera, dan terakhir membunuh sesiapa sahaja yang berusaha membantu rakyat Palestin termasuk kakitangan PBB sendiri.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments