Sejarah telah menyaksikan termeterainya sebuah perjanjian antara kaum-kaum di Mekah, yang boleh diambil pengajaran kepada generasi hari ini. Peristiwa Hilf al-Fudul merupakan sebuah perjanjian yang dimeterai oleh penduduk-penduduk Mekah, termasuk Nabi Muhammad SAW, untuk mengangkat nilai keadilan sebagai asas masyarakat Mekah pada zaman itu. Disebabkan peranan Nabi Muhammad dalam pembentukannya, perjanjian tersebut memainkan peranan yang penting dalam etika Islam. Oleh kerana istilah fudul biasanya bererti mulia, perjanjian tersebut kerap kali diterjemahkan sebagai Perjanjian Mulia.
Peristiwa Hilf al-Fudhul berlaku pada bulan Zulkaedah, tahun ke-20 sebelum kenabian, tepatnya 4 bulan setelah selesai daripada peperangan Fijar antara suku Quraisy dan kabilah-kabilah yang bersekutu dengan Bani Kinanah dalam menghadapi serangan Bani Qais ‘Ailan.
Peristiwa ini turut disertai oleh Rasulullah SAW sepertimana yang Baginda ceritakan sendiri, melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, katanya: Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku pernah menyaksikan Hilf al-Mutayyabin bersama para bapa saudaraku ketika aku masih kecil. Dan aku tidak suka jika aku diberi unta merah, sementara aku melanggarnya.”
Peristiwa Hilf al-Fudhul melibatkan antara lima kabilah, iaitu; Bani Hashim, Bani Abd al-Muttalib, Bani Asad bin ‘Abd al-‘Uzza, Bani Zahrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah. Ia bermula selepas pertengkaran semasa perniagaan, dan melibatkan banyak pihak berkepentingan di Mekah.
Seterusnya, mereka melakukan Tahaluf atau Perjanjian Kerjasama dengan nama Allah bahawa tiada seorang pun boleh dizalimi di Mekah, sama ada penduduknya atau orang luar yang datang menziarahi, melainkan mereka akan saling membantu mengembalikan hak dan kemuliaan (al-Fudhul) kepada empunyanya. Tahaluf ini yang telah dihadiri sendiri oleh Rasulullah SAW sebelum kedatangan Islam ini, dan setelah menjadi Rasul, Baginda SAW memuji Tahaluf ini dengan bersabda yang bermaksud:
“Aku menghadiri satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Tidaklah ada yang melebihi kecintaanku kepada unta merah kecuali perjanjian ini. Sekiranya aku diajak menyepakati perjanjian ini pada masa Islam, nescaya aku akan mendatanginya.”
Pengajaran daripada perjanjian bersejarah ini, diambil sebagai tajuk Persidangan Perundingan Ulama Muslim Sedunia di Istanbul, Turkiye, yang sedang berlangsung. Dengan tajuk – Kebangkitan Konsep Hilf al-Fudul Setelah Krisis Gaza – para ulama’ dan umara’ sedunia bersidang bagi mengemukakan langkah-langkah terbaik, demi mencapai kesatuan dan kedamaian.
Di dalam ucapannya sempena persidangan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal-Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr. Naim Mokhtar, mencadangkan 4 langkah asas untuk merealisasikan aspirasi Hilf Al-Fudul ini. Yang pertama adalah dengan pembentukan gabungan global untuk pembelaan isu-isu kemanusiaan bersama. Kedua adalah dengan menghidupkan program bantuan kemanusiaan seluruh dunia, bagi membantu negara-negara yang menghadapi krisis kemanusiaan. Yang ketiga adalah dengan menampilkan kerangka penyelesaian konflik bersifat inklusif, demi keamanan sejagat. Dan terakhir adalah memulakan program advokasi, promosi dan pendidikan supaya dapat membina solidariti global berpaksikan keamanan.
Sudah tiba masanya negara-negara Islam menggerakkan jentera-jentera penyatuan masing-masing, demi mempertahankan rakyat Palestin. Terlalu lama Umat Islam dihantui oleh perpecahan, rasuah dan pengkhianatan. Hidupkan semangat ukhuwah antara negara-negara Islam kembali, dan kembalikan kekuatan serta kesatuan tamadun Islam. Belajar daripada kesilapan yang tercatat di dalam sejarah Islam sebelum ini, supaya dapat menyaksikan pemeteraian Hilf Al-Fudul baharu, yang akan dihormati oleh seluruh dunia.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments