SETIAP kali tiba bulan Mei, kadangkala terasa alangkah meriahnya. penuh dengan perayaan dan peristiwa. Masuk sahaja bulan Mei, para pekerja bersorak gembira, anak-anak sekolah tumpang sekaki kerana ayah dan ibu tidak ke pejabat kerana cuti Hari Pekerja.

Bulan Mei ada Hari Kebebasan Akhbar (3 Mei), Hari Palang Merah Antarabangsa (8 Mei), Hari Juruarawat Antarabangsa (12 Mei), Hari Keluarga Antarabangsa (15 Mei), Hari Belia (15 Mei), Hari Telekomunikasi Sedunia (17 Mei), Hari Guru (17 Mei), Hari Kepelbagaian Budaya untuk Dialog dan Pembangunan Antarabangsa (21 Mei), Hari Kepelbagaian Biodiversity Antarabangsa (22 Mei), Hari Antarabangsa Kedamaian Antarabangsa (29 Mei) dan Hari Tanpa Tembakau Antarabangsa (31 Mei).

Di peringkat Malaysia, dalam bulan Mei tarikh yang paling diingati ialah Tragedi 13 Mei 1969 di mana ia telah menukar atau mengubah lanskap politik sehingga Malaysia muncul sebagai salah satu model hubungan kaum yang berjaya dalam tempoh tertentu. Setelah sekian lama berlaku, model hubungan kaum yang dilihat berjaya tidak lagi berjaya dipertahankan atau menjadi lebih baik.

Akibat masing-masing kaum berusaha untuk kembali kepada rentak primodial tertentu, sesekali ada letusan emosi dan konflik. Letusan emosi kadangkala terjadi kerana adanya pendapat yang berbeza, pendapat yang boleh dianggap cukup selfish dan bernuansa ‘kesedaran kaum’ atau ethno-centrisme. Sebahagian besarnya dikatakan berpunca daripada toleransi yang keterlaluan sehingga asas-asas kontrak sosial perlu diubah atas kepentingan semangat zaman, zeitgeist.

Semangat zaman pula dikatakan kadangkala membawa kepada kekacauan dan kekalutan. Semangat zaman menjadi cabaran kepada persoalan-persoalan moral, etika, agama dan keadaban. Masakan tidak, nilai-nilai moral dipinggirkan, yang penting menguasai material daripada sumber alam, sumber manusia, teknologi dan kuasa (dominasi).

Atas sebab-sebab hakisan semangat mempertahankan moral, etika, agama dan keadaban menyebabkan masyarakat dunia semakin mendekati persoalan hegemoni, atau menguasai orang lain seperti ingin kembali kepada hukum rimba, survival of the fittest, yang menang dapat semua manakala yang kalah hilang segala-galanya. Ia seperti kembali membentuk kehidupan kuno dalam kerangka perhambaan dan diperhambakan, walaupun dalam zaman yang dikatakan tercanggih teknologi.

Kenapa tidak, sejak bermulanya Aidilfitri, ramai yang teruja dengan lagu yang sepatutnya kita raikan kemuliaan Syawal dengan aksi terkinja-kinja oleh D’Farm, Alamak Raya Lagi. Ramai yang mengambil peluang, bukan sahaja kanak-kanak bahkan orang dewasa melakukannya hal yang sama, termasuk mereka yang sudah bergelar nenek berjoget-joget di halaman kamera, dirakamkan aksi itu dan kemudian dimuatnaikkan ke tik tok.

Agamawan menegur dan mengkritik, tidak kurang memberikan reaksi yang cukup kontradik sehingga ada yang berkata: apakah agamawan itu dijamin masuk syurga berbanding kami yang meraikan hari raya sebegini? Biarlah kami lakukan apa yang kami suka.

Kadangkala kita pun ‘rasa marah’, bebal apakah masyarakat Melayu-Islam masakini, tidak boleh ditegur sedikit, ada yang melenting. Nak berhibur atau bergembira sedikit pun ‘tidak boleh’; dan kami tahu mana yang ‘haram’. Ya! Memang mereka tahu ‘mana yang haram’; tetapi terkinja-kinja menyanyi lagu dan memuatnaik aksi itu untuk tontonan umum, apakah tidak ‘haram’?

Selain daripada aksi terkinja-kinja, muncul pula satu software dalam media sosial yang dinamakan Big Swap Puzzle. Software ini cukup memikat ramai orang ‘terjebak sama’; sebabnya ramai yang suka gaya feminine dan juga maskulin. Keadaan badan yang sudah renta boleh jadi cukup cun, menarik dan automatik langsing, muda atau seperti zaman anak dara. Tidak perlu lakukan apa-apa, hanya sekadar click sahaja untuk ‘bermain’.

Pada mulanya saya tidak kisah dengan satu atau dua gambar yang dimuatnaik itu yang terhasil daripada janaan artificial intelligence, kecerdasan buatan atau dikenali sebagai AI. AI merupakan teknologi pada era teknologi software terkini, yang hangat diperkatakan akan mempengaruhi banyak perkara setelah teknologi visual dalam 3D (atau 3 dimensi) berjaya diperkukuhkan. Kalau dalam sektor perhubungan internet, ia termasuk sebahagian daripada teknologi 5G yang tercanggih, selain speed yang sangat cepat dan data yang lebih besar.

Sebelum ini, perbincangan hangat pernah dibuat terhadap kegilaan manusia berselfie atau wefie. Oleh kerana selfie atau wefie sudah menjadi sebahagian budaya baru manusia keliru, maka kekeliruan personaliti itu akhirnya diterima sebagai sebuah kemestian, tatkala seseorang itu berada di sesuatu sebagai update harian. Sampai sahaja direstoran, mesti lakukan selfie sehingga nama restoran itu menjadi viral, sama ada makanannya cukup sedap atau di sebaliknya.

Dari satu perspektif ia boleh memberikan kesan yang baik, jika menu makanan yang disediakan enak dan suasana dalam restoran itu cukup selesa. Tetapi, jika restoran itu mengenakan harga yang mahal, ia akan mengundang banyak prasangka dan rasa gelisah. Kemungkinan disita atau diperiksa oleh pihak berkuasa tetap ada.

Apatah lagi jika restoran itu mengabaikan norma sebagai sebuah restoran yang menghidangkan makanan untuk orang ramai. Maksud saya tidak bersih, melonggokkan pinggan mangkuk di atas jalan, suasana dapur yang berselerak, ada kesan najis tikus, lipas berkerumun dan sebagainya.

Pada perspektif kesihatan awam, langkah pendedahan sedemikian patut dipuji. Dipuji kerana pengusaha restoran atau kedai makan tidak peka dengan kebersihan, ambil mudah dan alpa. Ia sepatutnya tidak berlaku. Bahkan, ada restoran sangat percaya kepada ‘pelaris’; lakukan apa sahaja menurut pandangan bomoh yang berfirasat boleh membawa keuntungan besar kepada peniaga.

Macam-macam ada, macam-macam benda yang tidak sepatutnya ada dan dicampurkan dalam ‘periuk besar’ sebagai bahan pelaris, boleh menaikkan deria rasa terhadap makanan tersebut. Speciality, walaupun jika dibungkus dan dimakan di rumah boleh ‘kembang mulut’ dan ‘loya-loya’.

Juga jika harganya terlalu mahal, yang dikenali sebagai ‘harga kayangan’. Sebab itulah dalam peraturan yang sedang berkuatkuasa, premis perniagaan wajib meletakkan ‘tanda harga’ bagi membolehkan pelanggan mengetahui sama ada harga itu patut atau tidak.

Namun, kadangkala pelanggan pula yang lebih-lebih komen, harga yang ditawarkan itu ‘mahal’. Peniaga ada sebabnya kenapa harga makanan bermasak seperti sotong, udang dan ketam ‘sangat mahal’. Bahan mentah juga cukup mahal.

Bukan sotong, udang dan ketam sahaja yang mahal. Bahan-bahan lain juga mahal: bawang, santan, cili, sayur-sayuran dan rempah ratus ‘sangat mahal’. Suri rumah sentiasa mengeluh, tidak kedapatan berasa tempatan, hampir kesemua kedai runcit penuh dengan beras import.

Ertinya, setiap kampit beras import, harganya terlalu tinggi sehingga boleh sampai berbeza sebanyak RM 20 sekampit bagi 10 kilogram. Walaupun harganya telah diturunkan antara RM 2 hingga RM 3 sekampit (10 kg), ia masih ‘sangat mahal’, berbeza harga dengan beras tempatan antara 30 hingga 50 peratus.

Setakat ini, belum ada beras import dijual pada harga di bawah RM 35 sekampit (10 kg). Begitu juga harga bawang, biarpun ada laporan bahawa Malaysia sudah berjaya menanam bawang, dan mungkin pada suatu ketika tidak lagi bergantung import dari India, Thailand, China, Indonesia mahupun Holland dan Jepun.

Sebab itu di musim perayaan kali ini, kita jarang temui ada hidangan ‘kerepek bawang’. Kalau adapun, harganya ‘sangat mahal’ yang tidak mampu dijadikan ‘jajan’ oleh orang kebanyakan. Kerepek bawang pun dah tak terasa bawang, semuanya rasa tepung.

Begitu juga keropok lekor yang cukup popular dan seolah-olah tidak lengkap kunjungan ke Terengganu jika tidak membawanya pulang sebagai ‘ole-ole’. Harga keropok lekor juga cukup mahal, kata si penjual yang susah nak senyum di simpang tiga Mak Cili, Cukai, Kemaman: sebatang seringgit. Sepuluh batang harganya sepuluh ringgit. Mahu tak mahu, kerana anak cucu gemar makan keropok lekor dibelikan juga walaupun terasa mahal.

Oleh kerana saya bertanya harga sebelum membeli, ada seseorang dalam dialek Terengganu memerli, seolah-olah saya tidak memahami apakah sindiran itu. Namun, saya hanya membungkam kerana ‘tidak mahu gaduh-gaduh’, walaupun dalam hati berkecamuk dengan ‘rasa geram’. Cukup menyengat bila diperli ‘baghu temu sungai ke?’. Dia seolah-olah menyatakan saya seperti orang yang tidak beradab bila bertanyakan harga jajan itu.

Walhal, jika diikut logik transaksi pembeli dan penjual, mesej-mesej yang pernah kita dengar untuk mengelakkan rasa terkilan, seseorang seharusnya bertanyakan dahulu harganya. Jika rasa berbaloi, boleh teruskan transaksi itu. Tetapi, anak muda itu mungkin ‘agah’, cukup sombong bila terdengar saya bertanyakan harga jajan itu. Lalu, saya hampir membuat kesimpulan umum (generalisasi), apakah itu ragam budaya orang Terengganu sejak negeri mereka mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan domestik?

Keramahan yang pernah saya dengar sudah terhakis oleh kegilaan baharu. Sebahagiannya menjadi ‘sombong’ kerana yang penting ialah jualan jajannya laris. Tidak seperti pengalaman-pengalaman saya ketika bertugas di Terengganu selama hampir empat tahun antara 2004 hingga akhir 2007. Saya sudah menganggap negeri Terengganu sebagai negeri yang saya sangat suka kunjungi, sekurang-kurangnya setahun sekali.

Saya suka kerana saya mempunyai ramai kawan-kawan yang baik di Terengganu. terutama mereka yang sebaya dan lebih muda sedikit. Saya kira, sebahagian besarnya sudah bersara, kecuali mereka yang aktif berpolitik. Saya mengenali hampir seluruh mukim di Terengganu, kerana tugas saya ketika itu adalah menjalin hubungan dengan semua pemimpin masyarakat, pemimpin politik, ketua-ketua jabatan di peringkat negeri dan daerah, dan juga sebahagian besar ketua kampung.

Jika musim buah-buahan, saya perlu membeli duku langsat, durian, limau madu, mahupun buah-buahan lain yang sudah dikategorikan sebagai buah nadir. Ketika musim candat sotong, saya sesekali keluar bersama rakan-rakan beberapa jam menyandat sekitar Pulau Kapas. Pernah merasa ‘kemabukan oleng-oleng ombak dan kucah (alunan ombak kecil) ketika bot berlabuh.

Namun, kesemua pengalaman itu tinggal nostalgia; dan kadangkala menjadi ‘culture shock’ bila kembali melawat Terengganu, budaya anak muda sudah berubah menjadi sedikit sombong dan kadangkala boleh dipanggil ‘gila-gila’.

Mujurlah Farid, Stopa, Fadhli, Din, Alias dan beberapa orang lain masih belum berubah peribadinya, tetap akan datang menemui saya untuk belanja ikan celup tepung, nasi dagang Atas Tol atau Cendering, sata di Kuala Kemaman sebaik sahaja diketahui saya muncul, dan jika mereka ada ruang di celah-celah kesibukan harian. Bukan sekadar ‘temu mata’, juga ingin bersua semasa bertamu di Terengganu.

Ia memang harga barangan semakin mahal, tidak siapa yang menafikannya. Tetapi, tidaklah perlu dinodai ‘kelembutan dan keramahan’ yang menjadi petunjuk Terengganu yang kaya minyak dan budaya menarik itu. Saya teringat tema itu, kerana itulah mesej kempen Tahun Melawat Terengganu ketika Monsun Cup diperkenalkan.

Mesej itu juga menjadi tarikan tatkala Terengganu ghairah menyiapkan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, laman pesisir air di Pulau Kambing, memperkenalkan makanan ringan berjenama T-Lekor, dan sebagainya.

Hari ini semuanya semakin berubah. Perniagaan keropok lekor di Mengabang Telipot semakin maju, bahkan mampu bersaing dengan gerai keropok di Kuala Ibai. Seberang Takir sudah banyak berubah setelah siapnya Jambatan Angkat di muara Sungai Terengganu. Jambatan Angkat menjadi mercutanda pelancongan yang menarik sedangkan Taman Tamadun Islam mula sepi kerana tidak banyak aktiviti di sana, kecuali bila dijadikan lokasi seminar dan tempat menaiki bot menyusuli Sungai Terengganu.

Pantai Batu Buruk yang pernah terkenal dengan Aiskrim Goreng, kawasan Tanjung dengan Lempeng Kelapa, Losong dengan keropok Losong, Cabang Tiga dengan gulai itik, Padang Midin dengan kari gear box dan dimakan dengan roti canai waktu malam, sudah tidak lagi menarik minat saya untuk ke sana. Semuanya kerana selera di usia tua tidak lagi seperti dulu, tetapi tetap saya suka nasi dagang Terengganu di Cendering dan Atas Tol.

Biarpun harganya semakin mahal. saya tetap memenuhi kerinduannya. Keropok tidak lagi menjadi jajan yang saya suka, kecuali saya menemui yang betul-betul sedap: kuantiti ikan yang banyak, tidak gatal dan tidak berhampas bila dimasukkan ke mulut.

Harga bagi setiap paket keropok kering (keping) yang seberat 450 gram dijual RM 15 hingga RM 17. Bermakna, harga sekilogram keropok ikan tamban mencecah RM 30 walhal jika digoreng, tidak terasa ‘sedap’nya. Bahkan banyak juga keropok yang dibuat daripada campuran pelbagai jenis ikan, yang kurang menarik minat untuk mencubanya.

Kadangkala terasa seperti ‘berhampas’; sebabnya, sebahagian besar dibuat menggunakan ‘pati ikan’. Itulah bila-bila musim sahaja kita boleh beli keropok, walaupun selepas musim tengkujuh. Pati ikan disimpan lama, dan digunakan ketika musim ‘orang tidak boleh ke laut’.

Beberapa hari Terengganu, saya rasa tidak puas walaupun budaya menarik itu semakin berubah kepada lebih gasar dan sombong. Saya masih beruntung kerana saya masih mempunyai ramai kawan-kawan yang baik dan mesra.

Ya! Saya tinggalkan kenangan beberapa hari di Terengganu selepas selesainya ‘family gathering’ di sebuah homestay yang sangat menarik di Kg Baru Kerteh, Kemaman. Homestay itu cukup baharu, yang saya kira cukup selesa untuk diadakan ‘family day’ kerana anak-anak kecil asyik mandi di kolam yang disediakan di tengah laman homestay.

Homestay itu mempunyai lima bilik ala chalet (tidak berkongsi bilik air) dan sebuah rumah teres setingkat tiga bilik. Ini bermakna, untuk keluarga seramai 20 atau 25 orang sangat memadai.

Rumah teres itu boleh dijadikan ‘lokasi induk’; memasak ataupun bersembang-sembang antara ahli keluarga. Kedudukannya, sekitar lapan kilometer daripada Pantai Kemasik yang indah dengan batu-batu, Sangat cantik untuk ‘fotoshoot’ dan juga kanak-kanak bermain atau membina istana pasir.

Kami tinggalkan Terengganu, dan dalam perjalanan pulang saya menghabiskan masa untuk mengembara di dunia maya, kerana saya tidak memandu dan tidak tidur sepanjang perjalanan tersebut. Namun, semakin lama saya berada di dunia maya, saya terasa ada benarnya rumusan yang pernah dibuat oleh pengkaji budaya hiperealiti.

Misalnya, Yasraf Amir Piliang (Indonesia), dalam Dunia Yang Dilipat: Tamasya Melampaui Batas-Batas Kebudayaan (1998), Bayang-Bayang Tuhan: Agama dan Imajinasi (2011); Dunia Yang Berlari: Dromologi, Implosi, Fantasmorgana (2017);  Hantu-Hantu Politik dan Matinya Sosial (2003); Dunia Yang Berlari: Mencari Tuhan-tuhan Digital (2004) dan Setelah Dunia Dilipat:Animalitas, Parasitisme, Plastisitas (2020).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »