Kefardhuan zakat merupakan satu ketetapan daripada Allah SWT ke atas setiap individu muslim yang memenuhi syaratnya. Para pemerintah di kalangan umat Islam pula dipertanggungjawabkan untuk mengumpul dan mengagihkannya kepada mereka yang berhak menerimanya. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud;

“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).” – QS At-Taubah, Ayat 103

Melalui maksud ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah SWT menjelaskan antara tujuan kewajipan zakat adalah bagi membersihkan diri hamba daripada dosa dan juga mensucikannya daripada perangai-perangai buruk (seperti bakhil, mementingkan diri sendiri dan seumpamanya). Tujuan ini boleh tercapai sekira ianya ditunaikan dengan penuh keikhlasan kepada Allah dan menepati segala ketentuan-NYA sama ada dari sudut sumber dan jenis harta yang dizakatkan, serta kepada siapa ia diagihkan.

Mengenai hal agihan zakat, Allah SWT telah memperincikan kategori mereka yang berhak menerimanya melalui firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” – QS At-Taubah, Ayat 60

Selama berabad-abad, amalan Zakat telah tertanam dalam fabrik masyarakat Malaysia. Namun ia bukan hanya tentang memberi, tetapi ia adalah satu usaha murni untuk mengubah kehidupan golongan umat Islam yang kekurangan.

Setelah 50 tahun beroperasi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) menggalas tanggungjawab sebagai institusi yang mengutip dan mengagihkan kutipan zakat untuk 3 wilayah persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Pembangunan negara selama 5 dekad ini, juga memberi impak positif kepada jumlah keseluruhan zakat yang perlu diagihkan setiap tahun.

Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak RM 1.031 billion telah berjaya dikutip, di wilayah-wilayah persekutuan. Malah untuk awal tahun 2024 ini sahaja, MAIWP berjaya mengutip sebanyak RM 167 juta, bagi bulan Januari dan Februari.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Naim Mokhtar, jumlah yang dikutip pada awal tahun ini, telah diagihkan kepada 8 golongan asnaf melalui program-program dan inisiatif seperti skim-skim bantuan zakat, al-wakalah, institusi pendidikan dan kebajikan, bahagian amil, pembangunan asnaf, pembangunan prasarana umat Islam dan penyelenggaraan prasarana.

Beliau juga menyatakan komitmen supaya agensi MAIWP terus melipatgandakan usaha menyantuni dan mengupayakan para asnaf dengan fokus khusus seperti pendidikan, latihan kemahiran dan sebagainya. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga MAIWP dan PPZ, akan terus memperkasa dan mengupaya para asnaf.

Untuk memahami skala dan skop kerja di sebalik pengagihan zakat ini, seorang muslim perlu meneliti data dan statistik negara, berkenaan golongan asnaf. Sebagai contoh, golongan asnaf miskin pada hari ini adalah seramai 42,536 penerima, dan memerlukan jumlah sebanyak RM 117 juta pada permulaan tahun ini. Maka MAIWP perlu sentiasa kreatif dalam membangunkan inisiatif dan program yang dapat membantu golongan asnaf dari pelbagai sudut.

Dengan kutipan dan agihan yang besar jumlahnya, MAIWP diwajibkan untuk menjalani proses audit pada setiap tahun. Pada tahun 2023 misalnya, MAIWP telah berjaya mengekalkan prestasi Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran daripada Jabatan Audit Negara, untuk Penyata Kewangan MAIWP Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022. Ia adalah pencapaian audit MAIWP bagi tahun ke-17 berturut-turut.

Secara ringkas, MAIWP menawarkan 6 kluster bantuan, yang merangkumi 38 skim bantuan zakat, iaitu;

  1. Kluster Kebajikan, yang mengagihkan bantuan melalui skim bantuan sara hidup, bantuan barangan keperluan asasi, bantuan kecemasan, bantuan guaman Syarie dan lain-lain (RM 95 juta, 136,913 penerima)
  2. Kluster Pendidikan, merangkumi bantuan am persekolahan, bantuan biasiswa, bantuan pembiayaan mahasiswa dan sebagainya (RM 104.17 juta, 77,394 penerima)
  3. Kluster Perubatan, yang membantu asnaf melalui pembiayaan dialisis, bantuan perubatan OKU, dan lain-lain (RM 88 juta, 6,093 penerima)
  4. Kluster Ekonomi, yang menyediakan bantuan perniagaan, bantuan pertanian, bantuan latihan kemahiran industri dan sebagainya (RM 15.44 juta, 812 penerima)
  5. Kluster Perlindungan, untuk bantuan deposit dan sewa rumah, bantuan membina dan membaiki rumah, dan bantuan deposit pembelian rumah (RM23.52 juta, 7,463 penerima)
  1. Dan Kluster Dakwah dan Pembangunan Ummah, yang menyokong usaha dakwah pihak NGO dan institut-institut tahfiz dan rumah perlindungan (RM149.2 juta, 2,123 penerima)

Di Malaysia khususnya, sistem zakat ini diterima umum sebagai medium pembangunan ekonomi dan jaminan sosial masyarakat. Sistem ini mempunyai potensi yang besar, maka ia perlu diperkasa dan dilonjakkan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan kewangan Islam dalam negara.

Ketika membentangkan kertas seminar pada Simposium Wakaf Sedunia di Universiti Sabahattin Zaim, Istanbul, Turki, ekonomis Islam terkemuka Prof Dr Mehmet Bulut menyatakan jika dunia ingin belajar tentang pengurusan zakat, maka negara yang terbaik dijadikan rujukan adalah Malaysia. Secara hakikatnya, Malaysia berada pada landasan terbaik dan diiktiraf negara luar.

Namun segala pencapaian ini tidak akan terhasil, jika bukan kerana umat Islam dalam negara yang betul-betul menjiwai kewajiban ibadah zakat. Ia menjadi bukti yang masyarakat kita memahami bahawa pemberian zakat dapat menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Tanpa izin-Nya maka urusan perniagaan, keuntungan dan kelebihan diri tidak dapat dikecapi. Sebagai tanda syukur, seseorang Muslim akan prihatin terhadap perintah zakat. Ia menjaga diri daripada tergolong sebagai orang yang lalai atau berstatus hamba duniawi.

Maka tidaklah menjadi sesuatu yang ganjil, untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar zakat dalam negara, dan terus beristiqomah mencari keredhaan Allah SWT.

Kejayaan kutipan dan pengagihan zakat di Malaysia tidak dapat dinafikan. Sejak berdekad lalu, berjuta-juta orang telah mendapat manfaat daripada pengagihannya yang sistematik. Zakat bukan sekadar sedekah; ia adalah alat pembangunan sosioekonomi negara. Dan di sebalik kejayaan ini terletak perancangan yang teliti, dan teknik pengurusan serba moden.

“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah. Ia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya”. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dangan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.” – QS Al-An’am, Ayat 12

Catatan: Ibnu Majid

Translate »