Malam minggu lalu (11 Mei 2024) terasa begitu banyak perkara yang menjentik minda saya walaupun suasana di luar hujan belum berhenti sejak turun sekitar jam 5 petang Sabtu. Namun, dalam beberapa pertanyaan itu, saya lebih menumpukan kepada analisis kepada beberapa faktor yang menepati apa yang saya ramalkan sebelumnya, PH akan kekal mempertahankan kubunya di KKB.

Ramalan saya itu berdasarkan posisi yang dimiliki oleh calon DAP yang membawa bendera kerajaan perpaduan, yakni gabungan dua gandingan parti politik terbesar di Semenanjung, iaitu PH dan BN. Dengan kerjasama PH dan BN, disokong oleh GPS dan GRS, maka tersengih-sengihlah PN untuk kembali berkuasa, biarpun didakwa ‘cukup nombor’.

Hal itu sudah menjadi sejarah, dan dalam PRK KKB turut mencipta sejarahnya yang tersendiri, yang tentunya tidak mungkin akan sama dengan mana-mana PRK yang sudah berlalu dan bakal diadakan, jika berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh sebelum sampai usia setengah daripada tempoh edah pilihan raya.

KKB mencipta sejarah. Sejarahnya ialah calon muda dari DAP berjaya mempertahankan kubu parti yang dimenangi sejak PRU ke-13 (2013), walaupun Pang Sock Tao bukanlah anak jati di situ. Pang berasal dari Ampang, Selangor.

Pang yang masih muda dan cantik, sebenarnya sudah berkahwin. Jadi, Pang tidaklah terlalu sibuk untuk mencari suai jodohnya, suaminya menguntum senyum di atas kemenangannya. Pang telah membuktikan dirinya mampu kalahkan calon anak tempatan, yang mendakwa dirinya lebih dekat dengan masyarakat KKB.

Namun, menariknya, Pang dan Khairul Azhari Saut tidak mengundi di KKB. Mereka mengundi di tempat lain. Bezanya, Pang adalah bekas pegawai yang bertugas di pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala Khairul, seorang usahawan, yang tidak diketahui sejauhmanakah kejayaan kerjayanya.

Apa yang kita tahu, Khairul adalah pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, manakala Pang adalah salah seorang tukang kempen calon DAP, termasuk berkempen untuk mendiang Lee dalam PRN tahun lalu. Dari segi penataran idea komunikasi, Pang lebih menarik berbanding Khairul. Pang mempunyai pengalaman sebagai wartawan mahupun anchor dalam bual bicara media penyiaran.

Dari segi akademik, Pang lebih diyakini oleh pengundi KKB berbanding Khairul yang awalnya dipersoalkan tentang sarjana eksekutif yang diraihnya daripada Universiti Malaysia Pahang. Ini kerana Khairul tidak mempunyai ijazah pertama, hanya setakat lulus diploma, Namun, dalam dunia akademik, ketiadaan ijazah pertama tidak bermakna seseorang itu tidak boleh meraih ijazah sarjana.

Sudah ada kaedah untuk mengambil kira pengalaman sebagai kriteria melonjak ke tahap pendidikan lebih tinggi, atau melangkau satu anak tangga. Kita pernah dengar istilah APEL – Accreditation of Prior Experiental Learning. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah mengesahkan Khairul memperoleh sarjana eksekutif.

Tetapi, nyatalah bahawa perihal pendidikan turut memberikan kelebihan undi kepada Pang. Ia bukan kerana graduan lulusan Universiti Tenaga Nasional itu semata-mata, kemenangannya turut disumbangkan oleh kesilapan juru kempen PN yang tidak hati-hati, atau dalam dialek Kelantan disebut ‘tebolah’.

Ketua Penerangan PAS, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, cukup ‘tebolah’ dan teruja untuk menonjol diri sebagai seorang yang cukup bijak dan tahu. Sayangnya, ‘tebolah’ yang dipamerkan menjadikan Fadhil Shaari juling mata apabila dipersoalkan keputusan akademiknya berbanding Pang yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular, bukan sekolah aliran kebangsaan.

Fadhil terkepung dengan kecerdikannya sendiri akibat ‘tebolah’. Seharusnya, Fadhil tidak mempersoalkan sekolah vernakular, kerana pengundi bukan Melayu di KKB hampir menyamai dengan jumlah pengundi Melayu. Akibat ‘tebolah’, Fadhil seperti ingin mencabar pengundi bukan Melayu, walaupun niatnya untuk meraih sokongan pengundi Melayu kepada calon Bersatu.

Secara umumnya, demografi dan psikologi pengundi bukan Melayu amat sensitive bila isu sekolah vernakular dibangkitkan secara tidak berhemah; Fadhil mungkin terlupa atau sengaja ingin merebahkan calon yang didorongnya untuk menang. Itulah salah satu sifat yang dikatakan oleh seorang ilmuan Islam abad pertengahan, Fakhruddin ar-Razi, kelazatan yang tercela.

Dalam seronok ada duka, dalam ghairah ada blunder mistake. Blunder mistake itulah membuatkan pengundi bukan Melayu kekal memberikan undi kepada Pang, bukan Khairul sebagaimana yang diharapkan, walaupun bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy meminta agar pengundi India tidak mengundi calon DAP.

Kemudian, Fadhil buat hal lagi. Sama seperti pemimpin tertinggi PAS yang hanya muncul sekali sahaja di KKB untuk menyemarakkan ‘rasa mual’ pengundi. Presiden PAS yang muncul dua hari sebelum hari mengundi, hanya bercakap perihal orang Melayu kehilangan kuasa di Singapura. Orang Melayu hilang kuasa kerana berlakunya perpecahan.

Rasa mual itu mengalir masuk ke dalam urat saraf pengundi, kecuali kelompok yang tidak membenarkan kenyataan, sangat teruja dengan falasi. Pengundi yang rasional, maksudnya yang tidak jumud dan mampu membaca bahasa dan mencari makna yang betul, tidak terpengaruh dengan apa yang dikatakan oleh Presiden PAS itu.

Ada dua hal yang menyebabkan semakin ramai yang sudah tidak percayakan Presiden PAS, walaupun ada yang melemparkan label ‘bencikan ulama’. Dari satu sisi, Presiden PAS ada kelebihan ilmu-ilmu agama, dan banyak menulis buku-buku agama, juga perihal politik Islam. Namun, dari segi praktisnya, beliau sangat tidak konsisten dengan apa yang diperkatakan.

Contohnya, mengenai perpaduan sebagai tunjang kekuatan politik Melayu dan juga Islam. Semua umat tahu, setiap Muslim adalah bersaudara, maka kenapakah PAS sentiasa mengeluarkan kata-kata sinis, yang cukup menghina dengan anggapan bukan ahli atau penyokong PAS itu ‘kafir’ dan parti yang tidak menggunakan istilah Islam sebagai parti ‘kafir’.

Saya merujuk kepada Amanat Haji Hadi 1981. Amanat itu menjadi faktor berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam, sehingga kini masih belum dapat ditautkan; bukan seperti carik-carik bulu ayam. Ada budaya takfiri, ada selingkuh etika dalam kemasyarakatan, dan pedihnya ada insiden pulau-memulau.

Walaupun ada yang berkata, itu sudah menjadi sejarah. Tinggalkan sejarah, buka buku baharu. Apakah aktivis PAS telah membuka buku baharu? Apakah yang berlaku dalam kenyataan aktivisnya pada PRU ke-15 yang lalu adalah buku baharu?

Jika itu buku baharu, ertinya buku yang baharu dicetak semula, isinya masih isi yang lama. Kalau isinya bersifat evergreen, masih relevan, boleh diterima. Tetapi, isinya sangat silap dan bercanggah, kerana penataran dan diksinya sangat berbau politik dan ujaran kebencian.

Apakah dengan pengundi memberikan kemenangan kepada calon Bersatu dalam PRK KKB, akan bertautlah perpaduan dan kuasa orang Melayu? Nyata, bukan semudah itu. Itu adalah retorik yang sudah lama diperkatakan, tindakan yang benar-benar berkesan mencegahnya tidak pernah muncul.

Jadi, kalau nak ulangi pendakian ke puncak atas padang 3R, lupakanlah. Eksploitasi 3R tidak menjadikan seseorang itu pemenang sebenar, ia menjadikan pemenang itu sebagai menang dalam dayus. Samalah dengan kata pemimpin PN terhadap kekalahan yang mereka terpaksa selindungkan dengan kenyataan,

PN tidak kalah, habis apa maknanya Pang peroleh majoriti 3,869 undi. Apa maknanya 14,000 berbanding 10,131 undi dalam nilai dan ukuran sistem demokrasi? Bukankah penasihat empat buah negeri yang dikuasai oleh PAS, berbeza satu undi pun sudah cukup menunjukkan kemenangan?

Apakah Dr Mahathir yang pernah hilang wang pertaruhan itu dikatakan “kalah dalam menang’ atau ‘menang dalam kalah”? We may lost the battle, but not the war? Wow! Canggih sungguh frasa sebegitu.

Pada PRN lalu (Ogos 2023), PH (DAP) menerusi mendiang Lee Kee Hiong menang dengan majoriti 4,119 undi. Lee mendapat 14,862 undi mengatasi tiga pencabar lain, iaitu Teoh Kien Hong (PN-Gerakan) yang meraih 10,743, Sivaprakash Ramasamy (MUDA) 1.186 undi dan  Chang Boon Lai (PRM) dengan 527 undi.

Lee Kee Hiong sudah membina legasi di KKB, yakni selepas memenangi kerusi itu kali pertama dalam PRU ke-13. Jadi, ukurannya adalah tidak tepat jika menyatakan Pang meraih undi yang lebih kecil walaupun menang dan secara statistiknya betul. Pang meraih undi 14,000, yakni kurang 862 undi berbanding Lee perolehi bulan Ogos lalu.

Sebagai calon baharu, pencapaian itu adalah sesuatu yang membanggakan. Dan, tentunya, Pang perlu mengenali dirinya dengan lebih ramai pengundi di KKB untuk tempoh empat tahun ini jika beliau ingin kekal dan meraih pencapaian lebih dalam pilihan raya akan datang.

Tentunya, Khairul Azhari mungkin boleh mematikan angan-angan untuk bergelar wakil rakyat, dalam ‘kampong’ sendiri. Kelebihan yang ada padanya, tidak memadai biarpun mampu meraih undi sebanyak 10,131, yakni lebih rendah daripada pencapain calon PN sebelumnya, iaitu Teoh Kin Hong.

Biarpun ada dakwaan, Khairul mampu mempertahankan ‘kekuatan PN’, saya anggap ia cukup tidak menepati dalam kamus persaingan pengaruh. Undi yang lebih besar diraih oleh Teoh atas kapasitinya mewakili Gerakan, dan sebahagian besarnya disumbangkan oleh bukan Melayu. Pada kali ini, Khairul sebahagian besar pengundinya adalah orang Melayu.

Kita mungkin dapat memahami kenapa situasi ini berlaku? Antaranya, resah hubungan kerjasama antara UMNO dan DAP masih ada yang meragukan, belum mencapai tahap sinergi puncak. Ia mungkin turut disumbangkan oleh kenyataan-kenyataan ‘tidak setuju’ oleh pemimpin MCA, rakan politik UMNO sejak sekian lama.

Pun begitu, MCA tidak menjawab isu atau cadangan yang dibawa oleh Gerakan, di mana parti bersedia untuk bekerjasama sekiranya MCA berhasrat menjalin kerjasama atau menyetai PN.

Politik seringkali diukur daripada perspektif ‘siapa, mendapat apa, dan bagaimana’ dalam hukum ‘memenuhi keperluan manusia’. Nampaknya, dalam PRK KKB ia ada petunjuk yang boleh kita lihat dan perhatikan.

Hukum inilah khabarnya akan dijadikan evidens oleh Takiyuddin Hassan, Ketua Whip PN dan Setiuasaha Agung PAS, sekiranya PN kalah dalam PRK KKB. Ramai yang menunggu untuk melihat ‘persembahan’ yang bakal dilakukan oleh Takiyuddin, bukan hanya setakat ‘tahu takir (hentam atau tebas)’ semata-mata.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ghani sudah pun memberikan penjelasan. Mana-mana parti yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya boleh memfailkan petisyen (bantahan) dalam tempoh 21 hari keputusan itu diumumkan.

Ramai yang sedang menunggu, kerana ramai rakyat tidak mahu dengan Takiyuddin menyebat “Black Saturday” apabila PN gagal misi menjaring gol untuk melengkapkan pencapaian 4-0 di Hulu Selangor.

Sebenarnya, Takiyuddin membuat kesilapan bila bercadang untuk memfailkan petisyen lebih awal. Cadangan itu menampakkan sifat haloba dan tidak percaya diri. Sesuatu yang dipersepsikan sebagai angkuh sebagaimana angkuhnya beliau ketika menyindir Perdana Menteri apabila 4 hingga 5 peratus penjawat awam tidak naik gaji akibat prestasi buruk dan masalah disiplin.

Takiyuddin ‘terkejut’ dengan kenyataan sebegitu sehingga dieksploitasi sebagai hal yang jelek dan buruk. Rupa-rupanya Takiyuddin juga dilanda masalah ‘tebolah’ sebagaimana Fadhil Shaari.

Tidak ada apa yang mengejutkan, kerana memang kouta 4 hingga 5 peratus penjawat awam ‘tidak naik gaji’ sudah sekian lama diinstitusikan, kata orang ‘punishment’ di atas pencapaian yang buruk dan masalah disiplin.

Seharusnya, Takiyudin membuat semakan, mengambil tahu sebelum membuat serkap jarang. Dahlah serkap itu jarang, bilah-bilah serkap itu pun dalam keadaan reput. Konon nak tangkap ikan besar, ikan kecil pun tak terdaya. Satu lagi ‘blunder mistake’ yang sedikit sebanyak memperlihatkan mesej kempen membentuk kesan terpelanting dan terpercik ke muka sendiri.

Lagi ‘blunder mistake’ ialah kenyataan Setiausaha Agung Bersatu sendiri, Hamzah Zainudin yang tidak begitu aktif berkempen di PRK KKB. Mungkin Hamzah berusaha untuk membuktikan parti Bersatu tegas dan berprinsip, sayangnya ketegasan itu dilihat sangat terlewat, dan tidaklah sangat berprinsip. Ya! Akan menghantar surat kepada wakil rakyatnya yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Menyokong Kerajaan Perpaduan bererti melanggar keputusan parti. Sudah tujuh orang wakil rakyatnya berbuat demikian, mengulangi ‘tragedi’ buat kali kedua selepas kes pertama berlaku di Sabah, sehingga menjadikan Bersatu terpinggir daripada koridor kuasa politik di Sabah, apabila wakil rakyat menang atas tiket Bersatu menubuhkan GRS. Akta Lompat Parti, ada kelompongannya, kedudukan seseorang wakil rakyat tidak terjejas selagi wakil rakyat itu tidak menyeberang ke parti lain.

Enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang bakal menerima ‘surat terbatal keahlian automatik’ tidak ‘keluar parti’ walaupun menyokong Kerajaan Perpaduan. Mereka masih ahli Bersatu yang sah, juga mereka belum dipecat. Biarpun perlembagaan parti diluluskan pindaannya,

Bersatu belum berani mengeluarkan surat lucut ahli automatic. Bahkan, sebelumnya kepimpinan Bersatu dicabar untuk memecat mereka. Bersatu tidak juga berani melakukannya. Jadi, pemimpin Bersatu hanya tahu cakap, tetapi takut melaksanakan.

Kata Hamzah, “minggu depan” surat akan dikeluarkan kepada ahli yang terbabit. Ianya akan dikeluarkan selepas mendapat persetujuan mesyuarat. Jadi, antara 1 April 2024 hingga prtengahan Mei, apa kepimpinan Bersatu buat? Macam menunggu ‘lepas pantang 40 hari’ baharulah fikirkan tindakan dan keputusan.

Ianya akan tetap dianggap terlambat dan berada dalam situasi terdesak. Sekaligus, menunjukkan ada indikasi yang tidak sihat dalam parti, ada arus bawah yang saling bercanggah, walaupun belum hadir ke permukaan dalam bentuk gelombang atau ombak tsunami. Kocakan air dalam cawan belum sampai melimpah.

PAS tidak dapat mempertahankan ‘kesucian’ parti. Sebelum PRK KKB salah seorang MB terpalit dengan dakwaan penggubahan haram, salah guna kuasa. Penggubahan haram itu membabitkan anaknya, dalam jumlah yang cukup besar banyak pandangan orang awam, RM 600,000. Menuntut bayaran projek yang tidak dilaksanakan, sedangkan ayahnya adalah orang yang berkuasa di Perlis.

Biarpun kes itu masih di peringkat awal perbicaraan, ia memberikan ‘calit hitam’ dalam imej sebuah parti yang bersih dan bebas rasuah. Ertinya, tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan, maka itulah yang sedang dihadapi oleh PAS setelah dua petisyen pilihan raya sebelum membuktikan ada rasuah pembelian undi. Dua PRK diadakan kerana kesalahan ‘membeli undi’, iaitu di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Walaupun PAS berjaya mempertahankan kemenangannya, ia tidak lagi memperlihatkan PAS sebuah parti yang benar-benar bersih dan bebas virus yang setiap orang mengutuknya. Biarpun kutukan dan cercaan dibuat, virus itu tetap hidup. Ibarat melenyek pepijat, tangan yang melakukannya tetap juga dicium biarpun tahu baunya sangat menyengat.

Budaya yang sedang membiak dalam kultus politik PAS. Kalau dahulu, PAS sangat berbangga kerana tidak ada wakilnya dibuktikan bersalah melakukan rasuah, walaupun ada yang dijatuhkan hukuman kerana membuat tuntutan palsu, hari ini setelah berkuasa, virus sedemikian semakin dekat dengan aktivisnya.

Apakah rakyat akan percaya PAS 100 peratus lagi? Ia sudah banyak berubah, seperti berubahnya ‘istiqomah’ pemimpin PAS sendiri yang semakin cenderung mewah dan elegan. Paliside, Velfire, Alphard, Mercedes S 300 kerana tidak selesa menggunakan Toyota Camry untuk mengejar ‘program’.

Dah ramai juga yang meminta-minta, kononnya, susah nak bayar sewa pejabat khidmat masyarakat dan gaji pekerja, wang sagu hati hadir kenduri dan ziarah kematian, dan paling klasik ialah ‘sagu hati pengundi luar’.

Isu ini tidak berbangkit di PRK KKB. Tetapi, peratusan keluar mengundi yang rendah antara sebabnya kerana dalam kalangan pekerja tidak berpeluang mengundi antara alasannya, hari mengundi adalah hari bekerja bagi mereka.

Namun, apa yang patut difahami bahawa mengundi itu pilihan, bukan ‘haram’ sebagaimana ditakir oleh Takiyuddin. Walaupun penakiran itu khusus untuk ahli PAS, sekali pandang ia memperlihatkan bagaimana pemimpin PAS sanggup memperbodohkan orang awam.

Mengundi adalah tanggungjawab, tapi Presiden PAS pernah katakan, wajib banyak jenisnya. Tidak semua hal yang wajib itu wajib dilaksanakan dengan segera, atau tidak boleh dilengah-lengahkan. Ia menurut konteks dan tahap kesegeraannya. Ia akan menjadi wajib yang wajib dilaksanakan apabila keadaannya wajib ditunaikan dengan segera.

Tetapi, ada juga wajib yang lebih ringan. Sayangnya, Presiden PAS tidak berfatwa kali ini, mungkin beliau sedar, kalau PN menang sekalipun dalam PRK KKB keadaannya tidak akan berubah.

Tidak seperti pembohongan pemimpin-pemimpin PAS dalam PRK DUN Simpang Jeram, PRK Pulai dan PRK Pelangai. Kata mereka, kemenangan di tiga PRK itu sangat penting, kerana ia akan mengubah keadaan atau lanskap kuasa. Kata mereka, ia akan menukarkan kerajaan. Falasi yang tidak menjadi, kerana PN tewas di tiga PRK tersebut. Lebih mendukacitakan ialah PAS, dua ayam jaguhnya kecundang.

Dalam memahami situasi politik, kadangkala ada orang tidak berfikir rasional. Hanya sekadar berusaha mendekati rasional, dan inilah menyebabkan keputusan tidak berpihak kepada calon tertentu yang didokongnya. Sebabnya, ada hal yang tidak rasional menjadi adrenalin ketika memangkah kertas undi. Itu juga boleh dikaitkan dengan kenyataan protes, kertas undi rosak yang besar.

Dalam PRK KKB sejumlah 263 kertas undi diisytiharkan rosak, lebih besar daripada undi yang diraih oleh calon PRM, Hafizah Zainudin (152 undi) dan juga calon Bebas, Nyau Ke Xin (188 undi). Peratus keluar mengundi ialah 61.51 peratus.

Menariknya, PRK KKB menyaksikan dua parti baharu yang mewakili masyarakat India ‘campur daun’ bagi membantu memenangkan PN. Dua parti itu, URIMAI (United for the Right of Malaysian, atau Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia) dan MIPP (Malaysian Indian People’s Party, atau Parti Rakyat India Malaysia) ‘tidak menjadi’, kerana kehadirannya hanya untuk menarik perhatian pengundi India yang mewakili 18 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Nampaknya, persoalan boikot yang pernah menggemparkan masyarakat awam di Malaysia, tidak dapat memancing keputusan pengundi KKB. Walaupun UMNO turun berkempen membantu calon PH, tidak banyak kedengaran kecaman terhadap apa yang berlaku dua bulan sebelumnya ekoran sokongan kepimpinan UMNO terhadap boikot KK Super Mart ekoran isu stoking berkalimah Allah.

PN tidak dapat mengggunakan isu ini, kerana jika PAS mengecamnya, ia akan kembali menjadi hal yang menyakitkan buat PAS. PAS akan dipersoalkan, apakah PAS sudah mencapai tahap seperti pernah dikatakan oleh seorang ulama terkenal nusantara, Buya Hamka: Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.

Ini kerana ketika isu boikot membahang, PAS tidak menunjukkan pendirian yang jelas dan tegas kerana ianya dimulakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Sekaligus, ia memperlihatkan PAS tidak benar-benar memperjuangkan Islam, terlena sehingga isu itu tidak lagi diperdebatkan.

Apa pun yang saya utarakan dalam tulisan ini, ia adalah pandangan peribadi saya setelah beberapa kali hadir untuk merasakan bahang PRK KKB yang tidaklah ‘cukup membahang’ kerana Bersatu tidak ada kekuatan yang jelas menggerakan jentera kempennya. Bersatu sangat mengharapkan kesungguhan PAS, namun PAS pun tidaklah tegar melakukannya sebagaimana dilakukan apabila calonnya bertanding.

Kekalahan Bersatu dalam PRK KKB memang telah saya duga, sejak saya melihat permainan kempen mendendangkan sekolah vernakular dan mempersoalkan keputusan peperiksaan calon PH (DAP), Pang Sock Tao. Ini kerana sekolah vernakular adalah isu yang sangat dekat dengan pengundi Cina yang merupakan 30 peratus daripada jumlah pengundi KKB.

Tentunya, atas apa pun teori yang dipakai, tidak akan ada persamaan keputusan secara terperinci di raih oleh sesebuah parti dalam dua masa yang berbeza. Pada umumnya, PRK KKB berjaya mengekalkan statusquo, namun secara terperinci berlaku kemerosotan jumlah undi yang diraih oleh dua calon utama. DAP mengalami penurunan sebanyak 862 undi manakala PN juga ikut menyusut sejumlah 612 undi.

Pada PRK kali ini, PH meraih 57.21 peratus undi manakala PN memperoleh 41.40 peratus. Dari segi peratusan, PH memperoleh peningkatan lebih dua peratus daripada PRN lalu (54,40 peratus) dan PN juga meningkat dengan kurang 2 peratus daripada 39.33 peratus (PRN 2023). Ini menggambarkan peralihan yang berlaku adalah tidak besar, tetapi cukup siginifikan dalam mana-mana PRK yang diadakan secara berasingan dan di luar musim pilihan raya yang lebih besar (PRU atau PRN).

Peralihan ini disebabkan tumpuan para pemimpin parti lebih intensif berbanding pilihan raya yang lebih besar, kerana mereka juga perlu berkempen di halaman sendiri. Sama ada peralihan ini ada kaitannya dengan ‘janji’ yang telah diberikan, membina rumah pekerja estet (245 buah), pengumuman kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus berkuatkuasa Disember 2024 (diumumkan pada Hari Pekerja, 1 Mei 2024),  dana RM 5.2 juga untuk PBT KKB, dan ketegasan Malaysia dalam isu terorisme dan dana untuk Iran yang cuba ditelunjukkan oleh Amerika Syarikat sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan pengundi, walaupun tidak mempelihatkan kecenderungan yang lebih besar berbanding ‘blunder mistake’ yang dilakukan oleh tukang kempen PN.

MONOSIN SOBRI

Translate »