Fatimah binti Abdul Malik bin Marwan (Khalifah Bani Umaiyah pada tahun 65 H) ketika bernikah / berkahwin, merupakan puteri salah seorang khalifah Islam tersohor yang menguasai negeri Syam, Iraq, Hijaz, Yaman, Iran, Caucasus, hingga ke beberapa wilayah di sebelah timur.
Tidak hanya itu, kekuasaan khalifah juga termasuk Mesir, Sudan, Libya, Tunisia, Semenanjung Tanah Arab, dan Madrid, Sepanyol.
Selain itu, Fatimah juga adalah seorang saudara perempuan daripada empat orang tokoh khalifah Islam, iaitu Khalifah al-Walid (86 H), Khalifah Sulaiman (96 H) Khalifah Yazid (101 H), dan Khalifah Hisyam (105 H), putera Abdul Malik bin Marwan.
Fatimah juga adalah isteri kepada Khalifah Islam tersohor dalam sejarah setelah Khulafa ar Rasyidin, iaitu isteri Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang berkuasa pada tahun 99 H.
Beliau merupakan puteri seorang ketua negara Islam terbesar dalam sejarah, sekali gus saudara kandung kepada empat ketua negara Islam. Beliau keluar dari istana ayahnya ke rumah suaminya dengan membawa banyak perhiasan emas permata yang tiada ternilai.
Di antara sedemikian banyak anting-anting yang dikenal dengan nama ‘Anting Mariah’ yang terkenal dalam sejarah, yang merupakan sumber ilham para penyair dalam menggubah lagu dan syair.
Seorang penghuni istana seperti Fatimah pasti hidup dalam kenikmatan dan kemewahan. Sebelum berkahwin, beliau adalah puteri khalifah yang kaya dan beliau bernikah dengan seorang ketua negara.
Kemewahan dan kenikmatan hidup menyelimutinya. Seorang yang dikelilingi kehidupan ‘puncak’ pada suatu ketika akan terbentur pada rasa kurang puas yang sukar untuk dipenuhinya, tetapi orang yang hidup sederhana, dengan mudah memperoleh kepuasan hidupnya.
Fatimah merupakan isteri seorang ketua negara, dan suaminya Khalifah Umar bin Abdul Aziz lebih memilih hidup sederhana dan menjauhkan diri daripada perhambaan hawa nafsu terhadap kemewahan dunia.
Baginda Umar bin Abdul Aziz menetapkan anggaran belanja rumah tangganya hanya beberapa dirham sehari, padahal ketika itu beliaulah penguasa tertinggi di negara itu. Isterinya dengan tulus ikhlas menerima keputusan itu, kerana ia merasa bahagia hidup dalam kesederhanaan.
Didampingi oleh seorang suami yang selalu mengajaknya memikirkan kesejahteraan umat, berfikir logik serta dewasa, membuat Fatimah semakin jauh meninggalkan kehidupan yang mewah.
Dengan patuh beliau melaksanakan nasihat si suami untuk menanggalkan semua perhiasan yang menghiasi kedua-dua telinga, rambut dan kedua-dua lengannya untuk diserahkan kepada Baitulmal, agar – jika keadaan mendesak- dapat dijual dan wangnya dapat digunakan untuk keperluan rakyat yang miskin.
Khalifah yang soleh, adil dan sederhana itu tidak lama memerintah. Allah memanggil kembali kepada-Nya, dengan tidak meninggalkan sesuatu apa pun untuk anak isterinya.
Penjaga Baitulmal datang menemui isteri Umar Abdul Aziz itu sambil berkata, “Perhiasan puan masih kami simpan. Kami menganggap perhiasan-perhiasan itu sebagai barang peninggalan yang perlu kami jaga, dan akan kami berikan kembali jika puan memerlukannya. Saya datang untuk meminta persetujuan, kalau puan berkenan menerima kembali perhiasan itu, saya akan segera membawanya ke sini.”
Dengan tegas Fatimah menjawab bahawa beliau telah menyerahkan semua perhiasan itu kepada Baitulmal kerana patuh pada nasihat Amirul Mukminin, suaminya.
Fatimah berkata lagi, “Tidak mungkin saya patuh padanya pada waktu ia hidup, kemudian melanggarnya ketika ia sudah tiada.”
Fatimah, isteri bekas ketua negara Islam itu dengan tegas menolak untuk menerima kembali perhiasan peribadinya yang bernilai jutaan dirham, padahal ketika itu beliau sangat memerlukan beberapa ribu dirham.
Oleh kerana itu sejarah menempatkannya pada deretan orang-orang besar yang abadi dan dicatat dengan tinta emas, sebagai seorang wanita, seorang isteri, seorang ibu yang solehah, dan ibu yang lembut dan luhur hatinya.
Semoga Allah s.w.t merahmatinya dan meninggikan kedudukan di sisi-Nya.
Sesungguhnya, kehidupan yang bahagia ialah kehidupan yang sederhana. Kebahagiaan yang sebenarnya terdapat dalam keredaan (kepuasan), dan kebebasan yang hakiki itu ialah rasa bebas daripada semua yang mungkin tidak diperlukan.
Itulah harga kekayaan menurut Islam dan nilai kemanusiaan. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita hamba-hamba yang soleh, mencintai-Nya dan dicintai-Nya.
Catatan: Ibnu Fayyad
Recent Comments