PRK KKB hanya tinggal tiga hari dan semalam (7 Mei 2024) merupakan hari pengundian awal untuk 863 pengundi (625 anggota polis bersama keluarga dan 238 anggota tentera bersama keluarga). Seramai 769 pengundi awal (97 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Tentunya, masing-masing jentera kempen dalam dua gabungan besar – PH dan PN – sedang rancak merancang strategi (pecutan hari-hari terakhir) bagi membolehkan calon mereka memenanginya. Masing-masing pihak sedang berusaha menyelesaikan isu kritikal yang dijangka dapat mempengaruhi ragam pengundian nanti.

Ironinya ialah calon PN, Khairul Azhari Saut agak terlewat melancarkan manifesto. Calon awal yang melancarkan manifesto ialah dari Parti Rakyat Malaysia(PRM), Hafizah Zainudin pada 28 April manakala calon PH-BN, Pang Sock Tao pada 3 Mei 2024. Ini bermakna, PN sebenarnya telah ketandusan idea, terpaksa menunggu lama sehingga hari mengundi awal untuk melancarkan manifesto yang berpaksikan lima intipati: pembangunan berkualiti dan mampan; kelestarian alam; memperkasa ekonomi setempat; potensi generasi muda dan wanita; dan membela masyarakat minoriti.

ADUN Buntong, M Thulsi Thivani mendakwa manifesto PN telah menceduk manifesto calon PH kerana teras dan huraiannya ada persamaan dengan apa yang dikemukakan oleh Pang Sock Tao lebih awal.

Jelas M Thulsi, hakikat bahawa beliau hanya melancarkan manifestonya semalam menunjukkan beliau kurang peduli dan kurang komitmen sebagai calon.” Ia jelas membuktikan bahawa PN sebenarnya ketandusan idea, terpinga-pinga dan tidak yakin boleh menang kerana berhadapan dengan kualiti calon yang tidak menarik dan kurang kompeten.

Dalam pada itu, Pengerusi PN, Muhyiddin menafikan bahawa manifesto PN dalam PRK KKB meniru mana-mana manifesto calon lain, termasuk manifesto yang dikemukakan oleh calon PH empat hari lebih awal.

Ketiadaan manifesto PN menjadi teka-teki apabila calon PRM dan PH melancarkan manifesto masing-masing. Rupa-rupanya, PN menunggu masa yang lama untuk melancarkan manifestonya sehinggalah berjaya diumumkan pada hari pengundian awal. Ia dilihat cukup lewat, dan tentunya akan ada pengaruh (diceduk) sama ada secara langsung atau tidak langsung manifesto calon-calon yang mengumumkan lebih awal.

Selain masalah lewat mengemukakan manifesto, yang kemudiannya didakwa ‘menceduk’, ada isu lama dibangkitkan, isu yang belum selesai. Ada isu yang masih hangat diperkatakan meskipun tercetus sebelum tarikh pengundian ditetapkan. Ada isu yang ditimbulkan sebagai ‘ugutan’ atau ‘tawar menawar politik’ yang dilihat diambil kesempatan oleh pihak tertentu. Kesemuanya menjadi ‘garis merah’ yang perlu diberikan perhatian agar tidak menjadi amaran yang sangat bahaya.

Secara global masyarakat menanggung sedih dan simpati terhadap apa yang berlaku di Gaza sehingga hampir 35,000 orang rakyat Palestin terkorban dan lebih 78,000 cedera. Ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pengundi PRK KKB setelah mereka melihat apa yang berlaku itu dengan perilaku dan pendirian parti-parti yang bertanding.

Secara keseluruhan, pengundi sedar bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara yang lantang menolak tindakan ganas rejim Israel, yang terkenal ganas untuk menghapuskan etnik Palestin bagi menzahirkan The Greater Israel, atau Israel Raya. Namun, dalam menentukan sikap tersebut, Malaysia dilihat sedikit tersepit apabila tidak menyekat beberapa syarikat pembuat senjata, peralatan perang dan teknologi sokongan perang untuk menyertai pameran perkhidmatan pertahanan yang berlangsung selama tiga hari (7 – 9 Mei 2024) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Segambut, Kuala Lumpur.

Syarikat itu ialah Lockhead Martin (pembuat senjata) dan BAE (British Aerospace System) pembekal pesawat perang, teknologi maklumat dan pengesanan data perang dan sebagainya. Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 (DSA 2024) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 (NATSEC 2024) dikatakan oleh Perdana Menteri dapat “memainkan peranan penting dalam membentuk lanskap pertahanan negara.”

Sebelumnya, Menteri Pertahanan, Datuk Khalid Nordin menjawab desakan yang dilakukan oleh beberapa pihak agar mana-mana syarikat pembuat alatan perang yang hadir dan dikatakan ‘menjual senjata’ kepada Israel dinyahkan penyertaan dalam DSA dan NATSEC yang diadakan di Malaysia.

Khalid mengatakan, kerajaan tidak campur tangan dalam penentuan syarikat-syarikat untuk menyertai pameran tersebut, semuanya dikendalikan oleh pihak swasta. Jawapan itu tidak dapat diterima sedangkan ketika Bruce Gilley memasuki negara ini berceramah, beliau diminta keluar daripada Malaysia.

Bruce Gilley merupakan seorang pensyarah dari Amerika Syarikat yang menyifatkan pendirian Malaysia menyokong Palestin sebagai ‘holocaust kedua’. Malaysia tidak dapat menerima pendirian sedemikian dan disifatkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir sebagai “biadab dan sangat bahaya”.

Dua syarikat tersebut merupakan pembekal utama peralatan dan sistem perencanaan, pemantauan dan pengesanan serangan senjata perang musuh. Sebaik sahaja meletusnya konflik Palestin-Israel terbaharu, Amerika Syarikat dengan tegasnya akan menentukan keselamatan sistem pertahanan Israel, lantas bukan sahaja membantu Israel melakukan serangan bahkan memberikan kelulusan penjualan senjata tanpa persetujuan senat atau kongress.

Joe Biden menggunakan kuasanya untuk ‘menjual senjata’ kepada ‘anak’ yang diharapkan untuk menguasai geopolitik Timur Tengah. Itu adalah ‘garis merah’ yang masih belum meletup, tetapi sudah kedengaran. Tentunya, Lockhead Martin sebagai salah sebuah pembekal alatan perang terbesar dari Amerika Syarikat memperoleh pendapatan besar daripada kelulusan Rumah Putih mengenai penjualan senjata kepada Israel.

Amerika Syarikat juga merupakan pembekal senjata terbesar dunia malah ada yang mengatakan, tanpa industri senjata negara itu tidak mampu berperanan sebagai polis dunia. Industri senjata memberikan pendapatan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.

Atas sebab itulah Rumah Putih mempunyai dasar pembangunan industri senjata yang sangat besar dan membabitkan diri dalam hampir kesemua konflik yang berlaku di seluruh dunia sejak negara itu memenangi Perang Dunia II. Amerika Syarikat tidak terlepas daripada jolokan Negara Haus Darah atau Negara Gila Perang.

Garis merah kedua ialah mengenai kesan boomerang yang muncul ekoran lebih sebulan lalu sokongan pucuk pimpinan UMNO mendokong tindakan yang diambil oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh berhubung dengan ‘boikot KK Mart’. Tindakan memboikot KK Mart dilihat ada unsur perkauman kerana orang Islam disarankan tidak membeli di semua rangkaian kedai serbanika tersebut yang mempunyai lebih 800 cawangan di seluruh negara.

Ini kerana, pemilik rangkaian KK Mart telah memohon maaf dan mengambil tindakan untuk menarik semua stoking yang dibekalkan oleh sebuah syarikat daripada Batu Pahat, Johor serta menyaman pembekal tersebut. Tuan punya rangkaian KK Mart turut dibawa ke mahkamah di atas kealpaannya, tidak membuat semakan teliti sebelum stoking yang dibekalkan secara ‘consignment’ itu dipamer dan dijual di dalam premis mereka.

Namun, di antara waktu permohonan maaf dan ‘kemarahan orang Melayu-Islam’, Dr Akmal tetap menjelaskan bahawa ia tidak bermakna ‘boikot’ tidak diteruskan. Boikot yang dilakukan ialah untuk memastikan bahawa rangkaian perniagaan KK Mart berkubur dan pemiliknya mencari ‘perniagaan baharu’.

Walaupun agak terlewat Mufti Perak, Tan Sri Wan Zahidi Wan Teh dan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohamad Naim Mokhtar mengeluarkan kenyataan berkaitan boikot tersebut sebagai “melawan prinsip keadilan Islam”, dan “bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW”. Ini kerana, biarpun pada zaman Rasulullah SAW tindakan boikot berlaku, ia tidak melampaui kepada ‘penutupan premis’ hanya sekadar memberikan amaran tidak melanggar sensitiviti atau menghina Islam.

Ia akan berhenti sebaik sahaja pemilik perniagaan atau kelompok penyebab (yang melanggar sensitiviti atau bai’ah) memohon maaf atau mengambil keputusan menarik balik kenyataan atau apa yang menyebabkan boikot itu dilakukan. Ertinya, boikot bukan untuk membangkrapkan atau mematikan premis perniagaan, sebagaimana menjadi tujuan akhir yang dinyatakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam memahami gelagat pengundi di PRK KKB, sedikit sebanyak dua isu ini akan menjadi ‘garis merah’ antara Melayu dan bukan Melayu di mana komposisi pengundi hampir seimbang. Pengundi Melayu sekitar 47 peratus, Cina 30 peratus, India 18 peratus dan selebihnya lain-lain kaum. Ini bermakna, jika pengundi Cina dan India bersatu, maknanya merekalah yang akan menentukan keputusan yang bakal memberikan kemenangan kepada calon tertentu.

Calon DAP, yang mewakili PH-BN dari perspektif personaliti dan kematangannya dilihat mempunyai kelebihan untuk menarik sokongan daripada pengundi bukan Melayu. Ia turut disokong oleh kedudukan parti itu yang menjadi sebahagian daripada komponen kerajaan di peringkat pusat dan negeri. Secara institusinya, calon DAP itu mempunyai kelebihan dan dilihat mampu melaksanakan janji-janji yang dibuat kerana kerajaan yang berkuasa mampu memenuhi hasrat pengundi.

Ini dapat dilihat daripada sokongan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan terhadap tuntutan pekerja di tiga buah ladang yang terdapat dalam DUN KKB, yakni untuk mempunyai kediaman masing-masing. Tanah seluas 20 ekar telah dikenalpasti dan Berjaya Corporation ‘sedekahkan’ tanah tersebut untuk dibina perumahan pekerja ladang. Khabarnya, proses pembinaan akan mengambil masa selama dua tahun selepas proses pengambilan dan pertukaran penggunaan tanah selesai, juga arahan pembangunan kediaman tersebut dikeluarkan.

Jadi, isu yang dihadapi oleh penduduk di tiga buah ladang itu dianggap telah selesai secara dasarnya. Tentunya, jika tidak sepenuhnya pengundi India di tiga buah ladang tersebut keluar mengundi, secara teorinya, ia sudah memberikan petunjuk bahawa sokongan terhadap calon DAP, Pang Sock Tao sudah dianggap ‘tetap’ menyokongnya.

Harapan calon PN, yang mewakili Bersatu, Khairul Azhari Saut untuk meraih undi masyarakat India agak ketinggalan. Ia menyebabkan ‘resah’ itu cuba diredakan dengan tindakan berkempen dengan ‘ghairah’ di kawasan pengundi Melayu, terutama dalam kalangan penyokong PAS. Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan sudah mengeluarkan seruan yang dilihat “menyengat” dengan berkata, adalah ‘haram’ penyokong PAS tidak keluar mengundi dalam PRK KKB.

Tentunya ada banyak kelemahan yang telah dikenal pasti ‘hinggap’ pada imej calon Bersatu, yang merupakan nadi kepada PN. Bersatu dilihat sebagai parti yang semakin bermasalah dan tidak bermaya. Dalam PRK KKB, kelibat Setiausaha Agong Bersatu, Hamzah Zainudin masih berhalimunan. Sesuatu yang tidak kena sudah ditelah dalam kepimpinan Bersatu, dan juga PN.

Kata Takiyuddin, seruan yang dibuat itu bukanlah merupakan fatwa. Tetapi, yang jelasnya pada pandangan umum, ia sudah merupakan fatwa politik kerana PAS memangnya setiap kali berhadapan dengan kempen pilihan raya ada ‘fatwa’nya. Tetapi, kali ini, Takiyuddin berusaha mengelakkan diri daripada dituduh ‘pencetus fatwa’ kerana beliau bukanlah dalam kalangan ulama. Takiyuddin berlapik dengan istilah ‘arahan’, yakni ‘arahan’ yang mendapat restu Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang, yang memang dikenali sebagai pembuat fatwa politik songsang.

‘Arahan’ itu telah membentuk ‘garis merah’ baharu dalam kalangan pengundi Melayu-Islam; yang tentunya mereka berfikir semula sebelum membuat keputusan memilih calon manakah yang akan kekal atau mencipta sejarah di KKB.

Jika pengundi Melayu berpegang kepada kelebihan kuasa yang ada pada kerajaan negeri dan pusat, mereka akan memilih calon PH. Tetapi, jika ingin membuat kejutan, mereka boleh memilih calon yang mewakili gabungan PN, dan dalam jangka masa panjang, tidak ada apa yang mereka akan dapat.

Ini kerana jika calon PN menang, keputusan itu tidak akan mengubahkan apa-apa. PH akan tetap memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri dan juga pusat. Tidak ada kaitan dengan usaha mengubah lanskap pentadbiran politik di peringkat pusat dan negeri, sebagaimana PN pernah membenarkan falasi itu di beberapa kawasan PRK selepas usahanya untuk ‘tebuk atap’sekali lagi gagal.

Pengundi Melayu, tidak semuanya cenderung percaya kepada matlamat dan perjuangan PN kerana gabungan itu semakin bermasalah. Hubungan antara PAS dan Bersatu telah diketahui bermasalah disebabkan PAS yang merasakan partinya yang lebih baik berprestasi berbanding Bersatu. Mengharapkan sokongan Gerakan, parti itu juga tidak bermaya. Menyandarkan tarikan ‘sentuhan’ adik bongsu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) belum ada petunjuk yang jelas. Jadi, dalam PRK KKB, hanya PAS mampu memberikan saingan untuk menarik atau memecahbelahkan pengundi Melayu.

Sebelumnya, pengasas United for the Rights of Malaysians Party (URIMAI), P Ramasamy menyeru agar pengundi India tidak memberikan undi mereka kepada calon DAP memperlihat sedikit sebanyak dendamnya kepada parti yang pernah disertainya. Pada PRU ke-15 dan juga PRN yang lalu, DAP tidak mencalonkan P Ramasamy. Rasa marah itulah menyebabkan beliau menubuhkan URIMAI, tetapi dalam PRK KKB tidak bersedia menguji apakah ia ada pembeli di pasaran politik tanah air.

Sebenarnya, P Ramasamy sendiri tidak ada kekuatan secara peribadi, kemenangan sebelumnya adalah kerana kekuatan jenama DAP di Pulau Pinang. Ada yang melihat, jika pada PRU ke-12, Ramasamy bertanding di luar Pulau Pinang, beliau mungkin kalah. Tetapi, nasib menyebelahinya bila diberikan kerusi di Pulau Pinang, walaupun Ramasamy dilahirkan di Sitiawan, Perak dan pernah dipecat sebagai pensyarah oleh UKM pada 26 Ogos 2005.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »