Keturunan Yahudi diusir dari Syam dikatakan dilakukan secara besar-besaran sebaik sahaja dikuasai oleh Empayar Babylon pada tahun 585, Namun sebelum itu, keturunan Yahudi sudah memulakan proses penghijrahan mereka lebih awal daripada proses pengusiran besar-besaran oleh Empayar Babylon lagi.
Inilah latar sejarah yang saya akan cuba telusuri dalam memahami bagaimana Israel menjadi satu bangsa yang ganas dan sangat tidak berperikemanusiaan, yang asalnya merupakan impian seorang lelaki yang bernama Theodore Heryzl yang kemudiannya diterjemahkan sebagai ‘peta minda’ sehingga munculnya risalah penting dan asas pembentukan negara haram Israel.
Risalah itu, Der Judenstaat (The Jews State) itulah yang menjadi kekuatan jenayah Israel membantai rakyat Palestin tanpa henti dan disifatkan oleh sejarawan Yahudi sendiri sebagai ‘gila’ dan ‘hilang pertimbangan akal sihat’ walaupun salah seorang professor sains politik dari Amerika Syarikat, Bruce Gilley baru-baru ini menyifatkan sokongan Malaysia ke atas Palestin sebagai ‘holocaust kedua’.
Holocaust dilakukan secara langsung oleh tentera Nazi ke atas masyarakat Yahudi. Apa yang berlaku di Palestin ialah Yahudi-Zionis membunuh beramai-ramai rakyat Palestin, dalam tempoh kurang 7 bulan, lebih 34,000 orang dibunuh kejam di mana lebih separuh adalah kanak-kanak dan wanita.
Apakah sokongan Malaysia ke atas Palestin itu ‘holocaust kedua’. Nampaknya Bruce Gilley tidak dapat membezakan antara pelaku dan mangsa. Kalau dilihat pada pendiriannya, ia menyokong mangsa (Yahudi) bukan pelaku (tentera Nazi). Malaysia mendokong dan membantu Palestin kerana mereka menjadi mangsa, bukan menyokong pelaku (Israel) yang terkenal ganas dan brutal.
Seseorang memberitahu saya, kalau itupun tidak dapat dibezakan, serahkan sahaja jawatan professor tersebut dan meratiblah di mana-mana jalan yang dia suka seperti dilakukan oleh arwah Tok Awang Merdeka di Stesen Bas Kota Bharu sekitar tahun 1970-an. Maka, katanya orang itu lagi: peranan Bruce Gilley seperti orang ‘gilakan berus’, akan diberuskan apa sahaja yang tidak disukainya. Orang (organisasi dan negara) yang menentang Israel dan mengecam apa yang dilakukan oleh Israel diberikan jolokan sebagai ‘holocaust kedua’, sedangkan Israellah yang bertindak seperti holocaust di bumi Palestin.
Salah sebuah rencananya, The Case of Colonialism (Third World Quarterly, September 2017) telah diulas oleh Prof Syed Farid al-Attas, “Kesarjanaan yang biasa-biasa sahaja” (Free Malaysia Today, 24 April 2024). Rencana tersebut membenarkan penjajahan semula kerana ia membawa tamadun kepada negara-negara yang dijajah (pasca penjajahan).
Semua orang atau negara mengecam penjajahan seperti itu, termasuk Noam Chomsky, Ilan Pappe dan Edward W Said. Dalam kes Konflik Palestin-Israel muncul penekanan kepada konsep settler colonialism, yang tidak mengenal erti kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Usaha propaganda Bruce Gilley tidak menjadi di Malaysia, dan kerana itu, beliau tidak lagi berpeluang membentangkan kesarjanaannya ‘yang hebat dan syok sendiri’; gagal sebagai agen Zionis. Gilley akan dikenang sebagai sarjana dan propagandis Zionis.
Maknanya, selepas penjajahan negara-negara yang dijajah akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Ia suatu seruan untuk menghalalkan penjajahan kerana Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand muncul sebagai settler colonialism yang tidak boleh diterima oleh penduduk asal: Red Indian dan Maori. Keturunan mereka (penduduk asal) diperkecilkan dan pernah merasai pengalaman pembersihan etnik, ethnic cleansing oleh penjajah.
Dalam bacaan keselor lidah orang Melayu, Bruce Gilley itu disebut Bruce Giller (dengan menukarkan huruf ‘y’ kepada ‘r’) itu adalah “Berus Gila”, kerana tidak melihat sejarah secara saksama, penuh bias dan prasangka. Namun, dalam istilah bahasa Melayu tidak ada ‘berus gila’, yang ada ialah ‘gila berus’.
Ertinya, Bruce “Giller” Gilley bertukar menjadi ‘gila berus’ ekoran kritikannya terhadap negara ini yang mendokong Palestin, kerana beliau bukanlah seorang pemimpin negara, tokoh penting, hanya seorang professor politik yang kontroversi akademiknya di Amerika Syarikat. Orang gila berus, akan memberus apa sahaja yang difikirkan tidak sesuai dengan ‘peta minda’. Inilah sikap dan perilaku Bruce Gilley, yang sedang melaksanakan propaganda dan kebohongan (falsehood).
Jika masyarakat barat mengecam kebrutalan Adolf Hitler kerana melakukan holocaust terhadap keturunan Yahudi, maka Bruce Giler benar-benar merupakan ‘gila berus’ kerana cuba menjungkirbalikkan sejarah dengan biadab dan tersangat berprasangka. Menteri Pengajian Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan ahli akademik itu sebagai ‘biadab dan amat berbahaya’; PM X meletakkan tahap kesarjanaan Bruce Gilley adalah sederhana; dan yang lainnya percaya bahawa Bruce Gilley adalah agen Israel yang tamak, haloba, berniat jahat.
Dengan cara menimbulkan ujaran kebencian (dalam kerangka politik identiti) dan pemesongan fakta (factual distortion), yang menjadi tema politik pada Abad ke-21 selepas runtuhnya World Trade Center (WTC pada 11 September 2001) telah menyebabkan berlakunya peningkatan Islamofobia, dan secara tidak langsung berjaya menonjol dan meromantikkan white supremacy.
Rencana-rencana seterusnya akan membuat sedikit ringkasan mengenai ‘peta minda’ yang kemudiannya diungkapkan dalam pelan induk Israel yang dinamakan The Greater Israel. Tujuannya, untuk pembaca memahami bahawa Israel telah membentuk anomali dan menzahirkan apa yang telah ditegaskan oleh al-Qur’an sejak satu setengah milinea lalu, suatu kelompok.
Kelompok itu kemudiannya ditafsirkan sebagai kemunculan Dajjal atau Yakjuj Makjuk, yang dalam kepercayaan Yahudi dan Kristian kemunculan messiah atau Imam Mahadi. Yahudi mendakwa mereka sedang melakukan itu untuk menyambut kemunculan Iman Mahadi untuk menyelamat dan memerintah dunia.
Saya rangkumkan kesemua pengetahuan yang diperoleh hasil pembacaan yang tidak pernah putus mengenai perihal Palestin dan negara haram Israel, yang telah membentuk ‘peta minda’. Tentunya, ‘peta minda’ saya tidak sempurna. Tetapi dalam ketidaksempurnaan itu saya ingin berkongsi dengan harapan ada pembaca yang boleh memperbaikinya menjadi ‘peta minda’ yang lebih baik dan cukup sempurna.
Peta minda itulah yang menghasilkan sudut pandangan saya, walaupun tidak sepenuhnya asli, ada yang saya ambil daripada ‘peta minda’ orang lain, termasuk analisis ahli akademik keturunan Yahudi sendiri.
Saya kagum sesetengah daripada mereka kerana cuba melihat secara objektif walaupun tidak menyatakan simpati yang jelas dan ikhlas terhadap Islam. Isu Palestin melangkaui persoalan agama. Ia adalah persoalan manusia dan kemanusian, adab dan keadaban.
Saya tidak mengatakan semua Yahudi itu bermasalah dan sakit jiwa sehingga sanggup menjadi ganas yang terhimpun dalam kelompok otak reptilian, ramai juga daripada mereka berada dalam kelompok neo-cortex.
Otak reptilian yang menjadi contoh terbaharu ialah Bruce Gilley, manakala dalam kelompok neo-cortex yang dapat saya telahi ialah Noam Chomsky, Ilan Pappe, Norman Flinkelstein, Frank Barat, Henry Makoff, Benjamin Freedman dan sekelompok mereka yang dipanggil Gentile.
Gentile ialah kelompok bukan Yahudi (yang mengecam perilaku ganas dan kejam). Antaranya, Edward W Said (1935-2003), keturunan Palestin-Amerika, beragama Kristian, penulis buku Culture and Imperialism (1995), Orientalism (1978), The Pen and the Sword (wawancara dengan David Barsamian, 1994) dan Covering on Islam (1985).
Seorang lagi ialah George Orwell (Eric Arthur Blair, 1903-1950), bekas tentera British di Burma dan penulis yang banyak membincangkan pola politik dan pemerintahan menerusi tiga buah novelnya yang sangat berpengaruh, Burmese Days (1935), Animal Farm (1946) dan 1984 (1949). Goerge Orwell turut menulis dalam bentuk rencana yang kemudiannya dikumpulkan dalam , Why I Write (1946), George Orwell Essays (2013), Facism and Democracy (2020), Notes on Nationalism (1945), dan The Collected Works (2020).
Peta minda yang dipengaruhi oleh maklumat penulisan George Orwell telah mempengaruhi seorang wartawan untuk melihat sendiri apakah benar berlaku dan masih tersisa perilaku kejam junta tentera di Burma selepas Perang Dunia II. Wartawan itu yang menggunakan nama pena Emma Larkin yang dapat dibaca dalam catatan perjalanannya, Finding George Orwell in Burma (2005).
Buku tersebut sedikit sebanyak memberikan saya gambaran terhadap ekosistem politik Burma yang berusaha keras untuk melumpuhkan demokrasi, melakukan sekatan ke atas kemenangan Aung San Suu Kyi, pejuang prodemokrasi Burma.
Norman G Finkelstein mempunyai kecemerlangan akademik yang menarik walaupun penganugerahan ijzah kedoktorannya mengambil masa yang lama disebabkan alasan yang sengaja dibuat ‘tidak ada pakar untuk menilai’.
Ini kerana pendiriannya menyanggah konteks sejarah dan pembohongan sejarah yang dilakukan oleh ahli akademik, ahli politik dan usahawan untuk mengekalkan dakwaan bahawa Israel adalah kelompok yang betul ‘mempertahan diri’ dan berusaha keras membina sebuah negara haram di Syam.
Akibat pendirian tersebut, walaupun Finkelstein dilahirkan sebagai Yahudi, Israel tidak membenarkan beliau mengunjungi tanah leluhurnya, yakni tempat di mana agama Yahudi itu berasal.
Pun begitu, selepas Finkelstein menerbitkan bukunya yang memperkatakan tentang peristiwa holocaust, The Holocaust Industry (2000), kerjaya akademiknya di Universiti DePaul mula tergugat dan akhirnya ‘mengundurkan diri’ pada tahun 2007. Antara tahun 2014-2015, Finkelstein mengajar di Institut Timur Tengah Universiti Sakarya, Turkiye (Turki).
Holocaust atau dalam ejaan bahasa Melayu ditulis holokaus (tidak ditemui dalam Kamus Dewan, edisi keempat, cetakan II 2007). Jadi, saya tidak menggunakan ejaan yang dimelayukan itu kerana saya tidak pasti sebagai ejaan istilah yang tepat, walaupun dalam beberapa tulisan yang saya semak di internet, istilah itu dimelayukan sedemikian.
Dalam Oxford English-Malay Compact Advanced Learner’s Dictionary (2007, hal. 684), holocaust membawa maksud: pemusnahan besar-besaran terutama sekali oleh api; kehilangan jiwa manusia besar-besaran; malapetaka; dan pembunuhan Yahudi beramai-ramai oleh Nazi sebelum dan semasa Perang Dunia II.
Kamus Inggeris-Melayu Dewan, holocaust bermaksud: kemusnahan, kehancuran (great destruction. (cetakan ketiga, 2002, hal.705).
Ertinya, kemusnahan atau kehancuran besar-besaran itu merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Nazi. Sepanjang Perang Dunia II, dianggarkan seramai 6 juta orang keturunan Yahudi mati dibunuh, diracun dan penyakit tanpa rawatan dalam kem tahanan yang ada di Jerman, Austria dan Poland. Kem-kem tahanan itu dipanggil ‘concerntration camp’ itulah para penghuninya disiksa, dihukum, dipaksa menghirup gas beracun dan dibunuh kejam oleh anggota Nazi.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments