Kisahnya begini: penjarahan tanpa belas kasihan sekelompok keturunan Yahudi yang tidak pernah takut dan malu untuk melaksanakan apa yang dipanggil the Greater Israel. Mereka mendapat dokongan daripada sebahagian besar kuasa-kuasa besar dunia, sehingga niat buruk dan keganasannya cuba dineutralkan dengan alasan ‘mempertahankan diri’, walhal kerosakan yang dilakukannya sangat fatal, buruk dan dahsyat.
Ia bermula dengan ilham ‘peta minda’ seorang lelaki bernama Theodore Hertzl, keturunan Yahudi yang tidak percayakan tuhan (ateis) yang lahir pada 2 Mei 1860 di Pest, Hungary, yang pada suatu ketika di bawah pengaruh komunis.
Ketika menjadi wartawan akhbar Neue Freeie Presse, yang beribu pejabat di Paris, Perancis pemikirannya mula menjadi asas pembentukan ‘peta minda’; kemudiannya menghasilkan reaksi dalam bentuk tindakan, yakni menagih simpati mana-mana kelompok Yahudi dengan idea diaspora untuk membentuk satu persatuan antara mereka.
Terdapat tiga istilah yang saling diertikan dengan makna Israel: Ibri, Israel dan Yahudi. Jadi, kita harus dapat membezakan makna-makna itu untuk kita memahami dengan jelas mengenai apa yang sedang berlaku sekarang, yang menjadikan geopolitik semakin berserabut dengan peperangan dan kekacauan. Ini kerana kita sering menganggap tiga istilah membawa maksud yang sama.
Istilah ‘ibri’ adalah bentuk tunggal (singular) dan dalam bentuk jamak (plural) disebut ibrani atau ibraniyyun. Istilah ini dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS dan di dalam Taurat disebut Abram, iaitu orang Ibrani (Perjanjian Lama, Kejadian 14:13). Ia membawa maksud ‘pindah’ atau ‘melakukan satu perjalanan, atau menyeberangi suatu tempat ke tempat lain. Maknanya berpindah-pindah lokasi. Namun, ada pula yang mengatakan nama itu berasal daripada Eber, yakni salah seorang datuk Nabi Ibrahim AS (Perjanjian Lama, Kejadian 10:21, 24, 25 dan 11:14-17).
Ada juga yang mengaitkan istilah itu (Ibri, Abirou dan Khabirou) ada kaitannya dengan sejarah Mesir Kuno dan Babylonia yang menggunakan istilah tersebut untuk menyebut nama-nama kabilah Arab Badwi, yakni kabilah Abram (kabilah Nabi Ibrahim AS). Ia dikatakan mula digunakan dalam tempoh dua abad Sebelum Masihi manakala kata Abirou merujuk kepada kabilah-kabilah yang terdapat di bahagian utara Semenanjung Arab dan negeri Syam (Syria, Jordan, Lubnan, sebahagian Mesir (Sinai), Arab (utara), Turki (selatan), Irak (barat) dan Palestin sekarang).
Istilah Yahudi diberikan kepada setiap orang yang percaya, menyakini dan mengamalkan ibadah agama Yahudi. Jadi, Yahudi merujuk kepada agama, namun setelah mengalami proses sejarah, Yahudi lebih banyak dirujuk sebagai kecenderungan aliran politik dan geografi tertentu, iaitu kerajaan Yehuda setelah pemerintahan Nabi Sulaiman AS berpecah menjadi dua: utara dan selatan.
Yehuda (Yahuda) dinisbahkan pula kepada salah seorang anak Nabi Yaakub AS yang kemudiannya membentuk salah satu kelompok Bani Israel. Yahuda merupakan tokoh yang penting dalam kisah Nabi Yusof AS dan kerana itulah dalam naratif rujukan Yahudi, Yahuda lebih penting daripada Nabi Yusof AS.
Antaranya: Yahuda menyelamatkan Nabi Yusof daripada dibunuh; dan, Yahuda dikatakan sebagai penyelamat ahli keluarganya (ayahnya Nabi Yaakub dan saudara-saudara) semasa mereka berhadapan dengan musibah kelaparan kerana menasihati ayahnya ke Mesir menemui Nabi Yusof AS meminta bantuan; Yahuda dan keturunanya berjaya mewarisi kerajaan berbanding saudara-saudara yang lain.
Sebagaimana yang kita ketahui, Yahudi sebenarnya tidak mempunyai sebuah negara, mereka hidup di seluruh pelosok dunia, dan paling ramai ialah di Eropah dan beberapa wilayah Arab dan Afrika Utara. Dalam al-Qur’an, perihal mereka ada diceritakan dalam kisah beberapa orang Nabi dan Rasul sebagai Bani Israel.
Leluhurnya dikatakan berasal daripada keturuan salah seorang anak Nabi Ibrahim AS, yang menjadi titik sejarah agama-agama yang berasaskan wahyu atau dikenali sebagai Ibrahimic Faith.
Dalam al-Qur’an disebut sebanyak 41 kali pada 16 surah (antaranya, al-Baqarah, al-Maidah, al-Araf, al-Isra dan as-Syu’ara). Tiga orang nabi dikaitkan dengan Bani Israel, iatu Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub.
Namun, pembentukan Bani Israel berpusat pada kisah Nabi Yaakub dengan dua belas orang puteranya, yang kemudiannya menjadi leluhur 12 belas suku. Hasil perkahwinan Nabi Yaakub dengan empat orang isteri, anak-anak Nabi Yaakub itu ialah Rubin, Simeon, Lewi, Yahudah, Zebulon, Yisakar, Dan, Gad, Asyer, Naftali, Yusuf dan Benjamin.
Perkataan Bani Israel berasal daripada tiga kalimat bahasa Arab: Bani (putera atau anak lelaki), Isra (hamba atau tawanan) dan El (tuhan). Secara istilahnya, Bani Israel bermaksud, putera atau anak lelaki ‘hamba tuhan’ atau ‘mereka yang ditawan oleh tuhan’.
Dikatakan, Nabi Ibrahim telah mewariskan agama kepada semua putera-puteranya dan hanya Nabi Ishak diwariskan ‘warisan anugerah Illahi’, (Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Menjejaki 12 Suku Israel Yang Hilang, Petaling Jaya: Hijjaz Records Publishing, 2020, hal. 25-27).
Warisan itu kemudiannya diterjemahkan sebagai “tanah yang dijanjikan – the promised land’. Inilah sebahagian matlamat yang diungkapkan oleh Theodore Hertzl dalam ‘peta minda’ untuk menghilangkan rasa kesal yang mendalam mengenai diaspora yang dialami oleh keturunan Yahudi.
Dalam pemahaman yang lain, Israel mempunyai dua makna: bersifat umum dan bersifat khusus. Kerana itu, Bani Israel merasakan keturunan mereka adalah sangat istimewa yang menimbulkan perasaan bangga dan penuh keagungan.
Dalam kitab Taurat, kisah nama Israel merupakan perubahan nama Yaakub seperti dinyatakan dalam kitab Kejadian (Kejadian 32:24-32):
“Lalu tinggallah Yaakub seorang diri. Dan seorang lelaki bergulat dengannya hingga fajar menyinsing. Ketika orang itu melihat bahawa dia tidak dapat mengalahkannya, dia memukul sendi pangkal paha Yaakub, sehingga sendi pangkal paha itu terkilir ketika dia bergulat dengan orang itu.
Lalu kata orang itu: “Biarkan aku pergi, kerana fajar telah menyinsing. Balas Yaakub:”Aku tidak akan membiarkan engkau pergi, jika engkau tidak memberkati diriku.
“Bertanyalah orang itu kepadanya: “Siapakah namamu?”. Sahutnya: “Yaakub”. Lalu kata orang itu:”Namamu tidak tidak lagi dipanggil Yaakub, tetapi Israel, sebab engkau melawan Allah dan manusia, dan engkau menang”.
Bertanyalah Yaakub: “Katakanlah juga namamu”. Tetapi sahut orang itu: “Mengapa engkau menanyakan namaku?” Lalu diberkatinya Yaakub di situ. Yaakub memberi nama tempat itu sebagai Pniel, sebab katanya: “Aku telah melihat Allah bertatap muka, tetapi nyawaku tertolong”.
“Maka nampaklah kepadanya matahari terbit, ketika dia telah melewati Pniel dan Yaakub pincang kerana pangkal pahanya terkilir. Itulah sebabnya sampai sekarang orang Israel tidak memakan daging yang menutupi sendi pangkal paha. “(Muhammad Khalifah Hasan Ahmad, Sejarah Agama Yahudi, terjemahan Faisal Saleh, Batu Caves, Selangor: al-Hidayah House of Publishers, 2012, hal. 5-6).
Sebenarnya, ada dua faktor yang menjadikan keturunan Yahudi terutamanya yang berasal daripada wilayah Arab dan Afrika Utara hidup dalam keadaan diaspora di kebanyakan negara Eropah. Faktor pertama ialah keputusan yang diambil oleh keturunan Yahudi itu sendiri (sama ada secara sukarela atau pilihan sendiri) apabila merasakan kehidupan mereka ‘tidak selesa’ dan keinginan memenuhi ‘hasrat diri’ seperti ‘hilang keyakinan kepada pemerintah atau kerajaan’.
Kedua, diusir oleh pemerintah yang berkuasa di sesebuah wilayah. Kisah ‘pelarian’ tersebut sudah bermula sejak zaman berzaman lagi, yakni sebelum munculnya empayar-empayar Islam yang dinaratifkan secara bohong sebagai faktor yang membentuk diaspora Yahudi.
Sumber rasmi Yahudi-Israel membahagikan sejarah mereka kepada 15 period (zaman): (1) Zaman Nabi Ibrahim, Ishak dan Yaakub (sekitar abad ke 17 SM); (2) perpindahan beramai-ramai dari Mesir di bawah pimpinan Nabi Musa AS (Abad ke-13 SM); (3) Semasa kerajaan Saul, Nabi Daud AS (David) dan Nabi Sulaiman AS (Solomon) antara tahun 1020 -930SM. Zaman pemerintahan Nabi Sulaiman AS inilah dikatakan kuasa Bani Israel telah sampai ke kemuncaknya dan kerana itulah Israel sangat inginkan Masjidil Aqsa dirobohkan dengan alasan, di bawahnya terdapat Kuil Nabi Sulaiman atau King Solomon Temple; (4) zaman perpecahan kerajaan Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS menjadi lebih kurang 40 buah kerajaan kecil di mana Empayar Babylon berjaya menakluki Kerajaan Judah, mengusir sebahagian penduduknya dan memusnahkan Kuil Nabi Sulaiman AS. Dianggarkan berlaku sekitar tahun 586 SM; (5) masa pengusiran pertama oleh kerajaan Babylon antara tahun 585-536 SM dan pada period inilah dikatakan telah membentuk diaspora Yahudi (the Jews Diaspora) buat pertama kali dalam sejarah Bani Israel; (6) Selepas kerajaan Babylon berjaya ditewaskan oleh Parsi (Persia) dan zaman Hellianisme antara tahun 538 -142 SM; (7) Semasa Dinasti Hasmonean antara tahun 142-63 SM; (8) Semasa dikuasai oleh Kerajaan Romawi antara tahun 32 SM -313M; (9) Semasa pemerintahan Empayar Byzantium antara tahun 313- 636M; (10) Semasa pemerintahan dan dikuasai oleh Arab antara 636 -1099 M, yang menandakan kemunculan Islam; (11) Semasa pemerintahan Tentera Salib antara tahun 1099-1291M; (12) Semasa pemerintahan Dinasti Mamluk antara tahun 1291-1516M; (13) Semasa pemerintahan Empayar Utsmaniah antara tahun 1517-1917M; (14) Semasa pemerintahan Britain antara tahun 1918-1948 M; dan (15) Semasa berdirinya negara haram Israel pada 14 Mei 1948M.
Ini bermakna, pengusiran keturunan Yahudi bukanlah bermula dengan kemunculan Islam, pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin (Abu Bakar as-Siddik, Umar al-Khattab, Utsman bin Affan dan Ali bin Abu Talih) dan empayar-empayar Islam yang muncul selepasnya (Umayyah, Abasiyyah, Saljuk, Mameluk dan Utsmaniah), ia telah bermula beribu tahun sebelumnya.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments