Tulisan saya kali ini mengisahkan bagaimana hebatnya perencanaan sekelompok manusia yang tamak dan hilang deria kemanusiaan memetakan penderitaan dan menjadikan warganegara Palestin sebagai sasaran dalam mencapai impiannya membentuk sebuah negara haram bernama Israel.

Kekejaman yang dilakukan sejak lebih tujuh dekad lalu, telah mengorbankan ratusan ribu rakyat Palestin dan menghalau lebih dua juta orang mencari perlindungan di beberapa buah negara, hidup dalam kem pelarian yang serba kekurangan. Walaupuan semakin luas tanah milik rakyat Palestin dirampas secara kejam, bagi mengubah komposisi kaum daripada majoriti Palestin kepada dominasi majoriti Yahudi, rakyat Palestin tidak pernah berhenti dikeronyok.

Sejak konflik terbaharu yang bermula pada 7 Oktober 2023, jumlah jenayah perang yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin dilaporkan hampir 35,000 orang terbunuh dan ribuan bangunan dimusnahkan oleh mortar, peluru berpandu dan mesingun sehingga beban yang terpaksa ditanggung menjadi suatu perkara yang terlalu payah untuk dipulihkan. Sisa batu yang terhasil daripada runtuhan bangunan dianggarkan mencecah 37 juta tan dan jika usaha pembersihan dilakukan, ia akan mengambil masa selama 14 tahun. Dari segi kos membangun semula di atas puing-puing perang tidak diketahui berapa besarnya belanja yang terpaksa ditanggung kerana perang belum selesai.

Amat menyedihkan, seluruh pintu masuk ke Gaza dan Palestin telah ‘dikunci’. Setiap inci tanah telah dikawal ketat oleh tentera Israel sehingga bantuan makanan, perubatan yang digerakkan oleh pelbagai pihak sukar untuk menembusinya. Tentera Israel membiarkan penduduk Palestin yang dikurung itu hidup dalam kelaparan, kesakitan dan haus kerana matlamatnya ialah biarkan mereka mati. Kematian secara tragis begitu menjadi hakikat yang sengaja direncanakan, bagi Israel itulah yang terbaik buat Palestin. Selagi ada bangsa Palestin, selagi itulah keamanan tidak akan dapat dicipta.

Namun, rasionalisasi lama diperbaharui dengan alasan yang sangat menyakinkan. Seperti pernah dinyatakan oleh Abraham Lincoln (1809-1865), Presiden Amerika Syarikat ke-16,  pada 2 September 1858: You can fool all the people some time, and some of the people all the time, but you cannot fool all the people all the time.” Kini, penipuan dan pembohongan yang dilakukan oleh Israel dan disokong oleh negara-negara yang kuasa besar Barat tidak lagi dipercayai, bahkan rakyat sendiri bangkit mempersoalkan keputusan dan dasar yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin tersebut.

Di Amerika Syarikat sendiri, semakin membuak-buak dalam kalangan akademik mengkritik tindakan Rumah Putih membantu Israel dalam apa sahaja keperluan demi sebuah slogan ‘mempertahankan diri’ yang sebenarnya adalah tragedi: keganasan, kekejaman yang berlaku tanpa mempedulikan batas kemanusiaan dan undang-undang. Para mahasiswa turut bangkit, walaupun mereka sedar ada risiko yang bakal dihadapi, termasuk penyingkiran dan dihalang daripada meneruskan pengajian.

Dalam beberapa kes siswi yang bertudung direntap dengan kasar dan ganas sehelai kain yang menutupi aurat. Akibat tindakan ‘brutal’ atau ‘jiwa ganas’ pemimpin tidak hairanlah apabila Amerika Syarikat didakwa telah menyebabkan budaya ‘pariah’ berkembang dalam kalangan rakyatnya sendiri; dan juga negara-negara yang mengambil pendekatan menjarakkan diri daripada hegemoni yang ingin dipertahankan itu. Lebih mendukacitakan ialah Israel yang memangnya sudah dicap ‘negara haram’ dan ‘pariah’ menjadi semakin angkuh, bongkak dan tidak sedar diri bahawa tindakan merekalah sebenarnya menjadi punca ketegangan dan tergugatnya keamanan dunia.

Ia bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Dan Kami menyatakan kepada Bani Israel dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan akan angkuh dengan melampau. Maka, apabila sampai masa janji kali pertama dari dua itu, Kami datang kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau…dan adalah satu janji yang tetap berlaku.

“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan bagi mengalahkan mereka, dan Kami jadikan kaum yang lebih ramai pasukannya. Jika kamu berbuat kebaikan, kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, berbalik kepada diri kamu juga.

“Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) yang memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (al-Isra’: 4-7)

Itu adalah janji Allah SWT. Kini, lebih ramai masyarakat antarabangsa percaya bahawa janji itu akan datang dan menghunjam Israel di atas keganasannya. Buktinya, akibat kekejaman yang dilakukan, kini Israel terpaksa menebalkan muka berhadapan dengan penghinaan dan kecaman masyarakat antarabangsa.

Walaupun masih menanggung aib dan rasa malu, pada suatu hari ketahanan itu akan roboh juga. Itulah juga harapan masyarakat antarabangsa ke atas Palestin. Ada slogan yeng berbunyi: Dari Sungai ke Segara: Palestin Pasti Merdeka. Gerakan pembebasan semakin mendapat perhatian, tidak lagi terhad dalam kalangan negara-negara Arab, negara-negara Islam semata-mata, kini menjalar dalam sanubari manusia yang cintakan keamanan dan kedamaian, melangkaui batas agama, kaum dan sempadan fizikal.

Setakat ini, belum ada tanda bilakah perang itu akan ditamatkan. Apakah peperangan yang berlaku akan menyusuli kepanjangan masa perang antara Rusia dan Ukraine? Rusia menyerang Ukraine pada bulan Februari 2022, masih juga belum berakhir. Namun, angka kematian dalam perang tersebut adalah lebih kecil daripada apa yang berlaku di Palestin.

Kalau dalam perang Rusia-Ukraine dapat kita fahami penyebabnya ialah ‘kemarahan Rusia’ akibat keghairahan Amerika Syarikat memujuk bekas negara yang bersekutu dalam USSR menyertai NATO –North Atlantic Treaty Organisation- yang ditubuhkan sebagai pakatan ketenteraan (1949) bagi keselamatan negara-negara anggota daripada serangan tentera musuh.

Ketika itu, negara-negara komunis (Rusia, China dan Korea Utara) merupakan sasaran utama. Jadi untuk tujuan tersebut, Amerika Syarikat yang mengetuai NATO menamakan perang dengan ideologi komunis secara ideologi sebagai Perang Dingin.

Perang Dingin sudah tamat (berakhir setelah robohnya Tembok Berlin pada 9 November 1989 dan terbubarnya USSR pada 26 Disember 1991), NATO terus meningkatkan usaha sebagai perjuangan politik untuk melumpuhkan Rusia. Itulah sebabnya Rusia sangat marah, akhirnya menyerang Rusia setelah ada kecenderungan besar bekas tanah jajahan itu menyertainya, yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat bakal menggunakan Ukraine sebagai lokasi istimewanya, yang akan memudahkan mereka menyerang atau menakluki Rusia pada masa hadapan. Secara taktikal, Amerika Syarikat meniru langkah yang pernah dilakukan oleh kapitalis Yahudi untuk meruntuhkan Empayar Utsmaniah dengan menubuhkan cawangan Anglo-Palestin Bank di Istanbul.

Mereka berselindung di sebalik aktiviti perbankan, dan berjaya menjadikannya sebagai pusat operasi dan merencanakan aktiviti propaganda untuk meruntuhkan Empayar Utsmaniah. Operasi perbankan itu dikendalikan oleh Victor Jacobson, yang turut bertanggungjawab menjalin hubungan dengan mana-mana kelompok rakyat dan mengenal pasti kumpulan rakyat yang mula menunjukkan ‘rasa tidak puas hati’ kepada kerajaan dengan menghulurkan bantuan serta hasutan.

Menerusi peranan dan kecekapan propaganda yang dilaksanakan secara halus dan terancang, akhirnya membangkitkan kemarahan rakyat yang meluas kepada kerajaan Utsmaniah, terutama dalam kalangan generasi muda Turki. Mustapha Kamal Affandi mula sebagai pendokong utama gerakan penentangan daripada Anak Muda Turki (Young Turk) dengan sokongan Barat.

Akhirnya, pemerintahan Utsmaniah berjaya dijatuhkan dan Mustapha Kamal Affandi diangkat sebagai pemimpin Turki. Mustapha Kamal kemudiannya dikenali sebagai Mustapha Kamal Atartuk. Atartuk bermaksud: Bapa Turki. Mustapha adalah Bapa Turki moden yang kemudian menukarkan corak pemerintahan Turki menurut acuan sekular. Kini, Atartuk cukup dibenci oleh rakyat Turki.

Setelah meninggal, Atartuk tidak dikenang sebagai manusia yang paling layak dikenang jasanya. Beliau dikenang sebagai ‘penjahat’ kerana melenyapkan agama daripada kehidupan masyarakat Turki. Namun, Turki semakin berjaya melihat kembali kekuatan dari dalam, memperkukuhak nilai rohani. Dalam tahun 1920-an, Leopold Weiss (Muhammad Assad) menggambarkan perbezaan nilai yang cukup ketara antara masyarakat Arab (termasuk Turki) berbanding masyarakat barat yang ‘kosong rohani’.

Memerihalkan tentang Zionis, yakni kelompok Yahudi yang berusaha mendirikan sebuah negara haram di Palestin, Muhammad Assad berkata: Betapa aneh, aku fikir, sebuah bangsa yang telah menderita diaspora yang panjang dan perit ini, mementing diri untuk capai matlamatnya – dan bersedia untuk menyerang bangsa lain – bangsa yang tidak pernah terlibat dengan penderiataan Yahudi sebelum ini. Fenomena, apa yang aku tahu, tidak pernah berlaku dalam sejarah; tapi membuatkan aku cukup sedih kerana berlaku di depan mataku.” (Muhammad Asad, Jalan ke Mekah, terjemahan Mukhriz Mat Rus dan Ahmad Nabil Amir, Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2019, hal.97)

Tentunya, yang paling menyayat hati ialah setelah Sultan Abdul Hamid II berjaya dijatuhkan, Empayar Utsmaniah berkubur di mana wilayah-wilayah dibawahnya muncul sebagai sebuah negara yang tidak lagi berada dibawah naungan Istanbul. Masing-masing mempunyai sistem pemerintahannya yang lebih autonomi dan dipengaruhi secara langsung oleh kuasa-kuasa Eropah.

Dengan kejatuhan Empayar Utsmaniah, maka bermulalah era konflik yang berpanjangan di Timur Tengah hingga kini menjadi medan percaturan kuasa dan berjaya memanjangkan hasrat Yahudi Zion untuk menguasai dunia. Impian Yahudi Zion menguasai dunia dalam slogan One World Order – Satu Arahan (Tatanan) Dunia – ini dimulakan dengan langkah kejam, penuh brutal aktivis Zion dengan ‘merampas’ Palestin dengan bantuan kuasa-kuasa asing yang dipimpin oleh Amerika Syarikat. Ia kemudiannya menjadi kerangka politik yang paling ngeri dan kejam, yang dijelmakan dalam bingkai The Greater Israel –Israel Raya.

The Greater Israel merupakan ‘master plan’ yang dirangka oleh sekumpulan Yahudi yang percaya bahawa mereka adalah ‘bangsa pilihan’ yang dipertanggungjawabkan untuk memerintah dunia dan didokumentasikan dalam Protokol Yahudi Antarabangsa – International Jews Protocol – yang dokumen itu berjaya diterbitkan dan digarap dengan baik oleh Henry Ford, pengasas perusahaan automobil Ford.

Saya tidak pasti, apakah Kedah yang mempromosikan The Greater Kedah terilham atau tidak daripada The Greater Israel. Namun apa yang kita pasti, sedikit sebanyak kaedah propaganda The Greater Kedah ada sedikit kemiripan dengan apa yang dilakukan dalam merealisasikan The Greater Israel, yakni memburuk-burukkan musuh politik bagi menonjolkan ‘keistimewaan’ yang ada padanya.

Contohnya, menimbulkan rasa marah orang awam dengan menggunakan sejarah bahawa Pulau Pinang adalah sebuah wilayah (jajahan) Kedah. Ia disewakan kepada Syarikat Hindi Timur Inggeris dan selepas Inggeris memberikan kemerdekaan, wilayah itu sepatutnya diserahkan kembali kepada Kedah. Namun, ia tidak berlaku, sebaliknya Pulau Pinang diisytiharkan sebagai sebuah negara, setanding dengan Kedah, Perlis dan sebagainya. Kedah tidak pula menuntut Perlis sebagai sebuah wilayah asal miliknya, hanya menuntut Pulau Pinang.

Ia kemudian berkembang menjadi tuntutan politik sehingga ada beberapa ancaman atau ugutan dibuat. Oleh kerana Pulau Pinang mendapatkan bekalan air mentah daripada Sungai Muda, yang hulunya berada dalam negeri Kedah, maka ia perlu membayar harga air yang diambil. Pulau Pinang enggan membayarnya. Keengganan itu membawa pula kepada ‘perang mulut’ dan Kedah mengancam akan ‘membelat air Sungai Muda’ di bahagian yang bersempadanan dengan Pulau Pinang.

Biarpun kes ini tidaklah sehebat propaganda Israel mengenai kepemilikan Palestin sebagai ‘Tanah Yang Dijanjikan, The Promised Land’, asas sejarah digunakan sebagai alasan tuntutan. Pertubuhan Yahudi Antarabangsa menggunakan kerangka tersebut untuk mendapatkan semula Palestin bagi ditubuhkan sebuah negara Yahudi dengan menggunakan pengalaman buruk orang-orang Yahudi yang hidup dalam situasi diaspora di seluruh dunia, terbesarnya di Eropah.

Untuk meraih simpati, mereka menggunakan sejarah pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh tentera Nazi semasa Perang Dunia II. Kedah tidak ada pengalaman seperti itu, tetapi Kedah menggunakan alasan bahawa kemunduran yang dialaminya disebabkan dipertanggungjawabkan untuk kekal sebagai ‘jelapang padi’ yang mengeluarkan makanan untuk seluruh rakyat Malaysia. Kedah tidak mempunyai peluang untuk menukarkan kebanyakan sawah membangun industri sebagaimana yang berlaku di Pulau Pinang. Sebenarnya, itu merupakan imajinasi seseorang yang tidak ada kompetensi memimpin.

Satu lagi alasan ialah kerana Kedah berada jauh daripada Kuala Lumpur, maka pembangunannya terbantut berbanding Selangor. Ia adalah satu alasan yang dianggap bodoh sedangkan Pulau Pinang juga jauh daripada Kuala Lumpur tetapi telah muncul sebagai negeri kedua termaju selepas Selangor. Pulau Pinang tidak mempunyai sumber semulajadi yang banyak berbanding Kedah, tetapi mempunyai pemimpin yang berwawasan untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri maju.

Selepas Pulau Pinang dimansuhkan sebagai ‘pulau bebas cukai’, Pulau Pinang mencorakkan pembangunannya dengan menumpukan perhatian sebagai kawasan industri dengan membuka ‘free trade zone’ di Bayan Lepas, kemudian di Mak Mandin dan seterusnya menjadikannya cepat berkembang. Pemimpin-pemimpin Kedah membiarkan pertumbuhan ekonominya secara statusquo – hasil pertanian – dan kemudian ditambah dengan pembangunan kawasan industri setelah Pulau Pinang tidak lagi mampu menampung limpahan tersebut. Itulah sebabnya muncul kawasan perindustrian Bakar Arang (Sungai Petani) dan kemudiannya Kulim Hightech Park. Kulim Hightech seolah-olah terbantut apabila berlakunya pertukaran pucuk pimpinan politik.

Saya tidak berniat untuk ‘menghina kepimpinan politik Kedah’, hanya memberikan sedikit gambaran bagaimana falasi sangat berkesan digunakan dalam kaedah propaganda. Saya juga tidak berniat untuk menyamakan apa yang berlaku dalam pertembungan politik Kedah menyamai apa yang dilakukan oleh propaganda Yahudi Zionis untuk mewajarkan kenapa mereka memerlukan tanah Palestin sebagai “Tanah Yang Dijanjikan” yang mendapat dokongan dan sokongan kuasa-kuasa besar sehingga sebuah negara haram Israel berjaya ditubuhkan pada tahun 1948.

Saya tidak bercadang memperluaskan mesej propaganda yang berlaku sehingga menyebabkan pendapat awam berbeza-beza mengenai pendirian Kedah untuk menuntut kembali Pulau Pinang dan seterusnya, menekan soal pampasan mengambil air mentah daripada Sungai Muda yang menjadi nadi utama kehidupan rakyat Pulau Pinang. Kedah ada rasionalnya, Pulau Pinang juga sebabnya kenapa ‘tidak perlu membayar walaupu satu sen’.

Tujuan saya bukan memancing kontroversi mahupun provokasi, hanya sekadar melihat bahawa faktor sejarah menjadi bahan eksploitasi yang berkesan dalam mewajarkan sesuatu tindakan atau merealisasikan sesuatu impian besar, sebagaimana impian yang hanya bermula dengan ‘peta minda’ seseorang berkembang menjadi lebih besar yang kadangkala cukup menakutkan di sisi lain.

Impian seseorang itu, yang saya maksudkan ialah ‘peta minda’ seorang Yahudi Ateis kelahiran Budapest Hungary pada tahun 1860 akhirnya menjadi realiti kejam pada tahun 1948, menjarah bumi Palestin tanpa henti dan hasrat besarnya ialah menghabiskan saki baki keturunan Palestin sama ada beragama Islam, Kristian mahupun yang agnostik dan ateis.

Dalam melaksanakan impiannya, Hertzl cukup gigih menacri simpati dan dokongan. Digunakan pelbagai kaedah, daripada rencana-rencana yang ditulisnya sebagai wartawan akhbar Neue Freie Presse hinggalah kepada penubuhan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa.

Bermula dari situlah Hertzl mengembangan idealisme politiknya, menjalin hubungan dengan kapitalis Yahudi yang kaya raya, mendorong mereka untuk memperuntukkan dana dan seterusnya mempengaruhi pemimpin negara yang dilihat berpengaruh. Sebab itulah, selain risalah kecil yang ditulis pada tahun 1896, Der Judenstaat (The Jews State), sekeping surat yang mengandungi 18 perkataan turut mempengaruhi pendirian masyarakat Barat terhadap keinginan Yahudi untuk kembali ke ‘Tanah Yang Dijanjikan’.

Walaupun secara umumnya surat Sir Arthur James Balfour kepada kepitalis kewangan England, Lord Rothschlid bertarikh 2 November 1917 adalah segala-galanya yang memulakan langkah pembentukan sebuah negara haram Israel. Begitu juga dengan apa yang berlaku ke atas Batu Putih, terpaksa menerima hakikat sebuah kekalahan hanya kerana sekeping surat yang ditulis oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh 21 September 1953.

Surat itu merupakan jawapan kepada Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British bertarikh 12 Jun 1953 mengenai status Pulau Batu Putih. Dalam surat itu terkandung satu kenyataan: kerjaan Johor tidak menuntut pemilikan ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Putih)”. Kenyataan itulah menyebabkan Malaysia kalah dan menjadi asas ICJ memberikan keputusan berpihak kepada Singapura.

Kalau menurut sejarah, Singapura adalah wilayah Tanah Melayu, yang berada dalam kuasa Sultan Johor, seperti juga Pulau Pinang dalam kekuasaan Sultan Kedah. Sejarah juga telah berubah kemudiannya apabila Inggeris menduduki Pulau Pinang dan Singapura. Ia berubah lagi apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan: Pulau Pinang mendapat status sebagai sebuah negeri manakala Singapura, tidak menjadi sebahagian daridapa Johor, kekal dikuasai British sehingga Singapura mencari ruang untuk bergabung dalam Malaysia (1963) dan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 9 Ogos 1965, keluar daripada Malaysia dan mengisytiharkan menjadi sebuah republik.

Saya kembali kepada apa sebenarnya nak saya tuliskan kali ini? Saya bercadang menulis idea yang saya fikirkan menarik, kerana itu adalah isu yang beberapa hari lalu berlegar dalam minda, yakni bagaimana ‘peta minda’ atau ada juga yang memanggil ‘peta internal’ terbentuk sehingga sebahagian besar tindakan adalah berdasarkan ‘peta minda’ tersebut.

Peta itu dibangunkan secara berhati-hati dan juga secara spontan atau segera ketika kita berhadapan dengan sesuatu hal, isu dan reaksi.

Tentunya, dalam pembentukan ‘peta minda’ itu sangat memerlukan pengetahuan, pengalaman, petunjuk yang boleh kita faham atau kurang faham yang kemudian membentuk apa kita namakan persepsi. Misalnya, bila kita melihat seseorang menangis (orang yang tidak kita kenal atau kenal), secara spontan hati kita akan membuat kesimpulan dalam bentuk pertanyaan.Kenapa?

Kalau orang yang kita kenal, kita akan mendekatinya, kecuali jika orang itu adalah ‘musuh’. Jika musuh, mungkin kita memberikan reaksi yang berbeza: Padan muka, dulu tipu aku, khianati aku, tidak ada masa nak layan’. Itu adalah dua situasi kontra dan kadangkala sangat paradoks (hati kecil ada juga kecenderungan bersimpati sekiranya tangisan ‘musuh’ itu benar-benar berlaku akibat ‘kecelakaan’).

Mungkin juga, fikir kita dalam hati berdasarkan ‘peta minda’ yang tergambar. Mungkin ‘tangisan’ itu kerana ‘terhina’ atau disakiti oleh seseorang. Di situlah akan membentuk reaksi kita selanjutnya, apakah kita bersimpati atau menjauhkan diri; mendekati atau menjauhkan diri.

Dalam bahasa psikologi, reaksi sedemikian dipanggil kesan reptilia (reptilian effect). Jika bersimpati, kita akan mencari jalan bagaimana mengumpulkan kekuatan untuk ikut ‘bermusuh’ dengan ‘musuh’ yang menyebabkan orang itu menangis. Jika tidak bersimpati, kita akan mengambil keputusan sama ada membiarkan orang itu terus ‘menangis’ dan kita terus ‘angkat kaki’.

Ia berbeza dengan reaksi yang hadir dalam bentuk empati, yang muncul di peringkat neo-cortex. Otak neo-cortex akan menghasilkan keinginan untuk berempati, maksudnya ambil tahu dan membantu. Tentunya, bukan mudah untuk melaksanakannya, tidak semudah reaksi simpati yang muncul dalam kategori otak reptilia, yang lebih bersifat survival/mempertahankan diri atau kelangsungan hidup.

Saya cuba meneroka fenomena ini dengan lebih serius; kerana persoalan yang kita sedang tangani sekarang, juga masyakat dunia adalah tersangat serius dan sangat menakutkan. Iaitu persoalan bagaimana sekelompok bangsa yang hidupnya seperti pacat dan lintah, tidak bernegara boleh dibiarkan terus mengganas seumpama singa lapar yang kita saksikan dalam dokumentari Animal Planet.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »