Kuala Kubu Baharu (KKB) dalam tempoh dua minggu ini akan alami suasana sesak luar biasa. Ia menjadi tumpuan kerana di sinilah akan berlakunya pertarungan empat calon bagi merebut ‘sebuah kerusi’ sebelum dinobatkan sebagai ADUN Kuala Kubu Baharu (Bharu atau Bahru).

Pilihan Raya Kecil (PRK) ditetapkan pada 11 Mei 2024,  ekoran penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu. Mendiang Lee telah memenangi kerusi itu dalam dua PRU sebelumnya (2013 dan 2018) dan pada PRN yang lalu (2023).

PRK KKB merupakan PRK pertama bagi tahun ini. Pada tahun lalu (2023) berlangsung pada enam kali, iaitu di Parlimen Kemaman (2 Disember); Parlimen Kuala Terengganu (12 Ogos); DUN Jepak, Sarawak (15 September); Parlimen Pulai (9 September); DUN Simpang Jeram (9 September) dan DUN Pelangai, Pahang (7 Oktober).

Dua PRK terpaksa diadakan atas keputusan mahkamah berlakunya aktiviti merasuah pengundi untuk meraih kemenangan, iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Kemaman. Empat lagi PRK dilaksanakan apabila penyandangnya meninggal dunia (Jepak, Pelangai, Simpang Jeram dan Pulai).

Oleh kerana PRK KKB ini merupakan PRK pertama pada tahun ini dan ia berlangsung dalam suasana sambutan Aidilfitri masih berbaki, maka itulah yang menjadi sebab kenapa PKR memilih lokasi tersebut sebagai pembuka gelanggang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyifatkan jamuan hari raya perpaduan yang diadakan di perkarangan Galeri Sejarah KKB pada 19 April lalu sebagai “kepentingan sejarah dan budaya dalam mengukuhkan perpaduan”. Inilah baru jamuan raya Aidilfitri perpaduan, menjadi tajuk berita Harian Metro, edisi Ahad pada 20 April 2024.

PKR Selangor juga akan mengadakan jamuan hari raya di KKB seminggu kemudian (27 April 2024). BERSIH sudah mengeluarkan kenyataan, jamuan hari raya yang diadakan di KKB adalah menyalahi Akta Kesalahan Pilihanraya (1954): jamuan raya di bawah Seksyen 8 (penjamuan) dan pemberian duit raya (angpau) di bawah Seksyen 10 (Penyogokan).

Apatah lagi jamuan raya kerajaan Selangor itu berlangsung pada hari penamaan calon (27 April 2024). MB Selangor menafikan rumah terbuka yang diadakan itu menyalahi Akta Kesalahan Pilihanraya, kerana program itu “tidak hanya terhad kepada penduduk KKB. Ia terbuka kepada semua warga Selangor.”

Rasionalnya, KKB dipilih kerana penganjurannya menurut giliran, kata MB Selangor, “sebelum ini kita buat di semua daerah dan kita memang memilih kawasan ini (KKB) kerana kebetulan ia lokaliti pertama rumpun Selangor oleh Raja Muda Selangor oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sharafuddin Idris Shah.

Melihat respons yang baik jadi kita buat di sini….sambutan Tahun Baru Cina berlangsung di Dengkil atau Sepang baru-baru ini, jadi mungkin nanti sambutan merdeka kita boleh gilirkan (lokasi) untuk rapat dengan komuniti atau masyarakat.”

Maknanya, dalam dua hujung minggu lalu, dua jamuan hari raya berlangsung di KKB: Peringkat Kebangsaan (19 April 2024) dan peringkat Negeri Selangor (27 April 2024), hebat sungguh kali ini penduduk KKB. Semua pemimpin negeri dan pusat ‘menjamu selera’ dan tentunya, ia tidak akan mengecewakan nanti.

Tidak seperti yang pernah PM beritahu, ‘cukup mahal’, banyak modal telah dikeluarkan tetapi enam PRN yang berlangsung pada bulan Ogos tahun lalu tidak mengubah statusquo atau lanskap politik di enam buah negeri secara makro. Namun, secara mikro, ada sesuatu yang cukup menghampakan kerjasama PH-BN atau kerajaan perpaduan.

Apakah kali ini dalam skop yang lebih kecil akan berlaku perubahan di KKB? Inilah persoalan yang menarik untuk dilihat, dihadam dan seterusnya diberikan perhatian, yang mungkin menjadi medan perbahasan yang tidak berkesudahan, baik sebelum kempen, semasa kempen dan selepas PRK selesai.

DAP akan melakukan kempen besar-besaran kerana tidak mahu ‘kubu’ yang sudah dikuasainya jatuh. Sebab itulah DAP mempertaruhkan bakat muda yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyiaran, dan juga memahami budaya pengurusan politik di pejabat.

Calonnya, Pang Sock Tao ada pengalaman, walaupun tidaklah begitu lama. Pang pernah dilantik sebagai pegawai khas kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam kabinet PH yang diterajui oleh Dr Mahathir selama 22 bulan.

Selepas PH-BN-GPS-GRS membentuk kerajaan perpaduan, Nga Kor Ming dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang dilantik sebagai pegawai khas dan seterusnya ‘dinaikkan pangkat’ sebagai Setiausaha Akhbar. Pang juga mengakui bahawa KKB bukanlah asing bagi dirinya, ikut serta dalam membantu mendiang Lee Kee Hiong dalam gerak kerja politik di situ.

Tentunya, Pang sedar bahawa sentiment calon luar sangat mudah dipermainkan dalam setiap kempen politik dan kini, serangan yang sama sedang dilakukan bagi menafikan kemenangannya, atau meruntuh kubu yang sudah dibina oleh DAP di KKB. Ia juga ada kaitannya dengan hasrat PN untuk ‘membuka kuala’ di situ kerana dua DUN telah dikuasai dan kemenangan di KKB akan melengkapkan penerokaan kuasa politik.

PN meletakkan anak tempatan, iaitu pemangku Bersatu Hulu Selangor yang berusia 54 tahun Khairul Azhar Saut, yang membesar di Felda Sungai Tengi, KKB. Khairul mempunyai pengalaman dalam bidang korporat misalnya sebagai Pengurus Besar Global Valley Venture; Pengurus Besar Petronas Resources; Ketua Bahagian Minyak dan Gas Damimi Corporation; Eksekutif Kewangan Bursa Malaysia; dan Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) meletakkan calonnya, seorang wanita aktivis sosial, Hafizah Zainudin, 50. Menurut maklumat, Hafizah dipilih untuk mewakili PRM pada pukul 2 pagi, iaitu beberapa jam sebelum proses penamaan calon dibuka. Mungkin itulah yang menjadi sebab kepada calon yang pernah kalah dalam PRN lalu, menghantar borang pencalonannya sebagai calon Bebas, dan Chng Boon Lai menarik semula borang pencalonan setelah diketahui Hafizah sah sebagai calon mewakili PRM.

PRK KKB akan menjadi medan perebutan empat calon – PN, PH-BN, PRM dan Bebas – setelah Chng Boon Lai menarik diri. Namun, PRM yang telah melancarkan manifesto parti sehari selepas penamaan calon dilihat tidak begitu kuat untuk meruntuhkan ‘kubu’ yang dikawal dan dipertahankan oleh calon DAP. Hanya dilihat, PN mampu menggugat, tetapi ia cukup sukar untuk meruntuhkannya dalam keadaan parti Bersatu secara umumnya tidak begitu gagah.

Walaupun PAS dan Gerakan akan turut membantu serta Parti Rakyat India Malaysia (PPIM) yang baharu bersama dalam gabungan PN, ia tidaklah boleh meniup gelombang tsunami. Gerakan sudah dicap sebagai ‘parti gagal’ dan kini masih boleh berjalan dalam keadaan terhencut-hencut manakala PPIM sekadar belajar bertatih. Hanya mengharapkan PAS yang mempunyai kekuatan untuk membantu Bersatu meraih kemenangan, atau sekurang-kurang menghilangkan sedikit pedih luka yang masih terasa gagal menjadikan Selangor sebagai negeri yang dikuasainya.

Namun, apakah Bersatu akan melakukannya? Persoalan itulah yang dilihat sangat ‘ngeri’ kerana kepimpinan Azmin Ali tidak ‘mencengkam’ lagi. Walaupun Azmin adalah ADUN Hulu Kelang, yang berjiran dengan KKB, tidak bererti pengaruhnya melebar melepasi Templer Park atau memudik ke hulu Sungai Kuala Kubu Bharu. Azmin tidak mampu menyongsong arus, sehingga mampu mencari ‘kuala’ di KKB.

Hakikatnya, Bersatu sudah membuat satu kesilapan besar apabila Muhyiddin ‘gila mulut’ di KKB yang khuatir bahawa persetujuan PMX memberikan peruntukan kepada setiap wakil rakyat akan ada perangkapnya. Muhyiddin memberikan kenyataan bahawa beliau tidak pernah memerangkap mana-mana wakil rakyat, termasuk dari parti lawan semasa memberikan peruntukan setiap seorang RM 35,000 ketika pandemic COVID-19.

Pada rakyat, ia nampak ada rasionalnya secara umum. Tetapi, bila rakyat mula berfikir dan memahami, ia adalah sangat berbeza dengan apa yang telah dipersetujui semasa pemimpin-pemimpin parti bermesyuarat mengenainya sebulan lalu. Peruntukan yang dimaksudkan itu ialah peruntukan yang akan digunakan untuk pembinaan projek-projek kecil dalam kawasan Ahli Parlimen masing-masing.

Atas sifat itu, maka ada rakyat melihat jika pemberian dibuat tanpa syarat, maka peruntukan itu tidak memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat. Ini kerana, rungutan-rungut wakil rakyat yang kita dengar, adalah untuk menampung perbelanjaan tertentu: sagu hati ziarah kematian, sagu hati kenduri kahwin, sagu hati pengundi luar, bayaran sewaan dan pengurusan pusat khidmat wakil rakyat dan sebagainya.

Tentunya, apa yang tergambar kepada rakyat ialah rengekan yang pernah dan beberapa kali dibuat oleh wakil rakyat pertama kali bagi Parlimen Ketereh, Kelantan. Seperti mengungkit terpaksa menggunakan wang sendiri kerana ada kematian empat atau lima orang sehari di kawasan yang diwakilinya.

Juga, salah seorang wakil rakyat Terengganu yang pernah mencerca menu rahmah. Beliau turut menasihatkan pengundi luar bersabar menunggu bayaran sagu hati pulang mengundi dalam PRN lalu. Katanya, permohonan peruntukan dengan kerajaan pusat sudah dihantar, ‘tapi wangnya belum muncul’.

Kesemuanya menjadi lakaran ‘peta minda’ politik, yang cukup berkait rapat dengan konsep politik penaungan, yang merupakan sebahagian daripada makna feudalisme dalam budaya politik. Feudalisme politik Malaysia walaupun sudah menunjukkan ada perkembangan menarik, hubungannya dengan politik penaungan masih kuat sehingga seseorang wakil rakyat perlu membelanjakan wang yang besar untuk mempertahankan kuasa, termasuk mempertahankan jawatan dalam parti, sama ada di peringkat bahagian atau cawangan.

Calon Bebas yang akan bertanding di KKB ialah Nyau Ke Xin, 29. Beliau merupakan calon termuda pada PRK kali ini. PRK KKB memperlihat tiga wanita bertanding, maka ia menjadikan usaha menggerakkan pengundi wanita akan menjadi sesuatu yang sangat signifikan. Nyau berasal dari Sabak Bernam dan bekerja di Shah Alam.

Sebaik sahaja pencalonannya diterima, Nyau dikritik dan dikecam sebagai calon yang ditaja oleh pihak tertentu, termasuk oleh parti MCA. MCA telahpun membuat keputusan, tidak akan turut membantu kempen memenangi calon DAP kerana ada ‘trauma’ yang tidak dapat dihapuskan antaranya. Walaupun MCA adalah salah sebuah parti komponen BN, keputusan tidak turun berkempen mengindikasikan ‘perseteruan’ tidak mudah berakhir biarpun kepimpinan tertinggi berusaha memujuk.

Atas alasan itulah Nyau dikatakan turut ditaja oleh MCA. Dalam penjelasannya di Tik Tok, Nyau menjelaskan, dirinya tidak menjadi ahli mana-mana parti atau bekerja untuk mana-mana parti politik.

Do not be deceived by the words of some irresponsible parties. I have never been a member of any political party, as claimed by some one. I am not paid by MCA, DAP, Gerakan, or PN/ Do not be deceived by these parties who hope that I will withdraw form this by-election.”

Sebagaimana yang kita ketahui, dalam mana-mana PRK, calon Bebas terpaksa berhempas pula sendiri berkempen tanpa ada banyak pihak yang membantu. Hal inilah yang mungkin membawa ‘kegagalan’ kepada calon Bebas, kecualilah calon Bebas itu merupakan figure yang banyak legasi sebagaimana pernah dimenangi oleh Tan Sri Shahril Samad (Parlimen Johor Bahru, 1988) dan Datuk Datuk Yahya Lampung di Kota Belud, Sabah (1982).

Shahrir merupakan salah seorang penyokong Team B, yang merebut jawatan kepimpinan tertinggi UMNO pada tahun 1987. Pada bulan April 1988, UMNO diharamkan dan ditubuhkan semula oleh Dr Mahathir menjadi UMNO (Baru), yang masih kekal hingga sekarang walaupun terpaksa ‘menumpang’ dalam kuasa penadbiran negara: bersama PN dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM7; dan, sekarang bersama PH dalam kerajaan perpaduan.

Mungkin juga calon Bebas dalam PRK KKB, Nyau terilham daripada kemenangan calon termuda dalam PRU ke-14, Prabakaran di Parlimen Batu. Ketika itu, Prabakaran belum selesai belajar, tetapi sudah pun melepasi usia 21 tahun. Beliau menjadi calon Bebas, calon yang dikatakan ditaja oleh PKR kerana Chua Tian Chiang dikhuatiri akan ditolak corang pencalonannya.

Pada PRU ke-14, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chiang (PKR) tidak dicalonkan walaupun Mahkamah Tinggi Shah Alam menurunkan hukuman ke atasnya  hanya kepada RM 2,000 dan hukuman penjara enam bulan dibatalkan. Tian Chua sudah pun disabitkan dengan kesalahan yang berlaku pada 18 Jun 2010, tetapi pada PRU ke-13 (2013), Suruhanjaya Pilihanraya tidak menjadikan itu sebagai syarat yang boleh menghalang seseorang bertanding dalam mana-mana pilihanraya.

Ia berbeza dengan syarat yang dikuatkuasakan pada PRU ke-14. Setiap orang yang dikenakan denda RM 2,000 keatas oleh mahkamah, tidak lagi layak menjadi calon mana-mana bahagian pilihan raya. Tian Chua tidak berpuas hati dengan syarat tersebut sehingga mendorong PKR tidak mencalonkannya sekali lagi.

Kata Tian Chua: Ini tidak adil kerana pada PRU lalu (2013), mahkamah menetapkan denda RM 2,000 tidak menyebabkan hilang kelayakan (untuk bertanding pilihan raya). Tetapi, mereka (SPR) mendakwa ketetapkan itu tidak terpakai pada pilihan raya kali ini.

Walaupun Prabakaran melihat sukar untuk menang, terutama bila Dominic Lau (Gerakan) menjadi calon. Namun, nasib menyebelahinya, dan ada laporan mengatakan kemenangan itu banyak dibantu oleh jentera PKR. Sebab itulah Prabakaran selepas beberapa bulan memenanginya menyertai PKR.

Senario kemenangan Prabakaran di Parlimen Batu pada PRU ke-14 mungkin tidak akan menjadi kenyataan buat calon Bebas di PRK KKB walaupun ada yang mendakwa, Nyau ditaja oleh pihak tertentu. Pihak yang menaja Nyau tidak mengharapkan kemenangan, tetapi mahu memecahkan undi, terutama dalam kalangan pengundi Cina yang dilihat signifikan dan dianggap menjadi undi penentu.

Jika mengharapkan undi orang Melayu yang membentuk 46.4 peratus daripada keseluruhan 40,226 undi, calon DAP mungkin akan kecewa. Ini kerana undi yang pada suatu ketika menjadi deposit UMNO sudah berpecah sama ada menyokong PAS mahupun Bersatu. Kombinasi dua entiti politik yang berteraskan Melayu-Islam ini akan memperlihatkan suatu kecenderungan yang berbeza dengan trend pengundian pada PRN yang lalu. Hal inilah yang sedikit sebanyak menjadi kebimbangan PH-BN.

Jika dalam PRN lalu DAP mampu kekal menang di KKB, ia sebahagian besarnya disumbangkan oleh perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu manakala pengundi bukan Melayu lebih cenderung berpihak kepada DAP. Ini disebabkan pengaruh MCA, MIC dan Gerakan tidak begitu menonjol. Ada yang menggelarkan MCA dan Gerakan sebagai ‘the sick men’; MCA pernah memenangi kerusi tersebut beberapa kali.

Jika PN mengharapkan PPIM yang menjadi anggota terbaharunya menarik sokongan pengundi India, ia tidak menunjukkan ‘jalan terang’ kerana kemenangannya tidak mampu menyediakan perumahan untuk pekerja ladang di lima buah estet. Ugutan hanya akan memberikan undi kepada calon yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) akan menyediakan 245 unit kediaman untuk mereka menjadi ‘tawar menawar’ dalam PRK ini.

Menurut kenyataan yang dibuat oleh wakil masyarakat India di lima buah estet terbabit, undi akan diberikan jika calon yang bertanding bersetuju secara “hitam putih”. Ini bermakna, jika calon berkenaan menang tetapi gagal melaksanakan janji tersebut, masyarakat India di lima estet boleh mengambil tindakan undang-undang, ia dianggap sebagai sebuah kontrak.

Namun, bukan mudah untuk melaksanakan janji tersebut, jika pun calon DAP menandatanganinya. Ada banyak proses yang terlibat termasuk kemungkinan diseret ke mahkamah untuk membatalkan keputusan yang diraih nanti. Ini kerana SD sedemikian turut dilihat sebagai aktiviti penyogokan, Maka, ia tidak akan berlaku secara bertulis, tetapi mungkin secara lisan. Ertinya, jika janji itu tidak ditunaikan, ia bukanlah sesuatu yang boleh didakwa, hanya sekadar mengeluh dan mengecam.

Kita pernah dengar, sebelum berkuasa (maksudnya menang pilihan raya), banyak janji dibuat. Sebahagian janji-janji itu ditagih untuk direalisasikan, termasuk janji-janji yang pernah dibuat oleh PKR beberapa tahun lalu. Klip video dan keratan laporan akhbar mengenai janji-janji terus dikembangkan sehingga muncul dua istilah baharu dalam slanga politik Malaysia: walaun dan walauntit. Sebelumnya, muncul istilah ‘sembang kari’: kera-jaan, kija-an; ratib sepanjang hari dan malam.

Persoalan yang akan menjadi tema terbesar dalam PRK KKB telah dikenal pasti ialah kos sara hidup yang semakin meningkat. Usaha-usaha menanganinya tidak banyak memberikan kesan, malah terus dikecam gagal. Namun, seperti jangkaan, krisis beras tempatan akan menjadi suatu yang menarik dalam PRK kali, kerana akan ada usaha untuk melambakkan beras-beras tersebut di KKB. Realitinya, beras yang dimaksudkan itu masih belum boleh diperoleh seperti sebelumnya di premis runcit, pasar raya dan sebagainya.

Sebagai langkah kecil, harga beras import dua minggu lalu disyorkan harganya diturunkan antara RM 2 hingga RM 3 sekampit. Namun, apa yang berlaku, biarpun harganya telah diturunkan, ia tidak kembali dijual dengan harga sebelumnya, kurang daripada RM 32 sekampit bagi paket 10 kilogram. Bahkan ada tanda harga yang tercatit pada bungkusan, sekampit harganya mencecah RM 53. Sebelumnya, harga beras wangi pun tidak pernah sampai tahap tersebut.

Apa pun alasan yang diberikan, kerajaan akan tetap dipersalahkan. Ini kerana pada suatu ketika Anwar pernah mengecam apa yang kerajaan lakukan untuk membendung kenaikan kos sara hidup. Falasi pemikiran yang sama terus berkembang dan ditular semula, kerajaan pimpinan Anwar adalah kerajaan yang gagal mengurus negara.

Jadi, isu ini akan menjadi hal yang sangat perlu diberikan penjelasan dalam kempen di sepanjang PRK KKB. Jika isu ini dapat diselesaikan, kos sara hidup dapat diturunkan, peluang untuk DAP mempertahankan kubunya akan berjaya. DAP mungkin akan memperoleh majoriti yang lebih besar, dan misi PN untuk membuka ‘kuala’ di KKB kecundang.

Apa yang pasti, walau sesiapa pun yang menang dalam PRK kali ini, ia adalah suatu petunjuk perubahan telah berlaku, yakni perubahan nama penyandang. Kesemuanya adalah calon baharu, yang kali pertama bertanding. Semuanya merupakan muka baharu, maka istilah terakhir yang berada di hujung nama KKB nyata akan berlaku, hatta Pang Sock Tao menang kerana beliau adalah calon baharu, yang bertanding kali pertama sejak aktif berpolitik pada tahun 2017.

Pada PRN tahun lalu, DAP mempertahankan kerusi KKB dengan memperoleh majoriti 4,119 undi, lebih kecil daripada kemenangan pada PRU ke-14 (2018), iaitu majoriti 7,134 undi.  Mendiang Lee Kee Hiong bertanding kali pertama pada PRU ke-13 (2013) dan menang, mengalahkan calon BN Wong Koon Mun (MCA) dengan majoriti 1,702 undi.. Secara demografi, jumlah pengundi adalah seramai 40,226 orang di mana pengundi Melayu membentuk 46.4 peratus, pengundi Cina 30.7 peratus, India 18 peratus dan lain-lain sekitar 5 peratus.

MAHANOR SALEHA

Translate »