Islam apakah yang mahu diperjuangkan, andai ummah dipinggirkan, kasih sayang sesama muslim diabaikan, sedangkan setiap insan yang melafazkan dua kalimah syahadah dituntut bersatu-padu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud; Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah.”
Dengan alasan ini, melalui Gagasan Malaysia Madani, kita amat berkeyakinan apabila pemimpin dan ulama’ menjadikan perpaduan ummah sebagai landasan perdana dalam arus kepimpinan, pasti ia bakal diterjemah oleh setiap pengikut yang berfikir, sebagai satu seruan suci Ilahi.
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali menegaskan, “Bersatulah seperti dua tangan ini. Jangan bercerai seperti dua telinga ini. Ketika tangan kanan ke depan, tangan kiri ke belakang. Ketika tangan kiri ke depan, tangan kanan ke belakang. Akhirnya kita selesa jalan berlenggang. Tapi kalau kedua-duanya ke depan, atau kedua-duanya ke belakang?”
Betapa pentingnya menjaga persaudaraan dan memupuk perpaduan di antara kita kerana perbezaan yang muncul daripada keragaman – sama ada dari segi pemikiran, ideologi, dan sebagainya – tidak mustahil menjadi peledak lahirnya fanatisme buta, persaingan tidak sihat, perselisihan, kutuk mengutuk dan tafarruq, hingga akhirnya membawa derita dan kehancuran ummah dan negara. Kita lupa dan terus berpolemik di sekitar perdebatan yang tidak bertepi, seperti membicarakan isu-isu klasik sekitar masalah khilafiah. Demikian juga rosaknya peradaban kaum ahli kitab adalah kerana perselisihan dan perpecahan.
Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh-musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah belah kerana masalah furu’iyah, dan akhirnya mengabaikan masalah-masalah kulliyah, yang sepatutnya diberi keutamaan.
Sejarah Islam telah mencatatkan bahawa salah satu punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik tentang masalah furu’iyah ini. Al-Ikhtilaf atau perselisihan termasuk perbuatan yang harus dihindari oleh umat Islam. Sebenarnya tidak perlu diungkapkan data-data sejarah tentang apa yang muncul pada umat manusia, khususnya kaum Muslim akibat daripada perselisihan dan perbezaan itu. Perselisihan dan perbezaan pendapat lebih banyak membawa kesan negatif daripada positifnya. Apa pun jenis perbezaan dan perselisihan itu tidak baik dan akan menyebabkan terhakis dan hilangnya keupayaan intelektual seseorang.
Pada ketika terjadinya ikhtilaf, para sahabat sering menggunakan pendekatan takwa bukan emosi. Berbeza pendapat dalam masalah agama bukanlah ruang yang diperkenankan untuk semua orang. Perbezaan hendaklah diberikan kepada orang-orang yang mempunyai kebolehan dalam ilmu agama. Perbezaan pendapat antara ahli-ahli mujtahid tidak harus terbawa-bawa kepada orang awam atau dimanfaatkan oleh mereka yang ada kepentingan politik.
Secara fitrah, ummah kita sebenarnya inginkan keamanan dan perpaduan bukan persengketaan. Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia.
Maka apakah jalan penyelesaian yang boleh kita terokai supaya menguatkan kembali perpaduan sesama muslim, dan di dalam masyarakat kita secara amnya?
Sejujurnya, persatuan-persatuan NGO Islam dalam negara, perlu memainkan peranan besar supaya menjadi contoh yang baik kepada umat Islam dalam negara kita. Berasaskan perspektif ini, sudah sewajarnya segala bentuk perbincangan sama ada digelar dengan halaqah, debat, mujadalah, muzakarah, mabahis dan sebagainya, perlu dalam kerangka mengelakkan elemen pergaduhan dan perpecahan. Biarlah kita mulakan dialog perbincangan, secara fizikal ataupun online melalui media sosial, untuk ketengahkan isu-isu yang boleh menyatukan ummah. Gunakan medium yang ada pada zaman ini untuk mengangkat mesej penyatuan, bukan perpecahan.
Kalau merenung secara mendalam dengan hati seorang mukhlis, apalah erti kehadiran ngo-ngo Islam dan organisasi Islam kalau bukan untuk membangun persaudaraan Islam?
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. – (Al-Hujurat 49:10)
Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad SAW telah membuktikan hakikat tersebut dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.
Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekaligus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.
Malah di dalam satu kenyataan media, menteri di jabatan perdana menteri, hal ehwal agama, Dato’ Setia Dr Naim Mokhtar, menyeru supaya semua pihak menghentikan perbalahan serta persengketaan yang boleh memusnahkan perpaduan dan keamanan negara. Beliau juga menyatakan bahawa semua pihak perlu bersatu hati untuk membangunkan negara agar lebih maju, makmur, berdaya-saing dan aman sentosa. Pelan Transformasi Al-Falah yang diterajui oleh JAKIM dan agensi-agensi di bawahnya, menunjukkan komitmen pihak kerajaan untuk perjuangkan kesatuan dan solidariti ummah, dan memupuk sifat ihsan dalam masyarakat.
Rasulullah SAW menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan ikatan hati masyarakat yang saling kasih-mengasihi kerana Allah. Sedangkan kehancuran dan perpecahan umat Islam berkait rapat dengan keretakan ikatan batin Muslim. Untuk menghindari hal itu, baginda sangat mengharapkan agar umatnya menghindari perselisihan (ikhtilaf) di antara mereka. Dalam hal ini beliau bersabda yang bermaksud: “Kamu sekalian jangan berselisih, sebab perselisihan akan menimbulkan keretakan di dalam hati kamu.” – (Hadis riwayat Bukhari)
Islam sejak kemunculannya telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah, kaum dan bangsa sehingga muncul sebagai sebuah kuasa yang amat besar pengaruhnya dalam peradaban manusia.
Banyak pihak mengaku bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya, dan kerana itulah empayar Islam mampu bertahan sehingga berjaya dilumpuhkan oleh kuasa yang baru muncul lebih 14 abad lamanya.
Justeru itu jika kumpulan NGO-NGO Islam Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digemblengkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya sudah tentu amat menakjubkan. Malah usaha sebegini telah disarankan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, yang berharap agar pertubuhan Islam di Malaysia akan terus memainkan peranan yang sentral memacu usaha mencerdaskan umat dan memupuk perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk.
Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas muamalat yang mempunyai kedudukan penting dan tinggi, sehingga dihargai lebih tinggi daripada ibadah-ibadah ritual.
Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan.
Oleh: Ibnu Majid
Recent Comments