RENTETAN sejarah panjang menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi sesuatu masyarakat. Islam juga sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Islam juga sebagai agama yang mengamalkan prinsip toleransi yang sememangnya diakui oleh penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Shinto, Majusi, Kristian dan Yahudi. Inilah satu hal yang ada dalam sejarah dan peradaban Islam.
Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dan bukan Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam, selagi pihak lain menghormati hak-hak orang Islam. Keadaan itu ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah ayat 8). Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan. Bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan tersebut.
Kebebasan beragama sememangnya tidak dihalang oleh Islam dan menjadi hak setiap orang. Cuma yang berbeza ialah Islam tidak memberikan ruang kepada umatnya untuk menukar agama kerana agama Islam itu sendiri telah dianggap lengkap dan sempurna. Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama. Islam juga tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk membuat pilihan sendiri berdasarkan keyakinan dan kepercayaan masing-masing.
Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang bersama-sama berdasarkan prinsip dan etika tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasullullah SAW melalui Piagam Madinah. Justeru tidak kurang daripada 12 fasal dalam Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan umat Yahudi iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan umat Nasrani iaitu fasal 25 hingga 35.
Sepatutnya tidak timbul kekeliruan mengenai konsep dan idea Malaysia Madani dikalangan masyarakat kecuali jika ianya bertujuan politik iaitu sengaja menimbulkan kekeliruan ummah demi kepentingan puak dan kuasa. Madani ini sesuatu yang klasik dan sudah lama dibincangkan oleh para intelektual Islam (berasaskan pada Piagam Madinah) maka itu tidak mungkin ia boleh menimbulkan perpecahan. Kemajmukkan dalam Islam ini telah wujud semenjak wujudnya Islam di permukaan bumi, tepatnya semenjak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah hinggalah pemerintahan Islam bertapak di Andalusia yang menjadikan Andalus sebagai pusat kebudayaan, ilmu dan peradaban dunia selama lebih kurang tujuh abad.
Bagi menimbulkan kesedaran serta kefahaman mengenai kemajmukan antara para penganut agama, sepanjamg yang pernah dilalui oleh Islam dalam masa perkembangannya, maka sejarah Islam perlu diteliti untuk memperoleh gambaran yang sederhana dan jelas, terutama kemunculan dan peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh tertentu dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan Islam.
Fasa pertama yang dapat dijadikan perbandingan dalam kesediaan Islam menerima kemajmukan ini dapat dilihat dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah Al-Munawwarah. Sebagai seorang Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w. telah mampu membaca serta mempelajari struktur potret masyarakat Madinah sebelum Piagam Madinah dirumuskan, kemudian baginda menjadikannya asas dalam perumusan Piagam Madinah.
Piagam Madinah itu mengandungi 36 fasal yang meliputi pelbagai persoalan, termasuk hubungan sesama Islam, hubungan Islam dengan penganut agama lain, kewajipan kedua-dua belah pihak dalam masa aman dan dalam masa perang, serta hubungan luar negeri.
Antara kandungan Piagam itu ialah:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
…bahawa barangsiapa dari kalangan Yahudi yang mengikuti kami, maka baginya pertolongan dan hak persamaan (dalam muamalah), mereka tidak dianiaya dan musuh mereka tidak dibantu.
…bahawa orang-orang Yahudi harus mengeluarkan belanja bersama-sama orang mukmin selama mereka masih dalam keadaan berperang.
…bahawa orang-orang Yahudi Banu ‘Auf merupakan satu umat bersama orang-orang beriman. Bagi orang Yahudi agama mereka dan bagi kaum muslimin agama mereka. Termasuk para pengikut mereka dan diri mereka sendiri, kecuali bagi orang yang melakukan penganiayaan dan durhaka. Orang ini hanya akan menghancurkan dirinya dan keluarganya sendiri.
…bahawa terhadap orang-orang Yahudi dari Banu Najjar, Banu Harits, Banu Sa’idah, Banu Jusyam, Banu ‘Aus, Banu Ts’labah, Banu Jafnah dan Banu Syutaibah juga berlaku pula hak-hak yang sama seperti Yahudi Banu ‘Auf. Keluarga dari Bani Ts’alabah memiliki hak-hak dan kewajipan yang sama seperti halnya anggota suku mereka.
…bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang dapat pergi berperang, kecuali dengan izin Muhammad s.a.w, tetapi tidak boleh dihalangi untuk menuntuu balas bagi kejahatan luka atas dirinya.
…bahawa orang Yahudi berkewajiban menanggung nafkah mereka sendiri dan kaum Muslimin pun berkewajipan menanggung nafkah mereka. Dan di antara mereka handaklah wujud sikap tolong menolong dalam menghadapi orang yang hendak menyerang pihak yang megadakan piagam perjanjian ini.
…bahawa mereka sama-sama berkewajipan, saling nasihat-menasihati dan saling berbuat kebaikan dan menjauhi perbuatan dosa.
…bahawa seseorang tidak dibenarkan melakukan perbuatan salah terhadap sekutunya dan yang mesti ditolong ialah orang yang teraniaya.
…bahawa kota Yatstrib (Madinah al-Munawwarah) adalah kota yang dihormati bagi orang- orang yang mengakui perjanjian ini.
…bahawa orang Yahudi Aus, baik diri mereka sendiri mahupun para pengikut mereka mempunyai kewajipan seperti mereka yang sudah menyetujui naskah perjanjian ini dan dengan segala kewajipan sepenuhnya dari mereka yang menyetujui naskah perjanjian ini.
Demikian antara kandungan dokumen politik yang dikenali dengan Piagam Madinah, yang telah diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Piagam ini telah menetapkan adanya kebebasan beragama, kebebasan menyatakan pendapat, baik mengenai keselamatan harta benda mahupun larangan melakukan kejahatan. Perjanjian yang bersejarah ini telah membuka mata dunia pada masa itu.
Melalui Piagam Madinah yang dirumuskan pada awal abad ke-7 Masihi ini, dunia diperkenalkan kepada gagasan politik yang sangat revolusioner, beretika dan berwibawa. Piagam ini jelas mempunyai tujuan perancangan bagi terciptanya keserasian politik dengan mengembangkan toleransi sosio agama dan budaya seluas-luasnya.
Piagam Madinah disifatkan revolusioner kerana semua penduduk Madinah bersama kaum pendatang, yakni kaum muhajirin dari Makkah dikategorikan sebagai suatu umat yang berhadapan dengan umat. Piagam ini ditulis atas gagasan Muhammad, yang ketika itu dapat dikatakan sebagai pemimpin kaum pendatang yang sedang diburu kaumnya sendiri.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Natsir, seorang ahli politik, birokrat dan pendakwah terkenal dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri pertama zaman Sukarno, menyatakan, bagi umat Islam, kemajmukan dan kebebasan memiliki keyakinan bergama itu bukan mesti dilandasi pernyataan –pernyataan Hak Asasi Manusia dari PBB. Tetapi Piagam Madinah itu ialah suatu jelmaan yang terang daripada prinsip kemerdekaan beriktikad dan beragama menurut prinsip ajaran Islam. Bahkan Piagam Madinahjuga telah berjaya meletakkan dasar-dasar bagi keanekaragaman hidup antara penganut agama, antara warganegara yang berbeza agama.
Prinsip kemajmukan ini diteruskan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar al-Siddiq r.a. (wafat 12 H/634 M), Umar ibn al-Khattab r.a (wafat 22 H/644 M), ‘Usman ibn ‘Affan r.a (wafat 35 H/656 M), ‘Ali ibn Abi Talib k.w (wafat 40 H/661 M). kemudian prinsip ini dilanjutkan lagi oleh para khalifah Islam selepas mereka seperti Mu’awiyah ibn Abi Sufyan r.a (wafat 60 H/680 M), ‘Abd al-Malik ibn Marwan (wafat 86 H/750 M), ‘Umar ibn ‘Abd al-Aziz (wafat 101 H/720 M) yang dikenal sebagai Umar ke-2 yang memerintah selama tiga tahun. Masa pemerintahan Umar yang begitu singkat menjadi salah satu tonggak penting dalam sejarah Islam, kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengembangkan sikap keterbukaan umat beragama dengan melarang meruntuhkan gereja dan memberi peluang mereka berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan.
Antara kegemilangan sejarah yang amat penting dari sudut tamadun dan kemajmukan serta toleransi beragama dalam Islam ialah penguasaan Islam terhadap Andalus, yang dilakukan oleh Musa ibn Nusair menjelang tahun 95H/714M. Setelah Islam bertapak di Andalus, maka datannya orang-orang Yahudi dari Timur, menuju ke Cordova, yang merupakan pusat kegiatan ekonomi dan politik. Pemerintah Islam Andalus menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka, bahkan mereka diberi jawatan penting seperti doktor dan sebagainya. Pemerintah Islam Andalus tidak menghalang mereka mendirikan sebuah Sekolah Yahudi yang terkenal di Cordova dengan pengajian Kitab Talmud.
Islam berkembang dengan pesatnya di Andalus dan salah satu factor penyebabnya ialah sikap kesediaan Islam untuk duduk semeja dengan penganut Kristian Andalus. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam. Sikap kesediaan Islam secara pergaulan bebas dalam pengertian yang jujur antara penganut Islam dengan Kristian mengakibatkan berlakunya percampuran budaya Andalus Kristian dengan budaya Arab Islam, bahkan ramai penganut Kristian Andalus yang menukar nama mereka dengan nama-nama Arab. Kemudian, Andalus atau kemudiannya dikenali dengan Sepanyol itu mampu mencipta satu tempat tidur untuk tiga agama, yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Penganut Yahudi dan Kristian memperolehi kebebasan mutlak di negeri itu, bahkan sebahagian besar penganut Yahudi mengakui, bahawa mereka tidak pernah merasakan kebebasan beragama sebagaimana yang mereka alami di Sepanyol Islam atau di negeri-negeri Islam lainnya.
Di samping kemajmukan yang kukuh itu, Sepanyol juga muncul sebagai pusat ilmu dunia Ketika itu, sehingga terdapat lebih kurang 100 sekolah dan institusi pengajian tinggi di Andalus, yang menyebabkan Sepanyol, khususnya Cordova menjadi tumpuan para ilmuan dari Eropah, Asia dan Afrika.
Kota Cordova (Qurtubah) ketika itu adalah kota yang tercantik di dunia, yang penduduknya lebih kurang setengah juta orang dan mempunyai 600 buah masjid, 900 tempat pemandian (swimming pool) untuk umum, 50 buah rumah sakit dan lebih daripada 800 buah sekolah. Cordova juga mempunyai sebuah perpustakaan umum yang besar, memiliki 600,000 jilid buku, di samping 70 perpustakaan swasta, serta sebuah masjid jamek yang mempunyai 860 tiang yang besar dan cantik.
Minat, dorongan serta perhatian dan penglibatan para pemerintah Islam Andalus dalam kegiatan keilmuan, merupakan suatu dorongan yang tidak ternilai, yang membantu menyemarakkan kegiatan ilmu. Berkat dorongan dan penglibatan pemerintah itu, maka semua lapisan masyarakat Andalus, tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama sama-sama bergiat dalam memajukan berbagai-bagai lapangan dan disiplin ilmu pengetahuan di Andalus.
Pernah dikatakan, bahawa selama tiga ratus tahun Eropah belajar dan menuntut ilmu daripada muslim Sepanyol, sehingga muncullah beberapa nama di kalangan mereka, seperti Adelard dari Barh, John dari Seville, Joseph dari Cremon, Roger Bacon, Micheal Scotus, Gundisalvi, Petrus Alphonisine, William Ockham, Peter Abelard dan ribuan lagi sarjana Eropah yang begitu diagung-agungkan oleh masyarakat Barat (Kristian) itu sebenarnya adalah antara sekian ramai pelajar Eropah yang belajar di perguruan-perguruan tinggi yang diasaskan dan dikandalikan oleh sarjana Islam Andalusia.
Rentetan sejarah yang panjang itu menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat yang sedang menuju kearah kehancuran. Sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat, tanpa mengira agama dan bangsa, Islam juga adalah suatu agama yang menganut prinsip toleransi (tasamuh) dan agama pemersatu manusia di bawah panji-panji al-Quran dan al-Sunnah, yang diakui oleh penganut ahli al-Kitab mahupun penganut agama wadi atau culture religion seperti agama Budha, Hindu, Shinto, Tao dan seumpamanya.
Demikian juga dengan pencapaian dan kecemerlangan Cardoba, Andalusia dalam pelbagai bidang kerana Islam, Yahudi dan Nasrani dapat tidur sebantal. Puncak dari toleransi terhadap orang yang berbeza agama seperti yang ditegaskan oleh al-Quran adalah ketika mewajibkan kita untuk berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicintai, dibenci, jauh, dekat, beriman atau kufur. Prinsip ini jugalah yang menjadi tunjang kepada pembentukan Rukun Negara yang menyanjung tinggi keyakinan kepada Tuhan, asalkan tidak melanggar institusi-institusi yang ditetapkan (menghormati undang-undang, raja, negara, tatasusila dan amalan budaya).
Sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum inilah telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh tentang penyatuan kaum. Perpaduan antara kaum dilambangkan melalui institusi raja, yang dianggap sebagai payung pentadbiran negara.
Hak dan prinsip ini terus dikekalkan walaupun akhir-akhir ini terdapat usaha untuk merungkaikan nilai-nilai kemasyarakatan rakyat Malaysia. Berdasarkan situasi ini, beberapa peringatan daripada pelbagai pihak yang cintakan kedamaian meminta supaya setiap perbezaan tidak terjerumus ke kancah permusuhan. Ia harus dilihat sebagai cabaran untuk merapatkan jurang perbezaan bagi meneruskan agenda pembinaan negara bangsa ataupun bangsa Malaysia.
Bangsa Malaysia bukan bermakna bercirikan khusus kepada fizikal, ia berbentuk kesatuan dalam pemikiran, tindakan dan psikologi. Saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam setiap aspek. Seperti yang dijelaskan apabila melihat satu kemalangan berlaku, apakah kita akan bertanyakan mangsanya Melayu, Cina atau India Jawapannya tidak. Kita perlu menghulurkan bantuan dan melupakan sempadan kaum dan agama. Kita membantu atas dasar kemanusiaan, satu bangsa iaitu bangsa Malaysia.
Penegasan mengenai gagasan madani ini misalnya memberikan kita satu semangat baru dalam menempuh dugaan mengharungi kegelojohan globalisasi dan serangan liberalisasi. Kita tinggalkan perbezaan yang boleh meruntuhkan sistem yang telah banyak membantu menjadikan kita kuat. Kita singkirkan pihak-pihak yang cuba meruntuhkan nilai hidup dan budaya masyarakat Malaysia ini.
Oleh: Mohd Shauki Abd. Majid
Recent Comments